Kehadirannya tidak disedari......













Thursday, November 13, 2014


Cukai Barangan dan Perkhidmatan ( GST )


Umum sedia maklum cukai barangan dan perkhidmatan atau GST akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2015.

Melalui pembentangan Bajet 2015 pada 10 Oktober lalu, terdapat pertambahan senarai barang yang tidak dikenakan GST termasuklah jualan runcit petrol RON95, diesel dan gas asli cecair (LPG).

Sebanyak 532 daripada 944 barangan dan perkhidmatan di bawah indeks harga pengguna dijangka mengalami penurunan harga sehingga 4.1 peratus.

Antara produk yang mengalami penurunan harga ialah:

  1. Ubat-ubatan
  2. Barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh
  3. Produk tekstil
  4. Barangan plastik seperti baldi dan pinggan mangkuk, kasut, dan selipar
  5. Perabot rumah
  6. Lampin bayi, sabun, daging, telur ayam, minyak, makanan laut, beras dan sayur-sayuran

Senarai barang yang tidak dikenakan GST

Berikut kami kongsikan senarai barang yang tidak dikenakan GST. Antaranya:
  1. Semua jenis buah-buahan tempatan dan diimport.
  2. Roti putih dan roti ‘wholemeal’.
  3. Serbuk kopi, teh dan koko.
  4. Mi kuning, kuey teow, laksa dan bihun.
  5. Ubat-ubatan penting Nasional yang meliputi hampir 2,900 jenama ubat. Ubatan ini adalah untuk kegunaan rawatan 30 jenis penyakit termasuk sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, kanser dan rawatan kesuburan.
  6. Bahan bacaan seperti buku mewarna kanak-kanak, buku altihan dan rujukan, buku teks, kamus dan kitab agama.
  7. Surat khabar.
 

7 Kalimah Suci


Sabda Rasulullah SAW:



Barangsiapa yang hafal dan mengamalkan 7 kalimah ini, akan dimuliakan oleh Allah dan malaikat dan akan diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih di lautan.





1. Bismillahhirrahmanirrahim



 

Pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu





2. Alhamdulillah



Pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu



 
 
 

3. Astaghfirullah



Jika tersilap mengatakan sesuatu yang buruk

 
 
 



4. Insyaallah



Jika ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang

 
 
 


5. La haula wala quwata illah billah



Bila tidak dapat melakukan sesuatu yang agak berat atau melihat sesuatu

yang buruk


 
 
 

6. Innalillah wain na illahirajiun


Jika menghadapi musibah atau melihat kematian

 
 
 


7. La ila ha illallah


Bacalah sepanjang siang dan malam sebanyak-banyak semoga kita tergolong

dalam kalangan orang yang terpilih oleh Allah

Friday, April 4, 2014

Tiada media berani dedah kebenaran isu Memali


Pada jam 9.00 malam 27 Mac 2014, saya bersama YB Husam Musa adalah dua ahli panel dalam majlis diskusi anjuran kerajaan negeri Kelantan bertemakan “Politik Malaysia: Dahulu dan Sekarang”. Profesor Dr Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia berperanan sebagai moderator.

Format diskusi menyamai program “Hard Talk” BBC London yang meletakkan syarat bahawa ahli panel tidak dibenar menggunakan skrip atau nota lebih awal tetapi bersedia menghadapi apa
juga soalan yang diajukan oleh moderator.

Sepanjang dua jam, moderator diskusi bersikap combative, aggresive serta provocative. Dalam pada itu saya akui bahawa moderator memperlihatkan sifat saksama, berkecuali dan tidak partisan.

Di penghujung diskusi, saya telah diajukan soalan berkaitan peristiwa Memali yang dapat saya rumuskan berpusat kepada tiga perkara berikut:

1. Pengesahan saya bahawa pada hari peristiwa Memali berlaku, Tun Dr Mahathir berada di negara China dan saya adalah pemangku perdana menteri.

2. Saya bertanggungjawab sepenuhnya kepada peristiwa tersebut.

3. Bagaimanakah perasaan saya dengan peristiwa Memali.

Titik hitam karier politik

Saya telah memberi respons kepada soalan yang diajukan berteraskan empat aspek berikut:

1. Saya menegur moderator dengan mengatakan sebagai seorang profesor, sesuatu perkara yang disuarakan hendaklah berasaskan penyelidikan mendalam dan fakta yang tepat.

2. Pada hari peristiwa Memali (iaitu 19 November 1985) Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur dan saya bukannya pemangku perdana menteri.

Moderator menunjukkan reaksi terkejut dan dengan suara yang jelas melafazkan perkataan “my god” yang mengejutkan hadirin.

3. Sebagai menteri dalam negeri saya telah menggariskan panduan umum, memberi ingatan dan mengarahkan pihak polis tentang dua perkara:

(i) Proses undang-undang hendaklah dipatuhi.
(ii) Elakkan kekerasan (violence) dan pertumpahan darah.

Namun saya mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap kejadian yang berlaku walaupun saya tidak terlibat secara langsung tetapi menyerahkan kepada budi bicara pihak polis untuk melaksanakan operasi dari segi menentukan waktu terbaik ianya dilakukan serta kaedah dan pendekatan untuk melaksanakan operasi.

4. Saya berterus terang dan dengan ikhlas serta penuh insaf mengaku bahawa titik hitam dalam sejarah karier politik saya ialah peristiwa Memali.

Dalam ruang masa yang diberikan oleh moderator, saya telah menghuraikan urutan peristiwa yang berlaku. Pada hari kejadian, saya bersama pemangku ketua polis negara (KPN) telah menemui perdana menteri di pejabat beliau dan pemangku KPN telah memberikan taklimat tentang perkara yang berlaku berikutan operasi polis di Memali yang melibatkan kematian empat anggota polis dan 14 orang awam.


Mohon Dr M tangguh lawatan

Dalam pertemuan tersebut saya memohon agar Dr Mahathir menangguhkan program lawatan ke Negara China atas tiga sebab:

1. Peristiwa ini berlaku di negeri Kedah; negeri perdana menteri sendiri.

2. Peristiwa ini melibatkan orang Melayu beragama Islam.

3. Dengan menangguhkan lawatan ke Negara China, Dr Mahathir memperlihatkan sifat ia mengutamakan dan mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam negeri.

Dr Mahathir membuat keputusan untuk tetap berlepas ke negara China. Saya telah memaklumkan kepadanya cadangan saya untuk membentangkan peristiwa Memali di Parlimen. Di samping itu, saya turut meminta agar semua media, termasuk media luar negara memberi saya ruang 24 jam untuk membolehkan saya mendapat gambaran lebih tepat lagi lengkap. Saya telah membentangkan peristiwa Memali di Dewan Rakyat pada keesokan harinya (20 November 1985) dan selanjutnya mengadakan perjumpaan media.

Kesimpulannya ialah:

1. Bukan niat saya mahu mencetuskan polemik baru berkaitan Memali. Ia dihidupkan semula berikutan respons saya kepada soalan yang diajukan oleh moderator dalam program diskusi yang diadakan.

2. Isu utama dalam perkara ini adalah fakta, sama ada pada hari peristiwa tersebut berlaku, saya menjawat jawatan pemangku perdana menteri kerana Tun Dr Mahathir berada di luar negara. Berdasarkan penyelidikan daripada bahan-bahan rujukan yang masih dapat saya temui, nyatalah Tun Dr. Mahathir berada di dalam negara pada hari tercetusnya peristiwa Memali, dan saya tidak memangku jawatan perdana menteri pada hari tersebut.

3. Sewaktu berlangsung prosiding kes dakwaan saya terhadap seorang penulis di Mahkamah beberapa tahun lalu di mana dalam kes ini saya berjaya, (ketika itu Tun Dr Mahathir masih perdana menteri), peguam bela bertanya dua soalan yang serupa, sama ada Dr Mahathir berada di dalam negara pada hari peristiwa Memali berlaku dan adakah saya memangku jawatan perdana menteri. Jawapan konsisten saya berikan bahawa beliau berada di dalam negara dan saya tidak memangku jawatan Perdana Menteri. Tetapi tidak ada media yang sedia melaporkan fakta ini.

Peluang dari Ilahi

Sekian lama saya dicerca, dicela dan dinista mengenai peristiwa Memali oleh pelbagai pihak terutama oleh parti PAS. Seingat saya, apatah lagi selepas saya berundur daripada jawatan menteri; tidak ada pihak baik daripada kerajaan, begitu juga parti Umno yang saya anggotai bersedia menyuarakan fakta yang benar.

Saya pernah menawarkan diri untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan media khusus atas subjek peristiwa Memali, tetapi tidak ada pihak media yang bersedia berwawancara dengan saya. Saya sedar dan memahami ketika itu tidak ada pihak yang bersedia berhadapan risiko untuk bercakap perkara yang boleh dianggap menyentuh kedudukan dan batang tubuh seorang perdana menteri yang sedang berkuasa.

Sekian lama saya berseorangan untuk mendapatkan keadilan namun saya terus berdoa dan akhirnya program diskusi di Kelantan saya sifatkan sebagai anugerah ilahi memakbulkan doa saya. Ruang tersebut memberikan saya peluang untuk memperbetulkan fakta sejarah akan peristiwa penting yang melibatkan diri saya.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi yang telah memberikan peluang tersebut kepada saya.

Saya sedar perkembangan terbaru ini telah menjemput pelbagai ulasan dan pandangan secara positif dan secara negatif, tidak terkecuali yang berbentuk tohmahan, tuduhan dan fitnah baru ke atas diri saya. Saya serahkan segala-galanya kepada Allah yang Maha Mengetahui akan kebenaran dan kepada-Nya saya memohon petunjuk dan keadilan.

Sunday, March 30, 2014

Memali: Siapa bohong Musa atau Mahathir?


Sebaik saja Musa Hitam menjelaskan yang Mahathir Mohamad berada di dalam negara sewaktu kejadian berdarah Memali, saya sudah bayangkan yang Mahathir akan menafikan dakwaan Musa itu. Pendedahan Musa itu menuntut Mahathir bersuara. Kalau takdir masa ini Mahathir berada dalam ICU, dan Tuhan telah menarik suaranya daripada berkata-kata, Mahathir kena jawab dengan cara menulis. Kalau tangannya mengalami gengren, dia harus menulis dengan kaki.

Saya sempat minta penjelasan lanjut dari Musa.
Dan kalau kakinya juga mengalami gengren, dia harus merekodkan jawabannya dalam darah atau cebisan daging yang boleh dihantar ke frenseik untuk menterjemahkan jawabannya. Penjelasan Mahathir sangat 
penting bagi para pendedam terhadap tragedi yang meragut 14 nyawa pada 19 November 1985 itu.


Musa semasa berdiskusi di Kota Bharu, menegaskan yang Mahathir Mohamad ada dalam negara pada hari kejadian itu. Malahan menurut Musa, Mahathir berada hingga ke hari ke empat? Pendedahan itu mengejutkan kerana dunia mengetahui yang Mahathir dilaporkan tidak ada dalam negeri ketika kejadian itu, ini menyebabkan tragedi itu terpikul di atas bahu Musa seratus peratus yang menjadi Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri. Mahathir dikatakan berada di China.

Pendedahan oleh Musa itu mengejutkan bukan sahaja mereka yang ada dalam dewan diskusi, tetapi di mana-mana juga yang sebelum ini telah hafal mengenai kes berdarah Memali. Moderator diskusi Muhammad Agus Yusuf juga terkejut dengan jawaban itu kerana dalam rekod ditemuinnya Mahathir tidak ada di dalam negara. Mungkin bagi Agus pendedahan Musa itu sesuatu sandiwara untuk Musa 'menyamak' dirinya dengan kejadian Memali.

Saya tidak musykil kalau rekod yang Agus simpan mengatakan Mahathir tiada dalam negara. Sebab rekod-rekod itu boleh dibuat atau boleh di backdated untuk melindungi Mahathir. Musa sebagai timbalan Mahathir sudah tentu mempunyai kehormatan tinggi kepada Mahathir dan sanggup menanggung risiko atas kejadian itu, asalnya bos selamat. Kerajaan yang dikenali dengan 2M ketika itu perlu dipertahankan.

Dan ternyata Mahathir telah menyembunyikan suaranya berhubung dakwaan Musa itu. Penuh simplistik Mahathir mengatakan dia kena semak kejadian itu kerana dia tidak ingat. Jawaban Mahathir itu mendedahkan sikap dan stail dia berpolitik. Mahathir tidak menampakkan serius dalam hal-hal penting dan mustahak, sebaliknya dilayan secara sambil lewa sahaja. Cara Mahathir itu adalah tetktik dia meremehkan benda yang penting kemudian akan dialpakan begitu saja. Tindakan Mahathir samalah dengan kerja kunci kambus tahi.

Masakan kejadian yang cukup penting begitu dia tidak mengingati kronologinya? Budak yang berusia 10 tahun pada kejadian itu dan kini sudah 30 tahun pun ingat satu persatu. Mereka kenal dan hafal nama Ibrahim Libya yang terbunuh bersama pengikutnya. Geoogle sahaja mengenai Memali akan keluarkan info detik-sdetik kejadian itu serta beberapa gambar mangsa yang menjadi sasaran peluru polis? Apakah Mahathir jahil IT? Mungkin sebab itulah beliau mengsyorkan agar internet ditutup untuk mengambuskan kejahatannya?

Saya tidak percaya kalau Mahathir tidak ingat di mana dia ketika Ibrahim Libya dan pengikutnya diserang hingga mati. Mahathir tentu tahu apakah dia berada dalam jamban di rumahnya di Seri Perdana, atau pun berada di masjidi Haram di Makkah? Kecualilah Mahtahir sudah gila dan hilang ingatan sebaik Musa mendedahkan fakta baru mengenai Memali itu pada diskusi bertajuk Politik Malauysia, dulu dan sekarang itu.

Apabila Mahathir menjawab secara simplistik begitu, mungkin dia tidak mahu bercakap panjang mengenai Memali. Dia mahu membungkus kejadian itu dalam lipatan mindanya dan biarlah sejarah bercerita tentangnya tanpa ada campur tangannya. Biar ia berkubur seperti kes, kematian Jalil Ibrahim dalam isu BMF atau isu-isu lain? Namun minda manusia yang waras tetap bergerak dan menunggu semakan rekod Mahathir itu.

Boleh jadi dihujung usia bagi Mahathir mengenang segala tragedi sebegitu ia terlalu perit. Era politinya banyak menghirup darah demi kekuasaannya.

Saya yakin isu Memali tidak akan dibuka setelah ia ditutup dengan kertas putih di Parlimen. Kertas Putih itu dipaksa agar ia diterima untuk menutupi sebuah peristiwa kejam. Tetapi Mahathir kena ingat pembohongan akan terbongkar juga satu masa kelak. Kalau bukan pada hayatnya dikandung badan, mungkin sesuah jasadnya dibahan tanah. Pendedahan Musa itu adalah permulaan untuk menuju kebenaran. Sesungguhnya kebatilan tidak akan berjaya membunuh kebenaran.

Apabila mengingatkan perbuatan Mahatahir kepada Anwar Ibrahim, orang tidak akan mudah menolak pendedahan Musa itu. Apa yang berlaku kepada Anwar, adalah ibu segala kekejamana dan kejahatan politik Mahathir dari dalam Umno sendiri. Apalah kalau hendak diukur dengan Memali, apa lagi Memali beliau boleh dilindungi dengan Musa sebagai penanggungjawabnya dan Ibrahim Linya adalah prokasi lawannya.

Semasa minum bersama Musa selepas diskusi malam itu, saya ada bertanya lebih lanjut tentang Memali dan Mahathir. Beliau tidak memberi ulasan panjang mengenai maklumat terbaru itu, tetapi mengatakan semua orang harus berhati-hati dengan Mahathir. "Dia bijak," itulah ulasanya tentang Mahathir. Tetapi jauh di lubuk hati saya juga menyebut, apa kurangnya dengan Musa. Diawal diskusi Husam Musa menyebut atau memberi kredit kepada Musa, sebagai Sang Kancil.

Sang Kancil adalah haiwan yang pintar dan bijak, ia boleh melakukan apa saja untuk menyalamatkan dirinya termasuk berpura-pura mati. Apakah Musa sedia membuat pendedahan itu kerana dia tahu malam itu dia dalam lingkungan kawat duri orang-orang yang berdendam dengan kejadian Memali? Siapa yang bohong dan benar dalam kes Memali ini?  Atau Musa dan Mahathir memang bersekongkol sama demi kelanjutan politik. Yang nyatanya selepas peristiwa Memali, karak politik Musa menjadi lilin kemudian mati secara beragam.

Sumber  :  http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Saturday, March 29, 2014

Mengenang Tragedi MH 653



ANTARA faktor pemula kisah yang disiarkan ini ialah cerita-cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut oleh para pemandu teksi di sekitar Johor Bahru. Mereka menyebarkan cerita tentang kelibat wanita berpakaian seperti pramugari pada waktu malam di jalanan sekitar Jalan Kebun Teh dan juga di Gelang Patah, Johor.
"Wanita itu meminta dihantarkan ke salah satu destinasi itu. Kawan saya pernah terkena sebelum ini. Apabila ditanya wanita itu kenapa dia mahu turun di tempat yang gelap dan bukan kawasan perumahan, wanita itu tiba-tiba ghaib dari tempat duduk penumpang.
"Ada pula yang sempat dijawab wanita itu. Katanya, 'bang, saya nak cari tangan saya yang putus'. Gugur jantung saya," cerita seorang pemandu teksi, Yusof Mohamad, yang menggeleng-gelengkan kepala sambil berdoa dirinya tidak diuji dengan pengalaman seperti itu.


Ramai orang di bandar raya Johor Bahru maklum tentang kisah seram tersebut. Sama ada mendapat respons ketawa atau rasa takut yang melampau, ia sebenarnya merantai ingatan mereka terhadap sebuah tragedi dahsyat yang pernah berlaku lebih tiga dekad lalu.
Isnin 4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan dalam sejarah Penerbangan Malaysia (MAS). Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama tujuh anak kapal telah meletup dan terhempas di sebuah kawasan paya bakau di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor.
Rangka pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya.
Kegemparan itu mengejutkan sekalian penduduk kampung nelayan di situ. Ada yang berkurung dan segera menutup pintu kerana ketakutan. Ada pula penduduk yang berani bergegas ke tempat kejadian.
"Saya ternampak gugusan api yang marak menyala di langit. Sejurus ia terhempas ke bumi, bergegar jadinya kawasan ini. Semua orang terdiam dan berdebar-debar," ujar seorang warga Kampung Tanjung Kupang, Ahmad Puteh, yang sewaktu kejadian itu berusia 26 tahun dan masih bujang.
NAHAS MH653 mendapat perhatian ramai termasuk Tengku Mahkota Johor, Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Hussein Onn (kini Tun), Menteri Perhubungan, Mendiang Tan Sri Manickavasagam dan Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Awang.


Segalanya masih jelas dalam memori nelayan berusia 58 tahun itu. Menurutnya, hanya selepas setengah jam, baru dia nekad untuk melihat 'raksasa' apakah yang jatuh ke kampungnya itu.
Kutip duit berguni
Dalam gelap malam yang diterangi api yang masih marak, orang kampung sungguh terkejut apabila mendapat tahu yang jatuh itu adalah bangkai kapal terbang.
"Sebelum kedatangan pihak berkuasa, saya melihat beberapa orang kampung sibuk mengutip sesuatu di tanah. Duit berselerak macam daun pokok getah.
"Malah ada yang dapat kumpul hingga berguni-guni banyaknya," katanya yang tidak berani mengambil, namun tidak menafikan bahawa sesiapa pun akan tergerak hati untuk memungut not-not kertas wang ringgit, yen Jepun, dolar Amerika dan pound sterling di sekitar kawasan tragedi.
"Saya dengar cerita, beg-beg yang berisi pakaian dan barang kemas pun dijumpai orang kampung. Bila tengok barang-barang macam itu, mereka pun 'menyelit-nyelit'lah.
"Paling kecoh, apabila ada seorang yang ternampak cincin lalu ingin memungutnya secara diam-diam. Rupa-rupanya, cincin itu masih tersemat pada sebatang jari yang sudah putus!" kata seorang suri rumah, Zaiton Dol, 47, tentang tabiat rakus orang kampung.
"Entah siapa agaknya yang membawa wang tunai begitu banyak. Tapi bila difikirkan balik, memang ramai orang kenamaan dalam kapal terbang itu, kan? Mesti barang-barang itu milik mereka," katanya.


Selain mengorbankan seorang usahawan Jepun, Tomio Gotto, dan Duta Cuba ke Malaysia, Mario Garcia serta isterinya, tragedi pesawat MH653 itu turut meragut nyawa Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid, Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad, dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican.
Selain itu, dua orang pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime turut terkorban bersama-sama puluhan penumpang dan petugas kabin. Tiada seorang pun yang terselamat dalam pesawat yang dipandu juruterbang Kapten G.K. Ganjoor dan pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu.
Seorang lagi penduduk kampung yang teruja menceritakan kisah itu ialah Siti Rahmah Ismail, 39. Walaupun ketika kejadian dia baru berusia tujuh tahun, Siti Rahmah masih mengingati banyak perkara.
"Budak-budak disuruh tidak keluar dari rumah. Maklumlah, ibu bapa kami takut perkara buruk terjadi kepada kami. Keadaan semakin kecoh apabila pihak berkuasa dan keselamatan yang terdiri daripada anggota polis, tentera, bomba dan ambulans tiba tidak lama kemudian. Kerja-kerja menyelamat berlarutan ke lewat malam," imbasnya.
MEMORIAL memperingati tragedi pesawat Boeing 737 MH653 masih dikunjungi ahli keluarga mangsa di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.


Keesokannya, udara kampung menjadi tidak nyaman. Ramai yang terkejut apabila terjumpa atau ternampak dari jauh kecaian daging dan tulang manusia yang bersepah dan membusuk. Lebih meloyakan adalah apabila isi perut yang terburai dilihat tersangkut pada ranting dan dahan pokok bakau.
"Ramai yang tidak boleh tidur malam kerana dibayangi pemandangan itu. Apatah lagi mereka diganggu mimpi ngeri, terutama mereka yang telah mencuri simpan barang peribadi milik mangsa nahas," kata Ahmad.
"Siapa yang mengambil milik orang pada malam kejadian, terimalah habuannya. Mereka tidak tenang. Sampai ada yang sakit seperti terkena badi hingga terpaksa dibawa berubat," tambah Zaiton pula.
Suara jeritan
Ahmad mengakui, selama beberapa tahun, Kampung Tanjung Kupang terutama di kawasan tragedi itu seperti berhantu. Semua orang takut untuk melaluinya.
"Kalau menaiki motosikal di daratan atau menaiki bot di sebelah paya bakau itu, pasti akan terdengar suara-suara kelam seperti orang menjerit, meratap dan memekik meminta tolong.
"Penghuni rumah yang paling dekat dengan tempat kemalangan juga telah lama berpindah sejak tragedi itu berlaku," kata Ahmad mengenai sebuah rumah tinggal yang terletak kira-kira 100 meter dari rebakan api bangkai MH653.
Kru Jurnal yang mengunjungi Tanjung Kupang kelmarin nekad 'menceroboh' masuk tapak tragedi walaupun mengetahui laluan masuknya sudah dipagar kerana telah menjadi milik Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Sewaktu memperlahankan kereta di sebatang jalan yang sempit, tidak pula terasa apa-apa yang meremangkan bulu roma.
SELAIN tapak tragedi, balai polis lama di Tanjung Kupang ini juga sudah menjadi sejarah lantaran tidak lagi berfungsi.


AHMAD PUTEH


Semakin kereta kami ditelan belukar yang kian meliar, bau busuk tiba-tiba menusuk hidung. Namun, bau itu bukan daripada bau reputan daging manusia seperti yang diceritakan sebelumnya. Saat tiba di penghujung jalan, kami menemui sebuah kandang lembu yang diusahakan oleh seorang penduduk kampung, Mohamad Nor Kamaludin, 34.
"Daripada kawasan ini terbiar, biarlah saya memanfaatkannya. Lagipun kandang ini hanya sementara," kata Mohamad yang seakan-akan tahu tujuan kedatangan kami.
"Memang di sinilah tempat kapal terbang itu jatuh. Kisah tragedi itu sudah lama berlalu, tak ada apa pun yang menakutkan di sini. Silakanlah ambil gambar. Orang kata, masih ada tayar kapal terbang di hujung tanah sana. Kalau ada pun, pasti dah tenggelam ke dalam lumpur," ujarnya.
Menurut sumber daripada Pelabuhan Tanjung Pelepas, tempat tragedi pesawat MH653 itu adalah sebahagian daripada kawasan paya seluas 800 hektar milik kerajaan yang kini diletakkan di bawah jagaan PTP secara konsesi. Ia sekadar dirizab sebagai zon bebas aktiviti manusia.
Paya hangus yang telah mengorbankan 100 jiwa itu kini hanyalah hamparan muka bumi yang mirip hutan sekunder. Wartawan Jurnal sekadar menemui sebuah terusan air dan benteng tanah laterit yang ditinggikan bagi memisahkan kawasan belukar darat dengan kawasan bakau yang semakin teranjak melebihi garis air laut.
Di situlah 32 tahun lalu berlaku sebuah tragedi yang telah menggemparkan negara.

SUMBER  : KOSMO

MH 370 Dalam Dakapan Lautan Sepi..


DASAR Lautan Hindi dipercayai berceranggah dan sentiasa berubah kerana aliran magma daripada gunung berapi. - Gambar hiasan

KETIKA Fernando Schnabl sedang menanti isteri dan anak lelakinya tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Perancis, dia dikejutkan dengan berita kehilangan pesawat Air France 447 (AF447).
Pesawat jenis Airbus A330 itu dinaiki pasangan anak-beranak tersebut untuk pulang daripada percutian mereka di Brazil.
Fernando bersama anak perempuannya, Celine terlebih dulu tiba di Perancis menerusi pesawat berasingan.
“Kami dalam perjalanan pulang apabila salah seorang anak kapal memberitahu sebuah pesawat yang berlepas dari Rio de Janeiro hilang daripada radar,” cerita Fernando seperti dipetik portal Daily Mail.
Dalam kejadian pada 1 Jun 2009, pesawat berkenaan telah terhempas di Lautan Atlantik menyebabkan 228 penumpang terbunuh.
Turut terkorban ialah isteri Schnabl, Christine dan anak lelakinya, Philipe.
Operasi SAR dilakukan pada keesokan harinya namun harapan untuk menemui mangsa yang selamat adalah tipis meskipun dibantu dengan teknologi paling canggih.
Menurut jurucakap tentera laut Perancis, Hugues du Plessis d’Argentre, kedalaman Lautan Atlantik yang mencecah 3,926 meter (m) membuatkan misi mencari menjadi sukar.
“Kami terpaksa berhadapan dengan laut bergelora, angin kencang dan keadaan laut yang tidak menentu,” katanya.
Selepas 25 hari, pasukan SAR menghentikan operasi mencari setelah gagal menemui kotak hitam pesawat itu.
Bagaimanapun, kotak hitam tersebut ditemui dua tahun kemudian.
Cabaran untuk mengesan kotak hitam AF447 yang terhempas enam tahun lalu itu hampir serupa dengan usaha mencari kotak hitam pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.
Meskipun demikian, ada yang menyifatkan usaha mencari pesawat jenis Boeing 777 itu lebih sukar kerana ia hilang secara misteri, tidak seperti AF447 yang diketahui kedudukannya.
Paling menakutkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu sidang akhbar pada 24 Mac lalu mengesahkan perjalanan MH370 berakhir di Lautan Hindi.
Sejurus selepas berita sedih itu disampaikan, usaha pasukan SAR yang membabitkan 12 negara terus bertumpu ke arah mencari kotak hitam pesawat berkenaan di selatan lautan itu.
Pakar pencari bangkai pesawat dalam laut Amerika Syarikat (AS), David Mearns yang pernah terlibat dalam operasi mencari serpihan AF447 mengakui misi mencari komponen pesawat MH370 di Lautan Hindi tidak sama seperti yang disertainya di Lautan Atlantik sebelum ini.
“Berbanding Lautan Atlantik yang terletak di antara benua Afrika dan Amerika, Lautan Hindi sangat terpencil dan jarang dilalui kapal-kapal dagang,” kata Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr. Rizal Arshad.
Maka tidak hairanlah, lautan ketiga terbesar di dunia itu terkenal dengan jolokan The Lonely Ocean atau Lautan Sepi.
Menurut Rizal, Lautan Hindi mempunyai kedalaman sembilan hingga sepuluh kali ganda berbanding ketinggian Menara Berkembar Petronas iaitu 420m.
Tambahnya, dengan kedalaman mencecah 4,000m, lautan itu turut mempunyai arus yang kuat selain dasarnya yang gelap dan kerap berubah.
“Di sesetengah kawasan seperti Jurang Jawa, kedalamannya mencecah 7,000m. Jika kotak hitam tersebut bergerak atau dilitupi pasir di dasar laut, ia akan merencatkan isyarat yang boleh diberikan,” katanya.
KENDERAAN kawalan jauh dalam air (ROV) boleh digunakan pada kedalaman 6,000m. - Gambar hiasan


Perkara itu turut dipersetujui ahli oseanografi dari Universiti New South Wales di Australia, Erik Van Sebille yang menyifatkan Lautan Hindi sebagai kawasan yang paling menakutkan di muka bumi.
“Secara umum, bahagian selatan Lautan Hindi merupakan kawasan laut paling bergelora. Pada musim sejuk, jika berlaku ribut, anda boleh melihat ombak setinggi 10 hingga 15 meter.
“Cuaca tidak menentu, ombak ganas dan laut bergelora. Keadaan ini amat berbahaya walaupun untuk kapal-kapal besar.
“Malah, arus di bahagian itu merupakan antara yang paling deras di dunia,” jelasnya sambil memberitahu, lautan itu juga dikenali dalam kalangan pelaut sebagai ‘Lautan Tebusan’ .
Cuaca buruk
Selain itu, keadaan cuaca dengan angin kencang yang dikenali sebagai Roaring Forties turut menambahkan kesulitan operasi SAR di kawasan tersebut.
Perkataan roaring merujuk kepada tiupan angin barat yang sangat kuat sehingga menyebabkan ribut kencang.
Istilah forties pula merujuk kepada lokasi kedudukan garis lintang selatan yang terletak pada latitud 40 dan 50 darjah di hemisfera selatan.
Bekas penasihat penerbangan tentera Universiti Newcastle, Martin Babakhan memberitahu, fenomena alam yang kerap terjadi di kawasan itu berpunca daripada lokasinya yang terletak di zon peralihan antara daerah subtropika yang tenang dengan kawasan pusaran sejuk di sekitar Kutub Selatan.
Menurutnya, kelajuan angin yang mencapai 200 kilometer sejam (kmj) menyebabkan laut bergelora dan ribut kuat di tengah lautan.
“Peralihan musim telah bermula dan ini bererti udara sejuk dari Antartika bergerak ke atas dan udara panas bergerak ke bawah mewujudkan cuaca yang buruk,” katanya.
Dalam pada itu, Perunding keselamatan penerbangan, Geoffrey Thomas memberi amaran bahawa keadaan cuaca di lautan yang terletak berdekatan benua Antartika itu semakin buruk apabila tiba musim sejuk.
“Keadaan yang amat sejuk sedang menghampiri. Keadaan laut akan bergelora dengan hujan lebat serta awan rendah.
“Laut akan menjadi seperti sebuah kawah buih dengan warna putih melitupi sebahagian besar permukaan air. Ia sangat berbahaya untuk berada di sana,” katanya


Thomas menambah, keadaan itu merupakan suatu petanda yang tidak menyenangkan.
“Ini adalah permulaan musim sejuk. Keadaan seperti ini adalah kejadian yang berlaku setiap hari di kawasan lautan Hindi. Ia adalah musim sejuk selama lapan bulan pertama untuk tahun ini dan sepanjang tempoh tersebut, lokasi ini adalah tempat paling dahsyat di dunia,” jelasnya.
Thomas mengandaikan usaha mendapatkan semula bangkai pesawat mungkin mengambil masa berbulan-bulan dalam keadaan cuaca sedemikian.
“Sungguh malang jika serpihan pesawat MH370 ditemui di kawasan itu. Ia seolah-olah satu mimpi ngeri,” ujarnya.
Apa pun situasi yang perlu dihadapi, pasukan SAR kian kesuntukan masa untuk mencari kunci utama bagi menyelesaikan misteri tragedi pesawat MH370 iaitu kotak hitam pesawat tersebut.
Jangka hayat bateri kotak elektronik yang berfungsi merekod data rakaman penerbangan hanya mempunyai masa kurang dari seminggu sahaja lagi untuk dikesan sebelum kuasa baterinya menjadi semakin berkurangan.
Untuk mengesan isyarat tersebut, pasukan SAR menggunakan alat pendengaran berteknologi tinggi yang dipinjamkan oleh Tentera Laut AS iaitu Towed Pinger Locator.
Situasi ini sama seperti operasi mengesan bangkai pesawat AF447.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Towed Pinger Locator akan dipasang pada kapal milik tentera laut Australia, Ocean Shield.
“Kapal itu akan menuju ke kawasan pencarian dan dijangka tiba pada 5 April depan,” ujarnya.

Dipetik : KOSMO