Kehadirannya tidak disedari......













Sunday, September 4, 2011

Kerajaan Johor iktiraf ketokohan Mat Indera
Oleh  :  Mohamed Hadi al-Majwi   


Sebelum kita disesatkan lebih jauh lagi oleh media-media parti pemerintah, eloklah kita semua kembali ke pangkal jalan, mengkaji dan memahami semula sejarah. Sebetulnya tatkala kali pertama saya menonton klip video ceramah Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengenai tragedi Bukit Kepong itu, hati saya telah terdetik "Apa sajalah yang UMNO akan merapu lepas ni". Dan memang saya mahu saksikan, label apakah yang hendak dicop kepada Mat Sabu rentetan daripada ceramah beliau. Sememangnya ucapan Mat Sabu telah diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia dan kalau salah bacaan, kita juga akan terperangkap dengan permainan Utusan Malaysia. Mat Sabu tidak pernah menyebut komunis, tetapi hanya menyebut nama Mat Indera, pejuang yang telah mengetuai serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Inti ucapan Mat Sabu ialah ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang peranannya digelapkan oleh parti pemerintah, tetapi di tangan Utusan Malaysia, tiba-tiba Mat Sabu pula yang sokong komunis!

Yayasan Warisan Johor iktiraf Mat Indera

Saya tidak perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber untuk membuat pendirian bahawa Mat Indera ialah seorang pejuang kemerdekaan, seperti yang disebutkan oleh Mat Sabu. Saya hanya merujuk kepada buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Di dalam buku ini terdapat 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera sendiri. Jangan tak percaya, Yayasan Warisan Johor meletakkan nama Mat Indera sebaris dengan Almarhum Sultan Ismail dan Tun Sulaiman Ninam Shah, bekas pengerusi tetap UMNO.

Malah foto Mat Indera juga menjadi sebahagian daripada kulit hadapan buku ini. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato' Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Dato' Abdul Ghani Othman. Pendek kata, penerbitan buku ini mendapat restu kerajaan Johor. Nah, saya tak pasti adakah selepas ini nama-nama ini pula akan dilabelkan sebagai pengkhianat tetapi merekalah yang bertanggungjawab mengangkat ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.

Siapa Mat Indera

Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.

Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British. Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah.

Mat Indera dan Bukit Kepong

Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong. Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera. Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera.

Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.

Tafsiran sejarah bukannya pengkhianatan

Buku ini turut memuatkan biografi tokoh yang terlibat secara langsung menangkap Mat Indera iaitu Bajuri Haji Siraj atau Sarjan Bajuri. Beliau merupakan pegawai yang terlibat untuk memberkas Mat Indera dan menerima habuan $75,000.00 seperti yang ditawarkan oleh pihak British. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pontian dan pernah bertanding sebagai calon bebas setelah tidak terpilih sebagai calon Perikatan di dalam pilihanraya kecil Dun Pontian Kecil pada tahun 1961.

Di bahagian Pendahuluan buku ini, Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid menyifatkan bahawa kedua-dua versi cerita (Mat Indera dan Sarjan Bajuri) merupakan subjek yang amat menarik untuk terus diperbincangkan dan dibuat kajian lebih lanjut. Ada yang menganggap Mat Indera sebagai wira dan ada pula yang menganggap Sarjan Bajuri sebagai wira. Menurut beliau, sejarah ialah apa yang ditafsirkan dan dikemukakan oleh para sejarawan berdasarkan bukti yang mereka dapati. Katanya lagi, "proses pembuktian dan pentafsiran ini berjalan terus menerus tanpa henti selagi manusia mampu menggali dan berfikir untuk mencari 'kebenaran'".

Kebenaran inilah yang dicari oleh setiap pengkaji sejarah. Apa yang dipohon oleh Mat Sabu ialah pihak parti pemerintah memberikan gambaran yang seadil-adilnya kepada para pejuang kemerdekaan dan tidak hanya memberi fokus kepada UMNO sahaja. Golongan kiri, golongan alim ulama' dan golongan yang "bukan UMNO" turut terbabit memperjuangkan kemerdekaan, hatta Dato' Onn Jaafar yang pernah dicop oleh UMNO sebagai boneka British juga turut berhasrat memperjuangkan kemerdekaan. Berikanlah kepada mereka penghormatan yang sewajarnya berdasarkan neraca intelek, bukan bidasan jelik. Tidak dapat difahami mengapa tafsiran sejarah yang berbeza berasaskan hujah-hujah akademik boleh dilabel sebagai pengkhianatan, petualang dan entah apa-apa lagi.

Rasional bukan emosi

Apabila seorang tokoh politik seperti Mat Sabu memberi tafsiran sejarahnya (yang bukannya tiada asas), mengapa reaksi-reaksi yang timbul langsung tidak ilmiah malah disulami kecaman demi kecaman yang penuh emosi? Berfikirlah secara rasional dan selak kembali lembaran-lembaran sejarah yang mungkin kita terlepas pandang.

Bacalah biografi Mat Indera di dalam buku ini, betapa keperibadian Mat Indera disanjung. Latar belakangnya juga mengagumkan. Secara jelas Ismail Adnan menukilkan bahawa "Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan". Di akhir biografi ringkas Mat Indera, penulis ada menyebut "Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? ...Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang". Kenyataan ini saja sudah membuatkan saya tertanya-tanya, adakah Yayasan Warisan Johor juga mahu menjadi pengkhianat seperti Mat Sabu? Bilakah pula agaknya Utusan Malaysia ingin mengisytiharkan Yayasan Warisan Johor sebagai pengkhianat?

BENARKAH MAT SABU HINA PEJUANG KEMERDEKAAN?
 Dipetik daripada  :  KELAB GREENBOC


Pejuang negara yang dimaksudkan adalah mereka yang bertugas dengan anjing penjajah British semasa Tanah Melayu kembali dikuasai oleh mereka setelah Jepun menyerah kalah akibat serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 6 dan 9 Ogos 1945.

Mereka terbunuh akibat serangan sekumpulan Komunis yang memperjuangkan kemerdekaan negara pada ketika itu dan diketuai oleh Muhammad Indera.


Sedikit fakta untuk dikongsi bersama.


Serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong telah berlaku pada 23 Februari 1950 iaitu tujuh tahun sebelum negara kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Harus diingat, keseluruhan anggota Polis yang diserang pada ketika itu adalah mereka yang berkhidmat atau melafazkan taat setia kepada British dan Queen Elizabeth, bukannya taat kepada Tanah Melayu dan Yang di-Pertuan Agong.

Jadi siapa sebenarnya yang mempertahankan Tanah Melayu dan Raja-Raja Melayu kalau bukan pejuang kemerdekaan yang dinafikan hak dari segi sejarah dan fakta?

Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman ATAU Muhammad Indera dan Abdullah CD?? -JALAN PULANG

di bawah adalah artikel dari Tukar Tiub...wajib baca

MAT SABU HINA PEJUANG NEGARA - meloya

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mencetuskan kontroversi baru apabila menganggap pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.

Menurutnya, Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.

Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mohamad turut mendakwa Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British.

Beliau juga berikrar untuk mengubah semula sejarah kemerdekaan negara jika pembangkang berjaya merampas Putrajaya kerana dakwanya, sejarah yang tertulis pada hari ini tidak memaparkan fakta sebenar selain hanya memihak kepada UMNO.

“Dekat nak merdeka nanti, siarlah cerita mengenai Bukit Kepong. Bukit Kepong ini, polis yang mati itu polis British. Hat (yang) serang Bukit Kepong itulah pejuang kemerdekaan yang sebenar, yang serang Bukit Kepong itu Mat Indra (Muhammad Indera). Dia Melayu tapi semua sejarah itu ditutup.

“Jins Shamsudin buat filem, Jins Shamsudin itu orang UMNO. Cerita Bukit Kepong (yang dibuat Jins) hat serang itu pula penjahat, hero yang mempertahan balai polis. Padahal Mat Indera yang mengetuai operasi itu akhirnya dihukum gantung,” katanya dalam ceramah itu.

Dalam tragedi berdarah Bukit Kepong yang bermula kira-kira pukul 5 pagi pada 23 Februari 1950, satu persatu anggota keselamatan dan ahli keluarga mereka gugur selepas diserang dari setiap sudut oleh 200 pengganas komunis, malah sebahagian daripada mangsa dicampak hidup-hidup ke dalam api.

Mohamad mendakwa semua sejarah negara adalah bohong apabila pegawai British diangkat sebagai pejuang kemerdekaan manakala yang melawan British menjadi penjahat.

“Semua sejarah negara kita bohong, pegawai British jadi pejuang kemerdekaan, lawan British jadi penjahat. Siapa pegawai British? Onn dan Tunku Abdul Rahman itulah pegawai British. Tapi bila tiba bulan merdeka hanya mereka yang ditonjolkan. Kalau begitu UMNO seorang sajalah yang merdeka, betul tidak,” tuduhnya.

WAJAH NASIONALIS PEJUANG BANGSA


KOMENTAR TUKAR TIUB

Ucapan dan ceramah yang disampaikan oleh pimpinan parti Pas saudara Mat Sabu itu adalah tepat dan benar. Malah Tukar Tiub dari awal lagi telah berkata bahawa pada bulan Ogos ini United Malay National Organisation akan menjadi mamai. Pada bulan Malapetaka ini United Malay National Organsiation akan membuka kesah kesah dongeng tentang perjuangan mereka.

Mereka menaburkan kesah dogeng bahawa mereka bangun menentang komunis. Ini cerita sasau. Rakyat Tanah Melayu sedang bermandi darah bangun mengangkat senjata melawan penjajah British. Mangkok hayun ini melawan orang yang melawan British. Nationalis kepala bana jenis apa ini?

Mari kita ambil pertempuran gerila Rakyat Tanah Melayu pada tahun 1950 di Bukit Kepong. Baca betul betul. Ini berlaku pada 23 Februari tahun 1950. Yang berkuasa British. Justeru yang diserang ialah soldadu upahan British. Ketika itu ada soldadu upahan British dari Ghana, Kenya, Fiji, Nepal dan termasuk anak tempatan. Anak tempatan direkrut kerana tidak ada kerja lalu menjadi soldadu upahan Bristish. Ini hakikat. Ini hakikat fakta sejarah.


Sila pergi lawati Taman Tasek di Taiping atau pergi ke tanah perkuburan di hadapan Dewan Bahasa para pembaca budiman akan bertemu dengan kubur soldadu upahan dari luar negara. Jika ini bukan bukti wujudnya tentera upahan British maka Rosmah Mansor masih anak dara lagi.

Dalam serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong – yang memimpin serang ini ialah Mat Indera. Sosok ini adalah nasionalis yang bangun mengangkat senjata bersama Parti Komunis Malaya untuk memnghalau British. Memang betul soldadu dalam Rumah Pasong ialah Melayu – mereka soldadu upahan. Memang betul Mat Indera juga Melayu

Dalam serangan ini bukan Melayu atau Punjabi atau Mamak Kutty yang di pentingkan. Yang penting ialah garis perjuangan – menentang British atau menjadi barua British. Inilah dua garis politik ketika itu. Hanya gerombolan United Malay National Organisation yang kepala hangguk - heboh tentang Melayu hingga ke hari ini.

Sekali lagi Tukar Tiub mengingatkn para bahawa bahawa serangan keatas Rumah Pasong di Bukit Kepong berlaku pada tahun 1950 – di zaman British memerintah. Sila buka kepala dan fikir betul betul.

Pejuang Mat Indera ini penuh dengan cerita dan mitos rakyat. Hingga ke hari ini. Terbukti kesah kebenaraan tidak mungkin dapat ditutup. Mungkin untuk sementara fakta sejarah boleh dikaburi tetapi akhirnya fakta akan muncul.

Akhirnya Mat Indera mati digantung oleh British. Saya sendiri telah melihat tempat Mat Indera di gantung. Pejuang nasionalis kita ini digantung di penjara Ayer Molek Johor Bahru. Saya sempat melihat tempat itu kerana pada September 1974 saya telah ditahan di penjara yang sama kerana menyokong peneroka bandar Tasek Utara. Seorang warden Melayu dengan sedih tetapi merasa bangga telah menunjukkan kepada saya wilayah dimana nasionalis Mat Indera digantung. ( Jika apa yang saya nyatakan ini salah – maka saya telah diberi maklumat yang salah)

Apakah Onn Jaafar nasionalis?
Apakah Tunku nasionalis?


Pasti jawabnya TIDAK dan BUKAN. Mereka bukan berjuang menentang British. Mereka tidak bangun berjuang menentang British. Mereka berebut-rebut untuk menjadi barua British. Cuba ingatkan apa kata Onn Jaafar ‘... nak buat jarum pun belum tahu...inikan pula nak merdeka....’ Ini hakikat sejarah. Hari ini dengan wujudnya internet satu demi satu cerita karut lagi marut dari United Malay National Organisation telah dibongkar.

Ini fakta sejarah - parti nasionalis yang tertua di Tanah Melayu ialah KMM – Kesatuan Melayu Muda . Ditubuhkan pada tahun 1938.....deek sila lihat tarikh ini... 1938 deek. Slogan mereka ialah MERDEKA.

United Malay National Organisation yang memakai nama Inggeris hingga ke hari ini ditubuh pada 1946. Gerombolan ini tidak berani bangun menuntut Medeka. Justeru slogan mereka ialah Melayu kurang oxygen - Hidup Melayu – hingga ke tahun 2011 ini mereka masih lagi kureeeng oxygen.

Bulan Ogos ini adalah Malapetaka untuk Tanah Melayu. Pada 15 Mei setiap tahun warga Palestin mengingati Nakba. Nakba ialah malapetaka yang terjadi pada tarikh ini apabila Israel diwujudkan di bumi Arab. Tanah Melayu juga ada Nakba nya – Malapetaka terjadi pada 31 Ogos 1957 apabila British menyerahkan pentabiran Tanah Melayu kepada United Malay National Organisation. Seluruh Tanah Melayu ditimpa Malapetaka.

Kepada jenerasi muda yang kurang faham biar diterangkan disini. Pada tahun 1958 bukan main heboh lagi gerombolan ini berlabon tentang pencapaian Merdeka tanpa tumpah darah. Bongak. Ini bohong. Rakyat Tanah Melayu telah bangun angkat senjata untuk menghalau British. Kuasa imperial Brtish telah digugat hingga ke akar umbi oleh Tentera Pembebasan Rakyat Malaya – ini fakta sejarah. Jika kurang percaya sila pergi rujuk ke Colonial Office di Kew Garden London. Semua bahan sejarah ini wujud disana. Busuk busuk pun British mereka TIDAK akan mengubah fakta sejarah – mereka mungkin memberi analisa yang berbeza. Ini British - mereka main criket bukan main guli.

Kalau tak yakin sila selidik dan tanya siapa dia Shamsiah Fakeh. Siapa dia Ahmad Boestaman. Siapa dia Burhanuddin al-Helmi. Siapa dia Rashid Mydin. Siapa dia Abdullah Sidi. Siapa dia Chen Peng. Siapa dia Mukhtaruddin Lasso. Siapa dia Ibrahim Yacob.

Justeru, kenyataan Mat Sabu berasaskan fakta. Tidak ada apa apa penghinaan. Menyangkut kan mat Sabu dengan DAP adalah hujah lapok gerombolan. Untuk Hishamudin Husssein sila jangan buka bontot sendiri. Hussein Onn anak Onn Jaafar, ayah kepada Hishamudin ini adalah soldadu upahan British. Ketika British menjajah Iraq, Hussein Onn adalah barua setia kepada British. Sila lihat dan baca fakta sejarah. Jangan malas membaca dan menkaji. Jangan Jadi Melayu yang malas.Jangan jadi Melayu yang suka mendengar tetapi malas membaca dan mentelaah.

Justeru, amat jelas bahawa United Malay National Organisation membawa Malapetaka ke Tanah Melayu. Buktinya lagu Terang Bulan diciplak untuk dijadikan lagu kebangsaan kita. Tidak ada apa apa kebangsaan dalam lagu Terang Bulan ini. Ini bukan lagu ciptaan anak watan Tanah Melayu. Ini diciplak dari lagu Memula Moon lagu Peranchis. Lagu ini wajib dilupuskan.

Satu lagi bukti yang jelas ialah bendera. Ini juga dicaplak dari bendera Amerika. Motif Nusantra ialah Merah dan Puteh. Justeru lihat bendera Singapura, lihat bendera Indonesia malah bendera United Malay National Organisation sendiri menggunakan motif Nusantra. Bendera ini juga wajib dilupuskan dan direka bendera baru.

Kita jangan merasa gentar dengan ancaman dan tuduhan bahawa kita tidak hormat atau menghina Onn Jaafar atau Tunku. Tidak ada apa apa yang perlu dihormati. Mereka berdua hanya sibuk berebut untuk menjadi barua British.

Tidak ada apa apa yang hebat. Kalau tak percaya sila tanya Mahathir Muhamad sendiri. Apabila Tunku meninggal dunia Mahathir Muhamad Perdana Menteri ketika itu. Apa terjadi? Tidak ada cuti am untuk pengkebumian Tunku. Mahathir Muhamad yang menjadi Presiden United Malay National Organsiation sendiri tidak hormat kepada Tunku – jangan harap orang lain ambil pot. Pelik ketika itu tidak ada pula yang berani menuduh Panddy Kuttyy ini tidak hormat pada Tunku.

Juga sila jangan campur adukkan tentang Bukit Kepong sebagai penghinaan terhadap Polis Diraja Malaysia. Kesetiaan mata-mata upahan pada ketika itu kepada Baginda Raja Britain.

Biar saya dituliskan disini sejelas mungkin. Pada tahun 1950 mereka BUKAN dipanggil polis. Orang Melayu dengan tepat telah memanggil mereka MATA-MATA. Sila rujuk sejarah – ini bukan tohmah. Justeru mereka adalah mata-mata penjajah. Juga tempat itu bukan BALAI POLIS tetapi dipanggil RUMAH PASONG. Ini nama yang telah diberi oleh orang Melayu kerana rumah ini ramai rakyat telah dipasong.

Justeru serangan pada 23 Febuarari itu ialah serangan nasionalis terhadap Mata-Mata British di Rumah Pasong Bukit Kepong. Khalas.Perid.End. Fin.




Apa yang Mat Sabu sampaikan?


Bukit Kepong, Teks Penuh Ucapan Mat Sabu...Bukan Pengkhianat Pun!!!


Saya terpaksa mendengar berpuluh kali untuk mendapatkan teks di bawah berkenaan ucapan Mat Sabu berkaitan Bukit Kepong. Ini kerana videonya 'serabut' sedikit!! Ikuti ucapan di bawah.


.....Bukit Kepong, polis itu polis British, hak serang Bukit Kepong tulah pegawai kerajaan, ketuanya MaT Indra, Melayu, tetapi semua sejarah itu ditutup, Jins Samsuddin buat filem, Jins Samsuddin tu UMNO, cerita bukit Kepong, hak serang balai polis tu penjahat, polis tu polis British, sebelum merdeka negara kita diperintah oleh British, tapi dia buat filem yang hero hak pertahan balai polis, hak serang tu pengganas, padahal Mat Inda ketua penyerang balai polis tu dan akhirnya dia dihukum gantung di Jering Taiping, begitulah juga Tok Janggut, Tok Janggut ni lawan British, tapi sebelum British nak..nak bunuh dia, dia menghasut Sultan Kelantan untuk mengishtiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka, bila ishtihar Tok Janggut sebagai penderhaka, barulah tok Janggut dihukum gantung di Pasir Puteh Kelantan. Semua sejarah negara kita bohong....


Maksud keseluruhannya, sepatutnya yang melawan British adalah hero, tetapi sejarah di Malaysia, yang melawan British adalah penderhaka dan yang mempertahankan British adalah hero. Itulah yang dimaksudkan Mat Sabu secara umum. Dia bercerita tentang menentang British tetapi Utusan Malaysia menambah dengan 'komunis'. Barulah gempak!! UM memang pandai dan itulah kerja Utusan!! -terima kasih kepada ek-ele.net


Ulasan GB


Ringkas saja - sebab JALAN PULANG dan TUKAR TIUB dah ulas panjang tuh. GB bersetuju dengan tulisan mereka.

Yang penting ialah polis yang diserang ialah polis yang bekerja dengan penjajah British waktu itu iaitu pada tahun 1950 - Malaysia belum merdeka. Justeru itu tentangan terhadap polis waktu itu adalah sebenarnya tentangan terhadap penjajah British dimana polis waktu itu berkhidmat untuk penjajah, bukan untuk Malaysia kerana Malaysia BELUM wujud ketika itu. Jadi ucapan Mat Sabu adalah berkisar kepada kisah sebelum merdeka. Mengapa UMNO kecoh mengenainya? Apakah UMNO masih sayang penjajah British sampai sekarang? Mungkin. Itu sebab mengapa agaknya masih ada pencacai UMNO yang minum arak, malah, itu sebab UMNO masa kini masih mengikuti jejak langkah British untuk menjajah tetapi kali ini menjajah bangsa sendiri dengan merompak hak orang Melayu/Islam seperti merampas hak royalti rakyat Kelantan. Itu kenyataan. Itu kebenaran.

Kedua: Teruskan buat kecoh mengenai isu video Mat Sabu. Kerana dengannya semakin ramai yang akan mengkaji sejarah dan akan semakin terdedah tembelang dan pekong bahawa UMNO itu sebenarnya talibarut penjajah dan ini akan merupakan satu titik-tolak baru untuk keruntuhan UMNO sebagai pemerintah negara ini.


Wednesday, August 24, 2011

Di Mana Hendak Diperolehi Teman Yang Sejati

Catatan  :  Dr. MAZA

Antara kemanisan hidup ini apabila seseorang memiliki sahabat yang setia tanpa sebarang kepentingan.
Namun hal yang seperti ini amat sukar untuk diperolehi di dunia ini, sekalipun ramai yang selalu mendakwa dia adalah sahabat setia kita. Kita tidak tahu sejauh manakah dakwaan itu sebelum adanya ujian yang sebenar. Ramai yang pernah mendakwa sedemikian tetapi terbukti berbohong apabila ujian datang melanda.

Bahkan banyak persahabatan dalam dunia ini pun terjadi di atas kepentingan tertentu. Maka tidak hairan jika ia akan berakhir disebabkan kepentingan tertentu jua. Bahkan ada persahabatan yang diasaskan di atas kejujuran namun berakhir disebabkan kepentingan.

Memiliki persahabatan yang jujur dalam ertikata yang sebenar adalah nikmat kehidupan. Namun ia sebenarnya sukar untuk diperolehi secara meluas di alam maya ini melainkan dalam sejarah kehidupan golongan yang beriman dalam makna yang sebenar. Bahkan baginda Nabi s.a.w. menjamin bahawa sesiapa yang mempunyai sahabat tanpa kepentingan melainkan kerana Allah semata, maka dia akan mengecapi kemanisan iman.

Sabda baginda:

“Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Manisnya tebu tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang tidak pernah merasanya. Manisnya iman, hanya pemiliknya sahaja yang dapat mengecapi kenikmatan dan kekusyukannya. Dalam tiga ciri tersebut, baginda s.a.w nyatakan bahawa dengan mencintai seseorang hanya kerana Allah, akan terasalah manisnya iman. Indahnya kemanisan iman hanya pemiliknya yang faham.

Bagaimana mungkin kita dapat membina rasa cinta kepada seseorang kerana Allah semata? Pastilah dek kita tahu hubungan dan kasih sayang kita kepadanya mendapat keredhaan Allah. Mungkin kerana dia orang yang dekat kepada Allah, atau dia boleh menjadi faktor kita dapat mendekatkan diri kepada Allah. Apabila perasaan yang seperti itu terbina, kita akan dapat merasa nikmatnya perasaan cintakan seseorang kerana Allah. Hanya hubungan yang seperti itulah yang membuahkan kesetiaan dan kejujuran yang tidak mampu dibeli oleh pangkat, kedudukan dan harta.

Hubungan persahabatan seperti itu tidak ada di alam gelora manusia yang yang berkawan dengan seseorang kerana kepentingan atau kedudukan atau harta. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya)

“Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, tidaklah engkau dapat menyatu-padukan di antara jantung hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Anfal: 63).

Ia hanya wujud dalam alam persahabatan yang dibina atas nama Iman dan Islam. Maka kita akan lihat kesetiaan antara para pejuang Islam yang ikhlas sepanjang sejarah penuh dengan keajaiban. Mereka hapuskan dalam dairi hidup mereka perkataan khianat, kebencian dan permusuhan dari belakang, lalu digantikan dengan “aku kasihkan engkau kerana Allah”.

Kasih itu berkekalan semasa sahabatnya di puncak atau berada di bawah. Samada sahabatnya masih hidup, atau setelah meninggalkan dunia ini. Ini kerana tempat rujuk kasih mereka Maha Tinggi Lagi Tiada Kesudahan bagiNya, iaitu Allah s.w.t. Lihatlah sahabah Nabi s.a.w. Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraish yang menentang Nabi s.a.w. lalu dibawa untuk dibunuh dan Abu Sufyan –ketika itu belum menganut Islam- bertanya kepadanya:

“Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu”.

Jawab Zaid:

“Aku tidak suka Muhammad berada di mana dia berada sekarang, terkena duri sedangkan aku berada di samping keluargaku”. Kata Abu Sufyan: “Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Ya! Kasih yang mengharapkan hanya ganjaran Allah. Inilah kasih para pejuang yang sebenar antara mereka.

Persahabatan kerana Allah, memberi tanpa minta diganti, menyokong tanpa minta disanjung, memuji tidak kerana budi, berkorban tanpa menuntut ganjaran. Namun semuanya hanya mengharapkan kurniaan Allah jua yang menjadi punca kecintaan dan kasih sayang itu mekar antara satu sama lain. Sudah pastilah persahabatan itu dibina atas kebenaran yang sentiasa tunduk dan patuh kepada titah Allah dan RasulNya. Alangkah indahnya suasana ini.

Justeru itu Allah memuji golongan Muhajirin dan Ansar lalu dirakam kasih sayang antara mereka dalam al-Quran: (maksudnya)

”Bagi golongan fakir yang berhijrah, yang mereka diusir dari kampung halaman dan harta benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada Allah dan keredhaanNya. Mereka menolong (agama) Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang yang benar. Orang-orang yang telah mendiami kota (Madinah) dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka itu (Muhajirin), mereka mencintai orang berhijrah kepada mereka. Mereka tiada menaruh sebarang keinginan (balasan) dalam dada mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada Muhajirin. Mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka juga memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung. Adapun orang-orang yang datang selepas mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang” (Surah al-Hasyar 8-10).

Hanya insan-insan yang seperti ini sahaja yang akan merasa manisnya perjuangan yang mereka bawa. Ini kerana mereka jelas matlamat yang hendak dituju dan jalan yang hendaklah dilalui. Bebas dari kepentingan diri, yang tinggal hanya kepentingan cita-cita yang suci. Maka tidak ada cerita jatuh-menjatuh antara mereka kerana jawatan dan pangkat.

Sebaliknya, sering ingin memberi kerana matlamat mereka adalah keredhaan Allah. Ia tidak dicapai dengan tumpas menumpas sesama pejuang yang betul niat dan tujuannya. Sebaliknya keredhaan itu dicapai dengan sering tolong menolong kerana Allah. Jika itu tidak ada, perjuangan itu untuk dunia semata dan pasti dalamnya penuh kepahitan walaupun pada zahir ada harta dan kemewahan.

Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda:

 “Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”.

Jawab Nabi:

“Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”.

Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya)

“Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Inilah golongan yang dilindungi Allah pada hari kiamat. Di dunia mereka mendapat kenikmatan persahabatan yang jujur dan ikhlas, di akhirat mereka dilindungi Allah.

Nilai persahabatan bukan pada wang atau peluang yang diberi. Atau kedudukan dan kerusi yang disogokkan. Semua itu tiada erti, jika ‘ada udang di sebalik mee’. Sesungguhnya senyuman ikhlas seorang sahabat sejati, lebih bererti dari dunia dan segala isinya, sehingga Nabi s.a.w menyebut: “Senyumanmu buat wajah saudaramu itu adalah sedekah” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Kita selalu dengar cerita pengkhianatan sesama sahabat dalam perniagaan, pekerjaan dan politik. Mendengarnya sahaja amat memeritkan, apatah lagi jiwa yang mengalaminya. Amat rapuhnya persahabatan jika dibina di atas kepentingan diri masing-masing. Ditikam oleh musuh, tidak seperit pedihnya seperti ditikam oleh sahabat yang rapat. Dirompak oleh perompak tidak sekecewa ditipu oleh rakan yang dipercaya. Dijatuh oleh lawan tidak sedahsyat direbahkan oleh teman seperjuangan.

Namun itu realiti dalam maya pada ini bagi hubungan sesama insan yang tidak dibina atas nama tuhan. Jika ada pihak yang jujur dalam persahabatan, tetapi pengkhianatan berlaku bererti samada dia silap memilih teman, atau prinsip perjuangan. Maka dalam memilih sahabat, lihatlah hubungannya dengan tuhan dan atas apa kita membina persahabatan dengannya.

Saya rasa dalam dunia perniagaan dan politik, persahabatan sejati amat sukar untuk dicari. Bukan perniagaan, atau politik itu kotor; kedua-duanya termasuk dalam ajaran Islam. Namun kedua bidang itu apabila tidak berpandukan ajaran Allah dan RasulNya maka akan menjadi sangat rakus, biadap, penuh dengan kepura-puraan, tidak berprinsip, tidak menghargai rakan dan taulan, bicara dan bahasanya penuh dengan kemunafikan.

Kepentingan diri masing-masing kadang kala bagai tuhan yang disembah. Sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan diri, apa yang dia tidak akan lakukan jika perintah oleh tuhan yang sebenar pun. Banyak perintah agama dia kata tidak mampu, namun jika ada kepentingan politik atau urus niaga lebih daripada itu dia sanggup lakukan.

Firman Allah dalam Surah al-Jathiah, ayat 23: (maksudnya):

“Bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana pengetahuanNya (tentang kekufuran mereka), dan ditutup pula atas pendengarannya dan jantungnya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikannya berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu tidak mengingati?.

Betapa ramai orang politik yang dikelilingi oleh para pengikutnya, lalu kesemua mereka hilang apabila kuasa tiada lagi di tangan. Pada hari dia berkuasa; semuanya menjerit dan memuja, seakan sanggup hidup dan mati bersama. Namun apabila dia tidak mampu lagi memberi harta, pangkat dan kedudukan, melintas pun belum tentu mereka bersalaman.

Telah banyak bukti hidup dan mati yang tidak dapat dihitung lagi. Bahkan ada yang sehingga mati pun tidak dikunjungi. Namun jika anda berharta, sehingga ke pusara ada yang masih tunjuk muka. Bukan kerana kenang jasa, tapi kenang apa yang boleh dipusaka.

Tanpa iman, tiada kasih sayang hakiki dalam persahabatan. Sepatutnya orang kaya, atau orang politik jangan terlalu bangga apabila anda dipuji. Belum tentu ianya ikhlas dari hati sanubari. Mungkin diri anda atau perkara yang sama jika anda lakukan pada hari anda tiada kuasa atau harta, orang sama akan mencebik dan menghina anda.

Tetapi dek penangan kuasa dan harta; rupa anda yang ‘biasa-biasa’ dikatakan lawa, pidato anda yang tidak sedap dikatakan hebat, pendapat anda yang kolot dikatakan maju, idea yang lapuk dikatakan bernas, pandangan yang lemah dikatakan berhikmah, penampilan yang tidak bermaya dikatakan bercahaya. Semuanya kerana ingin mengampu kuasa dan harta.

Jika anda hidup dalam iklim yang sedemikian, percayalah persahabatan dan pengikut yang mendakwa setia semuanya bohong belaka. Anda hidup dalam alam khayalan seperti berkhayalnya seorang mabuk yang melihat wanita tua bagaikan gadis yang cantik menawan.
Carilah iman dan persahabatan atas dasar iman. Carilah prinsip perjuangan yang Allah redha, kita akan bertemu di sana sahabat-sahabat yang setia kerana Allah. Jika anda pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan atas nama iman, anda akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit dan meloyakan.

Lebih mendukacitakan Allah berfirman: (maksudnya)

“Sahabat handai pada hari tersebut (kiamat) bermusuhan antara satu sama lain, kecuali golongan yang bertakwa” (Surah al-Zukhruf: 67).

Ya, seperti mana di dunia mereka melepaskan diri apabila hilang kepentingan yang dicari, di akhirat mereka bermusuhan apabila melihat azab Tuhan yang terhasil dari dosa persahabatan dan pakatan yang pernah mereka lakukan di dunia.
Oh! Di mana hendak dicari teman yang sejati? Ya! Carilah perjuangan yang berprinsip dan diredhai Allah, di dataran itulah kalian akan temui teman yang sejati.

Dr. MAZA ( Mohd Asri Zainal Abidin ) adalah merupakan mantan mufti Perlis dan juga Pensyarah Kanan USM

Friday, August 19, 2011

"AMALAN DAN PERSEDIAAN SEBELUM DAN
SELEPAS MENYAMBUT IDULFITRI
Khutbah Jumaat JAIS




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita dengan sebenar-benar taqwa,
dengan memastikan setiap perintah Allah dapat dilaksanakan, dan memastikan
segala yang dilarang oleh Allah kepada kita dapat ditinggalkan. Serta
memastikan jangan sekali-kali kita mati melainkan hanya dalam Islam. Marilah

selepasnya dengan meneruskan zikrullah dan amalan-amalan soleh, samada di
siang hari lebih-lebih lagi di malam hari untuk mengambil sebanyak-banyak
anugerah Allah yang menjanjikan maghfirah dan rahmat-Nya .

Kita bersyukur kerana dengan anugerah Allah, kita berjaya mendirikan
solat sunat tarawikh pada setiap malam, kita berjaya menyempurnakan tadarus
Al-Quran, khatam tiga puluh juzu’ serta sentiasa berzikir. Kita telah menunaikan
zakat fitrah, menghulurkan sedekah dan derma kebajikan. Namun segala amal
ibadah ini tidak hanya tertumpu dalam bulan Ramadhan sahaja tetapi perlulah
ada penerusan di bulan-bulan lain agar keseluruhan hidup kita diberkati dan
dirahmati hasil daripada tarbiyyah Ramadhan setiap tahun.

kita sama-sama menghampirkan diri kita sepanjang Ramadhan ini dan
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Di antara tuntutan Ramadhan, kita digalakkan mendirikan malam dan
beriktikaf di masjid khususnya 10 malam akhir Ramadhan seperti yang pernah
dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sepanjang hayat baginda.
Saidatina Aisyah r.a. berkata;
 
"
Ramadhan, sehinggalah Allah ‘mewafatkan Baginda, kemudian selepas
kewafatannya, isteri-isteri Baginda meneruskan amalan tersebut
(Riwayat Bukhari)

Sesungguhnya Nabi s.a.w adalah beriktikaf pada sepuluh yang akhir".
Saidatina Aisyah r.a. menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w melakukan
amalan berkenaan dengan banyaknya di rumah, sehingga hampir masuk waktu
subuh, walaupun satu ketika, kaki Rasulullah sampai membengkak. Bahkan di
malam sepuluh Ramadhan yang akhir, Baginda Rasulullah s.a.w terus beriktikaf
di masjid.

Saidatina Aisyah r.a. menjelaskan;
 
Baginda solat subuh, kemudian Baginda terus masuk ke tempat iktikaf, dan
sesungguhnya Baginda memohon disediakan sebuah khaba’ (tempat ‘iktikaf
yang didirikan dari kain bulu, atau kulit kambing atau jerami gandum, agar
Beginda dapat menumpukan zikir beginda kepada Allah SWT) maka khaba’
itupun didirikan” .
(Riwayat Muslim)
Adalah Rasulullah saw apabila Baginda hendak beriktikaf, sembahyanglah
 
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Alangkah indahnya hidup kita bersama Ramadhan yang kita lalui ini penuh
dengan rahmat Allah. Kita diberi rahmat dengan kesihatan, kekuatan dan
semangat untuk beramal. Kita diberi rahmat dengan ingatan tidak lupa Allah dan
tidak lalai dari berzikir mengingati-Nya. Semoga kita diberi rahmat agar panjang
umur supaya dapat beribadah menghampirkan diri kepada Allah pada 10 malam
akhir Ramadhan, hingga menemui ‘idul fitri di bulan Syawal yang akan
menjelang.

Sangatlah malang dan ruginya kita, jika semakin hampir Syawal menjelma
semakin kita melupakan solat tarawikh, semakin jauh kita daripada masjid dan
semakin lemah untuk mendirikankan qiamullail, bertadarus Al-Quran, berzikir
dan beri’tikaf di masjid terutama sekali pada 10 hari di akhir Ramadhan. Sering
berlaku sebahagian umat Islam mengejar persiapan hari raya lebih daripada
beramal ibadah, apa yang kita hambat ialah kuih dan biskut raya berbanding
berwirid dan berzikir. Apa yang kita tumpukan ialah hiasan rumah, rendang,
lemang dan ketupat menggantikan istighfar, tasbih, tahmid dan takbir Idulfitri.

Anak-anak kita yang masih bersih jiwanya, telinga mereka dialunkan
dengan dendangan lagu hari raya. Mereka terlalu asyik dengan programprogram
yang disiarkan di televisyen dan di radio sehingga mengganggu ibadah
kita di akhir-akhir ramadhan. Amatlah malang, suri rumah yang bekerja keras
bersengkang mata, letih dan penat, berjaga malam menyediakan persiapan hari
raya tanpa menghiraukan qiamullail dan bertahajud kepada Allah.
Alangkah besar rahmat dan keberkatan yang Allah berikan, sekiranya
anak-anak dan isteri kita itu diajar dengan takbir dan berzikir, dibimbing
bertahajud dan membaca Al-Quran hingga ke akhir malam raya. Televisyen dan
radio mestilah mengatur program mendidik dan membimbing membesarkan
Allah, menghormatai Ramadhan dengan tahmid dan takbir. Hendaklah diatur
program-program yang menimbulkan rasa syahdu dan cinta kepada Allah,
selaras dengan Ramadhan bulan anugerah Allah yang Maha Besar.
Hadith daripada Anas Ibnu Malik bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
 
(Riwayat Ad-Dailami)


Hiasilah dua hari raya dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis (tasbih)”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Lantas, pada hari raya itu nanti kita bertakbir membesarkan Allah.
Alhamdulillah!. Agongnya Allah!, Besarnya Allah!. Allah Maha Agong. Semoga
Allah menerima istighfar dan taubat yang kita mohon itu benar-benar
mencerminkan hakikat keikhlasan kita di hari idulfitri itu nanti. Kerana dengan
hanya keikhlasan umat Islam mengucapkan takbir, tahmid itu nanti diharap
menjadi penyebab yang sangat berkesan kepada perubahan hidup kita.

Wednesday, August 17, 2011

     Penggabungan MAS dan AirAsia bukan untuk rakyat

Sumber  :  Harakahdaily.net 
  
Umum sedia maklum bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Malaysia Airlines ini merupakan tunggak kepada amalan monopoli di mana sebelum kehadiran AirAsia dalam industri penerbangan di Malaysia, Malaysia Airlines mempunyai hak kepada kesemua pasaran penerbangan di Malaysia.

Di samping itu, GLC yang merupakan kuasa utama dalam menjana ekonomi negara ini dijangkiti dengan campur tangan politik yang berleluasa.

Akibat campur tangan politik yang tidak terkawal ini, Malaysia Airlines mengalami lebih banyak kerugian daripada merasai keuntungan. Ini berlaku akibat campurtangan politik yang membawa kepada pengurusan yang tidak cekap mahupun sistematik. Sebuah aset negara telah dipermainkan untuk menguntungkan pihak – pihak tertentu sahaja dan tidak dirasai oleh rakyat negara ini.

Oleh itu, pada 9 Ogos 2011[1], dunia industri penerbangan telah dikejutkan dengan penukaran saham di antara dua syarikat penerbangan Malaysia iaitu Malaysia Airlines dan AirAsia Bhd. Penukaran saham menjaminkan Tony Fernandez akan memegang 20% saham dalam Malaysia Airlines dan Khazanah, pemegang saham terbesar dalam Malaysia Airlines akan memegang saham sebanyak 10% dalam Tune Air, pemegang saham terbesar dalam AirAsia Bhd.

Orang awam telah diberikan jaminan kononnya penggabungan dua syarikat penerbangan ini tidak akan membawa kepada amalan monopoli akan tetapi Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) tidak diyakini dengan jaminan ini atas beberapa kekhuatiran-kekhuatiran yang akan dijelaskan di bawah.

Kesan penggabungan dua syarikat penerbangan ini membawa kepada kekurangan persaingan yang sihat dalam industri penerbangan dalam Malaysia.  Persaingan sihat telah diketengahkan sebagai wacana baharu dalam kerangka pembangunan ekonomi melalui penggubalan Akta Persaingan 2010 yang diluluskan pada bulan Mei 2010 dan berkuatkusa pada 1 Januari 2012.

Wacana di sebalik penggubalan Akta Persaingan 2010 adalah bahawa negara perlu memainkan peranan untuk menyediakan suasana persekitaran ekonomi yang menggalakkan persaingan yang sihat untuk membangunkan ekonomi negara dan bukannya menggalakkan amalan monopoli yang membantutkan semangat persaingan kompetitif yang sihat.

Menurut Rancangan Malaysia yang ke-10, persaingan yang sihat diperlukan untuk mewujudkan suasana ekonomi yang lebih cekap dan dinamik. Akta Persaingan 2010 ini menggalakkan persekitaran kompetitif yang sihat dan memberikan pelabur-pelabur asing dan tempatan lebih keyakinan untuk melabur di Malaysia. Peniaga yang melabur ke dalam negara Malaysia tanpa halangan (baca: dalam kes ini, monopoli) ini akan membolehkan negara menikmati pertumbuhan ekonomi.

Pengguna juga mendapat barangan dengan harga yang lebih rendah dengan pilihan yang banyak. Persekitaran kompetitif ini menggalakkan pembangunan produk yang baru dengan kualiti yang tinggi. Tanpa persaingan yang sihat, peniaga tidak akan menitikberatkan hak memilih para pengguna. Sebaliknya, dalam kes ini, kuasa monopoli berkemungkinan besar membawa kepada kenaikan harga, penurunan kualiti produk, pengurangan laluan penerbangan dan penurunan perkhidmatan penerbangan dua syarikat penerbangan ini dalam jangka masa panjang.

Apa yang bakal disaksikan dalam jangka masa pendek tidak dapat menjamin perubahan dan hala tuju yang mungkin menguntungkan pihak tertentu tetapi merugikan rakyat dalam jangka masa panjang.

Ekoran penggubalan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010, pihak berkepentingan yang tidak berpuas hati dengan amalan monopoli boleh membuat aduan kepada Tribunal Rayuan Persaingan. Di samping Tribunal Rayuan Persaingan, kerajaan juga memperuntukkan penubuhan Suruhanjaya Persaingan.

Tribunal Rayuan Persaingan ini boleh digunapakai oleh mana – mana pihak yang hendak mengutarakan aduan mengenai mana – mana perniagaan yang tidak bertindak dalam kepentingan para pengguna.

Menurut Fasal 5 Akta Suruhanjaya Persaingan 2010, termaktub di bawah seksyen keanggotaan Suruhanjaya, “Suruhanjaya hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut yang hendaklah dilantik oleh Perdana Menteri atas syor Menteri.” Menteri dan Timbalan Menteri bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ialah Dato’ Sabri bin Yaakob, Dato’ Tan Lian Hoe dan Dato’ Rohani binti Abdul Karim.

Suruhanjaya ini dipengerusikan oleh bekas hakim Malaya, Tan Sri Siti Norma Yaakob dan anggota-anggota suruhanjaya yang dilantik ialah Ketua Eksekutif Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) dan anggota Majlis Perundingan Ekonomi Kebangsaan, Datuk Dr Michael Yeoh, bekas Dekan Fakulti Undang-undang UM dan kini Naib Presiden Hal Ehwal Akademik Nilai International College, Datuk Dr Sothi Rachagan, serta Dekan Graduate School of Business Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datin Dr Hasnah Haron.

Anggota suruhanjaya lain pula terdiri daripada bekas Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, bekas peguam Abd Malek Ahmad dan wakil kerajaan iaitu wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), wakil Jabatan Peguam Negara dan wakil Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Suruhanjaya ini haruslah menjawab kepada tuntutan rakyat untuk mengendalikan isu monopoli dan mengeluarkan laporan untuk samada sesuatu aktiviti penggabungan merupakan langkah yang membawa kebaikan kepada rakyat atau ia hanyalah perjanjian perniagan yang berbau monopolistik yang akan menguntungkan pihak – pihak tertentu sahaja.

Melihat kepada perkembangan isu MAS/AirAsia setakat ini, KPRU ingin melontarkan beberapa persoalan seperti berikut:

1. Adakah Menteri dan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bersetuju dengan perjanjian pertukaran saham MAS-AirAsia? Dan apakah pendirian Menteri dan Timbalan Menteri terhadap kebimbangan berlakunya monopoli yang tidak sejajar dengan wacana baharu pembangunan ekonomi berteraskan semangat persaingan sihat?

2. KPRU mengalu-alukan anggota-anggota Suruhanjaya Persaingan memberi pandangan profesional mereka terhadap prestasi AirAsia dan Malaysia Airlines sebelum dan selepas penggabungan ini untuk memberi penjelasan yang lebih komprehensif kepada orang awam mengenai kesan penggabungan ini kepada indusri penerbangan di Malaysia dan kesan penggabungan ini kepada para pengguna dan juga para pekerja kedua-dua syarikat penerbangan ini.

Isu monopoli ini membawa kepada bagaimana Tony Fernandez membeli dan membayar hutang AirAsia untuk menjadikannya satu syarikat penerbangan yang disegani dunia, maka persoalaanya ialah, adakah dengan membeli 20% saham dalam Malaysia Airlines, Tony Fernandez akan membayar hutang yang dialami oleh Malaysia Airlines, atau memonopoli industri penerbangan dengan menjadi pemilik sebenar Malaysia Airlines dan bukannya Khazanah? Dan adakah kesudahan ini akan membawa kepada monopoli satu entiti ‘syarikat penerbangan beraja’ di Malaysia?

Penggabungan bersifat monopolistik akan memberi kesan kepada kecekapan operasi Malaysia Airlines dari empat sudut.

Sudut pertama ialah Nisbah Revex atau nisbah jumlah pendapatan operasi sebagai peratusan daripada jumlah mengurus Malaysia Airlines. Apabila AirAsia memasuki gambaran ini, dan laluan–laluan dibahagikan dengan tetap, adakah Nisbah Revex Malaysia Airlines akan terjejas? Adakah ia akan berkurangan dengan AirAsia mengambil alih beberapa laluan penerbangan yang akan menguntungkan AirAsia akibat beberapa laluan udara yang bertindih di antara FireFly dan AirAsia?

Seperti yang dapat dilihat dalam Jadual 1 di atas, status kewangan bagi tempoh tahun 2001 hingga 2009 yang lepas menunjukkan Malaysia Airlines mengalami kerugian atau tren keuntungan menurun setiap tahun. KPRU berpendapat, dakwaan bahawa penggabungan di antara Malaysia Airlines dan AirAsia dapat membantu status kewangan Malaysia Airlines masih tidak terjawab dan tidak terjamin. Jadual 2 di bawah menunjukkan tren hutang jangka masa panjang Malaysia Airlines yang semakin meningkat.

Adakah ia berbaloi untuk meletakkan status kewangan Malaysia Airlines pada syarikat penerbangan yang lain iaitu Tony Fernandez, pemilik kepada syarikat pesaing terdekat Malaysia Airlines? Adakah penggabungan ini akan berjaya membantu Malaysia Airlines atau adakah ia akan membantu kapitalis tertentu dengan memberinya kuasa bermonopoli dalam industri penerbangan di pasaran penerbangan kecil seperti di Malaysia ini?

Keduanya ialah, dari sudut produktiviti. AirAsia telah berjaya mendapat hasil keuntungan sebanyak RM1.06 bilion untuk tahun 2010[9] manakala Malaysia Airlines hanya berjaya meraih keuntungan sebanyak RM233 juta sehingga bulan September 2010[10]. Dengan AirAsia mempunyai prestasi produktiviti yang lebih kukuh daripada Malaysia Airlines, adakah penggabungan ini lebih menguntungkan prestasi AirAsia? Berikutan perkembangan bahawa Tony Fernandez akan memegang jawatan dalam lembaga pengarah Malaysia Airlines, adakah ini memberi ruang kepada beliau untuk membuat keputusan mudah yang akan menguntungkan lagi prestasi AirAsia? Di mana semangat dan wacana baharu persaingan yang wajar tertanam dalam kerangka pembangunan ekonomi negara berikutan penggubalan Akta Persaingan 2010?

Sudut ketiga ialah faktor pembawaan penumpang di mana AirAsia telah memesan 200 [11] kapal terbang A230 Airbus untuk mengembangkan armada kapal terbangnya manakala Malaysia Airlines dalam proses untuk menggantikan kapal terbang Boeing 747 dan 777 yang berusia lebih dari 20 tahun. Dalam kata erti yang lain, AirAsia mempunyai faktor pembawaan penumpang yang lebih tinggi daripada Malaysia Airlines dan lebih 200 kapal terbang A230 Airbus ini akan menguntungkan syarikat penerbangan AirAsia daripada Malaysia Airlines dalam penggabungan dua syarikat penerbangan ini.

Sudut yang terakhir ialah hasil penumpang di mana Malaysia Airlines mempunyai bilangan yang lebih sedikit daripada AirAsia iaitu untuk tahun 2010, AirAsia mempunyai 15.23 juta penumpang; 7.2 juta penumpang antarabangsa dan 8.03 juta merupakan penumpang tempatan. Manakala Malaysia Airlines membawa 7.32 juta penumpang antarabangsa dan 6.5 juta penumpang tempatan[12].

Perkembangan terbaru di mana Menteri Pengankutan Datuk Seri Kong Cho Ha[13] telah mengesahkan bahawa akan berlaku kenaikan dalam cukai lapangan terbang serta mesyuarat[14] di antara Malaysia Airlines dan FireFly juga cenderung ke arah memperkukuh suasana monopolistik dalam industri penerbangan. Ketidakpastian mengenai mesyuarat ini juga membawa kepada pengurangan keyakinan rakyat dalam penggabungan ini. Perkembangan ini tidak menggalakkan wacana konsumerisme tetapi menggalakkan suasana korporat yang akan menjejaskan hak – hak pengguna. Hak – hak pengguna diketepikan untuk meraih keuntungan yang hanya akan dirasai oleh pihak – pihak tertentu dan bukannya rakyat negara ini.

Apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menukarkan perkataan konsumer kepada konsumerisme[15], ia adalah untuk menggalakkan dan melindungi hak – hak pengguna dari suasana korporat akan tetapi penggabungan di antara AirAsia dan Malaysia Airlines merupakan perlakuan bercanggah dengan pendirian kementerian.

Penggabungan ini yang dibuat tanpa mengambil kira kehendak para pengguna mahupun para pekerja kedua–dua syarikat penerbangan ini telah mengundang bantahan dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). DPMM mengutarakan bantahan mereka atas sebab penggabungan ini seperti menjual aset rakyat kepada pihak lain dan menjatuhkan maruah syarikat penerbangan nasional serta ia menunjukkan seolah–olah ia gagal diurus dengan baik.[16]

Penggabungan kedua–dua syarikat penerbangan ini menunjukkan bagaimana kerajaan dengan niat menjual aset rakyat yang mereka gagal untuk menguruskan dengan baik kepad pihak ketiga. KPRU ingin menegaskan sekali lagi, ia seolah–olah kerajaan melepas batuk di tangga dan sudah tidak mahu mengambil tanggungjawab untuk menguruskan Malaysia Airlines dengan lebih cekap dan sistematik. Ia merupakan tanggungjawab kerajaan dan juga negara untuk menjaga kepentingan rakyat untuk menyediakan suasana persaingan sihat bagi menjana ekonomi yang akan membangunkan negara dan bukan untuk mewujudkan suasana monopolistik yang menguntung pihak–pihak tertentu sahaja.

Kata tutupnya, penggabungan ini tidak dilakukan dengan niat hendak menjaga kepentingan rakyat. Sebaliknya, ia sekali lagi berbau politk naungan ekoran tertanamnya budaya rent-seeking yang menyokong pewujudan suasana monopolistik dan dilakukan untuk menguntungkan pihak tertentu sahaja. Ia tidak mengambil kira kepentingan para pekerja, para pengguna mahupun rakyat negara. Ia dilakukan dalam penuh kerahsiaan dan kesudahannya ialah pemenang merupakan pihak tertentu termasuk kapitalis tertentu dan bukan rakyat.

Isu gereja: Kembali kepada sirah Nabi

Isu gereja: Kembali kepada sirah Nabi

Demi politik, Umno sanggup pertikai fatwa

Demi politik, Umno sanggup pertikai fatwa