Kehadirannya tidak disedari......













Monday, March 16, 2015

NIK AZIZ DARIPADA KACAMATA BEKAS SETIAUSAHA POLITIK 



BUKAN mudah untuk menulis mengenai kisah di sebalik tabir atau untold storymengenai figura politik hebat seperti Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Lebih-lebih lagi apabila pengalaman peribadi penulis bersama arwah amatlah terbatas jika dibandingkan dengan orang-orang yang berada dekat dengan Nik Abdul Aziz ketika hayatnya.
Kini, hampir seminggu Nik Abdul Aziz atau lebih senang dipanggil Tok Guru meninggalkan kita, cerita mengenai tokoh ini masih terus diperkatakan.
Nik Abdul Aziz meninggal dunia pada 12 Februari lalu kira-kira pukul 9.40 malam di rumahnya di Pulau Melaka, Kelantan akibat kanser prostat.
Seperti kebanyakan penyokong atau pengikut setianya, penulis juga cukup berminat untuk mengetahui siapa sebenarnya Nik Abdul Aziz dari kaca mata orang yang cukup rapat dengan arwah.
Peluang berinteraksi dengan bekas Setiausaha Politiknya, Anual Bakri Haron amat bermakna, terutamanya tatkala mengimbas kembali perjalanan hidup tokoh politik dan agamawan yang cukup disegani itu.
GEMAR MENDUGA
Walaupun penuh berhati-hati menyusun jawapan kepada soalan-soalan yang diajukan, Anual Bakri begitu rancak bercerita mengenai pengalaman bersama bekas ‘bosnya’ itu.
"Yang menyenangkan saya ialah Tok Guru seorang yang tidak cerewet. Beliau seorang pendengar yang tekun, peneliti yang tajam memerhati dan seorang yang memberi tunjuk arah yang jelas tentang apa yang dimahunya.
"Jarang sekali beliau tidak jelas. Mahir sekali beliau menilai kekuatan yang ada pada seseorang dan cermat sekali beliau menyerahkan tugasan mengikut keahlian yang dimiliki oleh seseorang itu berdasarkan bacaannya,” ceritanya kepada mStar Online.


Anual Bakri Haron
 
Buktinya menurut peminat seni budaya dan penulisan yang dikenali ramai menerusi nama penanya, Anbakri, sepanjang 10 tahun berkhidmat di Pejabat Menteri Besar Kelantan, jarang sekali beliau gagal menyempurnakan tugas yang diamanahkan.
Sungguhpun begitu, menurutnya, Nik Abdul Aziz juga seorang yang gemar menguji dan menduga pembantunya, terutama bagi mendapatkan pandangan mengenai sesuatu isu penting.
Jelasnya, bekas Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun itu sentiasa terbuka untuk menerima pandangan walaupun adakalanya beliau sudah mempunyai penilaian tersendiri.
"Kesukaran boleh muncul apabila beliau adakalanya berteka-teki, seakan menguji atau menduga sikap peribadi kita terhadap sesebuah isu.
"Mungkin beliau sudah ada lakaran ideanya yang tersendiri tetapi beliau cuma mahu memancing respons saya. Mana tahu ada kelainan yang mungkin dapat memperkayakan lagi sudut dan perspektif.” katanya.
PRIHATIN
Mengimbas kembali ketika terlibat dalam membantu pemimpin disegani ramai itu membuat keputusan, Anual Bakri berkata, beliau pernah dinasihatkan supaya tidak menghiraukan pandangan orang luar mengenai tugasnya kerana Mursyidul Am PAS itu cukup prihatin dengan ‘beban’ yang dipikulnya terutama jika ia memberi kesan yang cukup besar.
Sebagai contoh, kata Anbakri, beliau pernah diminta untuk menyemak personaliti seseorang sewaktu Nik Abdul Aziz berada di tengah-tengah keresahan untuk melantik atau mengangkat 'orang ini’ ke jawatan tertentu yang tidak dinamakannya.
"Ini cukup sulit kerana saya sering disalah tafsir. Tak disempurnakan, ini arahan. Jika disempurnakan, maka kita akan terlibat dengan memberi input yang cukup penting dalam decision making process.
"Rata-rata orang ramai tidak tahu tentang ini. Bagi yang tahu, mereka akan buat pelbagai andaian. Setpol (setiausaha politik) yang  pandai-pandai  dot…dot...dot. Sedangkan saya cuma menjalankan tugas,” terangnya.
Bagaimanapun menurutnya, masih kukuh dalam ingatannya kata-kata nasihat Nik Abdul Aziz memujuk beliau supaya tabah mengharungi tugasnya itu.
"Apabila Tok Guru melihat keadaan saya yang agak risau dan beliau sempat membaca isyarat body language saya itu, beliau lalu bertanya dan saya beritahu latar belakang perkembangan ini.
“Beliau pernah memujuk, 'tok soh dok cagholah. Ini amanah ambo ko anta. Anta telah menjalankan amanah, susoh apo?’ (Jangan ambil kisah. Ini amanah saya kepada anda. Anda telah menjalankan amanah, mengapa susah (hati)?” imbas Anual Bakri.
TELITI
Sebagai ketua keluarga, wakil rakyat, menteri besar, ulama, tentunya ramai yang tertanya-tanya mengenai pendirian atau pendekatan sebenar yang digunakan arwah dalam membuat keputusan.
Menurut bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ini, jarang sekali lagenda politik yang gemar membaca itu tidak memahami masalah atau isu pokok yang perlu ditanganinya.
Anbakri di sebelah Tok Guru yang turun padang pada majlis pelancaran buku.
"Dalam banyak hal beliau tidak bermula dengan ‘kosong' ketika mendekati masalah. Di dalam kepalanya saya seakan-akan dapat merasakan yang Tok Guru sudah ada kerangka kasar sebelum beliau cuba-cuba meninjau pandangan untuk mencari ketepatan dalam membuat keputusan.
“Melainkan...ya melainkan pandangan balas yang kita kemukakan itu bersifat mencanggahi peraturan atau sebarang undang-undang bertulis.
"Bila kita jelaskan mengenai aspek ini, seringkali beliau boleh berpusing 360 darjah. Beliau akan lebih teliti mendengar akan bacaan kesan dan unjuran implikasi. Jika beliau yakin lontaran pandangan balas sebegini mempunyai justifikasi kukuh, beliau bersedia untuk 'turn the table’ dari segi mengubah keputusan  awal yang mungkin telah kejap,” katanya penuh teliti.
KONTROVERSI
Ramai yang melihat kontroversi dalam politik sebagai idea murahan untuk meraih populariti khususnya jika ia dicetuskan oleh pemimpin ‘suam-suam kuku’ yang hampir dilupakan.
Namun harus diakui bahawa kontroversi mampu memberi political mileage kepada individu atau pihak yang mencetuskannya walaupun hanya untuk tempoh yang singkat.
Bagi Anual Bakri sendiri, kontroversi yang melingkari Nik Abdul Aziz dilihat sebagai ujian kepadanya sebagai setiausaha politik.
"Dalam banyak hal ia (kontroversi yang timbul) tidak dirancang. Terkadang saya juga seakan terasa terperangkap. Tak tahu yang beliau nak cakap dan berpendirian begitu. Saya pernah juga terkejut. Terdetik dalam hati…sudah, dahlah kali ini. Meletup pulak dah!
Gambar kenangan pada 2012, Tok Guru bersama Anual Bakri dan isterinya Ruhana Mohd .
“Apapun, di sinilah letaknya cabaran ke atas ketangkasan seorang pembantu. Ia menarik kerana menguji ketrampilan seorang setiausaha ketika diasak bermain keris,” katanya yang berpegang kepada fakta yang tidak boleh disangkal berikutan kejayaan Nik Abdul Aziz bertahan sehingga menjadi pemimpin Islam ke-42 popular di dunia.

Bagaimanapun beliau melihat kontroversi yang dicetuskan Nik Abdul Aziz secara tidak terancang itu sebagai ‘marketing’ kepada gerakan Islam yang diperjuangkan PAS.

“Saya perhatikan walau apapun kejutan hasil kontroversi yang dicetus atau tercetus hingga berlakunya pergelutan di pentas politik negara, pada akhirnya ia berpihak kepada kemenangan atau sekurang-kurangnya memberi mileage kepada gerakan Islam.

"Dengan membeli isu lalu menjinakkannya, beliau telah membuat marketing dengan cara membuktikan yang Islam mampu menawarkan formula dan penyelesaian ke atas setiap apa yang mungkin dilihat kebuntuan oleh massa,” katanya.

BERDIKARI
Walaupun bergelar seorang menteri besar, Nik Abdul Aziz yang ternyata mempunyai kekuatannya tersendiri itu dalam pelbagai aspek pada dasarnya memilih untuk bersederhana dalam apa jua tindakannya.

Bercakap mengenai protokol untuk berurusan dengan pemimpin nombor satu Kelantan itu, jelas ketika hayatnya pemimpin PAS itu tidak suka menjadikan perkara berkenaan sebagai jurang pemisah.

"Saya hanya boleh katakan begini. Beliau tidak rigid berprotokol tetapi tidaklah pula beliau tidak pentingkan protokol. Penentuan protokol biasanya 'dipulangkan balik' kepada pihak yang berurusan dengan beliau.

"Baik yang menyentuh pakaian, adab berbahasa, cara duduk dan berdiri, bila patut bercakap atau bila pula perlu diam. Ini semua pada saya adalah protokol,” katanya.

Tambahnya lagi, Nik Abdul Aziz juga gemar melakukan sendiri pelbagai perkara tanpa menyusahkan pegawai dan pembantunya.

"Beliau suka berdikari. Dalam hal-hal mengangkat letak sesuatu yang dikira mudah, seboleh-bolehnya beliau akan melakukannya sendiri.

“Beliau jarang benar minta saya lakukan itu dan ini. Apa yang selalu berlaku ialah beliau akan lakukan apa saja jika ianya senang dan boleh di selesaikan menggunakan kudrat kaki tangannya sendiri,” katanya.

PERSONALITI

Tidak keterlaluan jika penulis sifatkan Nik Abdul Aziz sebagai ‘wajah politik negara’ kerana pengabdiannya dalam bidang ini sejak 1967 begitu memberikan kesan kepada landskap politik Malaysia.
Maka dengan itu, timbul tanda tanya bagaimana beliau mampu mengekalkan popularitinya di arena ini khususnya di kalangan rakyat Kelantan yang begitu menghormati beliau.
Sesuatu yang jelas, keistimewaan yang dimiliki Nik Abdul Aziz ialah beliau berjaya menggarapkan sifat dan keperibadian Rasulullah SAW dalam amalan sehariannya.
"Pada saya beliau teliti membancuh personaliti. Ikon beliau ialah Rasulullah SAW. Sungguhpun beliau bercerminkan Nabi junjungan besar kita, tetapi ia tidak pernah menyekat beliau untuk menyesuaikan idea itu dengan nilai tempatan.
"Ini perkara payah tetapi Tok Guru membuktikan yang beliau mampu melakukannya. Contohnya dalam keadaan Tok Guru berbaju Melayu, beliau masih memilih untuk berserban. Apabila ditanya kenapa berserban maka jawabnya ini meniru Nabi. Bila ditanya kenapa berbaju Melayu, maka jawabnya ini pakaian pahlawan,” terang Anual Bakri lagi.
Malah, beliau melihat Nik Abdul Aziz juga secara kebetulan berjaya memenuhi harapan orang Islam dan Melayu secara khusus serta seluruh rakyat Malaysia walaupun terdapat perbezaan agama, kepercayaan, warna kulit mahupun etnik.
Buktinya, pemimpin itu berjaya mengemukakan beberapa pandangan ketika berhadapan dengan cabaran yang secara tidak langsung mengangkat keupayaan Islam menjadi alternatif kepada sistem pentadbiran yang diamalkan di negara ini.
Dan sesungguhkan setiap langkah dan detik bersama insan bernama Nik Abdul Aziz itu begitu berharga hinggakan pernah dilaporkan Tok Guru berkata: "Saya sayangkan Anual Bakri Haron kerana dia banyak bukukan ucapan saya."
Bagaimanapun pada 2009 segalanya berakhir dan Anual Bakri meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik dengan alasan mahu menumpukan perhatian kepada anaknya yang berhadapan masalah kesihatan.
Beberapa bulan selepas itu, terhasil karya menceritakan perjalanan hidupnya sehingga dianggap sebagai korban pergolakan politik PAS menerusi buku separa biografi yang ditulis oleh seorang wartawan dikenali dengan nama pena Kalamutiara.
Buku terbitan syarikat e-sastera itu berjudul Bukan Sekadar Benar Atau Salah banyak mendedahkan apa yang berlaku di sebalik tabir politik bekas menteri besar Kelantan itu. Beberapa maklumat yang jarang-jarang diketahui juga 'didedahkan' melalui buku berkenaan, termasuk beberapa kelaziman Nik Abdul Aziz sebagai manusia biasa.
Di samping itu, memetik kata-kata Anbakri menerusi karyanya berjudul 'Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat' pula, tokoh politik dan ikon ulama itu digarap sebagai seorang yang berjaya memerdekakan peranan ulama yang selama ini hanya terhenti di laman surau dan masjid.
Lebih menarik Nik Abdul Aziz dilihat berjaya keluar dari lingkaran konvensi atau tradisional dan meninggalkan pemikiran serta perspektif tokoh politik lain jauh ke belakang.

Wednesday, February 11, 2015

.

TIPS PROF. MUHAYA



1. Kalau tiba-tiba teringatkan anak kirimkan bacaan Al Fatihah. Sampai ke ayat "iyyakanakbudu waiyyakanastain" - yang ertinya "Hanya kepada Mu kami sembah dan hanya padaMU pohon pertolongan..", mintalah apa-apa hajat masa itu yang ada hubung kait dengan anak yang Kita ingat tu, habiskan bacaan surah Al Fatihah doakan semuga anak kita diberi kefahaman yang sebenarnya dalam urusan agamanya, memiliki ilmu yang bermanafaat Dan serahkan urusan anak kepada Allah untuk menjaganya.

2. Pandang wajahnya semasa dia tidur ucapkan bahawa, ibu nak (nama anak) jadi anak yang soleh sayang!. Cubalah amalkan ( ustaz kata ini makna kita bercakap dengan rohnya ) Dan ucapan ini adalah DOA Dan Allah Maha mendengar lagi maha melihat.

3. Masa bangun solat malam, solatlah hajat disisinya. Maksudnya Kita solat dalam bilik dia Dan dekat dengan dia. Jika Kita selalu buat Dan Kita juga selalu beritahu dia yang Kita sering doakan dia, dia akan rasa satu ikatan kasih sayang yang hakiki yang Kita amat sayangkan dia dan nak dia jadi anak soleh.Dia akan tahu Kita selalu solat hajat untuknya.

4. Minta dikasihani. Ucapkan setiap masa bahawa kita ni sedang menunggu panggilan Allah. Jika Dia tak jadi anak soleh bermakna dia tak sayangkan kita dan tentunya kita akan merana di Alam Barzah nanti.

5. Peluklah anak selalu walaupun dia sudah besar, sebagaimana Kita tatang dia masa kecilnya. Aura ciuman dan belaian ibu sambil bisikkan padanya yang kita bangga mempunyai anak sepertinya.

6. Maafkan anak Kita setiap masa walaupun perbuatannya amat melukakan hati Kita.Muhasabbah diri mungkin kesilapan yang anak lakukan itu adalah kerana dosa-dosa kita dimasa lampau.

7. Yang paling penting jaga tutur kata Kita, jangan sekali-kali ucapkan perkataan yang boleh melukakan hatinya. Jika ini berlaku juga kerana kita TER.. kata, cepat-cepat cari masa yang sesuai untuk Kita minta maaf padanya. Mengakulah padanya itu kelemahan Kita, Kita marah kerana dia buat salah,bukan bermaksud membenci.Ceritalah buat macam dramapun boleh .

8. Amalkan membaca ayat 40 surah Ibrahim supaya Kita,anak Dan zuriat keturunan Kita termasuk dalam golongan orang2 yang tetap mendirikan Solat. [Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.]

9. Selalu ingatkan anak bahawa tak guna ada pangkat, belajar tinggi, hatta hafal Quran sekalipun jika tidak mempunyai peribadi yang mulia.Allah tak pandang wajah yang cantik tapi pandang hati yang cantik. Allah tak sayang, manusia tak suka.

10. Masa basuh beras niatkan "Ya.. Allah lembutkanlah hati anak-anak ku sebut nama dia.....untuk faham agamanya ", [kenapa Kita nak dia faham agama, kerana anak yang tak faham agama boleh bawa ibubapanya juga ke neraka] sebagaimana engkau lembutkan beras ini menjadi nasi ". Basuh beras lawan jam ( macam org tawaf ) sambil selawat kepada Nabi Muhamad S.A.W. Masa buat kerja ini hati jangan lalai..dan ingat kepada Allah selalu.

Inshaa Allah

Saturday, January 3, 2015



Penutup Tragik 2014 : Nahas kumulonimbus QZ8501




Pengebumian yang dijalankan oleh waris salah seorang mangsa nahas sebaik proses bedah siasat selesai dijalankan.


WAJAH Ciara Natasia, 15, kelihatan sugul saat mendengar berita mengenai nahas yang berlaku terhadap pesawat Air­Asia penerbangan QZ8501 yang turut dinaiki seluruh ahli keluarganya pada Ahad lalu. Sambil mendakap potret keluarga, air matanya menitis laju disertai dengan tangisan hiba.
Kedua-dua ibu bapanya, Heru Mantotanus dan Indah Juliansih serta dua orang adik-beradiknya Niko Geovoni serta Justin Geovani merupakan antara mangsa nahas pesawat malang tersebut.
Sambil ditemani ibu saudaranya, Linda Mantotanus, dia duduk di sebuah bangku di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia bersama beberapa orang wa­ris mangsa yang lain.
Menurut Linda, mereka sekeluarga tidak me­ngetahui adik lelakinya, Heru dan keluarga berada di dalam kapal terbang tersebut.
“Saya memang tahu Heru sekeluarga menghantar anak lelakinya kembali ke sekolah di Singapura menaiki pesawat AirAsia. Namun, kami tidak mengetahui mereka berada di dalam pesawat tersebut.
“Petang Ahad lalu, anak saya menelefon dan memberi­tahu pesawat yang terhempas itu merupakan pesawat yang dinaiki oleh keluarga Natasia. Pada mulanya saya enggan percaya tetapi setelah membuat pemeriksaan, ternyata ia benar,” jelasnya.
Dalam pada itu, waris seorang kru pesawat, Haidar Fauzi, 60, menyifatkan kejadian tersebut telah ditentukan oleh Allah dan semua pihak harus bersabar dan menerima dengan hati yang terbuka.
“Ya, pasrah, sedih tetapi kami sekeluarga sudah mengetahui ini risiko yang perlu kami te­rima jika anak bekerja sebagai seorang pramugari dan terlibat dengan syarikat penerbangan.
“Kami sentiasa mendoakan keselamatannya tetapi kematian itu ada di mana-mana sahaja,” kata bapa Hairunnisa, 22, pramugari pesawat tersebut.
Ahad lalu, orang ramai digemparkan dengan berita mengenai kehilangan pesawat AirAsia QZ8501 laluan Surabaya-Singapura. Pesawat yang membawa 155 orang penum­­pang serta tujuh orang anak kapal itu dilaporkan hilang selepas 42 minit berlepas dari Surabaya menuju ke Singapura.
Pesawat Airbus A320-200 yang berlepas dari Surabaya, Indonesia pada pukul 5.20 pagi itu dijadualkan tiba di La­pangan Terbang Changi, Singapura pada pukul 8.30 pagi hari yang sama.
Ciara Natasia kelihatan sugul sambil memegang potret keluarga yang menjadi mangsa nahas.


Misi mencari
Direktor Keselamatan dan Penerbangan Indonesia, Wisnu Darjono berkata, sebelum kehilangan pesawat AirAsia QZ8501 dilaporkan, juruterbang ada memberi isyarat untuk menukar laluan daripada pusat kawalan trafik udara (ATC).
“Keadaan laluan trafik udara pada waktu itu sangat padat kerana terdapat enam pesawat yang lain turut menggunakan laluan yang sama pada waktu tersebut.
“Pada pukul 7.12 pagi juruterbangnya, Kapten Iriyanto me­minta untuk naik pada ke­tinggian 38,000 kaki (11,582 meter) daripada kedudukan asalnya iaitu 32,000 kaki (9,754 meter), namun ATC memintanya untuk menunggu seketika kerana laluan yang begitu sesak. Bagaimanapun, pada pukul 7.18 pagi, menara kawalan memberi isyarat membenarkan pesawat tersebut menaiki ketinggian yang diminta tetapi tiada maklum balas diterima,” katanya.
Menurutnya walaupun Air­Asia QZ8501 tidak memberi sebarang maklum balas, namun ia masih boleh dipantau melalui radar dari menara kawalan.
Bagaimanapun, pesawat itu gagal dikesan oleh radar ATC mulai pukul 8.18 pagi sebelum diisytiharkan hilang pada pukul 8.55 pagi.
Lantas dengan kehilangan tersebut, misi gerakan mencari pesawat mula dijalankan.
Anggota Perhubungan Udara Kementerian Perhubungan, Djoko Murjatmojo berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui beberapa serpihan di perairan Laut Jawa yang dipercayai milik pesawat tersebut.
“Hasil daripada misi penca­rian ini, kami menemui tiga serpihan berwarna merah dan putih yang merupakan simbolik kepada warna badan pesawat AirAsia di sekitar kawasan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah.
“Ketiga-tiga serpihan tersebut ditemui pada jarak yang berdekatan antara satu sama lain,” jelasnya.
Misteri kehilangan pesawat QZ8501 bagaimanapun terungkai selepas tiga hari pencarian dilakukan dengan penemuan tiga mayat pada Selasa lalu.
Kesemua mayat tersebut kini ditempatkan di Hospital Bhayang­kara untuk menjalani proses bedah siasat dan pengenalan identiti.
Mayat salah seorang mangsa dibawa ke Surabaya.


Teori
Nahas yang melibatkan pesawat tersebut dipercayai bermula apabila juruterbang cuba mengelak awan kumulonimbus yang terbentuk disebabkan oleh keadaan cuaca buruk.
Menurut Ketua Badan Meteo­rologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia, Aandi Eka Satya, gumpalan awan tersebut selalunya cuba dielak oleh juruterbang kerana bentuknya yang tebal dan mengandungi petir dan angin.
“Juruterbang seboleh-bolehnya akan cuba mengelak daripada memasuki gumpalan awan tersebut. Ini kerana, bentuknya yang tebal dan berombak akan menyebabkan pesawat berada dalam keadaan tidak stabil dan bergoncang apabila merempuhnya.
“Daripada lokasi kejadian, memang terdapat awan jenis kumulonimbus yang tebal dan kami dapati awan tersebut berada di sekitar kawasan Belitung sehingga Kalimantan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Direktor Utama Penerbangan Indonesia, Bambang Cahyono berkata, pada waktu kejadian, terdapat enam pesawat bersama QZ8501 yang meminta izin naik daripada ketinggian 32,000 kaki ke 38,000 kaki untuk mengelakkan daripada kumpulan awan yang berisi hujan besar itu.
“Kebetulan pesawat Garuda Indonesia, Lion Air, Emirates dan yang lain-lain turut meminta izin untuk naik ke paras yang sama diminta oleh pesawat QZ8501.
“Disebabkan pada waktu itu pesawat Garuda berada di kedudukan tersebut, QZ8501 tidak dapat menaiki pada ke­tinggian yang dimintanya sehingga menyebabkan pesawat tersebut terhempas di lautan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Aeroangkasa Institut Teknologi Bandung, Djoko Sardjadi berkata, pesawat dipercayai sudah memasu­ki awan ketika juruterbang me­nunggu kebenaran ATC Bandara Soekarno-Hatta untuk menaikkan altitud pesawat daripada 32,000 kaki kepada 38,000 kaki.
“Ketika memasuki awan Kumulonimbus yang mungkin mengan­dungi ais selain hujan dan petir, ia menyebabkan berlakunya gegaran yang teruk.
“Perkara tersebut berkemungkinan menyebabkan pesawat terumbang-ambing, enjin mati dengan sendiri sehingga juruterbang sukar mengawal pesawat yang dipandunya. Pesawat mungkin melayang sehingga menyentuh permukaan air secara pandu automatik,” jelasnya.
Mengandaikan pesawat tidak jatuh secara terjunam, Djoko berkata, badan pesawat itu tidak mengalami hentaman dahsyat dan besar kemungkinan hanya baha­gian bawah pesawat yang rosak.

Sumber  : KOSMO

Thursday, November 13, 2014


Cukai Barangan dan Perkhidmatan ( GST )


Umum sedia maklum cukai barangan dan perkhidmatan atau GST akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2015.

Melalui pembentangan Bajet 2015 pada 10 Oktober lalu, terdapat pertambahan senarai barang yang tidak dikenakan GST termasuklah jualan runcit petrol RON95, diesel dan gas asli cecair (LPG).

Sebanyak 532 daripada 944 barangan dan perkhidmatan di bawah indeks harga pengguna dijangka mengalami penurunan harga sehingga 4.1 peratus.

Antara produk yang mengalami penurunan harga ialah:

  1. Ubat-ubatan
  2. Barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh
  3. Produk tekstil
  4. Barangan plastik seperti baldi dan pinggan mangkuk, kasut, dan selipar
  5. Perabot rumah
  6. Lampin bayi, sabun, daging, telur ayam, minyak, makanan laut, beras dan sayur-sayuran

Senarai barang yang tidak dikenakan GST

Berikut kami kongsikan senarai barang yang tidak dikenakan GST. Antaranya:
  1. Semua jenis buah-buahan tempatan dan diimport.
  2. Roti putih dan roti ‘wholemeal’.
  3. Serbuk kopi, teh dan koko.
  4. Mi kuning, kuey teow, laksa dan bihun.
  5. Ubat-ubatan penting Nasional yang meliputi hampir 2,900 jenama ubat. Ubatan ini adalah untuk kegunaan rawatan 30 jenis penyakit termasuk sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, kanser dan rawatan kesuburan.
  6. Bahan bacaan seperti buku mewarna kanak-kanak, buku altihan dan rujukan, buku teks, kamus dan kitab agama.
  7. Surat khabar.
 

7 Kalimah Suci


Sabda Rasulullah SAW:



Barangsiapa yang hafal dan mengamalkan 7 kalimah ini, akan dimuliakan oleh Allah dan malaikat dan akan diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih di lautan.





1. Bismillahhirrahmanirrahim



 

Pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu





2. Alhamdulillah



Pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu



 
 
 

3. Astaghfirullah



Jika tersilap mengatakan sesuatu yang buruk

 
 
 



4. Insyaallah



Jika ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang

 
 
 


5. La haula wala quwata illah billah



Bila tidak dapat melakukan sesuatu yang agak berat atau melihat sesuatu

yang buruk


 
 
 

6. Innalillah wain na illahirajiun


Jika menghadapi musibah atau melihat kematian

 
 
 


7. La ila ha illallah


Bacalah sepanjang siang dan malam sebanyak-banyak semoga kita tergolong

dalam kalangan orang yang terpilih oleh Allah

Friday, April 4, 2014

Tiada media berani dedah kebenaran isu Memali


Pada jam 9.00 malam 27 Mac 2014, saya bersama YB Husam Musa adalah dua ahli panel dalam majlis diskusi anjuran kerajaan negeri Kelantan bertemakan “Politik Malaysia: Dahulu dan Sekarang”. Profesor Dr Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia berperanan sebagai moderator.

Format diskusi menyamai program “Hard Talk” BBC London yang meletakkan syarat bahawa ahli panel tidak dibenar menggunakan skrip atau nota lebih awal tetapi bersedia menghadapi apa
juga soalan yang diajukan oleh moderator.

Sepanjang dua jam, moderator diskusi bersikap combative, aggresive serta provocative. Dalam pada itu saya akui bahawa moderator memperlihatkan sifat saksama, berkecuali dan tidak partisan.

Di penghujung diskusi, saya telah diajukan soalan berkaitan peristiwa Memali yang dapat saya rumuskan berpusat kepada tiga perkara berikut:

1. Pengesahan saya bahawa pada hari peristiwa Memali berlaku, Tun Dr Mahathir berada di negara China dan saya adalah pemangku perdana menteri.

2. Saya bertanggungjawab sepenuhnya kepada peristiwa tersebut.

3. Bagaimanakah perasaan saya dengan peristiwa Memali.

Titik hitam karier politik

Saya telah memberi respons kepada soalan yang diajukan berteraskan empat aspek berikut:

1. Saya menegur moderator dengan mengatakan sebagai seorang profesor, sesuatu perkara yang disuarakan hendaklah berasaskan penyelidikan mendalam dan fakta yang tepat.

2. Pada hari peristiwa Memali (iaitu 19 November 1985) Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur dan saya bukannya pemangku perdana menteri.

Moderator menunjukkan reaksi terkejut dan dengan suara yang jelas melafazkan perkataan “my god” yang mengejutkan hadirin.

3. Sebagai menteri dalam negeri saya telah menggariskan panduan umum, memberi ingatan dan mengarahkan pihak polis tentang dua perkara:

(i) Proses undang-undang hendaklah dipatuhi.
(ii) Elakkan kekerasan (violence) dan pertumpahan darah.

Namun saya mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap kejadian yang berlaku walaupun saya tidak terlibat secara langsung tetapi menyerahkan kepada budi bicara pihak polis untuk melaksanakan operasi dari segi menentukan waktu terbaik ianya dilakukan serta kaedah dan pendekatan untuk melaksanakan operasi.

4. Saya berterus terang dan dengan ikhlas serta penuh insaf mengaku bahawa titik hitam dalam sejarah karier politik saya ialah peristiwa Memali.

Dalam ruang masa yang diberikan oleh moderator, saya telah menghuraikan urutan peristiwa yang berlaku. Pada hari kejadian, saya bersama pemangku ketua polis negara (KPN) telah menemui perdana menteri di pejabat beliau dan pemangku KPN telah memberikan taklimat tentang perkara yang berlaku berikutan operasi polis di Memali yang melibatkan kematian empat anggota polis dan 14 orang awam.


Mohon Dr M tangguh lawatan

Dalam pertemuan tersebut saya memohon agar Dr Mahathir menangguhkan program lawatan ke Negara China atas tiga sebab:

1. Peristiwa ini berlaku di negeri Kedah; negeri perdana menteri sendiri.

2. Peristiwa ini melibatkan orang Melayu beragama Islam.

3. Dengan menangguhkan lawatan ke Negara China, Dr Mahathir memperlihatkan sifat ia mengutamakan dan mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam negeri.

Dr Mahathir membuat keputusan untuk tetap berlepas ke negara China. Saya telah memaklumkan kepadanya cadangan saya untuk membentangkan peristiwa Memali di Parlimen. Di samping itu, saya turut meminta agar semua media, termasuk media luar negara memberi saya ruang 24 jam untuk membolehkan saya mendapat gambaran lebih tepat lagi lengkap. Saya telah membentangkan peristiwa Memali di Dewan Rakyat pada keesokan harinya (20 November 1985) dan selanjutnya mengadakan perjumpaan media.

Kesimpulannya ialah:

1. Bukan niat saya mahu mencetuskan polemik baru berkaitan Memali. Ia dihidupkan semula berikutan respons saya kepada soalan yang diajukan oleh moderator dalam program diskusi yang diadakan.

2. Isu utama dalam perkara ini adalah fakta, sama ada pada hari peristiwa tersebut berlaku, saya menjawat jawatan pemangku perdana menteri kerana Tun Dr Mahathir berada di luar negara. Berdasarkan penyelidikan daripada bahan-bahan rujukan yang masih dapat saya temui, nyatalah Tun Dr. Mahathir berada di dalam negara pada hari tercetusnya peristiwa Memali, dan saya tidak memangku jawatan perdana menteri pada hari tersebut.

3. Sewaktu berlangsung prosiding kes dakwaan saya terhadap seorang penulis di Mahkamah beberapa tahun lalu di mana dalam kes ini saya berjaya, (ketika itu Tun Dr Mahathir masih perdana menteri), peguam bela bertanya dua soalan yang serupa, sama ada Dr Mahathir berada di dalam negara pada hari peristiwa Memali berlaku dan adakah saya memangku jawatan perdana menteri. Jawapan konsisten saya berikan bahawa beliau berada di dalam negara dan saya tidak memangku jawatan Perdana Menteri. Tetapi tidak ada media yang sedia melaporkan fakta ini.

Peluang dari Ilahi

Sekian lama saya dicerca, dicela dan dinista mengenai peristiwa Memali oleh pelbagai pihak terutama oleh parti PAS. Seingat saya, apatah lagi selepas saya berundur daripada jawatan menteri; tidak ada pihak baik daripada kerajaan, begitu juga parti Umno yang saya anggotai bersedia menyuarakan fakta yang benar.

Saya pernah menawarkan diri untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan media khusus atas subjek peristiwa Memali, tetapi tidak ada pihak media yang bersedia berwawancara dengan saya. Saya sedar dan memahami ketika itu tidak ada pihak yang bersedia berhadapan risiko untuk bercakap perkara yang boleh dianggap menyentuh kedudukan dan batang tubuh seorang perdana menteri yang sedang berkuasa.

Sekian lama saya berseorangan untuk mendapatkan keadilan namun saya terus berdoa dan akhirnya program diskusi di Kelantan saya sifatkan sebagai anugerah ilahi memakbulkan doa saya. Ruang tersebut memberikan saya peluang untuk memperbetulkan fakta sejarah akan peristiwa penting yang melibatkan diri saya.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi yang telah memberikan peluang tersebut kepada saya.

Saya sedar perkembangan terbaru ini telah menjemput pelbagai ulasan dan pandangan secara positif dan secara negatif, tidak terkecuali yang berbentuk tohmahan, tuduhan dan fitnah baru ke atas diri saya. Saya serahkan segala-galanya kepada Allah yang Maha Mengetahui akan kebenaran dan kepada-Nya saya memohon petunjuk dan keadilan.

Sunday, March 30, 2014

Memali: Siapa bohong Musa atau Mahathir?


Sebaik saja Musa Hitam menjelaskan yang Mahathir Mohamad berada di dalam negara sewaktu kejadian berdarah Memali, saya sudah bayangkan yang Mahathir akan menafikan dakwaan Musa itu. Pendedahan Musa itu menuntut Mahathir bersuara. Kalau takdir masa ini Mahathir berada dalam ICU, dan Tuhan telah menarik suaranya daripada berkata-kata, Mahathir kena jawab dengan cara menulis. Kalau tangannya mengalami gengren, dia harus menulis dengan kaki.

Saya sempat minta penjelasan lanjut dari Musa.
Dan kalau kakinya juga mengalami gengren, dia harus merekodkan jawabannya dalam darah atau cebisan daging yang boleh dihantar ke frenseik untuk menterjemahkan jawabannya. Penjelasan Mahathir sangat 
penting bagi para pendedam terhadap tragedi yang meragut 14 nyawa pada 19 November 1985 itu.


Musa semasa berdiskusi di Kota Bharu, menegaskan yang Mahathir Mohamad ada dalam negara pada hari kejadian itu. Malahan menurut Musa, Mahathir berada hingga ke hari ke empat? Pendedahan itu mengejutkan kerana dunia mengetahui yang Mahathir dilaporkan tidak ada dalam negeri ketika kejadian itu, ini menyebabkan tragedi itu terpikul di atas bahu Musa seratus peratus yang menjadi Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri. Mahathir dikatakan berada di China.

Pendedahan oleh Musa itu mengejutkan bukan sahaja mereka yang ada dalam dewan diskusi, tetapi di mana-mana juga yang sebelum ini telah hafal mengenai kes berdarah Memali. Moderator diskusi Muhammad Agus Yusuf juga terkejut dengan jawaban itu kerana dalam rekod ditemuinnya Mahathir tidak ada di dalam negara. Mungkin bagi Agus pendedahan Musa itu sesuatu sandiwara untuk Musa 'menyamak' dirinya dengan kejadian Memali.

Saya tidak musykil kalau rekod yang Agus simpan mengatakan Mahathir tiada dalam negara. Sebab rekod-rekod itu boleh dibuat atau boleh di backdated untuk melindungi Mahathir. Musa sebagai timbalan Mahathir sudah tentu mempunyai kehormatan tinggi kepada Mahathir dan sanggup menanggung risiko atas kejadian itu, asalnya bos selamat. Kerajaan yang dikenali dengan 2M ketika itu perlu dipertahankan.

Dan ternyata Mahathir telah menyembunyikan suaranya berhubung dakwaan Musa itu. Penuh simplistik Mahathir mengatakan dia kena semak kejadian itu kerana dia tidak ingat. Jawaban Mahathir itu mendedahkan sikap dan stail dia berpolitik. Mahathir tidak menampakkan serius dalam hal-hal penting dan mustahak, sebaliknya dilayan secara sambil lewa sahaja. Cara Mahathir itu adalah tetktik dia meremehkan benda yang penting kemudian akan dialpakan begitu saja. Tindakan Mahathir samalah dengan kerja kunci kambus tahi.

Masakan kejadian yang cukup penting begitu dia tidak mengingati kronologinya? Budak yang berusia 10 tahun pada kejadian itu dan kini sudah 30 tahun pun ingat satu persatu. Mereka kenal dan hafal nama Ibrahim Libya yang terbunuh bersama pengikutnya. Geoogle sahaja mengenai Memali akan keluarkan info detik-sdetik kejadian itu serta beberapa gambar mangsa yang menjadi sasaran peluru polis? Apakah Mahathir jahil IT? Mungkin sebab itulah beliau mengsyorkan agar internet ditutup untuk mengambuskan kejahatannya?

Saya tidak percaya kalau Mahathir tidak ingat di mana dia ketika Ibrahim Libya dan pengikutnya diserang hingga mati. Mahathir tentu tahu apakah dia berada dalam jamban di rumahnya di Seri Perdana, atau pun berada di masjidi Haram di Makkah? Kecualilah Mahtahir sudah gila dan hilang ingatan sebaik Musa mendedahkan fakta baru mengenai Memali itu pada diskusi bertajuk Politik Malauysia, dulu dan sekarang itu.

Apabila Mahathir menjawab secara simplistik begitu, mungkin dia tidak mahu bercakap panjang mengenai Memali. Dia mahu membungkus kejadian itu dalam lipatan mindanya dan biarlah sejarah bercerita tentangnya tanpa ada campur tangannya. Biar ia berkubur seperti kes, kematian Jalil Ibrahim dalam isu BMF atau isu-isu lain? Namun minda manusia yang waras tetap bergerak dan menunggu semakan rekod Mahathir itu.

Boleh jadi dihujung usia bagi Mahathir mengenang segala tragedi sebegitu ia terlalu perit. Era politinya banyak menghirup darah demi kekuasaannya.

Saya yakin isu Memali tidak akan dibuka setelah ia ditutup dengan kertas putih di Parlimen. Kertas Putih itu dipaksa agar ia diterima untuk menutupi sebuah peristiwa kejam. Tetapi Mahathir kena ingat pembohongan akan terbongkar juga satu masa kelak. Kalau bukan pada hayatnya dikandung badan, mungkin sesuah jasadnya dibahan tanah. Pendedahan Musa itu adalah permulaan untuk menuju kebenaran. Sesungguhnya kebatilan tidak akan berjaya membunuh kebenaran.

Apabila mengingatkan perbuatan Mahatahir kepada Anwar Ibrahim, orang tidak akan mudah menolak pendedahan Musa itu. Apa yang berlaku kepada Anwar, adalah ibu segala kekejamana dan kejahatan politik Mahathir dari dalam Umno sendiri. Apalah kalau hendak diukur dengan Memali, apa lagi Memali beliau boleh dilindungi dengan Musa sebagai penanggungjawabnya dan Ibrahim Linya adalah prokasi lawannya.

Semasa minum bersama Musa selepas diskusi malam itu, saya ada bertanya lebih lanjut tentang Memali dan Mahathir. Beliau tidak memberi ulasan panjang mengenai maklumat terbaru itu, tetapi mengatakan semua orang harus berhati-hati dengan Mahathir. "Dia bijak," itulah ulasanya tentang Mahathir. Tetapi jauh di lubuk hati saya juga menyebut, apa kurangnya dengan Musa. Diawal diskusi Husam Musa menyebut atau memberi kredit kepada Musa, sebagai Sang Kancil.

Sang Kancil adalah haiwan yang pintar dan bijak, ia boleh melakukan apa saja untuk menyalamatkan dirinya termasuk berpura-pura mati. Apakah Musa sedia membuat pendedahan itu kerana dia tahu malam itu dia dalam lingkungan kawat duri orang-orang yang berdendam dengan kejadian Memali? Siapa yang bohong dan benar dalam kes Memali ini?  Atau Musa dan Mahathir memang bersekongkol sama demi kelanjutan politik. Yang nyatanya selepas peristiwa Memali, karak politik Musa menjadi lilin kemudian mati secara beragam.

Sumber  :  http://shahbudindotcom.blogspot.com/