Kehadirannya tidak disedari......













Sunday, October 30, 2011

SIAPAKAH YANG MENYAHUT RINTIHAN DERITA INSAN?
Prof Madya Dr Maza

Insan itu insan. Terdedah kepada kesusahan dan kesakitan. Terdedah kepada dukacita dan sengsara. Sehebat mana pun dia. Sebesar mana pun pangkatnya. Insan bukan tuhan untuk kebal dari panahan sengsara dan duka. Jika tidak menimpa pada hartanya, menimpa pada tubuhnya. Jika tidak pada tubuhnya, menimpa pada maruahnya. Jika tidak pada maruahnya, pada perasaannya yang derita disebabkan pelbagai punca. Mungkin kehilangan orang yang dicinta, atau dikhianati oleh orang disayangi. Segala mungkin. Itulah hakikat kehidupan insan dan itulah hakikat kehidupan setiap makhluk.

Apabila insan ditimpa derita, dikepung oleh sengsara, dihambat oleh duka, dia akan berusaha mencari tempat bergantung. Mencari dahan berpaut. Mencari teduhan untuk berlindung. Jiwa dan fikirannya melayang dan meraba; kepada siapakah hendak aku mengadu? Siapakah yang boleh menolong daku? Siapakah yang mampu untuk mengeluarkan aku dari kemudaratan ini?



Jiwa Hambar

Bagi jiwa insani yang renggang dari Tuhan, jiwa insan yang hambar dari kemanisan iman dan hubungan ruhi dengan ilahi, dia akan terus terbayang penolong itu temannya atau orang besar, atau orang berharta, atau orang berkebolehan yang dirasa dapat membantunya. Jika dia sakit, pertama yang terbayang dalam fikirannya wajah para pengubatnya. Jika dia kesesakan harta, dia terbayang sumber-sumber yang boleh dia dapatkan wang. Jika ditindas, dia terbayang wajah mereka yang berkuasa yang dia rasa dapat membantunya. Demikian seterusnya.

Jiwa, jantung hatinya sentiasa tersangkut dalam alam makhluk. Tergantung dengan yang lemah sepertinya. Berpaut pada yang rapuh kerana disangkakan kukuh. Lalu Allah pun membiarkannya bersama dunianya yang goyah dan harapan sentiasa terdedah kepada kehancuran. Dia terlupa bahawa betapa ramai pesakit yang gagal diubati. Dia terlupa bahawa betapa ramai yang dikhianati oleh orang yang dipercayai. Dia alpa bahawa betapa ramai yang berkuasa gagal menyelamatkan diri sendiri. Bahkan dia lupa betapa ramai yang berharta, berkuasa dan ternama, Allah kepung hidup mereka dengan pelbagai sengsara. Pergantungan yang sangat lemah. Allah mengingatkan manusia tentang hal ini dengan firmanNya: (maksudnya)
“Wahai manusia, diberikan untuk kamu satu perumpamaan, maka dengarlah mengenainya; sesungguhnya mereka yang kamu seru selain dari Allah itu, tidak sama sekali dapat menciptakan seekor lalat pun walaupun mereka berpakat untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat menyelamatkan kembali. (maka) lemahlah yang meminta (untuk ditunai hajatnya), dan lemahlah yang diminta (untuk menunaikan hajat)”. (Surah al-Hajj: ayat 73).
Demikian perumpamaan yang Allah berikan, gambaran kepada mereka yang bergantung dan menyeru selain Allah dalam mengharapkan pertolongan.

Jiwa Mukmin

Adapun jiwa yang bergantung dengan Allah, setiap kali dia ditimpa kesusahan perkara yang pertama dan pantas menerpa ke jantung sanubarinya ialah pertolongan Allah; harapan dan pergantungan kepada Allah, doa, sujud, solat, rintihan di kesunyian malam, istighfar dan seumpamanya yang membolehkan Allah mendengar rintihannya. Teringatlah dia akan firman Allah yang menggambarkan keagungan kekuasaanNya: (maksudnya)
“Siapakah yang dapat menyahut orang yang dalam kemudaratan, tatkala dia berdoa kepadaNya, serta Dia menghilang keburukan?!”. (Surah al-Naml: ayat 62).
Demi sesungguhnya, tiada siapa yang dapat menyahutnya melainkan Allah S.W.T. Keyakinan dan keimanan yang mendalam inilah yang menjadikan doa insan yang bergantung dengan Allah itu pantas diterima. Allah mengeluarkan insan dari kesusahan dengan pelbagai cara dan rupa yang dikehendakiNya. Jarak antara bumi dan langit amat jauh. Masih tidak dapat dihitung oleh manusia. Namun, jaraknya menjadi begitu dekat disebabkan doa yang mustajab dari hamba yang kesusahan. Dengan seruan ‘Ya Allah! Tolonglah daku!’ maka pantas ia sampai ke langit dan pertolongan Allah pun datang dengan cara dan kehendakNya.

Tidak Menolak Ikhtiar

Bukanlah bererti insan yang bergantung kepada Allah itu menolak pertolongan makhluk dan tidak berikhtiar dalam menyelesaikan masalah. Namun, segala ikhtiar dan usaha itu dilakukan dalam naungan jiwa dan ruh yang sentiasa bergantung dan menyeru Allah. Pertolongan makhluk hanya ‘sebab’ yang berlaku atas kehidupan duniawi, hakikatnya daripada Allah S.W.T. Al-Hafiz Ibnu Kathir (meninggal 774H) dalam tafsirnya, menyebut riwayat dari Wahab bin Munabbih (tabi’i, seorang yahudi yang telah menganut Islam) pernah berkata:
“Aku pernah membaca dalam kitab terdahulu, bahawa Allah berfirman: “Demi kemuliaanKU, seandainya segala langit dan sesiapa yang ada padanya, bumi dan sesiapa yang ada padanya melakukan rencana jahat terhadap orang yang berpegang denganKU, sesungguhnya AKU akan jadikan untuknya di celahan itu jalan keluar. Sesiapa yang tidak berpegang denganKu, maka sesungguhnya AKU boleh tenggelamkannya ke dalam bumi di bawah kedua kakinya, AKU jadikan dia di awangan (tiada pergantungan) dan AKU biarkan dia kepada dirinya”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/422. Saudi: Dar ‘Alam al-Kutub).
Maksudnya, dalam pelbagai cara Allah boleh menolong hamba yang merintih kepadaNya, dan juga dalam pelbagai cara Allah boleh menjatuhkan hamba yang berpaling dari memanggil kebesaranNya.

Doa Yang Ikhlas


Jiwa yang mengharapkan Allah bukanlah sekadar digambarkan dengan pakaian seseorang, atau gelarannya, atau penampilannya. Sebab itu, jangan tertanya-tanya mengapa Allah membiarkan si fulan sedangkan dia nampak kuat agama? Pertamanya, Allah mungkin menolongnya, sedangkan kita tidak menyedarinya. Atau, mungkin kita tidak tahu apa yang tersimpan dalam dadanya. Allah Yang Maha Mengetahui siapakah dia, jauh atau dekat dia dengan Allah. Betapa ramai yang lidahnya menyebut “Ya Allah, tolonglah daku”, tapi sanubarinya masih terikat dan bergantung kepada makhluk. Bunyi nada suaranya mungkin kedengaran sebak, tetapi tauhid tidak bulat dan penuh ikhlas, maka doanya tidak disahut.

Demikian apabila kita lihat seorang yang mungkin kelihatan ‘biasa’ sahaja, tetapi setiap kali dia menyebut “Ya Allah, tolonglah daku”, pertolongan pantas sampai kepadanya. Ini disebabkan ruhnya yang penuh pergantungan kepada Allah, tanpa sebarang syirik atau harapan kepada selainNya. Ini yang disebut oleh Nabi s.a.w:
“Boleh jadi orang yang kusut masai, berdebu, yang dihalau di pintu (tidak diterima kedatangannya), jika dia bersumpah dengan nama Allah nescaya Allah tunaikan”. (Riwayat Muslim).
Jika insan ikhlas dan membulatkan pergantungan kepada Allah, Allah menerima harapannya, sekalipun dahulunya dia pernah melakukan dosa syirik dan kejahatan pun, Allah tetap akan mendengar rayuan. Dengan syarat dia hendaklah penuh ikhlas kepada Allah ketika doanya. Al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) dalam tafsir ketika menghuraikan firman Allah tadi: (maksudnya)
“Siapakah yang dapat menyahut orang yang dalam kemudaratan, tatkala dia berdoa kepadaNya, serta Dia menghilang keburukan?!”, dia berkata: “Allah menjamin menyahut orang yang kemudaratan apabila dia berdoa kepadaNya. DIA memberitahu mengenai diriNya. DIA menerima doa orang yang dalam kemudaratan sebabnya keadaan doa ketika dururat (kesusahan yang amat) itu terbit dari keikhlasan, terputus hubungan hati sanubari dengan selain Allah. Bagi keikhlasan itu suatu kedudukan dan jaminan di sisi Allah. Ini boleh ada pada orang mukmin dan kafir, yang taat dan yang jahat.

Persis seperti firman Allah: (maksudnya) “Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut; sehingga apabila kamu berada dalam dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya, dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bergembira dengannya; tiba-tiba datanglah angin ribut yang kencang, dan datang pula kepada mereka ombak dari segala penjuru, dan mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadanya (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami akan menjadi orang-orang Yang bersyukur” (Surah Yunus, ayat 22).

Firman Allah juga: (maksudnya) “Maka apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan mereka mengikhlaskan kepadaNya agama, kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka melakukan syirik kepadaNya” (Surah al-Ankabut, ayat 65).
(kata al-Qurtubi lagi) “DIA menyahut doa mereka ketika darurat dan berlakunya keikhlasan mereka, sedangkan DIA tahu bahawa mereka akan kembali kepada kesyirikan dan kekufuran mereka” (al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/223. Beirut: Dar al-Fikr)
Fitrah insani akan memanggil Allah dengan penuh ikhlas apabila dia dalam kesusahan. Sehingga ada yang pernah kufur dan sesat akan kembali ikhlas memanggil Allah dengan penuh keikhlasan apabila dia terdesak –seperti al-Quran gambarkan di atas-. Bagaimanakah seorang muslim gagal untuk mengikhlaskan jiwa memanggil Allah dengan penuh keikhlasan pabila dia dalam kemudaratan?! Bagaimana mungkin insan mencari ‘kabel’ atau saluran pertolongan, merayu dan merintih, mengharap dan meminta kepada selain Allah apabila dia ditimpa kesusahan?

Jika dia menyeru Allah dalam kesusahan, mengapakah pula dia gagal mengikhlaskan tauhid dan pergantungan kepadaNYa? Sedangkan Allah menjamin untuk menerima doa penuh ikhlas tanpa syirik daripada hamba-hambaNya yang dalam kemudaratan. Siapakah lagi yang dapat mendengar rintihan kesusahan ini?

hanyalah ALLAH, tiada sekutu bagiNya.

Tuesday, October 4, 2011

MENCARI PENAWAR DUKA, PENGUBAT SENGSARA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Apabila insan terjatuh dalam ujian hidup; kesusahan, keperitan, kezaliman, keresahan, kesedihan dan segala rupa paras penderitaan, insan akan bertanya, apakah penawarnya? Di manakah jalan keluar dari segala kegelapan ini? Bagaimana mungkin dapat aku buang derita yang bersarang dalam jiwa dan peristiwa? Dapatkah aku keluar dari kemelut ini?

Sebahagian ujian itu, jika diukur dengan akal insani, seakan tiada lagi baginya jalan keluar. Warna kegelapan kadang-kala merangkumi segala penjuru, hanya Allah sahaja yang mampu mengeluarkan insan dari keadaan yang sedemikian. Kadang-kala pula insan terpaksa berhadapan dengan realiti yang amat pahit, tidak mampu ditolak oleh dirinya yang kerdil. Namun, insan yang beriman yakin bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh menukar segala keadaan. Menggantikannya dengan lebih baik yang tidak disangka. Memindahkan duka kepada bahagia dalam pelbagai rupa dan warna.
Persoalannya, bagaimanakah caranya agar Allah Yang Agung melimpahkan rahmatNya lalu menurunkan pertolonganNya. Ya, memang insan disuruh berdoa dan merintih kepadaNya. Namun apakah caranya agar mustajab lalu Allah membawanya keluar dari daerah duka kepada daerah sejahtera atau bahagia? Apakah ungkapan yang meredhakan Tuhan al-Rahman yang menjadikanNya dengan pantas mendengar rintihan insan?


Insan perlu sedar, antara penghalang rahmat Tuhan kepadanya adalah dosa dan kesalahannya. Dan, setiap insan pula tidak terlepas dari salah dan dosa. Sehebat mana pun, sealim mana pun dia, insan tetap insan, terdedah kepada dosa. Jika tidak anggotanya, mungkin dosa jiwa atau hati nurani yang sombong dan bongkak, atau hasad atau sangka buruk dan pelbagai lagi. Percikan dosa sentiasa ada. Ia penghalang cahaya indah syahdu antara nurani insan mendampingi Allah untuk menjadi kekasihNya. Maka, doa sentiasa diganggu oleh dosa. Apakah penawar yang menerangi jalan agar doa itu sampai kepada insan dengan pantas dan mustajab?Jawapannya ialah taubat dan ‘istighfar’ iaitu kembalikan kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya. Dengan jujur, dengan luhur, dengan kusyuk. Itulah penawar yang akan membuka kebahagian hidup. Itulah janjiNya: (maksudnya)
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubat kepadaNya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia)…” (Surah Hud: 3)
Janji Yang Pasti

Setiap kita pernah melalui duka dan sengsara. Kita mencuba perbagai ungkapan dan doa agar Allah mendengar rintihan kita. Ya, doa itu senjata. Namun, di sana ada satu pemohonan yang jika dibuat oleh insan dengan keikhlasan jiwa, pengharapan dari lubuk jantung hatinya maka Allah akan mendatang pelbagai kebaikan lain kepadanya. Dikeluarkan dari kesempitan hidup, diberi kurnia rezeki dan anak, kebahagiaan jiwa dan ditambah kekuatan dan pertolongan.
Inilah janjiNya dalam al-Quran. Bukan janji yang diadakan oleh sesetengah buku doa, atau bicara tokoh-tokoh agama yang kadang-kala mengada-adakan pelbagai doa ‘sendirian berhad’ mereka yang entah dari mana dikutipnya. Tidak! Ini adalah jaminan langsung dari Allah dalam kitabNya. Apakah pemohonan itu? Pemohonan ialah doa agar Allah S.W.T mengampuni dosa. Apabila ia dilafazkan dengan ikhlas dan jujur. Sebanyak-banyaknya. Dengan kekerdilan diri, tunduk dan insaf, maka keajaiban pertolongan Allah pun akan datang dalam pelbagai rupa dan cara. Inilah janji dalam banyak ayat dalam al-Quran.
Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya: (maksudnya)
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai” (Surah Nuh: 9-12).
Pelbagai Kurnia

Inilah janji Allah kepada yang berikan kepada sesiapa yang beristighfar dengan ikhlas. Atas lisan Nabi Nuh a.s. Allah berjanji untuk menurunkan hujan rahmatNya, dibanyak rezeki dan anak, diberikan harta yang berharga dan subur. Maka, yang beristighfar dengan penuh ikhlas sebanyaknya, akan menikmati peruntukan ini. Kekurangan hujan, harta, anak, kesuburan dan segalanya penawarnya ialah ‘istighfar’.

Dalam Miskat al-Masabih ketika membahaskan hadis istighfar, diriwayatkan seseorang datang kepada al-Imam Hasan al-Basri r.a mengadu tanahnya tidak subur, lalu jawab Hasan al-Basri: Beristighfarlah. Datang yang lain mengadu kemiskinan, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang yang lain minta doa agar direzekikan seorang anak, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang pula yang lain mengadu kebunnya kekeringan, jawab beliau: Beristighfarlah. Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya “Ini bukan pendapatku, inilah yang Nabi Nuh a.s sebut” –lalu beliau membaca ayat di atas.

Mengelakkan Bala

Allah juga menjamin bahawa Dia tidak akan mengazabkan insan di dunia ataupun di akhirat kita insan itu benar-benar beristighfar kepadaNya. Hambatan dan ketakutan terhadap dosa dapat dibentengi oleh istighfar yang ikhlas. Inilah janji Allah. Dia Maha Benar janiNya. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar” (Surah al-Anfal: 33).
Inilah janji Allah. Dalam ayat ini; kewujudan Nabi s.a.w dan kewujudan istighfar menghalang azab Allah. Adapun Nabi s.a.w baginda sudah tiada dalam kalangan kita, namun istighfar terus ada jika kita mengamalkannya. Wahai jiwa yang dihambat dosa! Beristighfarlah sebanyak-banyaknya nescaya diselamat dari bala dosa. Wahai yang takut ditimpa bala! beristighfarlah.

Ditambah Kekuatan

Gelora hidup kadang-kala amat menakutkan. Ia memukul insan dari sudut yang diduga dan tidak diduga. Jika hanya bergantung kepada kekuatan diri semata, insan akan terkorban dan tidak akan berdaya. Ganasnya lautan hidup hanya dapat dihadapi dengan kekuatan kurniaan Allah. Firman Allah: (maksudnya)
“(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)”. (Surah Hud: 52).
Dengan tambahan kekuatan dari Allah dan bantuanNya insan merasai kekuatan dalam menelusuri permusafiran di dunia yang fana ini.
Maka membanyakkan istighfar adalah penawar hidup. Betapa banyak kisah insan-insan yang Allah berikan pelbagai kurnia disebabkan mereka membanyakkan istighfar. Betapa banyak hamba-hamba Allah yang diselamatkan dari pelbagai kesusahan, diberikan ketenteraman jiwa dan pelbagai pertolongan berkat keikhlasan istighfar mereka. Setiap insan yang beristighfar dengan ikhlas sebanyak-banyaknya pada sesuatu hari akan merasai kesyahduan ruhnya. Allah akan membuka ufuk akalnya. Dia akan alami kekudusan jiwa, kesegaran minda dan merasai perdampingan dengan Allah.

Tapi syaratnya, hendaklah istighfar yang ikhlas. Bukan yang hanya ‘berlagu’ dimulut tapi kontang jiwanya dalam mengharapkan keampunan Allah. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) menceritakan bahawa bagaimana beliau apabila menghadapi masalah, beliau akan beristighfar sehingga seribu kali atau lebih, di mana sahaja beliau berada; di masjid, di pasar, di pusat pengajian sehinggalah beliau dapati Allah lapangkan dadanya dan tunaikan hajatnya. (lihat: Ibn ‘Abd al-Hadi, al-‘Uqud al-Durriyah, 21. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).

Marilah kita banyakkan istighfar, ia adalah penawar. Istighfar adalah penyembuh derita jiwa seorang hamba. Ia membawa kurnia Allah yang disangka dan tidak disangka. Maka datanglah rezeki, kebahagiaan dan pertolongan. Hiasilah kepahitan hidup dengan istighfar, nescaya kita akan merasai kemanisan dan kelazatan berada di persada alam yang sementara ini.