Kehadirannya tidak disedari......













Monday, May 25, 2020

Memburu Pencen Kubur


Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Al-Mulk 67:2)

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian dan sudah tentu setiap makhluk inginkan pahala yang berpanjangan  biarpun jasad ditelan bumi dan dimamah ulat,  namun amal jariah kita yakni ilmu yang bermanfaat dan apa juga kebaikan yang kita lakukan semasa hayat masih boleh membuat kita mendapat pahala secara berterusan kerana pahala pencenkita masih ada, seperti orang yang berkerja, ketika pencen, masih boleh dapat gaji walau sudah tidak bekerja ketika itu.  

Barangsiapa mengajar orang lain kepada suatu petunjuk, maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang melaksanakan petunjuk itu, tanpa mengurangi pahala mereka sama sekali”  (HR Bukhari)

Kenapa perlu sangat pencen kubur itu? Memanglah penting. Nisbah kehidupan dunia ini umpama  kita menghadiri temuduga kenaikan pangkat, sudah tentu perlu membuat persediaan mental dan fizikal yang sepatutnya.  Apatah lagi untuk menghadapi kehidupan di alam kubur yang berkekalan hingga hari akhirat, belum pernah orang kubur bangun dan kembali semula ke dunia dan menceritakan suasana di sana. Justeru, persediaan pencen kubur itu amat penting  kerana pahala kita mungkin sangat sedikit jika hendak dibandingkan dengan dosa yang dibuat semasa fasa zaman Jahilliyahdulu yang mungkin sudah berberbakul-bakul , dan mungkin juga berguni-guni malah sudah mencapai tahap infinity. Terlalu banyak sehingga tidak boleh dikira lagi walaupun secangih manapun kalkulator yang digunakan.

Teringat pesanan Almarhum Tuan Guru Dato Haji Ismail Kamus, betapa jangan mengharap sangat dengan bantuan atau kiriman pencen daripada orang yang kita tinggalkan di dunia walaupun dia orang yang paling rapat atau paling disayangi semasa hayat dulu.  Mereka masing-masing akan sibuk dengan urusan dunia kerana kehidupan perlu diteruskan.  Mencari rezeki dunia dan nafkah seharian.  Apabila sampainya masanya yang janda akan dipinang orang, yang duda akan mencari pengganti. Apa yang pasti, kita masih terus tinggal di alam kubur seorang diri.  Andai banyak bekalan yang di lakukan semasa di dunia kemudian dibawa ke kubur,  maka berbahagialah kita kerana menerima pencen yang lumayan tanpa mengharap belas ihsan orang lain. Jika sebaliknyaNauzubillahiminzalik.  Betapa takutnya !  



Tiba-tiba teringat sabda Rasulullah SAW;

Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia,maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.  (HR Abu Hurairah.

Kenapa diletakkan sedekah jariah dulu? Kerana pencennya berkekalan tetapi sukar dilakukan.  Kenapa tidak ilmu untuk dijadikan bekalan? Kerana bukan semua orang tinggi ilmunya, kalau tinggin ilmunya sekalipun belum tentu dia mampu untuk menyampaikan kepada semua orang dan orang menmanfaatkan apa yang disampikan. Doa anak yang soleh? Bukannya semua kita mempunyai anak yang sebegitu.  Jika ada, maka bersyukurlah! Anda layak menerima pencen yang berkekalan asalkan anak itu terus beristiqomah!  Justeru, akhirnya benarlah bahawa kita sahaja yang bertanggungjawab sepenuhnya menyediakan pencen untuk menampung kehidupan kubur kelak.  


Betapa malangnya jika amalan dunia bakal menjadi bala yang kita tanggung di kubur apabila berbuat masksiat tanpa belum sempat bertaubat! Dengan perkembangan teknologi media sosial yang melangkaui batas benua, setelah kita pergi nanti apakah kita tidak takut takut sekiranya ada gambar-gambar, catatan-catatan, komen-komen di  Facebook, Instagram dan yang seumpama dengannya secara  tidak menutup aurat, kemudian ianya dilihat orang, komen buruk kita masih terus dibaca dan dipercayai oleh nitizen sedangkan ketika itu,  password Facebook, IG dan lain-lain  hanya kita sahajayang tahu. Maka pada ketika itu, orang lain sudah tidak boleh tolong memadam gambar, catatan atau komen yang mungkin tak berapa nak baik itu. Kemudianperkara tersebut akan berterusan dilihat orang lain, kemudian ia boleh menjadi pencen dosa  pula pada saya, padahal ketika merasai gelapnya kubur pada masa tersebut, apa yang diharapkan pahala yang datang menerangi dan bukannya dosa yang mampu memadamkan lampu penerang saya dikubur. MASYAALLAH ! Tidak kita berasa TAKUT!


Tidak takut kita dipersoalkan kelak apabila ada orang-orang di sekeliling yang mereka masih belum sempat ditegur dan didakwah sedangkan kita tahu akan kesalahan mereka kerana mereka melakukan hal tersebut di depan mata kemudian dalam keadaan kita tahu dan sedar  ianya salah tapi masih tak buat apa-apa. Takutnya kita! Lebih takut lagi apabila menyedari hakikat bahawa tak perlu nak kena sakit dulu, baru kita layak mati. Mati itu pasti dan boleh sahaja berlaku pada bila-bila masa. Apa yan pasti tidak semua orang yang meninggal mereka dalam keadaan bersedia dan boleh mengagak ajalnya semakin hampir seperti orang yang sudah sakit lama mahupun sakit kerana tua. Seperti seloroh Almarhum Tuan Guru Dato Ismail Kamus, berapa ramai manusia yang menderita sakit bertahun-tahun tapi tak mati-mati, sebaliknya orang yang datang melawatnya pulak yang mati dulu! Realitinya betapa ramai lagi  yang tidak disangka sangka sampai ajalnya  pada usia yang sangat muda.  Malah ada yang bukan sahaja  menemui ajal di darat, malah  ramai yang pergi menemui Ilahi dalam keadaannya meninggal lemas di laut tanpa ditemui jasadnya.


Jelasnya, mati itu pasti. Boleh sahaja bila-bila masa Allah ingin mengambil balik nyawa yang dipinjamkan sekejap cuma ini kepada kita. Maka  kita seharusnyalah bersedia dengan menyediakan dana yang banyak semasa hidup untuk menjana pencen kubur yang banyak di alam barzakh nanti. Seperti ramainya  orang  selalu ingin berkerja makan gaji sebab boleh duit pencen walau sudah berhenti dan berehat pada masa itu. Mengapa pula kita lengah dan lalai dalam menyediakan pencen yang boleh menjadi lampu penerang, kawan peneman, juga  penyelamat dari di azab di kubur nanti? Pada saat itu hanya amal soleh, sedekah  jariah dan doa anak soleh yang kita sangat dambakan dan harapkan.


 Pada ketika  itu, sudah tiada talian hayat untuk dihubungi lagi, mungkin jika adanya talian hayat ketika itu, kita akan menelefon anak-anak dan akan cakap: Anakku, ambil semua harta aku, sedekahkan kepada rumah anak yatim, tolong bina Maahad Tahfiz untuk melahirkan ramai hafiz hafizah, kau jadilah anak soleh, baru boleh bawa mak ayah ke Syurga sebab pahala kami tidak mencukupi ni!Mana mungkin kita boleh buat begitu bukan?  Kalau nak beramal, beramal lah ketika kita masih hidup, ketika hidung masih mengenal apa itu oksigen, mata masih mengenal apa itu cahaya, kerana di kubur nanti kita tidak boleh langsung berhutang pahala dengan Allah seperti berhutangnya manusia dengan Bank atau Ah long ketika tersempit dan di situasi terlalu tiada duit.  


Ketika itu mungkin kita akan merasa sangat bersyukur kerana ada sedikit amalan yang kita pernah buat iaitu mungkin melalui sedikit amal jariah kita, melalui sedikit sedekah kita. Pada ketika itulah kita akan dalam keadaan terdesak dan ingin menagih pahala yang mungkin kita derma sebanyak RM1  dekat masjid pada suatu ketika dahulu, dan kemudian kita mungkin  akan berkata : Ya Allah, kenapakah aku tak menderma RM100  pada hari tu, aku bagi RM1 sahaja padahal dalam dompet  aku ada sejumlah wang  RM 1000. Alangkah aku  menyesal. Sungguh aku menyesal


Mungkin juga pernah terdetik dihati kita menginginkan pencen kubur melalui anak yang soleh . Tapi  ramai yang tidak sedar bahawa  kalau mahu anak mereka menjadi anak yang soleh, seharus dan sepatutnya dia dulu lah yang menjadi soleh dan solehah itu supaya menjadi contoh teladan . Pada ketika di kubur nanti, ilmu yang bermanfaat juga boleh menolong kita. Mungkin apa-apa ilmu yang kita  kongsi  di laman sosial, teguran atau kata-kata nasihat yang diajar dan diamalkan oleh orang lain  boleh menyentuh dan memberi manfaat yang banyak kepada orang lain. Maka  jadikan media sosial atau medium-medium lain  sebagai medan untuk orang lain dapat ilmu yang bermanfaat kerana dengan itu secara automatik kita memperoleh  pahala yang tidak putus-putus. Bukankah sangat beruntung jika terjadi begitu?

Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberikan manfaatnya kepada orang lain

Sampaikankan walau hanya sekadar satu ayat

 Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.


“ Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka mendirikan sembahyang. Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali.”  (Faatir 35:18)