Kehadirannya tidak disedari......













Thursday, January 19, 2012

POLITIK AMERIKA : KEWUJUDAN AMERIKA SYARIKAT SEBAGAI KUASA UNIPOLAR MENJAMIN KESTABILAN DAN KEAMANAN DUNIA. BAHASKAN


1.0              PENDAHULUAN

 Amerika Syarikat telah memperolehi kemerdekaannya daripada British pada 4 Julai 1776 melalui satu revolusi yang besar.  Revolusi yang bermula pada tahun 1773 itu memberi impak besar terhadap landskap politik negara tersebut.  Ini adalah kerana ia dianggap sebagai satu proses penting dalam pembentukan Amerika Syarikat sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi-liberal.  Para sarjana sejarah berselisih pendapat mengenai faktor-faktor meletusnya Revolusi Amerika.  Ada yang berpendapat ia berlaku akibat daripada persaingan kepentingan ekonomi di antara pedagang Amerika dan British hingga mencetuskan bahang revolusi.  Selain daripada itu, terdapat  pandangan mengatakan bahawa ia merupakan kesan kemarahan orang-orang Amerika terhadap pelbagai cukai baru yang dikenakan terhadap mereka tanpa sebarang perbincangan.  Beberapa cukai baru seperti Akta Gula dianggap tidak logik dan begitu menekan hingga menimbulkan perasaan tidak puashati di kalangan orang-orang Amerika yang seterusnya sepakat melancarkan revolusi.  Faktor kemunculan semangat nasionalisme di kalangan orang-orang Amerika yang membawa kepada kesedaran untuk berkerajaan sendiri juga dianggap penyebab berlakunya revolusi berkenaan. 

Dari sudut geografi, Amerika Syarikat menguasai lebih daripada separuh kawasan benua Amerika Utara dan merupakan negara keempat terbesar di dunia selepas Russia yang merangkumi keluasan 3.79 batu persegi.  Namun begitu, satu fakta penting mengenai sejarah penduduk Amerika Syarikat ialah sebahagian besar daripada rakyatnya adalah terdiri daripada kumpulan imigran dan hanya lebih kurang 2.6 peratus sahaja penduduknya adalah kaum peribumi.   Ini dijelaskan oleh Almond & Powell Jr. (1996)[1] yang menyatakan bahawa kebanyakan penduduk Amerika Syarikat adalah berasal daripada negara Eropah dan Scandinavia iaitu lebih kurang 76.2 peratus, diikuti oleh Afrika 8.4 peratus, Eropah Timur 5.8 peratus, Asia 1,4 peratus dan Asia Barat 0.3 peratus.  Menurut beliau lagi sehingga kini Amerika Syarikat masih terus menerima kehadiran pelbagai imigran daripada pelbagai negara-negara luar.  Kepelbagaian ras dan etnik yang mendiami Amerika Syarikat telah memberikan implikasi besar terhadap politik negara itu dan disifatkan sebagai pelbagai (diversity) serta majmuk (plural).


2.0              PRINSIP DAN DASAR LUAR AMERIKA SYARIKAT

             Perbincangan mengenai politik Amerika Syarikat dianggap tidak lengkap tanpa memahami dasar luar negara berkenaan.  Ini adalah kerana dasar luar Amerika Syarikat bukan hanya saling berkait dengan perkembangan politik domestik malahan juga mempengaruhi perkembangan politik antarabangsa.  Sejarah menunjukkan bahawa bahwa terdapat dua bentuk dasar luar yang pernah diamalkan oleh Amerika Syarikat iaitu dasar isolasi (pengasingan) dan dasar campurtangan.  Jika dilihat kepada polisi atau dasar luar Amerika Syarikat pada peringkat awalnya, ia lebih kepada pengecualian kuasa di mana ketika itu mereka lebih menumpukan perhatian dalam perkara-perkara yang berhubung dengan hal-hal dalam negeri (Donalson : 2003).[2]  Secara umum, dasar isolasi yang diamalkan oleh Amerika Syarikat ini merujuk kepada satu polisi untuk tidak campurtangan atau terlibat secara aktif dalam hal ehwal dunia.  Ini adalah selaras dengan kandungan Doktrin Monroe yang diisytiharkan oleh Presiden James Monroe dan ia dianggap sebagai asas kepada polisi luar Amerika ketika itu.  Antara kandungan doktrin tersebut ialah :   

i)           Hemisfera Barat tidak terbuka untuk dijajah oleh mana-mana kuasa Eropah;
                            
ii)                  Sebarang percubaan mana-mana negara Eropah untuk menubuhkan koloni-koloni baru atau mengawal negara Amerika akan dianggap sebagai tindakan tidak bersahabat dengan Amerika;

iii)                Amerika tidak boleh campur tangan dalam urusan-urusan Eropah atau dalam sebarang urusan  koloni-koloni yang telah sedia bebas;

iv)                Pada masa yang sama, Eropah juga tidak boleh mengganggu status politik mana-mana negara yang bebas di Hemisfera Barat.
                       
            Hanya selepas Perang Dunia Kedua meletus pada tahun 1939, barulah Amerika Syarikat mengubah dasar luarnya kepada satu dasar campur tangan yang aktif dalam hal ehwal dunia sehingga ke hari ini.  Polisi ini semakin jelas terserlah pada pasca Perang Dingin susulan daripada keruntuhan blok komunis dan  menjadikan Amerika Syarikat muncul sebagai satu-satunya kuasa besar yang homogen di dunia.  Menurut Berman & Murphy (1996), secara asasnya terdapat lima matlamat utama dasar luar Amerika Syarikat iaitu:[3]

                  i)        Memelihara keselamatan negara daripada tindakan keganasan dan
                              subversif;
ii)                  Meningkatkan kekayaan dalaman;
iii)                Memelihara nilai-nilai kebebasan dan demokrasi dalaman dan luar negara;
iv)                Bertindak secara konsisten mengikut nilai-nilai kemanusiaan negara;
v)                  Memerangi sebarang tindakan yang mencabul ketertinggian undang-undang dan kestabilan domestik terutamanya dalam soal keganasan dan penyeludupan dadah.

             Walau bagaimanapun, William Blum (2007) di dalam buku bertajuk Rogue State ( Negara Samseng ) menyatakan bahawa kajian mengenai campurtangan terhadap beberapa negara jelas menunjukkan jentera dasar luar Amerika bukanlah dimarakkan oleh apa-apa sikap untuk menghargai kemanusiaan.[4]  Sebaliknya ia didorong oleh keperluan berkhidmat kepada tuan lain yang boleh dibahagikan kepada empat keutamaan seperti berikut:

i)           Menjadikan dunia ini terbuka dan selesa – mengikut peristilahan semasa – untuk globalisasi, khususnya syarikat transnasional yang berpengkalan di Amerika;
                            
ii)                  Memperkukuhkan penyata kewangan kontraktor pertahanan di dalam negara yang bermurah hati memberi sumbangan kepada ahli Kongres dan penghuni Rumah Putih;

iii)                Mencegah kebangkitan mana-mana masyarakat yang boleh menjadi contoh alternatif yang berjaya daripada model kapitalis;

iv)                Memperluaskan sebanyak mungkin hegemoni politik dan ketenteraan terhadap mana-mana bahagian di dunia demi untuk menghalang kebangkitan sebarang kuasa serantau yang mampu mencabar keagungan Amerika, dan mewujudkan orde baru dunia mengikut acuan mereka selaras dengan kehendak satu-satunya sahaja kuasa besar dunia. 

               Jelasnya, idea isolasi dianggap sebagai persediaan kebangsaan atau pengecualian daripada sesetengah kuasa politik.  Ia merupakan satu percubaan untuk mengasingkan negara daripada cengkaman mana-mana kuasa luar.  Melalui dasar pemencilan kuasa ini, Amerika mampu membina negaranya melalui Doktrin Monroe.   Doktrin Monroe dilihat oleh Amerika dapat menghalang kuasa Eropah daripada campurtangan dalam urusan negara Amerika Latin yang ketika itu di bawah dominasinya.  Namun begitu, dasar tersebut telah berubah pada tahun 1941 apabila Perang Dunia bermula.  Transformasi daripada dasar isolasi telah berubah kepada campurtangan dan peranan Amerika ini telah dilihat sebagai untuk mendominasi negara-negara lain yang terlibat.  Dasar perluasan kuasa ini telah membuktikan bahawa Amerika berjaya dalam misi `` Colonialisme `` malah ia kekal hingga kini hingga digelar sebagai `` super power `` yang tiada tolok bandingannya.  Selain daripada itu,  dasar luar Amerika juga berubah melangkaui misi `` Colonialisme `` selepas peristiwa 11 September 2001 dengan menjadikan agenda memerangi terrorisme sebagai satu keutamaan. 


3.0              KONSEP KUASA

3.1              Definisi  Kuasa

             Menurut K.J. Holsti (1977), dalam konteks hubungan antarabangsa kuasa merupakan kapasiti umum sebuah negara dalam mengawal tindakan-tindakan negara lain.  Sebagai contoh, negara A cuba untuk mempengaruhi B kerana A tidak akan dapat mencapai objektif-objektifnya sekiranya B tidak melakukan X.  Sekiranya ini merupakan asas kepada semua proses-proses politik antarabangsa, kapasiti untuk mengawal tingkahlaku boleh dilihat dalam beberapa cara seperti:
               
3.1.1        Pengaruh 

             Iaitu penggunaan beberapa bentuk kapabiliti sebagai instrumen pendorong, pemujukan, penghargaan, ancaman atau hukuman;

3.1.2        Proses

             Merujuk kepada proses yang menunjukkan bahawa terdapatnya perhubungan di antara A dan B;

3.1.3        Kuasa

            Kuasa dianggap sebagai kuantiti atau boleh diukur yang akan memaksa B untuk akur  kepada A.  Walau bagaimanapun, kuasa sebgai satu kuantiti hanya akan bermakna apabila ia dibandingkan dengan kuasa aktor-aktor lain. 

4.0               AMERIKA SYARIKAT DAN KUASA UNIPOLAR

             Samuel P. Huntington (1999) di dalam buku bertajuk `` The Lonely Superpower `` mendefinisikan kuasa unipolar sebagai A system would have one superpower, no significant major powers and many minor powers.[5]  Sehubungan dengan itu, beliau menjelaskan dengan kedudukan yang ada mereka dapat menyelesaikan beberapa isu antarabangsa secara efektif dengan bersendirian.   Keruntuhan Soviet Union dan perpecahan Eropah Timur sebagai kuasa paksi komunisme serta kebungkaman kepimpinan Asia Barat dan dunia Islam pada tahun 1991, telah menobatkan Amerika Syarikat sama ada secara langsung atau tidak langsung, sebagai sebuah kuasa besar dunia yang tunggal.  Transformasi yang berlaku dalam politik antarabangsa ini telah membawa kita kepada era unipolar.  Fenomena ini ditambah lagi dengan proses pensejagatan dalam bidang demokrasi liberal dan perdagangan bebas.  Faktor keseimbangan kuasa yang selam ini melingkungi era Perang Dingin telah mengalami kemusnahan dan menandakan sejarah permusuhan di antara dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan Soviet Union telah berakhir.  Apa yang nyata, selepas tahun 1990-an, dunia hanya mempunyai satu superpower yang tiada tolok bandingannya iaitu Amerika Syarikat.   
           
            Justeru, pada masa kini Amerika Syarikat sedang menandai hegemoni dunia dalam kebanyakan bidang terutamanya politik, ekonomi, kebudayaan, sosial dan ketenteraan.  Menurut G. John Ikenberry, Michael Mastanduno dan William C. Wohlforth (2009), dominasi tersebut  tidak pernah dialami oleh dunia sebelum ini di mana sebuah kuasa besar itu menikmati kelebihan yang terbesar dalam keupayaan material seperti pertahanan, ekonomi, teknologi dan geografi.[6]  Justeru dengan kekuatan dan keupayaan Amerika Syarikat terutamanya dalam bidang ketenteraan telah menjadikan kuasa negara itu berada di dalam kelasnya yang tersendiri.  Kenyataan ini disokong oleh laporan Stockholm International Peace Research Institue pada tahun 2006 yang mencatatkan bahawa perbelanjaan ketenteraan Amerika Syarikat mewakili 46 peratus daripada perbelanjaan ketenteraan dunia dan 65.6 peratus daripada perbelanjaan ketenteraan kuasa-kuasa besar.  Laporan yang sama turut mendedahkan betapa tiada kuasa-kuasa besar lain berani membelanjakan sekitar 4 peratus daripada KDNK masing-masing untuk tujuan ketenteraan kecuali Russia.  Namun begitu, dari segi jumlah matawang perbelanjaan ketenteraan Russia hanyalah berjumlah US$34.7 billion berbanding Amerika Syarikat sebanyak US$528,8 billion.  


5.0              KUASA UNIPOLAR AMERIKA SYARIKAT DAN KEAMANAN DUNIA

5.1              Latarbelakang

            Mantan Presiden Amerika Syarikat, George H. Bush ketika berucap dalam persidangan Kongres pada 11 September 1990 menyatakan bahawa dunia hari ini sedang bergelut dengan penghidupan baru, satu dunia yang mana negara-negara mengenalpasti tanggungjawab bersama untuk memupuk kebebasan dan keadilan serta negara yang kuat menghormati hak-hak negara yang lemah ( Mohd Azizuddin : 2003 ).  Justeru, beliau telah menggariskan secara objektif mengenai pembentukan dan kewujudan oder baru dunia yang bebas daripada ancaman keganasan, kuat mempertahankan keadilan dan lebih menjamin kepada kewujudan keamanan dunia.  Menurut Mittleman (1997), jika berdasarkan intipati ucapan tersebut adalah wajar agar semua pihak mengalu-alukannya atas dasar keamanan, keharmonian dan kemakmuran.  Ini adalah disebabkan semua perkara tersebut merupakan suatu tuntutan serta keperluan untuk memenuhi cita-cita dan falsafah globalisasi.
         
         

              Walau bagaimanapun, berdasarkan perkembangan politik dunia hari ini ternyata itu hanyalah  retorik semata-mata dan Amerika Syarikat jelas gagal dalam usaha untuk menjamin keamanan dunia.  Beberapa tindakan negara kuasa besar tunggal ini dalam kebanyakan isu antarabangsa yang cuba ditanganai bukan sekadar menimbulkan kontroversi malahan semakin merumitkan lagi konflik yang telah sedia ada.  Ternyata pembentukan dunia unipolar dan tindakan unilateral pada masa kini telah membolehkan Amerika Syarikat bertindak bermaharajalela tanpa sebarang kawalan.  Pada masa yang sama negara-negara yang tidak bersekutu dengannya akan diberi pelbagai label seperti paksi kejahatan dan berbagai gelaran yang tidak sepatutnya.  Keadaan seperti ini tidak sepatutnya terjadi kerana dalam konteks hubungan antarabangsa ada tatacara antara satu Negara dengan Negara Jiran yang perlu diikuti dan disanjung tinggi.  Ini meliputi perasaan saling menghormati dan pada masa yang sama tidak mencampuri hal ehwal domestik negara-negara lain selagi tidak menyentuh kepentingan jiran. 

5.2              Dasar Kolonialisme dan Imperialisme Amerika Syarikat Di Negara-negara Dunia Ketiga

            Perspektif sejarah sering menekankan betapa setiap peristiwa itu sering berulang walaupun dalam keadaan dan suasana berbeza.  Sehubungan dengan itu, proses penguasaan, pendominasian dan pensejagatan yang merupakan antara ciri-ciri sistem unipolar adalah suatu agenda kesinambungan daripada proses kolonialisme serta imperialisme.  Menurut Panikkar K.M. (1993) di dalam buku Asia and Western Dominance, ia telah berlaku sejak sekian lama terutamanya terhadap Negara-negara Dunia Ketiga.[7]  Walau bagaimanapun, segala bentuk pendominasian baru ini muncul dalam bentuk yang lebih strategik termasuklah melalui proses ` pentamadunan` .  Pihak barat terutama Amerika Syarikat sering mencanangkan di peringkat antarabangsa bahawa ia merupakan sesuatu yang baik dan betul.  Antara instrumen serta mekanisme telah digunakan dalam proses penajajahan semula ini seperti idea liberalisasi perdagangan, soal hak asasi manusia, kebebasan akhbar, campurtangan dalam hal ehwal dalaman negara-negara tertentu atas alasan melaksanakan misi kemanusiaan dan yang terakhir  ini isu keganasan antarabangsa. 
           
            Beberapa peristiwa yang berlaku di benua Afrika seperti konflik Darfur contohnya dapat membuktikan hakikat tersebut.  Konflik yang berpunca akibat beberapa faktor seperti bencana alam, oportunis politik, masalah politik serantau, pembangunan tidak seimbang di antara pusat bandar di sekitar Sungai Nil dan wilayah pinggiran seperti Darfur sebenarnya tidak kena mengena dengan Amerika Syarikat.  Sebaliknya Amerika Syarikat sendiri yang beriya-iya untuk campurtangan dalam konflik tersebut untuk mengalihkan pandangan dunia terhadap pencerobohan mereka di Iraq yang mendapat kecaman pelbagai pihak.  Tindakan tersebut juga merupakan satu  tekanan terhadap Kerajaan Sudan dan ia menjadi lebih buruk selepas tragedi 11 September 2001.  Peristiwa itu telah mencetuskan fenomena “ Islamiphobia” apabila Amerika Syarikat bersama sekutu rapatnya Britain mensasarkan kemarahan mereka terhadap pemerintahan pro Islam seperti Sudan.  Akibatnya regim Sudan secara tiba-tiba telah menduduki antara senarai teratas yang menjadi musuh Amerika Syarikat. 
           
           Bekas Menteri Luar Negeri Sudan, Muhammad Najib El Khair pernah mengatakan bahawa keadaan di Darfur bukan satu pembersihan etnik atau pembunuhan beramai-ramai yang memerlukan campurtangan asing, sebaliknya ia semata-mata berpunca daripada perebutan hasil bumi (http://ms.wikipedia.org/wiki/Konflik_Darfur)[8].  Ia  bermula dengan puak-puak tertentu di Sudan berebut sumber asli dan akhirnya berubah menjadi isu politik apabila kerajaan dan media barat mula campur tangan.  Keadaan ini diburuk lagi dengan penemuan minyak di Chad yang bersempadan dengan Sudan dan eksploitasi minyak di selatan Darfur menambahkan lagi ketegangan tersebut.  Laman web http://ms.wikipedia.org/wiki/Konflik_Darfur turut mengemukakan beberapa hujah yang menunjukkan wujudnya campurtangan Amerika Syarikat selaku negara kuasa besar dalam kekacauan di Darfur:

5.2.1        Lokasi Darfur yang terletak di wilayah barat Sudan adalah kaya dengan hasil bumi seperti uranium, gas asli dan emas.  Menurut bekas Menteri Luar Sudan Muhammad Najib El Khair,  Amerika Syarikat telah menemui sumber minyak di wilayah tersebut, namun Sudan telah memberi kepercayaan kepada syarikat-syarikat yang berpengkalan di Asia untuk menjalankan operasi carigali.  Justeru, adalah tidak mustahil bagi Amerika Syarikat masuk ke dalam wilayah Darfur untuk menguasai kepentingan hasil-hasil bumi itu terutamanya uranium;

5.2.2        Darfur adalah merupakan pusat kegiatan Islam di Sudan dan wilayah tersebut mempunyai peranan penting di dalam menyatukan Sudan dengan umat Islam di negara-negara Afrika yang lain.  Pada masa yang sama umat Islam Darfur begitu komited untuk melaksanakan sistem Islam secara menyeluruh dan ini tentunya tidak disenangi oleh Amerika Syarikat.  Walaupun konflik di Darfur telah bermula sejak tahun 1970-an lagi, namun ia menjadi memuncak hanya setelah tragedi 11 September 2001 dan semakin tidak terkawal apabila ada pihak luar yang turut campurtangan;

5.2.3        Selaku negara yang bersifat unipolar Amerika Syarikat  telah menggunakan sepenuh kuasa yang ada untuk melaksanakan dasar campurtangan menerusi pertubuhan agensi PBB seperti UNCHR dan Amnesti International.  Mereka berusaha memaksa puak-puak yang bertelagah di Darfur agar menerima kehadiran pasukan PBB atas alasan untuk memelihara kepentingan orang awam dan pelarian.  Ini jelas daripada kenyataan oleh Nancy Pelosi ( US House Democratic Minority Leader ), Carlifornia yang mengatakan bahawa :  “Kita mesti bertindak sekarang untuk mengelakkan lebih banyak pembunuhan jika tidak mahu melihat tragedi Rwanda berulang semula.  Ini adalah situasi kecemasan dan kita mempunyai kewajiban yang sah untuk bertindak di bawah undang-undang antarabangsa ”.  Selain daripada itu, seorang wakil parti Demokrat dari New Jersey iaitu Donald Payne pula berkata : “ Kita menggesa Setiausaha Pertahanan Colin Powell untuk menyokong campurtangan segea bagi menghentikan pembunuhan-pembunuhan itu, jika tidak berjuta-juta orang akan terbunuh pada akhir tahun nanti ”.

5.2.4        Kuasa Amerika Syarikat sebenarnya telah pun bertapak di wilayah selatan Sudan apabila mereka terbukti membekalkan senjata dan dana kepada kumpulan South People Liberation Army (SPLPA) pimpinan John Garang di dalam menjalankan misi keganasannya.  Pada tahun 1999, wakil Amerika Syarikat iaitu Madeline Albright telah menemui John Garang kononnya untuk membincangkan misi kemanusiaan.  Walau bagaimanapun, pertemuan tersebut telah menimbulkan kontroversi kerana perbincangan tersebut sepatutnya diadakan di peringkat pemerintah Sudan bukannya dengan pemimpin sebuah kumpulan yang telibat dalam pertelingkahan. 
  
                  Justeru, walau atas apa sahaja alasan yang dikemukakan adalah jelas bahawa kekacauan di Darfur (barat Sudan) sebenarnya merupakan batu loncatan kepada Amerika Syarikat untuk masuk ke wilayah tersebut demi meraih potensi kekayaan alam di situ.  Di samping itu, ia dapat mengekalkan pengaruhnya secara berterusan di wilayah Sudan dengan bertopengkan misi kemanusiaan dan keamanan.  Apa yang nyata campurtangan Amerika dengan kuasa unipolar yang dimiliki hanya menambahkan kecelaruan kepada konflik yang sedia ada.  Misi rundingan damai yang diatur oleh beberapa buah pertubuhan seperti Pertubuhan Islam Antarabangsa (OIC) dan Kesatuan Afrika sebenarnya lebih baik daripada pendekatan perang yang ditaja oleh Amerika Syarikat dengan sokongan Britain.  Ini terbukti apabila Perjanjian Damai Darfur telah ditandatangani pada bulan Mei 2005 di Abuja, Nigeria oleh kerajaan Sudan dengan puak-puak yang bertelingkah.  Sehubungan dengan itu, Presiden Sudan iaitu Omer Hassan Ahmed Al-Bashir mahu semua pihak dipujuk agar menerima pelan damai tersebut.  Seruan beliau telah memberi impak besar apabila ia telah diterima secara terbuka oleh majoroti puak yang terlibat dalam pertelingkahan itu.   

5.3                  Amerika Syarikat Mencetuskan Fenomena Islamophobia

                  Menurut Kassim  Thukiman dan Dr. Durrishah Idrus (2003), selepas keruntuhan ideologi komunis dan kejatuhan Soviet Union serta Eropah Timur pada tahun 1991, Islam jelas menjadi sasaran Barat yang menjadi tumpuan dunia sejak sekian lama.[9]  Sehubungan dengan itu, Islam telah menjadi suatu `` ideologi `` yang perlu ditangani dan dibanteras untuk membolehkan Amerika Syarikat dinobatkan sebagai kuasa besar tunggal secara mutlak.  Keadaan ini berlaku kerana di negara-negara barat, proses modenisasi dalam kehidupan masyarakat sering didewa-dewakan sebagai pencapaian tamadun tertinggi.  Namun begitu, hakikat yang sebenarnya ialah mereka telah semakin jauh meninggalkan kepercayaan beragama dalam kehidupan masyarakatnya.  Keadaan sebaliknya berlaku dalam kehidupan masyarakat Islam yang berteraskan konsep ad-din iaitu mengintegrasikan antara kehidupan insaniah duniawi dengan aspek ketuhanan.  Pertembungan budaya seperti inilah yang telah menyebabkan pihak barat terus berusaha memecahbelahkan perpaduan di kalangan umat dan negara Islam. 
                 
                  Justeru itu, beberapa tindakan telah dilaksanakan demi untuk membolehkan gerombolan sekutu barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat melaksanakan dasar unipolar dan tindakan unilateral bagi memusnahkan seterusnya menghancurkan apa sahaja elemen yang dikaitkan dengan institusi,  umat serta negara Islam.  Mereka sering mengaitkan Islam dengan unsur-unsur negatif seperti militan, keganasan dan kekerasan hingga memberi impak buruk terhadap umat Islam terutamanya yang menjadi penduduk minoriti di beberapa buah negara seperti Australia, Canada serta Peranchis.  Sebagai contoh, pada 25 Januari 2010 Peranchis telah menguatkuasakan larangan pemakaian jilbab (penutup muka) oleh umat Islam wanita di tempat awam.  Selain daripada itu, menurut laman web http://remajaislam.com satu kajian telah dijalankan di Peranchis menunjukkan  peluang mendapatkan pekerjaan di kalangan umat Islam negara itu hanya 2.5% berbanding dengan orang-orang beragama Kristian walaupun mempunyai kelulusan yang sama.  Jelas, islamophobia yang ditaja oleh Amerika Syarikat dan dipatuhi oleh negara sekutunya hanya menimbulkan suasana tegang di kalangan penduduk dunia terutama dalam konteks perhubungan di antara negara barat dan dunia Islam. 

5.4                   Amerika Syarikat dan Isu Keganasan Antarabangsa.

                  Isu keganasan antarabangsa begitu banyak dibicarakan terutamanya selepas peristiwa pengeboman ke atas bangunan berkembar Pusat Dagangan Dunia di Manhattan, New York pada 11 September 2001.  Peristiwa tersebut dianggap sebagai titik tolak kepada beberapa siri kegananasan lain yang dikatakan mempunyai hubungkait dengan Islam semata-mata.  Malahan, semua elemen yang berkaitan dengan Islam dianggap negatif daripada kacamata negara-negara barat.  Senario ini telah mengubah lanskap politik antarabangsa apabila pihak Barat diketuai oleh Amerika Syarikat melancarkan dasar agresif terhadap negara-negara dan pertubuhan Islam yang dikaitkan dengan jenama pengganas untuk menghalalkan cara dan tindakannya (Kassim Thukiman dan Dr. Durrishah Idrus : 2003).  Walau bagaimanapun,  tuduhan barat bahawa Islam menaja keganasan adalah tidak tepat kerana unsur tersebut sebenarnya terdapat juga di kalangan bangasa serta agama lain yang merasa diri mereka ditindas.  Sehubungan dengan itu, Tun Dr Mahathir Mohammad pernah mencadangkan agar mentakrifkan semula istilah ` terrorism` secara universal yang sepatutnya diformulakan secara sistematik agar dapat diterima oleh semua pihak. 
                 
                  Sehubungan dengan itu, sebarang perbincangan mengenai isu keganasan perlu keluar daripada  ruang lingkup mana-mana agama, bangsa dan fahaman politik.  Justeru, mengaitkan Islam dengan pengganas adalah merupakan sesuatu yang ` completely unjustified `.   Pendekatan ini penting untuk melandasi perbincangan secara intelektual dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.  Jika hanya pihak Barat sahaja yang dibenarkan mendefinisikannya sudah pasti ia tidak adil dan bersifat berat sebelah.  Ini adalah kerana aktiviti pengganas tidak hanya terhad ke atas negara-negara Islam tetapi boleh berlaku di mana-mana sahaja.  Sejarah juga telah menunjukkan dan membuktikan fenomena tersebut turut pernah berlaku di bumi Amerika Syarikat, Amerika Selatan, Asia Timur dan benua Eropah.  Namun begitu,  agak menghairankan dalam menangani isu keganasan antarabangsa ini Amerika Syarikat kelihatan seperti hilang punca dan ketiadaan pemikiran rasional untuk melihat semula atau merenung jauh ke dalam seterusnya mencari punca boleh berlaku fenomena tersebut. 
                 
                  Walaupun memegang status selaku kuasa besar tunggal di dunia dan memiliki daya keintelektualan yang selama ini disanjung tinggi oleh masyarakat dunia, mereka tiba-tiba bertindak di luar pemikiran rasional.  Selain daripada itu, kecanggihan teknologi yang dimiliki hanya dijadikan alat untuk menindas golongan lemah.  Justeru tanpa sebarang penyelidikan dan penelitian apatah lagi bukti yang sahih, Amerika Syarikat lantas menuduh bahawa Osama bin Laden adalah ketua pengganas dan merupakan individu yang bertanggungjawab terhadap tragedi 11           September 2011.  Pada masa yang sama mereka terus mengaitkannya dengan pertubuhan Al-Qaeda yang selama ini bersikap anti-Amerika Syarikat.  Kemudiannya kerajaan Afghanistan yang dipimpin oleh kumpulan Taliban pula telah menjadi sasaran mereka.  Tindakan tidak rasional ini walaupun dilakukan atas nama menentang keganasan,  ia menimbulkan ketegangan antarabangsa dan telah dikecam oleh para pencinta keamanan dunia.  Sebenarnya, tidak gopoh seumpama ini bukan pertama kali dilakukan oleh Amerika Syarikat.  Sejarah menunjukkan ketika berlakunya peristiwa pengeboman bangunan perdagangan di Oklahoma, ia terus dikaitkan dengan elemen Islam, sedangkan hasil penyiasatan membuktikan bahawa perbuatan tersebut dilakukan oleh rakyat mereka sendiri. 

                  Ternyata selepas tragedi 11 September 2011, Amerika Syarikat telah mengorak langkah dengan melaksanakan dasar luar yang agresif dengan menggunakan pendekatan militari.  Ini terbukti apabila pada tahun 2002, pasukan tentera Bersekutu yang diketuai oleh Ameria Syarikat telah menyerang dan menjajah Afghanistan seterusnya berjaya menumbangkan kerajaan Islam Afghanistan.  Tindakan ini diambil kerana kerajaan Afghanistan didakwa mempunyai hubungan rapat dengan pertubuhan al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden.  Selain daripada itu untuk menghalalkan segala tindakannya itu, Amerika Syarikat juga telah menuduh kerajaan Afghanistan melanggar hak asasi manusia berkaitan dengan hak-hak wanita dan kebebasan agama kerana meruntuhkan patung-patung penganut Buddha.  Selepas penaklukan itu, negara tersebut telah ditadbir oleh Hamid Karzai yang merupakan peminpin boneka tajaan  pihak barat.  Pada masa yang sama,  nama Osama bin Laden tiba-tiba hilang daripada perhatian pihak Amerika Syarikat.  Apa yang pasti nama Osama hanya sekadar alat untuk menghalalkan tindakan penjajahan Amerika Syarikat di Afghanistan. 
                 
                  Walau bagaimanapun, fenomena ini sebenarnya begitu mudah difahami kerana menunjukkan bahawa pihak barat memang tidak selesa dan senang andainya pembentukan kerajaan sesebuah negara itu dikaitkan dengan pemerintahan Islam (Kassim Thukiman dan Dr. Durrishah Idrus : 2003).  Selain daripada itu, pihak Washington juga sebenarnya secara sinis ingin menunjukkan kepada Moscow bahawa mereka juga boleh mengalahkan Afghanistan yang diterajui oleh kepimpinan mujahidin Islam.  Pada masa yang sama, rakyat Afghanistan telah mulai sedar betapa mereka perlu bersatu memerangi pihak barat.  Ini adalah kerana segala janji yang ditaburkan oleh pihak Amerika Syarikat sedikit masa dahulu untuk memperbaiki pembangunan ekonomi dan sosial rakyat Afghanistan ternyata tidak menjadi kenyataan.  Apa yang nyata kehidupan majoroti rakyat Afghanistan  masih berada dalam kedaifan dan kesusahan, terutamanya yang tinggal di khemah-khemah pelarian.   Pemerintahan boneka barat yang dilantik hanya menberi fokus untuk terus memerangi saki baki kumpulan Taliban dan puak mujahidin yang lain.  Keadaan ini bertambah buruk dengan penangkapan Khalid Shaikh Mohammed yang merupakan pemimpin ketiga tertinggi dalam pertubuhan al-Qaeda di Rawalpindi pada bula Mac 2003. 
                 
                  Penangkapan ini telah memberikan banyak maklumat perisikan mengenai aktiviti militan di Afghanistan kepada pihak Amerika Syarikat.  Selain daripada itu, menurut Far Eastern EconomicReview ( FEER ) bertarikh 11 September 2003 Amerika Syarikat semakin mendapat banyak kelebihan untuk membanteras gerakan militan apabila Presiden Pakistan Pervez Musharaf menyokong tindakan ketenteraan mereka di Afghanistan.  Pakistan diketahui umum merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat dalam usaha kedua-dua buah negara menentang aktivit pengganas di negara tersebut dan Afghanistan.  Walau bagaimanapun, dalam kes serbuan pasukan komando Amerika Syarikat terhadap tempat persembunyian Osama bin Laden di Abbotabbad yang membawa kepada kematian pemimpin al-Qaeda itu ternyata mereka bertindak sendirian.  Ini berdasarkan kepada kenyataan jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Athar Abbas yang kesal kerana serbuan pada bulan Mei lalu itu dibuat tanpa pengetahuan pihaknya walaupun tempat berkenaan hanya 50 kilometer ke timur laut ibu negara, Islamabad ( Berita Harian, 29 Oktober 2011). [10]
                 
                  Apa yang nyata, sikap Amerika Syarikat tidak mempedulikan negara sekutu atas kepentingan sendiri hanya menjejaskan usaha jangka panjang kedua pihak untuk menentang pengganas di Pakistan dan Afghanistan.  Ini dijelaskan oleh Jeneral Athar Abbas yang merujuk kepada tindakan komando Amerika Syarikat membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden serta operasi pesawat kawalan jauh di wilayah Pakistan.  Pada masa yang sama beliau turut membuat kenyataan sinis kepada pihak Washington dengan mengatakan bahawa `` jihad tidak berpunca dari Pakistan tetapi Amerika `` ( Berita Harian, 29 Oktober 2011).  Selain daripada itu, beliau turut menjelaskan betapa `` tindakan ketenteraan sahaja buka cara terbaik menangani keganasan.  Maksud saya, apabila anda hanya tahu guna penukul, anda akan hanya nampak paku`` ( Berita Harian, 29 Oktober 2011).  Dasar Amerika Syarikat yang terus menggunakan taktik pesawat kawalan jauh untuk menyasarkan militan di kawasan sempadan Pakistan – Afghanistan hanya mendatangkan kesan lebih buruk.  Tindakan itu selain mencabul kedaulatan wilayah Pakistan turut memberi sebab lebih kuat untuk penduduk tempatan membenci Amerika Syarikat dan pada masa yang sama menghasilkan lebih ramai militan. 
                 
5.5                   Pengaruh Globalisasi dan Agenda Peperangan Moden
     Amerika Syarikat.

                 Globalisasi  atau juga disebut sebagai ` Golden Age ` merujuk kepada satu proses untuk meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara.  Dalam sistem globalisasi, sebagai sebuah negara unipolar dan mengamalkan pendirian realis dalam konteks hubungan antarabangsa, Amerika Syarikat ternyata mementingkan kuasa dalam setiap tindak tanduk mereka.  Justeru, negara tersebut sentiasa melihat kuasa sebagai satu motivasi utama dalam semua kehidupan politik untuk meneruskan kesinambungan mereka di peringkat antarabangsa.  Pada masa yang sama mereka mengandaikan bahawa kemananan itu boleh dicapai melalaui kuasa dan ia amat jelas dalam beberapa tindakan negara itu terhadap beberapa buah negara.  Sebagai contoh kempen peperangan oleh Amerika Syarikat di bawah Presiden George W. Bush dan Britain pimpinan Tony Blair terhadap  Iraq.  Ia dianggap sebagai satu bentuk peperangan moden yang berlaku disebabkan oleh dakwaan Amerika Syarikat  bahwa Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran WMD ( Weapon of Mass Destructions) dan mampu mengancam keselamatan dunia. 
                 
                  Walau bagaimanapun, kecenderungan dakwaan itu sebenarnya disebabkan Iraq pernah terlibat dalam beberapa peperangan di Timur Tengah seperti Perang Iran-Iraq (1980-1988) dan Perang Teluk (1990-1991) di antara Iraq dan Kuwait.  Malahan ketika Perang Teluk berlaku, dikatakan terdapat penggunaan senjata kimia terlarang seperti pendedahan kepada uranium dan kecenderungan vaksin antraks.  Justeru, senjata-senjata ini telah menjadi pertikaian kerana ia  merupakan satu ancaman terhadap Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya serta kepentingan-kepentintang mereka yang lain.  Sehubungan dengan itu, dalam satu ucapan bertajuk 2003 State of The Union Adress Presiden George W. Bush telah merangka undang-undang untuk pencerobohan terhadap Iraq.    Kebimbangan ini ditambah lagi dengan personaliti Saddam Hussein yang bersifat autokratik dan berkemungkinan untuk berlakunya serangan Iraq terhadap kerajaan Amerika Syarikat serta dunia adalah tinggi.   Menurut beberapa laporan daripada agensi pemeriksaan PBB, United nation Special Commission (UNSCOM), Iraq menghasilkan 600 tan metrik agen-agen kimia seperti gas mustard, VX dan sarin.  Selain daripada itu mereka juga mendakwa bahawa Iraq mempunyai hampir 25,000 buah roket dan 15,000 buah meriam dengan agen kimia yang masih tidak dapat dikesan.  Walau bagaimanapun pada bulan Januari 2003 pemeriksa senjata PBB melaporkan mereka tidak menemui tanda-tanda senjata nuklear yang begitu aktif di Iraq seperti didakwa.  Sehubungan dengan itu, beberapa orang bekas anggaota UNSCOM dan pemeriksa-pemeriksa senjata PBB sendiri tidak bersetuju dengan dakwaan.  Ini adalah kerana Amerika Syarikat tidak berupaya menunjukkan bukti bahawa Iraq mempunyau simpanan uranuim atau plutonium untuk membolehkan negara tersebut menghasilkan senjata nuklear. 
                 
                  Walaupun gagal membuktikan dakwaan tersebut, Majlis Keselamatan PBB diketuai oleh Amerika Syaikat telah membuat ketetapan bahawa biarpun tiada sebarang senjata ditemui tetapi Iraq mempunyai kebolehan serta berpotensi dalam bidang itu yang mampu mengancam keselamatan dunia.  Justeru itu, Amerika Syarikat yang bertindak atas alasan mengekalkan keamanan dunia telah memberikan Saddam Hussein tempoh 48 jam untuk meletakkan jawatan dan seterusnya meninggalkan bumi Iraq ataupun menghadapi serangan tentera pihak bersekutu.  Seperti yang diduga, Saddam Hussein enggan berbuat demikian dan setelah berpuashati bahawa rancangan mereka  untuk mewujudkan peperangan berjalan lancar maka pencerobohan terhadap Iraq bermula pada 20 Mac 2003.  Ia bermula apabila satu pasukan yang sebahagian besarnya terdiri daripada tentera Amerika Syarikat dan British serta disokong pasukan kecil daripada Australia, Denmark dan Poland menyerang Iraq.  Walaupun cuba bertahan,  ternyata pasukan Saddam Hussein gagal untuk menahan asakan daripada tentera pihak bersekutu yang dibekalkan dengan pelbagai peralatan perang canggih.
                 
                  Pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutunya telah membawa kepada kekalahan dan kemusnahan terhadap kerajaan Iraq pimpinan Saddam Hussien.  Amerika Syarikat yang mengetuai gabungan untuk menduduki Iraq dan cuba untuk menubuhkan sebuah keraajaan demokratik yang baru, ternyata gagal berbuat demikian walaupun setelah bejaya menguasai hampir keseluruhan negara berkenaan.  Kegagalan itu hanya menimbulkan kegelisahan di kalangan peduduk tempatan kerana pihak Amerika Syarikat ternyata tidak mampu memenuhi janji mereka untuk menyediakan persekitaran yang lebih baik berbanding ketika di bawah Saddam Hussein.  Kegagalan itu telah menimbulkan sentimen membenci pihak Amerika Syarikat kerana mereka berpendapat tidak ada bezanya rejim Saddah Hussein dengan pemerintahan yang ada sekarang.  Malahan ada yang berpendapat era Saddam Hussein adalah lebih baik kerana penduduk dapat keluar dengan aman menjalankan aktiviti harian berbanding suasana sekarang yang penuh pergolakan.
                 
                  Kenyataan tersebut mungkin ada benarnya kerana selain daripada menghadapi sentimen anti Amerika, mereka juga terpaksa menghadapi peperangan kecil dengan kumpulan pemberontak yang terdiri daripada penduduk tempatan.  Keadaan ini diburukkan lagi dengan perang saudara yang berlaku di antara kumpulan Sunni dengan rakyat Iraqshia serta beberapa siri serangan terhadap tentera Amerika Syarikat oleh pihak Al-Qaeda di Iraq.  Hasilnya telah membawa kepada kegagalan untuk memulihkan pemerintahan di Iraq menyebabkan sebahagian besar negara-negara gabungan telah menarik balik pasukan tentera masing-masing.  Selepas pencerobohan itu, ternyata tiada sebarang senjata nuklear dijumpai seperti yang didakwa oleh Amerika Syarikat.  Jelasnya, Amerika Syarikat telah menggunakan pengaruh sebagai kuasa besar terhadap Majlis Keselamatan PBB untuk meluluskan pencerobohan terhadap Iraq.  Apa yang nyata,  pencerobohan terhadap Iraq bukanlah atas tujuan menghapuskan senjata pemusnah yangdidakwa dimiliki oleh negara itu dan menjatuhkan rejim Saddam Hussein, tetapi sebaliknya untuk membolehkan Amerika Syarikat bertapak di Timur Tengah.  Kejatuhan Saddaam Hussein sebenarnya memberi peluang kepada Amerika Syarikat untuk melebarkan pengaruh mereka di kawasan tersebut seperti mana yang dilakukan terhadap beberapa buah negara seperti Arab Saudi, Kuwait, Sudan dan Syria.  Selain daripada itu,  menurut Sity Daud dan Zarina Othman (2005) ketiadaan penentang di Timur Tengah seperti Iraq telah menyebabkan penguasaan ekonomi terutamanya petroleum dapat dikuasai walaupun tidak secara keseluruhan tetapi ia sudah cukup bagi Amerika Syarikat untuk menjaga kepentingan negaranya.  [11]
               
5.6              Dasar Amerika Syarikat Terhadap Isu Palestin dan
Keganasan Israel.
                 
            Walaupun Amerika Syarikat jelas menguasai pentas politik dunia dalam isu memerangi keganasan terutama yang melibatkan umat Islam.  Namun begitu,  satu persoalan yang menjadi fokus ialah mengapa tindakan negara Uncle Sam itu menjajah dan menceroboh beberapa buah negara seperti Nicaragua, Somalia, Sudan, Kuwait, Libya, Vietnam, Iran dan Iraq tidak pula dianggap sebagai pengganas antarbangsa.  Pada masa yang sama, amat jelas betapa organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dikuasai oleh Amerika Syarikat hanya berdiam diri dan tidak membuat sebarang tindakan tegas untuk menyekat perbuatan ganas Israel terhadap umat Islam Palestin sejak sekian lama.  Dalam isu Israel ini, Amerika Syarikat kelihatan teragak-agak untuk membuat ketetapan mengecam negara tersebut seperti dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Sabra dan Shatila.  Agensi PBB seperti Suruhanjaya Mengenai Orang Pelarian (UNHCR) ketika itu seperti membiarkan sahaja tindak-tanduk Israel menzalimi dan membunuh orang-orang Palestin di bumu mereka sendiri. 
                 
                  Krisis di Palestin ini terus berlarutan dan masyarakat dunia terutama Amerika Syarikat yang menjadi satu-satunya  kuasa besar tidak mampu menghalang pembinaan tembok keselamatan yang dibina oleh pihak Israel.  Pada masa yang sama pembunuhan secara terbuka pihak Israel terhadap penduduk awam Israel terus berlaku walaupun pelbagai perjanjian damai telah ditandatangani di seluruh dunia.    Sehubungan dengan itu, pihak barat terutamanya Amerika Syarikat tidak wajar mempersalahkan tindakan kumpulan jihad Islam, Hamas dan Hizbullah untuk bertindakbalas terhadap militan Israel di atas kezaliman tersebut.  Malah bekas pemimpin utama pergerakan Hamas yang berpangkalan di Bandaraya Gaza iaitu allahyarham Sheikh Ahmad Yassin pernah menyimpulkan bahawa tindakan Amerika Syarikat melakukan pencerobohan serta peperangan adalah merupaka tindakan berterusan untuk memusuhi dunia Islam ( TIME, 24 Mac 2003 ). 

6.0              KESIMPULAN

            Jelas, perkembangan politik dunia pasca Perang Dingin adalah dikuasai oleh Amerika Syarikat selaku kuasa besar yang tunggal dan dominasi mereka dalam pelbagai isu antarabangsa memang tidak dapat dinafikan.  Malahan, menurut Kassim Thukiman dan Prof. Madya Dr. Durrishah Idrus di dalam Jurnal Kemanusiaan bertajuk Keganasa Antarabangsa : Suatu Tinjauan Awal berpendapat bahawa pada masa kini, dunia antarabangsa kelihatan menumpukan secara mutlak apa sahaja dasar yang diputuskan oleh kepimpinan Rumah Putih dan PENTAGON.  Walau bagaimanapun dasar luar Washington yang agresif dan bersifat militer terutama selepas tragedi 11 September 2011 hanya banyak mengundang lebih banyak keganasan berleluasa.  Misi kemananan yang sering dilaung-laungkan ternyata bersifat serampang dua mata.  Mereka menaja bantuan kemanusiaan tetapi pada masa yang sama cuba campurtangan dalam pergolakan dalaman negara-negara tertentu dan  Justeru bagi sesetengah negara, rakyatnya merasa berkewajipan untuk mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara mereka lantas bertindak balas terhadap dasar luar tersebut.  Keadaan inilah yang menyebabkan misi keamanan di beberapa buah negara menjadi sebaliknya apabila penduduk tempatan bangun untuk memberontak menentang dasar campurtangan tersebut.   


[1]   Almond, Gabriel A & Powell Jr, G. Bingham. 1996. Comparative Politics Today : A World View. Edisi Keenam. Harper Collins.hal.792

[2]  Donalson G.A. 2003. American Foreign Policy; The Twentieth Century in Documents. New York. Pearson Education Inc.hal.87


[3]  Berman, Larry & Murphy, Barry Allen. 1996. Approaching Democracy. New York. Prentice Hall.hal.613

[4]  William Blum. 2007. Negara Samseng. Kuala Lumpur. Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.. Hal xIii

[5]   Samuel Huntington. 1999. The Lonely Superpower; Foreign Affairs.hal 35

[6]  G.John Ikenberry, Michael Mastanduno dan William C, Wohlforth.2009.Unipolarity,State Behavior and Systemic Consequences. Worl Politics. Hal 1
[7]   Panikkar.K.M.1993. Asia and Western Dominance. Kuala Lumpur. The Others Press
[9]  Kassim Thukiman dan Dr. Durrishah Idrus. 2003. Keganasan Antarabangsa; Suatu Tinjauan Awal dalam Jurnal Kemanusian.

[10]  Berita harian. 29 Oktober 2011

[11]  Sity Daud dan Zarina Othman. 2005.Politik dan Keselamatan. Bangi. UKM