Kehadirannya tidak disedari......













Monday, September 24, 2012

ISLAM DAN PERSOALAN POLITIK
Zainal bin Sanusi




PENGENALAN



Persoalan politik Islam sebagai agen perubahan merupakan satu isu menarik dan sentiasa segar. Justeru itu agenda ini sering dibincangkan dalam penulisan dan forum-forum kerana jangkauan politik Islam bukan setakat menyentuh alam zahir, tetapi melangkaui nilai-nilai abstrak yang sangat mendalam seperti keberkatan, kedamaian, rahmat dan sebagainya.  Menurut catatan sejarah Islam pernah diriwayatkan bahawa pada era Umar Abdul Aziz dilantik menjadi Khalifah, beliau telah menegakkan keadilan sepenuhnya sehingga dikatakan serigala/anjing tidak menyerang kambing-kambing yang dipelihara oleh penternak-penternak.  Pada masa yang sama turut digambarkan dalam riwayat tersebut bagaimana serigala dapat hidup berkeliaran bersama biri-biri dan kambing sehingga wujud suatu suasana yang menghairankan masyarakat. Berdasarkan fenomena itu maka jelaslah bahawa seorang khalifah yang dilantik berdasarkan sistem politik Islam mampu melahirkan seorang pemimpin yang  adil untuk memacu perkembangan sesebuah negara berlandaskan syariat Islam.  Keadaan ini berbeza dengan politik sekular yang  nyata memang dilihat hebat dari segi fizikal, namun begitu biasanya ia menjadi penyebab kepada keruntuhan nilai manusiawi.


 PRINSIP-PRINSIP POLITIK ISLAM


Menurut Abdul Hadi (2007) untuk memahami konsep politik Islam adalah dengan memahami kaedah syarak mengikut prinsipnya.  Konsep pelaksanaanya perlu dilakukan secara bijaksana mengikut situasi dan realiti yang harus dipraktikkan dan ketegasan pada tempat yang sewajarnya.  Sehubungan dengan itu menurut Shukeri,  Mohamad Azrien , Syed Abdurahman  (2011) konsep politik dalam tamaddun Islam adalah merujuk kepada sistem yang digunakan untuk mengendalikan kerajaan dan negara.  Justeru ia hendaklah berpaksikan kepada dasar-dasar yang digariskan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan di antara dasar atau prinsip utamanya ialah prinsip keadilan, prinsip syura, prinsip ketuanan syariah dan lain-lain lagi.  Individu yang mula-mula menggarapkan pelaksanaan sistem pemerintahan tersebut ialah Nabi Muhammad S.A.W. dan konsep itu kemudiannya diteruskan oleh para khalifah selepas baginda dengan menampilkan dalam berbagai bentuk dan gaya. 

Politik dalam Islam menjurus kegiatan ummah kepada usaha mendukung dan melaksanakan syariat bertujuan untuk menyimpulkan segala sudut Islam yang syumul melalui satu institusi yang mempunyai sahsiah bagi menerajui dan melaksanakan undang-undang.  Ia adalah bersesuaian dengan firman Allah s.w.t.: “Dan katakanlah: “Ya Tuhan-ku, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong”. (Al-Isra: 80).  Sehubungan dengan itu pelaksanaan agenda politik Islam ini mempunyai beberap prinsip yang perlu dipatuhi agar ia tidak terbabas daripada landasan yang dibenarkan oleh syarak.  Abdul Hadi Awang (2007) menjelaskan bahawa Islam adalah petunjuk Allah dengan ajaran-ajaran yang istimewa dan wajib dipelajari serta dikaji secara mendalam, termasuklah dalam bidang politik.  Justeru, bagi menjamin keluhuran politik yang menjadi keperluan manusia secara fitrah dan mencapai objektif peranan manusia yang diletakkan di muka bumi, maka Allah telah menetapkan beberapa prinsip untuk dipatuhi agar ia menjadi landasan yang wajib ditaati secara menyeluruh.  Antaranya ialah:

                    i.            Akidah Islam

Politik Islam adalah berlandasakan kepada akidah tauhid (Allah yang satu) dan pada masa yang sama menolak sebarang bentuk perbuatan syirik (menyekutukan Allah).  Ini bermakna kepercayaan kepada rukun-rukun Iman adalah bermula daripada beriman kepada Allah Yang Maha Esa sehinggalah ke Hari Kiamat (Abdul Hadi: 2007).  Pada masa yang sama, perkara iman ini juga meliputi kepercayaan jitu bahawa seluruh yang datang daripada Allah dan rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w.  Sehubungan dengan itu, iman akan mengikat roh dan jasad agar boleh mengendalikan kewajiban berpolitik secara ibadah yang mewajibkan manusia untuk tunduk dan patuh kepada Allah dan rasul secara mutlak dan diberi keizinan menggunakan kebijaksanaan dalam menangani perubahan dengan cara yang betul.
Al-Maududy (1982) pula menjelaskan bahawa kepercayaan kepada keesaan dan kekuasaan Allah (the unity and souverenity of God) adalah dasar daripada sistem sosial dan moral yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad dan ia boleh dianggap sebagai titik tolak (starting point) kepadan falsafah politik Islam.  Beliau turut menekankan hakikat betapa prinsip dasar Islam adalah bahwa manusia samada secara individu maupun kolektif, wajib menyerahkan segala-gala perkara hanya kepada ketentuan, peraturan, dan kekuasaan Tuhan semata-mata. Atas dasar itu maka tidak seorang pun dibenarkan untuk memberikan perintah atas namanya sendiri agar membuat undang-undang dengan sewengan-wenangnya untuk dipatuhi oleh manusia yang lain.  Dalam erti kata lain, kedaulatan serta kekuasaan berada di tangan Tuhan dan manusia hanya akan menjalankan kekuasaan di dunia atas nama kedaulatan Tuhan.

                  ii.            Menjunjung Tinggi Syariah Islam

Ketinggian syariah Islam menjadi perlembagaan dan sumber perundangan yang berkuasa kepada pihak pemerintah. Selain daripada itu, ia juga merupakan rukun penting kepada dasar dan objektif politik Islam (Abdul Hadi: 2007).  Kenyataan ini berdasarkan firman Allah dalam surah Yusuf: 40 iaitu “Sebenarnya hukum (undang-undang) hanyalah bagi Allah.  Ia memerintah kamu jamgan menyembah melainkan Dia.  Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yusuf: 40).  Syariat akan memelihara rukun penting bagi kehidupan manusia seperti agama, nyawa, maruah, keturunan dan harta.  Ia adalah selaras dengan fitrah ciptaan Allah bagi manusia itu dengan menyeluruh iaitu merangkumi aspek jasad, roh, individu, masyarakat dan hubungan manusia dengan makhluk lain. 
Sehubungan dengan itu, Allah menegaskan beberapa hukum yang telah ditetapkan untuk manusia seperti halal dan haram, serta qisas dan hudud dalam perkara jinayah adalah bertujuan menjamin hak dan keadilan semua pihak.  Ini adalah kerana dalam konteks dunia hari ini, kebenaran kuasa Allah telah membongkar kelemahan undang-undang ciptaaan manusia. Ia dapat dibuktikan dengan bertambahnya gejala sosial, maksiat dan peningkatan kadar jenayah yang semakin parah.  Hakikatnya, syariat Islam yang bersumberkan daripada Al-Quran, Sunnah Nabi Muhammad s.a.w, ijmak dan qias adalah memenuhi segala keperluan tempat, semaa, situasi dan realiti sepanjang zaman (Abdul Hadi Awang: 2007). 

                iii.                  Amanah

Prinsip amanah dalam aspek politik telah dinyatakan secara khusus dalam al-Quran iaitu: “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada ahlinya.” (An-Nisa’: 58).  Menurut Abdul Hadi Awang (2007), ayat ini adalah salah satu rantaian yang disenaraikan dalam ayat urusan politik dan dihuraikan lagi oleh beberapa petikan lain yang mencakupi sifat amanah apabila memilih pemimpin dan pada masa yang sama pemimpin itu sendiri perlu menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.  Sehubungan dengan itu, amanah besar yang dimaksudkan adalah dalam mengurus politik, memimpin umat dan melaksanakan perintah Allah dengan berpegang teguh kepada ajaran Allah yang dinamakan Islam

Konsep amanah menjadi salah satu tonggak penting yang menjayakan politik Islam memandangkan semua urusan di dunia bukan hanya dikawal oleh undang-undang dan peraturan yang lahir, tetapi pada masa yang sama ia turut dikawal oleh hati yang berperasaan amanah dan tanggungjawab terhadap Allah (Abdul Hadi Awang: 2005).   Jelaslah, Islam meletakkan perkara politik atau kewajiban memimpin dan mentadbir adalah perkara amanah besar dalam perhitungan dosa dan pahala serta tanggungjawab yang diperhitungkan sejak di dunia sehingga ke akhirat.  Pertimbangan seperti inilah yang membezakan agenda politik Islam dengan politik sekular yang hanya bersifat materialistik.    

                iv.                  Keadilan

Keadilan daripada sudut pandangan Islam bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya.  Ini bukan sekadar dalam konteks perbicaraan di mahkamah, malah meliputi perkara-perkara lain dalam konteks interaksi sesama makhluk termasuklah hak rohani, kebendaan, layanan dan bantuan.  Islam mewajibkan agar pelaksanaan keadilan itu dilakukan secara mutlak, tanpa ada unsur-unsur diskriminasi (Abdul Hadi Awang: 2005).  Sehubungan dengan itu, ia hendaklah dilaksanakan kepada semua termasuk kepada musuh,apatah lagi terhadap rakyat dalam negara Islam tanpa mengira agama, bangsa, pangkat dan kedudukan.  Dalam ertikata lain, keadilan Islam itu adalah bersifat mutlak dan menyeluruh. 
Istilah mutlak merujuk kepada konsep tidak berbelah bahagi atau tiada sebarang pengecualian kerana ia juga wajib diberikan kepada musuh.  Sementara itu, perkataan menyeluruh pula adalah merangkumi segala aspek kehidupan manusia.  Dalil untuk menegakkan keadilan dinyaatakan dalam al-Quran: 
Wahai orang-orang yang beriman,jadilah kamu orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil.  Hendaklah kamu berlaku adil (kepada semua dan semua keadaan), kerana ia lebih hamper kepada takwa.  Dan bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu maha mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (Al-Maidah: 8). 

                  v.                   Mesyuarat / Musyawarrah

Agenda politik Islam turut menganjurkan amalan bermusyawarrah dalam setiap tindakan seperti dinyatakan oleh al-Quran: “Dan orang-orang yang menyahut perintah Tuhan mereka, lalau mereka mendirikan sembahyang dan urusan mereka dikendalikan dengan bermesyuarat di kalangan mereka dan mereka membelanjakan dari apa yang kami rezeki bagi mereka.” (Asy-Syura: 38).  Kewajiban untuk bermesyuarat dalam setiap perkara adalah bagi menunjukkan hakikat bahawa seseorang pemimpin itu tidak berkuasa penuh dan konsep tersebut tidak akan mengongkong kebijaksanaannya.  Amalan ini terbukti berkesan dalam menyelesaikan perkara-perkara penting dan memerlukan pendapat semua pihak agar keputusan yang diambil dapat memuaskan semua pihak terlibat. 
Sejarah Islam mencatatkan bahawa ketika tentera muslim kebuntuan menghadapi kepungan kaum Quraisy Mekah semasa Perang Khandak, Rasulullah s.a.w. telah bermesyuarat dengan para sahabat untuk memikirkan strategi yang sesuai bagi mengatasi masalah tersebut.  Seorang sahabat bernama Salman al- Farisi tampil dengan idea pembinaan parit di sekeliling kota Mekah lalu baginda menyetujuinya dan akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam.  Begitu juga apabila berlaku peristiwa kewafatan Nabi Muhammad, para sahabat telah memanggil mesyuarat tergempar bagi memilih pengganti Baginda s.a.w.  untuk mengendalikan urusan politik negara.  Berdasarkan kepada hakikat itu jelas membuktikan kepentingan amalan musyawarrah dalam politik Islam. 

PENUTUP

Jelas, konsep politik dalam Islam mempunyai tafsiran tersendiri dan tentunya berbeza daripada sudut pandangan sekular.  Apa yang nyata dalam Islam setiap aktiviti kehidupan telah ditetapkan berlandaskan peraturan al-Quran dan hadis.  Kedua-dua sumber ini jelas relevan kepada manusia dalam apa jua keadaan zaman dan persekitaran.  Justeru, mengenepikan kedua-dua sumber itu bakal mengundang bala kesan daripada kemurkaan Yang Maha Esa.


RUJUKAN

Abdul Hadi Awang. 2007. Islam dan Demokrasi. Batu Caves..PTS Publications Sdn.Bhd.

Abu-al-A’la al-Maududy.1982.  “Political Theory in Islam”, Dalam John J. Donohue
(ed.), Islam in Transition .New York: Oxford University Press.

Shukeri Mohamad, Mohamad Azrien Mohamed Adnan, Syed Abdurahman Syed Hussin. 2011. Analisis Pengaruh Politik Islam Di Negeri Kelantan Terhadap  Gaya Hidup Masyarakat Di Malaysia dlm Tajdid and Islam.Kuala Lumpur. Department of Islamic History and Civilization Academy of Islam Studies University  Of Malaya

Friday, September 7, 2012

                         HUDUD DAN BEBERAPA GAMBARAN SALAH
                                     Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Ramai orang salah sangka apabila membayangkan negara yang dipimpin berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah itu sebagai negara yang agenda utamanya mengintip dan menghukum rakyat yang tidak mematuhi syariat.

Gambaran negara yang islamik sebagai negara yang sibuk mencari pesalah untuk dihukum dengan undang-undang hudud adalah gambaran yang silap yang ada di fikiran sesetengah pihak yang kurang memahami Islam. Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, hudud hanya makanisme untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu, bukan gambaran keseluruhan negara Islam, bahkan bukan hudud juga undang-undang yang merangkumi semua jenayah.

Banyak lagi jenayah yang tidak tersenarai di bawah hudud. Peratusan besar jenayah yang pelbagai, terutama di zaman ini berada di bawah takzir (discretionary punishment). Makanisme ini pula memerlukan suasana yang kondusif untuk perlaksanaannya.

Seseorang muslim apabila berbicara tentang pemerintahan dan tanggungjawab pemerintahan bukanlah membayangkan mekanisma mengatasi jenayah semata, tetapi membayang tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi asas tersebarnya kebaikan dan keamanan dalam negara.
Justeru itu, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila isterinya Fatimah bertanya, dia berkata:
“Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar, yang sakit lagi derita, orang yang tidak berpakaian yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan hartanya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (Al-Zahabi, Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A’lam, 7/197. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi/1407H)
Demikianlah gambaran tanggungjawab pemerintahan yang ada dalam pemikiran beliau. Tanggungjawab menyebarkan kebajikan, pembahagian harta yang adil dan amanah serta kebaikan untuk rakyat di segenap lapisan masyarakat. Tanggungjawab inilah yang beliau takut dan bimbang Allah hukum beliau di akhirat kelak. Inilah asas kerahmatan dalam kepimpinan negara yang berdasarkan wahyu Allah. Tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah tentang kebajikan rakyat lebih ditakuti dibandingkan di hadapan rakyat sendiri atau ‘suruhanjaya rasuah’.

Itulah gambaran negara yang sepatutnya berada dalam pemikiran umat Islam yang cintakan Islam. Para sarjana Islam telah lama memperkatakan hal ini. Muhammad bin Ka’ab al-Qurtubi apabila diminta oleh ‘Umar bin Abd al-Aziz untuk menyifatkan keadilan pemerintah, katanya:
Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Demikian juga kepada wanita. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau”.( Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202. Beirut: Muassasah ar-Risalah/1417H).

Membezakan Jenis Jenayah


Dalam hudud ada dua jenis dosa yang dihukum; pertama; dosa yang membabitkan kesalahan individu dengan Allah S.W.T seperti berzina dan minum arak. Dosa bahagian ini lebih kepada merosakkan diri pelaku itu sendiri. Kedua; dosa yang merosakkan atau mengancam keselamatan masyarakat awam seperti merompak, merogol, mencuri, memberontak dan perkara yang berkaitan dengannya.
Dosa bahagian pertama Islam melarang kita melakukan tajassus ataupun intipan. Sementara dosa bahagian kedua, oleh kerana ia mengancam masyarakat dan fitnah lebih besar dari tajassus, maka intipan boleh dilakukan. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H):
“Aku katakan; jika hanya semata-mata sangkaan maka tidak mencukupi dalam hal ini. Bahkan mestilah dengan pengetahuan, jika tidak ia termasuk dalam tajassus yang dilarang berdasarkan dalil al-Quran. Namun dibolehkan untuk suatu kemaslahatan yang mana membantah kemungkaran itu lebih kukuh dibandingkan meninggalkan tajassus dan kerosakan meninggalkan bantahan terhadap kemungkaran lebih dahsyat dari kerosakan tajassus. Atau mungkin boleh digabungkan bahawa pengharaman tajassus berkaitan dengan tanpa pengetahuan (sangkaan) kerana tidak dinamakan tajassus jika perlaksananya benar-benar mengetahui”. (Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah/1405H)
Hudud Dan Hak Privasi


Ramai akan menganggap, apabila hudud dilaksanakan bererti privacy individu akan terganggu. Intipan di sana-sini akan dibuat untuk mencari orang yang berzina dan minum arak. Ini diburukkan lagi dengan gambaran perlaksanaan sekarang yang dilakukan oleh pihak penguatkuasa agama di sesetengah tempat apabila mereka seakan memasang ‘spy’ dalam mencari pelaku maksiat peribadi. Hal ini amat salah dan bercanggah dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”
Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:
Aku ingin agar diberikan perhatian tentang perkara yang penting mengenai hudud; bahawa Islam tidak terkejar-kejar mencari bukti, tidak mengintai untuk melaksanakan hukum ke atas pelaku kesalahan, tidak mencipta alat untuk mencari rahsia pelaku maksiat atau memasang kamera tersembunyi mengambil gambar ketika mereka melakukan jenayah. Tidak pula menguatkuasakan polis pencari jenayah atau perisik untuk mengintip mereka yang menyanggahi syarak sehingga ditanggap yang terbabit. Bahkan kita dapati panduan Islam dalam hal ini tegas setegas-tegasnya dalam memelihara kehormatan peribadi manusia, pengharaman tajassus (mengintip) dan mencari keaiban manusia. Tidak boleh dilakukan oleh individu, tidak juga oleh pihak kerajaan”. (http://www.qaradawi.net/library/53/2534.html.)
Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada ‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf :

“Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan suara yang kuat.

Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan ‘Abd ar-Rahman-: “Kau tahukah ini rumah siapa?”. Jawab: “Tidak”. Kata Umar: “Ini rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?”. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: “Jangan kamu mengintip”. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka”.( Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi).
Akibat dari amalan yang salah memberikan gambaran yang salah tentang hudud. Islam dalam urusan jenayah atau maksiat peribadi tidak membongkar yang tertutup, sebaliknya hanya mencegah yang nyata dan zahir sahaja. Seperti kata al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) :
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pencegahan) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990).
Membina Masyarakat Yang Pemaaf


Dalam perlaksanaan hudud, pemerintah hendaklah mendidik rakyat agar mengelakkan sikap suka mengangkat kes hudud kepada pihak mahkamah atau berkuasa. Sebaliknya, hendaklah digalakkan kemaafan antara rakyat dan diselesaikan diluar mahkamah. Ini seperti hadis Nabi s.aw:
“Sesungguhnya pencuri pertama dalam Islam dibawa kepada Nabi s.a.w lalu diperintahkan agar dipotong tangan. Wajah Rasulullah s.a.w seakan kecewa sedih. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Seakan engkau membenci hal ini”. Jawab Nabi s.a.w: “Mengapa tidaknya aku benci, kamu semua telah menjadi penolong syaitan menentang saudara kamu. Sesungguhnya tidak wajar bagi pemerintah yang diangkat kepadanya hukuman had melainkan dilaksanakan”.
Lalu baginda membaca firman Allah: “Hendaklah kamu maafkan dan lupakan kesalahan, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? (Surah an-Nur: 22)” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Dihasankan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah).
Keinginan sesetengah masyarakat awam yang tidak faham yang seakan ‘mengidam’ untuk melihat tangan dipotong adalah tidak serasi dengan inspirasi hudud bahkan itu menjadikan mereka ‘penolong syaitan’.


Hudud Memerlukan Ijtihad Baru


Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam al-Quran dan as-Sunnah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat. Umpamanya kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza dalam hal ini. Cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan. Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira.

Demikian ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini. Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengan takzir (discretionary punishment).

Munajat Keampunan Zikir Doa Taubatan Nasuha