Kehadirannya tidak disedari......













Tuesday, February 28, 2012

      MASIH RELEVANKAH SISTEM MONARKI DI THAILAND, BRUNEI DAN KEMBOJA?
           Zainal Sanusi 
( Pengajian Sains Politik, UKM)


LATARBELAKANG

Menurut Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif (2009) pemerintahan beraja atau juga dipanggil sebagai monarki merupakan satu bentuk kerajaan yang wujud dari zaman kuno sehinggalah awal abad yang ke-20 dan diperintah oleh seorang raja atau permaisuri secara turun-temurun.  Ia dianggap sebagai sistem tertua di dunia dan pernah menguasai lebih 900 buah negara di dunia pada awal kurun ke-19.  Walau bagaimanapun, jumlah tersebut menurun kepada 240 buah menjelang abad ke-20.  Seterusnya, ia semakin berkurangan apabila hanya terdapat 40 takhta sahaja pada dekad kelapan abad yang sama. Daripada jumlah tersebut, hanya empat negara yang mempunyai raja atau monarki mutlak dan selebihnya terhad kepada sistem perlembagaan.  Secara umumnya, K. Ramanathan (2003) menyatakan bahawa perkataan atau istilah monarki berasal daripada dua perkataan, iaitu mono (bermaksud satu ) dan cracy (pemerintahan).

 Selain daripada itu, terdapat satu lagi definisi berbeza namun mempunyai asal usul istilah Monarki iaitu daripada perkataan Latin monos bermaksud satu dan archein yang membawa makna memerintah (Katni Kamsona Kibat : 1986).  Namun begitu, kedua-dua istilah tersebut tetap membawa maksud yang sama iaitu satu pemerintah.  Justeru itu, para pengkaji sejarah dan pemikir politik telah menggunakan istilah monarki untuk menerangkan corak pemerintahan yang dijalankan serta diterajui oleh seorang pemerintah.  Sehubungan dengan itu, secara jelasnya kita dapat memberi penafsiran konsep monarki sebagai sebuah kerajaan di bawah seorang raja atau negeri yang diperintah oleh seorang raja.  Monarki atau sistem pemerintahan beraja  melambangkan kemegahan seseorang sebagai simbol serta kedaulatan sesebuah negara dan dikatakan merupakan kerajaan yang paling awal diwujudkan. 

             CIRI-CIRI KERAJAAN MONARKI

Seperti yang telah dijelaskan bahawa sebuah kerajaan bercorak monarki akan diperintah oleh seorang Raja.  Sehubungan dengan itu semua perjalanan jentera kerajaan akan berada di bawah telunjuk satu orang yang selalunya bergelar ruler atau raja.  Justeru, menurut Katni Kamsona Kibat (1986) setiap undang-undang adalah di bawah kelulusannya dan dia dianggap sebagai sumber kedaulatan, pemegang kuasa yang mutlak serta tidak terbatas.  Selain daripada itu, di dalam sejarah sebuah negara yang mempunyai pemerintahan bentuk monarki ia mempunyai asal-usulnya sendiri.  Dalam konteks ini, raja yang memerintah dilantik oleh rakyat dan selepas itu pemerintahan tersebut akan diwarisi oleh keturunannya dari satu zaman ke zaman.  Untuk menjamin kesinambungan pemilikan kuasa, kebiasaannya takhta raja ini akan diambil alih oleh anak lelaki yang sulung.  Seorang raja di dalam sistem monarki memiliki kuasa mutlak dan dikatakan mempunyai asal-usul daripada Tuhan (K.Ramanathan: 2003).  Sebagai contoh, Raja Nepal dipercayai adalah penjelmaan semula Dewa Vishnu dan Raja Jepun pula pernah dianggap sebagai anakanda Dewa Matahari oleh rakyat di negara masing-masing.  Unsur-unsur mitos seperti itu menyerlahkan lagi kepercayaan rakyat betapa raja mempunyai beberapa keistimewaan dari segi kuasa luarbiasa yang dimiliki.

 Keyakinan ini dikuatkan lagi dengan soal keturunan, iaitu takhta hanya boleh diwarisi oleh keturunan raja itu sahaja.  Justeru, hak menaiki takhta tidak boleh diserahkan kepada individu yang bukan berasal daripada kerabat diraja.  Selain daripada itu, kuasa mereka adalah bercorak menyeluruh yang melibatkan semua aspek kehidupan merangkumi seperti ekonomi, politik, kehakiman malah bertindak sebagai pendita agama.  Kuasa istimewa yang dimiliki juga sering kali dikatakan sebagai penentu jatuh bangunnya sesebuah negara itu.  Kejayaan dan kegagalan di negara-negara tertentu dikatakan akibat daripada pengaruh kuasa ghaib raja berkenaan.  Justeru itu rakyat yang hidup di bawah sistem kerajaan ini adalah wajib mentaati raja yang memerintah serta tunduk kepada segala kehendak baginda.  Walaupun terdapat kes yang melibatkan kekejaman seseorang raja, namun menurut K.Ramanathan (2003) rakyat haruslah tunduk patuh kepada baginda dan hanya Tuhan sahaja yang mempunyai kuasa untuk menarik balik jawatan tersebut.

       EVOLUSI PEMERINTAHAN MONARKI / BERAJA

Secara umumnya bentuk pemerintahan beraja atau monarki ini telah melalui tiga tahap asas (Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif: 2009) iaitu:

3.1              Sistem Beraja Mutlak.

Sistem ini lahir daripada konflik yang berlaku di antara pihak gereja dengan istana.  Dalam konteks ini, pihak gereja bersedia untuk mengembangkan pengaruhnya di luar sempadan kerahibannya.  Walau bagaimanapun, sebahagian raja membuat perisytiharan bahawa Tuhan telah memberi kebenaran dan hak memerintah kepada mereka.  Justeru, dengan mempunyai hak ketuhanan (divine right) ini maka membolehkan mereka mempunyai keabsahan di dalam pemerintahan dan seterusnya membataskan kuasa Paus (Pope).  Secara tidak langsung mereka mempunyai kuasa mutlak terhadap semua aspek pemerintahan.

3.2              Sistem Monarki Terhad.

Di bawah sistem ini, raja yang memerintah amat bergantung kepada sokongan golongan bangsawan yang berkuasa.  Sehubungan dengan itu, mereka telah mengenakan had tertentu terhadap kuasa raja yang memerintah dengan cara menulis perjanjian dikenali sebagai Magna Carta.  Raja terpaksa aku dengan perjanjian tersebut yang menjamin hak dan keistimewaan golongan bangsawan kerana takut kehilangan sokongan politik serta kewangan.

3.3              Sistem Monarki Berperlembagaan.

Sistem ini membawa maksud bahawa segala hak dan keistimewaan raja-raja ditentukan oleh kuasa perlembagaan yang berpusat di Parlimen. Jelasnya, raja hanya berfungsi sebagai lambang negara dan memiliki kuasa simbolis semata-mata. 

    PEMERINTAHAN BERAJA DI ASIA

Sistem pemerintahan beraja dianggap mendominasi Asia Tenggara terutama sebelum kemunculan pengaruh Barat.  Masyarakat di negara-negara seperti Thailand, Kampuchea dan Brunei memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada raja.  Kedudukan raja begitu dihormati dan seolah-oah menjadi keramat kepada rakyatnya.  Keadaan ini berlaku kerana rakyat melihat raja mereka sebagai individu manusia yang berbeza daripada manusia yang lain.  Pada pandangan rakyat,  raja dilihat sebagai individu penuh keramat dan kesaktian serta mempunyai kuasa yang tiada tolok bandingnya.  Keadaan seperti ini dapat dijelaskan melalui konsep ketuhanan atau kekuasaan tuhan yang dimiliki oleh raja.  Dalam erti kata lain,  penghormatan rakyat terhadap rajanya bergantung kepada kekuasaan ketuhanan yang dimiliki oleh baginda.  Kepercayaan seperti itu akan menghasilkan mitos sama ada seorang raja itu adalah tuhan, anak tuhan, mempunyai kuasa tuhan atau individu lindungan tuhan , raja menjadi objek sama ada untuk disembah atau menurut segala arahan atau titahnya. 

Sehubungan dengan itu, sebarang tindakan untuk melawan atau cubaan memberontak  menjadi satu kesalahan yang besar dan boleh menyebabkan mereka yang berkelakuan seperti ini disumpah atau dimurkainya.  Konsep kemurkaan raja ini dianggap sebagai kemurkaan tuhan dan individu yang melanggar kepercayaan ini akan mendapat kecelakaan.  Justeru, kepercayaan seperti ini telah meletakkan institusi raja dalam situasi yang selesa dan sentiasa mendapat kepatuhan daripada rakyat.  Faktor ini menyebabkan kebanyakan negara yang mengamalkan pemerintahan bercorak monarki akan kekal lama dan pentadbiran dapat berjalan dengan baik tanpa banyak penentangan daripada rakyat.  Keadaan ini diperkuatkan lagi dengan peranan golongan intelektual agama yang dianggap sebagai orang kanan atau pakar rujuk raja.  Malahan di beberapa negara tertentu kedudukan sami berada di tempat kedua  tertinggi selepas raja. 


              Sistem Beraja Di Thailand

Sejarah membuktikan bahawa sistem beraja di Thailand telah berjaya mengekalkan kemerdekaan negaranya daripada pencerobohan kuasa-kuasa barat dan mampu meletakkan negara itu setaraf dengan kuasa-kuasa asing yang lain.  Sehubungan dengan itu, David K.Wyatt (2003) di dalam bukunya Thailand : A Short Story menyatakan bahawa beberapa reformasi oleh  pemerintahan Dinasti Chakri yang diasaskan oleh Rama 1 seperti mengubah undang-undang berkaitan istiadat cerai sangat dipengaruhi oleh keadaan semasa.  Menurut beliau, zaman pemerintahan ketika itu telah melalui zaman penting yang menjadi platform kepada negara tersebut menyiapkan diri dalam menghadapi segala bentuk reformasi dan transformasi cabaran pada masa akan datang.  Jelas, ketika era pemerintahan Rama 1 ini, baginda telah melaksanakan apa yang dipanggil sebagai revolusi senyap dan mementingkan pembangunan modal insan serta perkembangan intelektual.

Kejayaan sistem pemerintahan beraja di Thailand turut disokong oleh  kepimpinan dua orang raja yang berkarisma tinggi iaitu Mongkut ( 1851-1868) dan anak baginda Chulalongkorn (1869-1910).  Kedua-dua pemerintah ini berjaya menghalang kuasa-kuasa barat daripada menakluki Siam walaupun pada masa yang sama hampir semuanya telah menguasai negara-negara di sekeliling mereka.  Sepanjang tempoh 17 tahun Mongkut berada di tampuk pemerintahan, ternyata baginda begitu tegas terhadap ancaman barat dan berusaha mengekalkan wilayah yang dimiliki daripada penjajahan barat. Mongkut mengekalkan sistem pendidikan barat tetapi membuat beberapa pengubahsuaian terhadap adat-adat tertentu seperti upacara meminum air ketaatan.  Sepanjang era pemerintahan Mogkut telah menyaksikan raja turut meminum air berkenaan dan dari sudut moralnya ia telah dapat mendekatkan golongan rakyat dengan pemerintah. 
Putera Mogkut iaitu Chulalongkorn telah didedahkan dengan pendidikan tradisional yang sangat diperlukan untuk mendalami budaya dan kehidupan masyarakat Siam.  Pada masa yang sama, pendidikan barat turut diberikan oleh beberapa oranga guru Inggeris seperti Anna Leonowens dan ternyata kombinasi kedua-dua sistem tersebut telah membantu kejayaan Chulalongkorn.  Ketika berusia 15 tahun, Chulalongkorn telah ditabalkan menjadi raja selepas kemangkatan Mongkut akibat demam malaria.  Chulalongkorn telah melantik Chao Phraya Sri Suriawongse sebagai pembesar kanan yang memperkenalkan beberapa perubahan dan pengubahsuaian dalam tradisi tempatan seperti menghapuskan adat menunduk kepala semasa berhadapan raja. 

Era pemerintahan Chulalongkorn berakhir dengan kemangkatan baginda pada tahun 1910 seterusnya tampuk pemerintahan telah diambilalih Raja Vajiravuth dan Raja Prajadhipok.  Pada tahun1932, Parti Rakyat Khana Rat telah berjaya merampas kuasa dan seterusnya memaksa Raja Prajadhipok menerima sistem Raja Berperlembagaan.  Keadaan ini telah mengubah lanskap politik Thailand dan sejak itu sistem demokrasi yang diketuai oleh pihak tentera mula diperkenalkan. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan sistem pemerintahan Diraja Thailand kehilangan cengkamannya.  Walau bagaimanapun antara faktor yang sering disebut ialah kelemahan kepimpinan Raja Vajiravuth dalam membuat keputusan.  Dasar ekonomi lemah dan kurangnya kawalan terhadap perbelanjaan untuk memodenkan angkatan bersenjata berbanding dengan kesenian serta kesusasteraan yang menjadi minat baginda turut menyumbang kepada kejatuhan pemerintahan beraja di Thailand. 

Raja Vajiravuth juga dikatakan sering meninggalkan tugas pemerintahan kepada para pegawai kepercayaan baginda menyebabkan penyalahgunaan kuasa berlaku secara berleluasa.  Apabila Raja Prajadhipok menaiki takhta pada tahun1925, baginda telah melantik anak-anak raja sebagai pembesar, menubuhkan Majlis Tertinggi Negara dan Majlis Privi dengan tujuan untuk mengembalikan kekuasaan raja.  Semua usaha tersebut gagal dan akhirnya berlaku revolusi pada tahun 1932 yang telah menoktahkan sistem pemerintahan beraja mutlak di Thailand dan digantikan dengan raja berperlembagaan yang kekal hingga ke hari ini.  Secara simboliknya revolusi itu menandakan amalan demokrasi bertapak di Thailand dan sejak itu beberapa siri rampasan kuasa telah berlaku menyebabkan jawatan Perdana Menteri sering bertukar daripada kalangan awam dan tentera.

             Sistem Beraja Di Brunei

Pada tahun 1959 telah berlaku satu peristiwa bersejarah iaitu penggubalan dan pengisytiharan Perlembagaan Bertulis Negara Brunei.  Peristiwa itu dianggap satu tranformasi yang sangat signifikan terhadap lanskap politik dan pentadbiran moden abad ke-20 Negara Brunei Darussalam. Ia telah mengembalikan status Negara Brunei Darussalam sebagai pemerintahan bercorak monarki kerana sebelum ini sultan berada di bawah pengaruh penjajah Inggersi dan hanya berkuasa dalam bidang agama serta adat resam Melayau sahaja.  Selain daripada itu, penggubalan tersebut telah mencorakkan politik dan pentadbirannya dari gabungan unsur tradisi serta moden.  Pemerintah ketika itu, Sultan Haji Omar Ali Saifuddien bertitah bahawa pengisytiharan tersebut adalah satu langkah yang besar dalam kemajuan negeri ini menuju ke arah berkerajaan sendiri yang penuh dan merdeka.  Ini adalah kerana perlembagaan yang ditulis itu memberi fokus terhadap menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara, menggariskan kuasa eksekutif Sultan dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. 

Secara khususnya, Perlembagaan Tahun 1959 merupakan asas kepada politik dan pentadbiran Negara Brunei.  Kewujudannya telah meletakkan kuasa eksekutif sepenuhnya kepada Sultan, di samping memberikan ketentuan kepada pelaksanaan tersebut melalui proses undang-undang dan pentadbiran awam serta nasihat daripada beberapa majlis-majlis mesyuarat.  Justeru itu, secara tidak langsung Brunei telah menjadi sebuah negara yang mempunyai kuasa memerintah sepenuhnya walaupun tetap dianggap negara naungan kerana hal ehwal luar negeri dan pertahanan masih berada di bawah tanggunjawab United Kingdom.  Namun begitu, secara asasnya negara ini mempunyai hak untuk membuat undang-undang, kuasa melaksanakan  dan menguatkuasakan undang-undang.  Di samping itu,  dengan kuasa yang ada negara Brunei juga berhak menggubal dasar-dasar kerajaan serta menggerakkan jentera pentadbiran negara untuk memajukan serta mengembangkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat. 


Pada tahun 1967, Omar Ali Saifuddin telah turun takhta dan melantik anakanda sulung baginda iaitu Hassanal Bolkiah menjadi Sultan Brunei ke-29.  Namun begitu, baginda berkenaan menjadi Menteri Pertahanan setelah Brunei mencapai kemerdekaan penuh dengan menggunakan gelaran Paduka Seri Begawan Sultan .  Pada tahun 1970, pusat pemerintahan negeri Brunei atau Brunei Town telah diubah namanya menjadi Bandar Seri Begawan sempena memperingati jasa Sultan Omar Ali Saifuddin dan baginda mangkat pada tahun 1986.  Pada 4 Januari 1979, Brunei dan United Kingdom telah menandatangani Perjanjian Kerjasama dan Persahabatan yang dianggap sebagai perintis untuk membebaskan diri daripada belenggu penjajah.  Akhirnya, setelah beberapa siri rundingan diadakan di antara kedua buah negara maka  pada 1 Januari 1984, Brunei Darussalam telah berjaya mencapai kemerdekaan penuh daripada pihak British.

Kemerdekaan penuh yang diperolehi itu menandakan kembalinya semula sistem pemerintahan monarki mutlak di negara Brunei.  Sehubungan dengan itu, Sultan di dalam kontkes institusi beraja akan menjadi pemerintah dan ketua negara.  Pada masa yang sama baginda akan mengetuai pentadbiran dan pengurusan kerajaan.  Skop tugas seorang Sultan dinyatakan di bawah perlembagaan negara seperti berikut :-

“...Kuasa memerintah yang tertinggi bagi Negara Brunei Darussalam adalah terletak di dalam tangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan Yang Di-Pertuan.....”

Justeru, kuasa yang diamanahkan di bawah perlembagaan kepada baginda ini ditumpukan untuk kebajikan, kesejahteraan dan keamanan rakyat jelata.  Walaupun bertindak sebagai pemerintah tertinggi, baginda turut dinasihati oleh beberapa majlis dan sebuah kabinet menteri.  Keutuhan institusi monarki Brunei di bawah pemerintahan baginda sultan telah menjadikannya sebuah negara yang paling stabil dari segi politik di rantau Asia.

              Sistem Beraja Di Kampuchea

Kerajaan Kampuchea merupakan sebuah negara berbentuk monarki berperlembagaan di Asian Tenggara.  Negara ini dikatakan sebagai penerus Empayar Khmer yang pernah menguasai seluruh Semenanjung Indo-China antara abad ke -11 dan 14.  Ia terletak bersempadanan dengan Thailand di sebelah barat, Laos di utara, Vietnam di timur dan Teluk Thailand di selatan.  Selain daripada itu, Sungai Mekong dan Tasik Tonle Sap terbentang melintasi negara ini.    Apabila memperkatakan tentang institusi beraja di Kampuchea adalah tidak lengkap jika tidak membicarakan tentang peranan Putera Norodom Sihanouk di dalam konteks perkembangan negara berkenaan.  Baginda lahir pada 31 Oktober 1922 adalah merupakan anak lelaki kepada pasangan Raja Norodom Suramarit dan Ratu Sisowath Kossamak.  Norodom Sihanouk pernah menjadi raja Kampuchea dan turun takhata pada 7 Oktober 2004  serta mengambil gelaran putera.  Sepanjang sejarah Kampuchea yang berkecamuk,  Norodom Sihanouk  memegang begitu banyak jawatan sehinggakan Guinness Book Of World Record telah mencatatakan nama baginda sebagai ahli politik yang memegang jawatan paling pelbagai. 

Baginda pernah menduduki takhta kerajaan kampuchea sebagai raja selama dua penggal, satu penggal sebagai Presiden, dua penggal sebagai Perdana Menteri, satu penggal sebagai ketua negara tanpa gelaran  dan tidak termasuk pelbagai jawatan sebagai ketua dalam pelbagai kerajaan dalam buangan. Selepas Perang Dunia ke-2 dan pada awal tahun 1950-an, matlamat politik Raja Sihanouk lebih fokus kepada nasionalis dan baginda mula menyuarakan tuntutan supaya Peranchis memberikan kemerdekaan dan keluar meninggalkan Kampuchea.  Saranan baginda itu juga mencerminkan semangat dan kehendak kebanyakan negara di kawasan tersebut seperti Vietnam, Thailand dan Laos.  Sehubungan dengan itu, baginda telah membuang diri ke Thailand pada tahun 1952 dan enggan kembali sehingga kemerdekaan diberikan.  Baginda hanya kembali ke Kampuchea apabila kemerdekaan dicapai pada 9 November 1953.  Pada 2 Mac 1952, Sihanouk  telah turun takhta untuk memberi laluan kepada ayahanda baginda memerintah negara.  Tidak berapa lama kemudian Sihanouk telah menjawat jawatan Perdana Menteri Kampuchea.  Walau bagaimanapun selepas kemangkatan ayahanda baginda pada tahun 1960, Sihanouk telah dilantik sekali lagi menjadi Ketua Negara walaupun tidak dikurniakan gelaran `` Raja ``.

 Ketika Perang Vietnam berlangsung, Sihanouk berusaha menjadikan Kampuchea sebuah negara berkecuali dengan secara bergilir-gilir menyebelahi Republik Rakyat China, Amerika Syarikat dan seterusnya menyokong polisi Jalan Ketiga.  Walau bagaimanapun, usaha-usaha yang dijalankan untuk menghalang peperangan itu merebak ke negara baginda menemui kegagalan. Akibatnya satu pemberontakan telah diatur oleh Lon Nol pada bulan Mac 1970 untuk menyingkirkan Sihanouk daripada kuasa ketika baginda berada di luar negara.  Susulan  rampasan kuasa itu, Sihanouk telah melarikan diri ke Beijing dan menyusun strategi untuk menentang kerajaan pimpinan Lon Nol di Phnom Penh.  Pada bulan April 1975 Republik Khmer telah jatuh ke tangan Khmer Rouge dan Sihanouk menjadi simbol Ketua Negara sementara Pol Pot kekal menjadi kuasa di belakang takhta.  Apabila berlaku pencerobohan Vietnam ke atas Kampuchea pada bulan Disember 1978, baginda telah berkerjasama dengan Khmer Rouge membentuk barisan bersatu menentang negara itu.  Kerjasama ini menjadi titik tolak kepada pengunduran Vietnam daripada bumi Kampuchea pada tahun 1989. 

Walau bagaimanapun pengunduran itu tidak bersifat total kerana masih mengekalkan legasi pro-Vietnam di bawah pimpinan Perdana Menteri Hun Sen melalui kerajaan yang dikenali sebagai People’s Republic of Kampuchea.  Pada tahun 1991 berlaku rundingan di antara Coalition Goverment of Democratic Kampuchea pimpinan Sihanouk dengan People’s Republic of Kampuchea yang diketuai oleh Hun Sen.  Rundingan ini membawa penyelesaian lengkap yang ditandatangani di Peranchis dan telah membawa semula Sihanouk kembali ke tampuk pemerintahan Kampuchea pada 14 November 1991 selepas tiga belas tahun hidup di dalam buangan. 



      BEBERAPA KELEBIHAN SISTEM BERAJA DI THAILAND, BRUNEI DAN KAMPUCHEA

Pemerintahan beraja atau monarki dianggap sebagai sistem kerajaan yang tertua di dunia.  Di beberapa buah negara Asia Tenggara seperti Brunei, Kampuchea dan Thailand sistem ini jelas mempunyai beberapa kepentingan atau  kelebihan tersendiri dalam konteks kestabilan politik setempat. 

                   Sistem Monarki Lambang Kestabilan Negara. 

Kenyataan tersebut jelas terbukti dalam sistem monarki mutlak seperti yang diamalkan di negara  Brunei Darussalam, malahan ia terkenal dengan kestabilan politiknya di rantau Asia Tenggara ini.  Peranan baginda Sultan Brunei sebagai Ketua Negara dan Ketua Eksekutif  yang menjalankan urusan pentadbiran serta pengurusan kerajaan ternyata memberi kesan kepada kestabilan negara.  Ini dibuktikan di dalam perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Brunei Darussalam sempena Sambutan Jubli Perak baginda menaiki takhta pada 5 Oktober 1992 yang antara lan menyebut :-

``....jika diteliti dan perhatikan dengan jujur, membuktikan bahawa sistem pemerintahan yang kita amalkan selama ini yang telah berjalan sekian lama itu, adalah kukuh dan malahan berjaya membawa kebajikan kepada rakyat dan negara.  Jadi dari bukti yang ringkas ini, adalah memberikan jaminan dan keyakinan bahawa sistem pemerintahan beraja yang telah kita warisi dan pelihara itu telah berhasil menciptakan kebahagiaan dan keunggulan untuk negara Brunei Darussalam.....``
           
Hubungan di antara raja dan rakyat di Brunei ternyata berjalan dengan baik dan keadaan ini merangsang suasana politik yang stabil yang seterusnya memberi kesan terhadap kemakmuran ekonomi negara tersebut. 

       Sistem Monarki Sebagai Pemangkin dan Mekanisme Perpaduan Rakyat

Sistem beraja dilihat dapat memainkan peranan menyatupadukan rakyat di seluruh negara untuk menjadikan sesebuah negara itu kuat dalam perjuangan menentang ancaman luar.  Dalam konteks ini, negara Thailand era pemerintahan Dinasti Chakri iaitu pada abad ke-19 dilihat contoh terbaik betapa instusi beraja bertindak sebagai benteng pertahanan daripada penjajahan kuasa barat ketika itu.  Raja-raja Chakri begitu kuat memegang konsep ajaran agama buddha threavada.  Menurut ajaran, ini hak seseorang adalah berdasarkan kuasa-kuasa akhlak dan kebolehan peribadi.  Justeru, seseorang calon yang ingin menaiki takhta kerajaan Siam tidak semestinya berasal daripada dinasti yang pernah memerintah, sebaliknya perlu membuktikan kuasa akhlak dan peribadi yang luar biasa agar mampu terus mendapat kepatuhan rakyat.  Inilah yang diamalkan sepanjang 17 tahun pemerintahan Raja Mongkut hingga dianggap sebagai zaman keemasan monarki di Thailand.  

Baginda berusaha mengekalkan malah membuat pengubahsuaian beberapa adat-adat tertentu yang dilihat mampu mengeratkan hubungan raja dengan rakyat.  Sebagai contoh, era pemerintahan baginda menyaksikan raja turut serta meminum air ketaatan dan ini dianggap sebagai salah satu cara untuk mendekatkan rakyat dengan pemerintah.  Keakraban hubungan inilah yang menjadikan perpaduan rakyat ketika itu begitu utuh hingga menyukarkan kuasa barat menjajah negara tersebut.  Selain daripada itu, Negara Brunei Darussalam di bawah pemerintahan Sultan Hassanal Bolkiah juga berjaya mempertahankan dan mengekalkan status quonya sebagai sebuah kerajaan merdeka lagi berdaulat dengan pemerintahan kesultanan dengan pemerintahan kesultanan yang unggul berasaskan perlembagaan, undang-undang dan agama Islam sebagai simbol perpaduan.  Pada masa yang sama, baginda sultan juga menitikberatkan kehidupan berteraskan adat istiadat, tatasusila dan saling hormat menghormati dalam mengujudkan masyarakat harmoni dan bersatu  di negara tersebut. 

    Raja Sebagai Ikon Untuk Mengembalikan Keamanan

Di beberapa buah negara ternyata raja masih tetap menjadi figur utama dalam menyelesaikan pergolakan politik tempatan seperti peranan yang dimainkan oleh Raja Bhumipol Adulyadej.    Apa yang jelas, selama 60 tahun bertakhta Raja Bhumipol masih dihargai oleh seluruh rakyat Thailand bahkan sebahagian daripada mereka menganggap baginda sebagai dewa.  Penglibatan Raja Bhumipol dalam politik secara langsung adalah tidak jelas disebabkan oleh sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Thailand.  Selepas Revolusi tahun 1932, sesiapa sahaja yang ditabalkan sebagai raja Thailand tidak terlibat dengan sebarang proses pembuatan dasar negara.  Keadaan ini tidak bermaksud menafikan kedaulatan sistem monarki yang telah diamalkan selama ini, tetapi untuk memudahkan pentadbiran kerajaan yang memerintah.   Namun begitu,  umum mengetahui pada praktiknya baginda seolah-olah mempuyai kekuasaan luar biasa dalam memainkan peranan di balik tabir untuk menyelesaikan sesuatu konflik politik yang timbul.

Sebagai contoh, sepanjang tempoh 1932 sehingga 2006 telah berlaku 17 rampasan kuasa dan dan 8 daripadanya berjaya.  Susulan daripada itu, ketua kerajaan Thailand bersilih ganti antara orang awam dan juga tentera.  Rampasan kuasa yang berlaku disebabkan oleh ketidakpuasan hati terhadap kerajaan yang memerintah sama ada disebabkan krisis ekonomi dan rasuah di kalangan pemimpin tertinggi.  Ternyata beberapa siri rampasan kuasa seperti yang diketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin mendapat restu daripada institusi raja di Thailand.  Begitu juga ketika berlaku pertembungan  di antara penyokong Baju Merah ( pro-Thaksin) dengan kumpulan Baju Kuning ( pro-Abisit ), para pemerhati berpendapat krisis tersebut dapat diredakan seketika dengan campurtangan Raja Bhumipol Adulyadej walaupun tidak mampu menamatkan konflik tersebut sepenuhnya.  Di Thailand yang sudah menyaksikan beberapa episod rampasan kuasa, campurtangan raja walaupun tidak secara langsung adalah sesuatu yang tidak menghairankan.  Malahan dalam kebanyakan peristiwa  itu, camputangan baginda berjaya mengekalkan keamanan dan keselamatan Thailand. 

       SISTEM BERAJA TIDAK LAGI RELEVAN DI THAILAND, BRUNEI  
DAN KAMPUCHEA.

Walaupun pemerintahan beraja dianggap sebagai sistem tertua di dunia dan individu yang bertakhta di singgahsananya dianggap keramat serta mempunyai hubungkait dengan kekuasaan tuhan, namun ternyata ia semakin dilupakan selari dengan perkembangan zaman. Ini adalah berdasarkan fakta daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Pemerintahan_beraja yang menjelaskan bahawa pada dekad kelapan abad ke-20 ini hanya terdapat 40 takhta sahaja yang masih wujud.  Daripada jumlah itu pula hanya empat negara sahaja yang mengamalkan monarki mutlak sementara selebihnya terbatas kepada sistem raja berperlembagaan.  Banyak faktor yang menjelaskan betapa institusi monarki tidak lagi relevan bukan sekadar di Asia Tenggara, malahan di seluruh dunia.  Antaranya ialah :-

     Kelemahan Individu Yang Dilantik Sebagai Raja

Kelemahan individu inilah yang menjadi punca meletus Revolusi Siam 1932 seterusnya  menjadi titik tolak kemerosotan sistem monarki mutlak dan diganti dengan raja berperlembagaan hingga ke hari ini.  Ia bermula dengan kemerosotan sistem monarki mutlak semasa era pemerintahan Vijaravudh disebabkan oleh dasar pemerintahan baginda.  Vijaravudh telah menyerahkan sepenuhnya urusan merangka dan menjalankan dasar pemerintahan negara kepada pegawa-pegawai  yang dilantik tanpa sebarang pemantauan.  Akibatnya, penyelewengan dan penyalahgunaa kuasa di kalangan pegawai baginda tidak dapat dikawal lagi.  Ini melibatkan soal pilih kasih dalam perlantikan beberapa jawatan penting dalam kerajaan menyebabkan pentadbiran negara menjadi kucar kacir kerana diuruskan oleh individu-individu yang tidak berkaliber. 

Perkara yang sama juga berlaku dalam institusi monarki di Kampuchea hingga menyebabkan Raja Norodom Sihamoni digelar sebagai tahanan dalam istana ( Berita harian: 6 Jun 2011).  Baginda kelihatan lebih sesuai dengan persekitaran seni di Eropah.  Ini adalah kerana baginda pernah menjadi penari ballet berbanding mengambil tahu mengenai pergolakan dan perkembangan politik Kampuchea.  Kelemahan baginda telah dieksploitasi sepenuhnya oleh Hun Sen yang semakin mengukuhkan kuasa beliau sejak menjawat jawatan Perdana Menteri Kampuchea pada tahun1997 selepas secara perlahan-lahan keluar daripada kancah Perang Vietnam dan perang saudara sejak beberapa lama.  Walaupun perlembagaan kampuchea memberikan baginda kuasa, namun Sihamoni tidak pernah menggunakannya.  Malahan pergerakan baginda sentiasa dikelilingi pemerhati kerajaan serta diawasi Menteri hal Ehwal Diraja, Kong Som Ol yang merupakan sekutu kuat Hun Sen .  Pada masa yang sama hubungan Sihamoni dengan media juga dikawal ketat menyebabkan baginda seolah-olah hanya sekadar ` raja boneka` walaupun mengetuai sebuah kerajaan. 

    Sistem Monarki Melambangkan Keistimewaan dan Pembaziran.

Di dalam sistem monarki, raja yang memerintah jelas mempunyai kedudukan istimewa di mata masyarakat.  Keistimewaan ini mungkin dalam bentuk material atau kuasa tertentu sekiranya ia merupakan sebuah negara monarki mutlak  yang biasanya memperuntukan jawatan penting kepada kaum kerabat sendiri.  Dalam konteks ini,  negara Brunei yang mengamalkan monarki mutlak dan terkenal dengan hasil kekayaan sumber asli iaitu minyak boleh dijadikan satu contoh.  Negara yang diketuai olah Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ini merupakan salah sebuah negara kaya di dunia.  Corak pemerintahan baginda juga baik dan dengan kekayaan sumber yang dimiliki membolehkan rakyat Brunei hidup mewah serta aman.  Melalui sistem monarki mutlak, baginda telah melantik beberapa orang kerabat diraja memegang jawatan penting dalam kerajaan.  Walau bagaimanapun, terdapat segelintir anggota kerabat telah mencemarkan nama baik baginda sultan dengan menyalahgunakan kuasa yang diberikan. 

Sebagai contoh, adinda baginda sendiri iatu Putera Jefri Bolkiah yang telah menggelapkan dana negara sebanyak hampir AS$16 billion ( RM 51.2b) semasa menjawat jawatan Menteri Kewangan hingga mendorong kerajaan Brunei mengeluarkan saman untuk menuntut gantirugi.  Selain daripada itu, menurut http://syukran.wordpress.com Putera Jefri dikatakan telah membelanjakan B$2.1 billion ( RM  6.2 billion) dalam tempoh 10 tahun untuk kemewahan baginda.  Keadaan ini sebenarnya memberikan gambaran seolah-olah kerabat diraja mempunyai keistimewaan tertentu yang berbeza dengan rakyat biasa.  Justeru dengan keistimewaan itu mampu berbuat apa sahaja biarpun menggunakan dana kerajaan.  Walaupun dunia mengakui kepimpinan Sultan Hassanal Bolkiah, namun beberapa perlakuan sumbang yang telah didedahkan itu sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti baginda sebagai ketua kerajaan sebuah negara yang teguh memegang prisip Islam. 

      Campurtangan Raja Tidak Menyelesaikan Konflik Politik sepenuhnya

Walaupun tidak dinafikan institusi monarki mempunyai peranan tersendiri untuk mengembalikan keamanan akibat konflik politik yang berlaku di dalam sesebuah negara.  Walau bagaimanapun, ia hanya merupakan penyelesaian bersifat sementara semata-mata demi untuk menyelamatkan kedudukan ekonomi negara yang terjejas.  Dalam konteks insitusi beraja di Thailand contohnya, amat jelas betapa penyelesaian konflik politik yang dipengaruhi oleh Raja Bhumipol bukanlah satu jaminan ke arah mengembalikan semula proses demokrasi di Thailand. Ia hanyalah disebabkan rakyat Thailand begitu menghormati dan memandang tinggi raja mereka.  Selain daripada itu,  tidak pernah berlaku dalam sejarah Thailand campur tangan raja atau tentera sekalipun mampu mengembalikan proses demokrasi negara tersebut.  Namun, sesuatu yang pasti penduduk di selatan Thailand adalah paling malang kerana campurtangan raja hanya tertumpu dalam konflik besar yang berlaku di kota Bangkok.  Pada masa yang sama, pergolakan di kawasan mereka semakin meruncing dengan peningkatan kejadian pembunuhan melibatkan penduduk Islam wilayah tersebut.  Ini seolah-olah memberi gambaran bahawa penglibatan raja dalam menyelesaikan konflik politik tidak bersifat menyeluruh dan hanya tertumpu di kawasan yang mempunyai impak ekonomi semata-mata.

   Perkembangan Proses Globalisasi.

Proses globalisasi boleh didefinisikan sebagai fenomena atau keadaan di mana dunia dan hubungan antara negara serta penghuninya menjadi semakin cepat dengan bantuan teknologi maklumat, perkembangan ekonomi kapitalis  dan perkongsian nilai kehidupan oleh masyarakat sejagat ( Sobri Sudin dan Mohd Hafidz Husein : 2002).  Ia turut dirujuk sebagai satu proses di mana masyarakat semua negara dunia berkongsi idea, fahaman dan pandangan yang sama berkaitan dengan soal keadilan alamiah atau hukum semulajadi dan hak asasi manusia.   Dari perspektif politik pula, ia memperlihatkan wujudnya suatu kecenderungan oleh masyarakat di semua negara untuk menangani sesuatu isu atau peristiwa itu pada sekala sejagat.  Justeru itu, sebarang isu yang timbul harus diselesaikan pada peringakat sejagat dan bukan lagi pada tahap dalam negara yang bercirikan oleh proses keluhuran undang-undang peringkat domestik ( Sobri Sudin dan Mohd Hafidz Husein : 2002).

Sehubungan dengan itu, dalam konteks dunia tanpa sempadan ini sebarang konflik terutama yang melibatkan isu politik mampu diselesaikan tanpa melibatkan campurtangan pihak istana / monarki.  Sebagai contoh krisis sempadan yang melibatkan Thailand dan Kemboja telah di bawa semula ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa ( ICJ ) di The Hague, Belanda untuk mendapatkan penyelesaian.  Krisis tersebut yang melibatkan kedaulatan ke atas 3 kuil Hindu purba iaitu Preah Vihean, Ta Moan dan Ta Krabey serta pergunungan Dangrek menjadi pusat pertikaian kedua-dua negara hingga membawa kepada kancah peperangan.  Namun, adalah jelas bahawa pertikaian yang telah berlanjutan hampir sedekad itu tidak sedikit pun menarik perhatian institusi monarki di kedua-dua buah negara.  Sebaliknya ia diselesaikan secara sejagat atas nama ASEAN di bawah perjanjian Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama ( TAC ) kumpulan negara serantau itu.  Berdasarkan fakta tersebut ternyata peranan institusi monarki tidak lagi relevan dalam menyelesaikan konflik di antara negara terutama yang telah berlarutan sejak sekian lama. 

    Demokrasi Sebagai Sistem Alternatif

Arus globalisasi dunia telah mengakibatkan masyarakat terdedah kepada berbagai sistem pemerintahan moden yang telah memberikan kesedaran betapa mereka mempunyai hak untuk melantik ketua negara dan pada masa yang sama ketua negara itu adalah bertanggungjawab kepada rakyat.  Ciri-ciri tersebut tidak terdapat di dalam sistem monarki kerana pemerintah dipilih berdasarkan keturunan.  Keadaan ini  menyebabkan masyarakat mula berpaling melihat sistem alternatif yang ada dan salah satu yang dianggap lebih sesuai dengan nilai sejagat ialah demokrasi.  Malahan, dalam konteks sejarah perkembangan pemikiran kehidupan bernegara dan bermasyarakat ia dianggap sebagai sistem politik yang terkandung di dalamnya apa yang dipanggil sebagai ` idealisme sosio-politik ` terbaik untuk manusia ( Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman dan Zaini Othman : 2002 ).  Ini adalah kerana idealisme demokrasi berkembang selari dengan perkembangan konsep seperti `negara bangsa`, keadilan sosial, kontrak sosial, general will, modenisasi, kapitalisme, partisipasi rakyat dan hak rakyat.  Kesemua konsep tersebut menjelaskan keterikatan yang kukuh antara demokrasi dan masyarakat terbanyak dalam konteks kehidupan bernegara dan bermasyarakat.  Justeru, dalam konteks pemahaman masyarakat moden demokrasi merupakan sistem pemerintahan yang bersumberkan rakyat atau mesyarakat terbanyak.  Dalam erti kata lain, demokrasi adalah sistem politik yang memberi penghormatan tinggi terhadap suara rakyat terbanyak. 

Sehubungan dengan itu, pemerintah dan negara yang dibentuk di dalam sebuah sistem demokrasi adalah bertujuan memberi `khidmat`, `bertugas` dan `memastikan` kehidupan rakyat terbanyak sentiasa dilindungi dan terpelihara.  Selain daripada itu, dalam sistem demokrasi memberi peluang seluas-luasnya kepada partisipasi rakyat dan pada masa yang sama kerajaan pula sentiasa bersifat responsif terhadap kehendak rakyat.  Pemerintahan jenis ini menyaksikan penglibatan yang tinggi berbagai sektor masyarakat melalui kewujudan parti politik, NGO’s, media, orang ramai mahupun individu.  Kewujudan perkara-perkara tersebut seolah-olah menjadi `watch dog` yang sentiasa memerhati dan membuat audit untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa.  Pada masa yang sama, pemerintah pula perlu bersifat accountable dan sensitif  dengan berbagai tuntutan, teguran serta cadangan orang ramai.  Sehubungan dengan itu, kesemua ciri-ciri tersebut dianggap relevan dengan tuntutan semasa.  Ini berbeza dengan corak pemerintahan monarki yang agak tertutup dan ortodoks.  Malahan hampir tiada siapa yang berani mendedahkan sebarang kepincangan dalam pemerintahan monarki kerana bimbang dianggap menderhaka .  Jelas, corak pemerintahan tertutup seperti yang terdapat dalam sistem monarki tidak lagi sesuai dalam arus globalisasi yang melanda dunia.  Dalam perkembangan lain, beberapa negara yang mengamalkan monarki mutlak seperti negara Brunei kelihatan cuba lari daripada corak pemerintahan tertutup ini.  Beberapa salahlaku melibatkan  kerabat diraja telah didedahkan dalam laman-laman blog seperti yang berlaku terhadap Putera Jefri iaitu adinda Sultan Hasannal Bolkiah sendiri. 

    KESIMPULAN

Berakhirnya era Perang Dingin yang membawa kejatuhan Blok Komunis dan keruntuhan Soviet Union telah memberi impak besar kepada lanskap politik dunia.  Ia seolah-olah telah mengubah sistem pemerintahan di kebanyakan negara dunia kepada corak yang lebih terbuka. Apabila arus globaliasasi melanda dunia, ternyata kebanyakan negara di dunia sudah mula mengamalkan sistem demokrasi dengan lebih baik.  Sehubungan dengan itu,  sistem monarki yang pernah menjadi tonggak pemerintahan kebanyakan negara satu masa dahulu dianggap tidak lagi relevan dengan tuntutan semasa.  Justeru, untuk mengelakkan sistem tersebut dijadikan bahan pameran muzium cukuplah sekadar dikekalkan sebagai satu simbol tanpa kuasa pemerintahan seperti yang diamalkan oleh kebanyakan negara Asia Tenggara.  


SENARAI RUJUKAN

 K. Ramanathan. 2003. Asas Sains Politik Edisi Ketiga. Penerbit Fajar Bakti. Shah Alam

Katni kamsona Kibat. 1986.Asas Ilmu Politik. Institut Teknologi Mara. Shah Alam

Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif.2009. Bentuk-bentuk Pemerintahan.PKP UKM. Bangi.

Dr. Nizammuddin Sulaiman dan Zarina Othman.2002.Demokrasi dan Masyarakat Sivil. PKP .UKM

Sobri Sudin dan Mohd Hafidz Hussein.2002.Globalisasi & Budaya Politik Di Malaysia. Penerbit 
 Universiti Utara Malaysia






2 comments: