Kehadirannya tidak disedari......













Friday, June 3, 2011

Sejarah Dan Kemunculan Mazhab Islam - Definisi Mazhab dan Akal
Oleh : Zainal Sanusi

Sebelum ditinjau sejarah kemunculan mazhab Islam yang terawal dan kedudukan akal dalam intipati gerakan mereka, ada baiknya sekiranya kita meninjau definisi perkataan ” Mazhab ” dan ” Akal ”  itu sendiri.  Mazhab dari sudut bahasa boleh didefinisikan sebagai ” jalan ” atau ” the way of ” .  Menurut Islam, istilah mazhab secara umumnya digunakan untuk dua tujuan yang utama iaitu dari aspek akidah dan dari aspek fiqh.1 

Mazhab akidah merupakan perkara-perkara yang mempunyai hubungkait dengan soal keimanan, tauhid, qadar dan qadak, dosa, pahala, syurga, neraka, kerasulan dan sebagainya.  Antara contoh mazhab-mazhab akidah Islam ialah Mazhab Syi’ah, Mazhab Khawarij, Mazhab Mu’tazilah dan Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Setiap kumpulan mazhab akidah ini mempunyai mazhab-mazhab fiqhnya yang tersendiri. Mazhab fiqh pula ialah apa  sahaja yang berkaitan dengan soal hukum-hakam, halal-haram dan sebagainya.  Contoh Mazhab fiqh bagi Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah ialah Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafi’e dan Mazhab Hambali.

Menurut Imam Al-Ghazali di dalam kitab beliau yang terkenal iaitu Ihya `Ulumiddin ada menjelaskan bahawa perkataan akal ini digunakan untuk menunjukkan kepada empat makna2 iaitu :

1.1       Akal adalah sifat yang membezakan antara manusia dan haiwan.  Anugerah ini membolehkan manusia menerima berbagai macam ilmu pengetahuan dan mengurus serta mengatur perkara-perkara pelik yang berhajat kepada pemikiran seterusnya mencari jalan penyelesaian;

1.2      Akal adalah ilmu pengetahuan yang timbul ke alam wujud pada diri kanak-kanak yang membolehkannya membezakan tentang kemungkinan perkara yang mungkin dan mustahilnya perkara yang mustahil.  Contohnya, seseorang itu mengetahui bahawa dua adalah lebih banyak daripada satu dan bahawa seseorang yang tidak boleh berada di dua tempat pada satu masa yang sama;

1.3      Akal merupakan ilmu pengetahuan yang  diperolehi dari pengalaman dengan berlakunya berbagai-bagai perkara di persekitaran.  Individu yang  banyak terdedah kepada pelbagai perkara , maka dia telah diperkuat pemahamannya oleh pengalaman-pengalaman dan dicerdaskan  oleh berbagai pengertian.  Justeru itu individu yang seperti ini akan dikatakan sebagai orang yang berakal, sedang orang yang tidak mempunyai pendedahan seperti itu akan dianggap sebagai jahil atau bodoh;

1.4      Akal sebagai kekuatan daripada ghazirah ( instinct ) yang berkesudahan kepada mengetahui akibat daripada segala perkara dan kepada mencegah serta menundukkan hawa nafsu yang sering mengajak kepada kesenangan yang dekat.  Ini bermakna seseorang yang telah memiliki kekuatan seperti itu boleh disebut sebagai berakal.  Melalui medium akal ini manusia akan mengawal tingkah laku mereka melalui proses timbang tara dan pertimbangan sebab akibat sesuatu tindakan yang hendak diambil, bukan sekadar mengikut kehendak naluri semata-mata.  Justeru ini juga merupakan satu sifat khas yang hanya ada pada manusia dan membezakannya dengan haiwan.


 
RUJUKAN

1.      Hafis Firdaus Abdullah(2004 ).Pedoman-pedoman Bermazhab Dalam Islam.Jahabensa Book Stores. Johor Bahru.hal 2.
2.      Dr.Musa bin Fathullah Harun.Tasawwuf Dan Berbagai Permasalahannya.hal 64
3.      K.H. Sirajuddin Abbas, Hartono Ahmad Jaiz, Syaikh Muhammad Yusuf Qardawi.www.scribd.com/doc/6880243/Perpecahan Islam Menjadi 73 Golongan.3 Mac 2009.
4.      Op.cit
5.      Op.cit
6.      Dr.Musa bin Fathullah Harun.Tasawwuf Dan Berbagai Permasalahannya.hal 74
7.      Al-Quran surah Al-Isra’: 36
11.  Op.cit
12.  Dr.Musa bin Fathullah Harun.Tasawwuf Dan Berbagai Permasalahannya.hal 169
13.  Ismail Hj Ali( 1998 ).Iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah.Al-Hidayah Publishers.Kuala Lumpur.hal13.
14.  Op.cit
15.  Dr.Musa bin Fathullah Harun.Tasawwuf Dan Berbagai Permasalahannya.hal 174
16.  Ismail Hj Ali( 1998 ).Iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah.Al-Hidayah Publishers.Kuala Lumpur.hal23

No comments:

Post a Comment