Kehadirannya tidak disedari......













Monday, July 4, 2011

Profesionalisme Tentera Indonesia Berbanding Tentera Thailand


                                                       Oleh : Blog Minda Pemikir

 Mungkin ada dikalangan kita masih tidak mengerti apa itu yang dikatakan tentera profesional atau berkaitan dengan profesionalisme tentera. Justeru itu, untuk memahamkan kita dengan lebih mendalam mengenai profesionalisme tentera, saya akan menghuraikan terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan profesionalisme tentera dan ciri-ciri profesionalisme tentera itu sendiri. Seterusnya, saya akan membandingkan tentara Indonesia dengan tentera Thailand yang mana dikatakan lebih profesional.

Menurut Undang-Undang Tentera Nasional Indonesia (TNI) dalam Artikel 2, mendefinisikan tentera professional sebagai tentera yang terlatih dan terdidik dengan kelengkapan dan pemahaman ketenteraan sepenuhnya dan tidak terlibat, baik dalam politik mahupun dalam bidang perniagaan. Mereka akan mematuhi dasar politik negara yang mendukung prinsip demokrasi, keagungan sivil, hak asasi manusia, serta peruntukan undang-undang negara dan undang-undang antarabangsa yang telah diretifikasikan. Selain itu, Erick A. Nordlinger (1990) pula mendefinisikan tentera professional sebagai kemampuan seorang askar menjalankan tugasnya mempertahankan ketertiban nasional dalam menghadapi ancaman, menggunakan senjata dalam pertempuran, serta tidak melibatkan diri daripada urusan bukan ketenteraan (non-military). Beliau menyatakan perwira yakni tentera sebagai seorang professional, mempunyai kuasa menggunakan kekuatan bersenjata untuk mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman pihak lawan. Beliau turut mengulas dimensi profesionalisme militari sebagai satu keadaan dimana perwira sangat mementingkan autonomi mereka dan pihak awam tidak perlu untuk mencampuri urusan dalaman militari.

Selain itu, pihak awam juga tidak boleh mempengaruhi perwira militari dalam melaksanakan tanggungjawab kemiliteran mereka. Profesionalisme tersebut iaitu keahlian dalam mengendalikan kekerasan, baik secara langsung atau tidak langsung akan mengurangi kecenderungan atau kemungkinan militari untuk campur tangan dalam urusan pemerintahan awam. Namun, sekiranya pemerintahan awam mengancam autonomi militari dan eksklusif militari, mereka ini akan menimbulkan motivasi militari untuk melakukan campur tangan terhadap pemerintahan awam. Oleh itu, politik adalah diluar bidang militari (tentera) dan penglibatan militari dalam politik akan mengikis profesionalismenya, melawan kerjayanya sendiri dan menghalang nilai-nilai profesinalisme sebagai militari (Huntington, 1957).

Terdapat beberapa ciri profesionalisme tentera untuk difahami, antaranya ialah seseorang itu merupakan ahli yakni tentera dalam melaksanakan tugasnya dibidang pertahanan negara atau perang melawan ancaman dari luar. Ini bermakna tentera bertanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan dan kemakmuran negara serta melindungi negara dari sebarang ancaman luar seperti ancaman pengganas mahupun serangan negara-negara luar. Ciri yang kedua ialah tentera mestilah dan harus bersikap berkecuali dengan tidak melibatkan diri dalam politik. Ini bermakna, tentera mesti tidak mencampuri sebarang urusan atau perjalanan sistem politik dan pemerintahan dalam negara. Penglibatan tentera dalam sistem politik negara akan menampakkan ketidakprofesionalismenya sebagai seorang tentera. Selain itu, seseorang tentera mestilah memiliki disiplin, taat kepada perintah dan peraturan serta mempunyai “esprit de corps” yang tinggi. Ini bermakna, setiap kelakuan atau perbuatan tentera yang menyalahi undang-undang yakni melanggar peraturan dalam tentera akan menampakkan ketidakprofesionalisme mereka serta mereka juga mesti menanamkan semangat berpasukan yang tinggi bagi menjamin kekuatan dan ketahanan untuk mempertahankan negara. Disamping itu juga, memiliki moral dan etika keperwiraan atau keperajuritan yang tinggi merupakan salah satu ciri penting dalam profesionalisme tentera. Tanpa nilai moral dan etika keperwiraan yang tinggi, seseorang tentera itu tidak akan mampu untuk melaksanakan tugasnya sebagai pembela dan pelindung kepada kemananan dan kemakmuran negara. Antara ciri-ciri lain ialah membela dan melindungi masyarakat serta menghargai pihak berkuasa atau supremasi sivil.

Seterusnya, untuk memahami dengan lebih lanjut lagi mengenai perbandingan mengenai profesionalisme tentera Indonesia dengan tentera Thailand, saya akan menerangkan satu persatu penglibatan tentera dalam politik mahupun melibatkan tentera Indonesia atau pun tentera Thailand.


Penglibatan Tentera Nasionalis Indonesia (TNI) dalam politik Indonesia

Sebelum melakukan reformasi dalaman, TNI banyak menyimpang daripada profesionalismenya kerana campur tangan TNI dalam politik praktis Indonesia adalah dengan cara mendominasi pemerintahan dan menjadi tonggak kepada Parti Golkar. TNI terlibat secara langsung dalam politik Indonesia selama lebih kurang 32 tahun. Hal ini menjadikan kewujudan masyarakat sivil di Indonesia tidak berkembang, demokrasi tidak berjalan berlandaskan tuntutan asas demokrasi yang sebenar dan partisipasi rakyatnya turut dihalang. Keadaan dan situasi ini akan menghakis profesionalisme tentera sebagaimana seperti hujah Huntington (1957) yang telah diterangkan diatas dimana beliau menyatakan bahawa politik adalah diluar bidang ketenteraan dan penglibatan tentera dalam politik akan menghakis profesionalismenya, melawan kerjayanya sendiri dan menghilangkan nilai-nilai profesionalisme ketenteraan.

Penglibatan tentera dalam politik Indonesia telah berlaku semasa era pemerintahan Sukarno lagi dan kemudiannya diikuti oleh Suharto yang sememangnya merupakan seorang Jeneral tentera ketika itu. Kedua-dua presiden ini membawa peranan tentera sebagai aktor penting dengan melantik menteri daripada kalangan tentera sehingga kurang memerhatikan dan mengabaikan profesionalisme tentera. Sebelum ini, tugas dan peranan TNI dilakukan dengan baik iaitu dengan ketaatannya kepada supremasi pemerintahan awam antara tahun 1945 sehingga 1949. Namun, penglibatan TNI dalam politik dilihat semakin menonjol pada awal 1950-an selepas kematian Panglima Besar Soedirman. Kematian Soedirman ini menyebabkan berlakunya keadaan dimana ramai ahli parlimen mencemuh dan mengkritik militari selepas pelaksanaan Undang-Undang Dasar Sementara (UUDS) 1950 yang menganut sistem pemerintahan berparlimen dengan banyak parti dan mengutamakan supremasi sivil disahkan pada awal 1950-an. Kedudukan TNI dalam sistem pemerintahan Indonesia dapat dilihat pada Kabinet Djuanda (Djuanda adalah Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan mulai April 1957) antara 9 April 1957 sehingga 10 Julai 1959 dimana terdapat tiga orang menteri pada masa itu adalah daripada kalangan militari. Tiga orang menteri yang dimaksudkan ialah Kolonel Nazir sebagai Menteri Pelayaran Laut, Kolonel Dr. Azis Saleh sebagai Menteri Kesihatan dan Kolonel Suprayogi sebagai Menteri Negara Urusan Stabiliti Khusus.

Namun, pengambilalihan kekuasaan pemerintahan Indonesia oleh Jeneral Suharto daripada Presiden Sukarno telah meneruskan lagi penglibatan dan campur tangan TNI dalam politik Indonesia. Ini kerana latar belakang Suharto yang juga daripada kalangan tentera iaitu sebagai Jeneral TNI telah membolehkan beliau untuk mengawal dan memperalat seluruh bahagian ketenteraan di Indonesia bagi menyekat dan menghalang tumbuhnya demokrasi dimana pergerakan parti politik, masyarakat sivil dan orang ramai disekat kebebasannya serta dinafikan hak mereka. Selain itu, Pakej Lima Undang-Undang Politik dalam Order Baru iaitu Dwi Fungsi TNI yang dibuat pada 1985 telah memberi impak terhadap pertumbuhan demokrasi di Indonesia. Ini kerana, pakej ini telah menghad parti dan organisasi politik, massa, melarang dan menyekat kebebasan pelajar, organisasi buruh, organisasi tani dan sebagainya daripada melakukan atau terlibat dengan kegiatan politik. Dari fungsi ABRI, dijadikan alasan ikut sertanya ABRI kedalam semua aspek kehidupan bernegara. Disamping itu juga, bagi menjalankan peranan politik militari ini telah didokong oleh territorial. Ini menyebabkan munculnya kekuasaan autokratik yang menghalang tumbuhnya masyarakat sivil dan perkembangan demokrasi. Akibatnya, timbullah kritikan, protes dan penentangan dari masyarakat terhadap dwifungsi ABRI. Akhirnya, Order Baru runtuh kerana peranannya tidak konsisten dengan apa yang dikatakan dan dijanjikan pada awal penubuhannya. Kekuasaan autokratik dengan dokongan tentera menyebabkan timbulnya tindakan reprosif dan opresif kepada masyarakat yang mengakibatkan rakyat tertekan.

Disamping itu, krisis kewangan yang menimpa negara Indonesia pada akhir 1990-an telah memacu rakyat terutama mahasiswa untuk bertindak melakukan bantahan terhadap rejim Suharto yang mana telah mendapat sokongan daripada masyarakat sivil, parti politik dan orang ramai yang telah melakukan demostrasi besar-besaran untuk menjatuhkan rejim Suharto yang mencapai kemuncaknya pada Mei 1998 mengakibatkan jatuhnya Suharto dan pemerintahan Order Baru. Selepas Suharto digulingkan dan B.J. Habibie mengambil alih tampuk pemerintahan pada bulan Julai 1998, TNI sudah mula mengurangkan peranan dan campur tangannya dalam politik, tetapi masih ada beberapa pegawai tentera yang menjadi menteri dan menyandang jawatan lain. Reformasi dalaman TNI dapat dilihat semasa Gus Dur pula menjadi Presiden pada Oktober 1999, dimana sudah tidak ada lagi campur tangan dan tentera yang memegang jawatan dalam kabinet Indonesia. Jeneral Wiranto yang sebelum itu menjadi Menteri Koordinator Pertahanan dan Keamanan telah digantikan dan tugasnya sebagai Panglima TNI dipisahkan daripada kementerian untuk memimpin Markas Besar TNI. Pada era inilah TNI meninggalkan peranan dwi fungsinya iaitu pada bulan April 2000 dan difokuskan untuk bidang pertahanan negara sahaja.

Penglibatan tentera Thailand dalam politik Thailand

Tentera Thailand juga dikenali sebagai Angkatan Bersenjata Kerajaan Thailand telah melibatkan diri secara langsung dalam politik Thailand dimana dari tahun 1932 sehingga tahun 2006, politik Thailand telah mengalami 17 kali rampasan kuasa oleh tentera. Campur tangan tentera dalam politik Thailand bermula semasa era revolusi 1932. Revolusi 1932 merupakan merupakan suatu revolusi yang dilakukan oleh pegawai tentera untuk menghapuskan rejim kerajaan monarki mutlak kepada monarki berperlembagaan. Revolusi 1932 tercetus pada pagi 24 Jun 1932 dimana melalui perancangan dan strategi rapi oleh pemimpin-pemimpin tersebut akhirnya membolehkan Parti Rakyat berjaya merampas kuasa dari rejim monarki mutlak untuk membentuk kerajaan demokrasi raja berperlembagaan.

Selepas revolusi 1932, Thailand diperintah oleh junta tentera yang pemimpinya terdiri daripada Parti Rakyat yang mengambil tugas Pengawal Ketenteraman Negara buat sementara waktu. Selepas beberapa tahun, politik Thailand terus bergolak dengan rampasan kuasa oleh tentera iaitu pada tahun 1947 dimana rampasan kuasa diketuai oleh Jeneral Phin Choonhavan dan pada tahun 1957, rampasan kuasa diketuai pula oleh Jeneral Sarit Thanarat yang kemudiannya Pote Sarasin dilantik sebagai Perdana Menteri sementara. Pada tahun 1970-an, berlakunya sekali lagi revolusi di Thailand yang dikenali sebagai Revolusi 1973. Revolusi 1973 berpunca daripada ketidaktentuan ekonomi negara dan juga perpecahan dalaman yang berlaku dalam badan tentera serta masalah korupsi dan penyalahgunaan kuasa oleh golongan tentera telah menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat yang bangkit menentang pemerintahan golongan tentera terbabit. Bermula dengan Revolusi Oktober 1973 yang berpunca daripada penahanan 13 orang Profesor pada 6 Oktober telah menyebabkan rakyat yang majoritinya merupakan mahasiswa serta ahli-ahli politik menuntut secepatnya pelaksanaan perlembagaan yang baru yang lebih demokratik. Penahanan dan tuduhan pemerintah bahawa mereka yang ditahan itu telah menimbulkan kemarahan yang meluas dan mengakibatkan berlakunya demonstrsi protes secara besar-besaran yang mencapai kemuncaknya pada 13 Oktober 1973.

Selepas berlakunya revolusi ini, pergolakan dan ketidakstabilan politik Thailand terus berlaku dimana pada 20 Oktober 1977, kerajaan Thanin Kraivixiem telah digulingkan oleh tentera yang diketui panglima Sangad Chaloryoo dan Majlis Pembaharuan Tentera mengambil alih kuasa. Seterusnya yang terbaru ialah rampasan kuasa tentera pada 19 September 2006 yang diketui oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin yang telah menggulingkan serta menyingkirkan kerajaan pimpinan Thaksin Shinawatra. Rampasan kuasa tahun 2006 ini menyebabkan tentera membatalkan pilihan raya yang dijadualkan pada 15 Oktober 2006, menggantung perlembagaan, membubarkan parlimen, menghalang sebarang bantahan politik, mengisytiharkan undang-undang tentera serta menahan ahli-ahli kebinet semasa dibawah pemerintahan Thaksin. Selepas itu, perubahan tampuk pemerintahan kerap berlaku bermula daripada pemerintahan Samak Sundaravej beralih kepada Somchai Wongsawat dan seterusnya Abhishit Vejjajiva masih kekal memerintah bermula 17 Disember 2008 sehingga kini.

Selain itu, ketidakprofesionalisme tentera Thailand juga dapat dilihat dalam peristiwa berdarah di Masjid Kerisik dan di Tak Bai yang berlaku pada 28 April 2004 dan 24 Oktober 2004. Di Masjid Kerisik, seramai 34 orang anak muda berumur linkungan 16 tahun sehingga 34 tahun dibunuh dengan kejam oleh tentera Thailand. Manakala, peristiwa Tak Bai juga menunjukkan ketidakprofesionalisme tentera Thailand untuk mengawal tunjuk perasaan dan demonstrasi orang ramai. Lebih kurang 1,500 orang terlibat dalam demonstrasi tersebut yang dilakukan dihadapan Balai Polis Tak Bai bagi menuntut 6 orang rakyat tempatan yang telah ditahan. Kegagalan dan kelemahan tentera Thailand untuk mengawal para demonstran ini telah menyebabkan seramai 85 orang awam terbunuh akibat sesak nafas apabila diletakkan secara bertindih antara satu sama lain didalam trak tentera. Kedua-dua peristiwa ini jelas menunjukkan kelemahan dan ketidakprofesionalisme tentera untuk berhadapan dengan bantahan orang ramai sehingga mengakibatkan ramai mangsa terbunuh.

Mengapa tentera Indonesia lebih profesional daripada tentera Thailand?

Berdasarkan hujah dan huraian yang telah diterangkan diatas, dapat dikatakan bahawa tentera Indonesia lebih professional berbanding tentera Thailand kerana tentera Indonesia tidak bertindak menggulingkan Presiden atau merampas kuasa kerajaan, tetapi sebaliknya mereka meresap masuk dalam sistem politik Indonesia melalui pengaruh dan tekanan kepada Presiden supaya menyerahkan kuasa. Ini dapat dilihat semasa peralihan kuasa daripada Sukarno kepada Suharto yang berlaku secara teratur walaupun wujudnya unsur campur tangan dan rampasan kuasa oleh tentera yang mendesak supaya Sukarno menyerahkan kekuasaan kepada Suharto. Selain itu, pegawai tentera yang menjadi anggota kabinet adalah berperanan penting dalam mencorakkan politik dan perjalanan kerajaan Indonesia. Kejayaan demokrasi terpimpin era pemerintahan Sukarno adalah merupakan hasil daripada bantuan tentera. Disamping itu juga, reformasi dalam yang dilakukan keatas TNI telah berjaya menghentikan penglibatan tentera dalam politik Indonesia yang berakhir semasa era Gus Dur dan profesionalisme TNI ini terus ditingkatkan semasa era Megawati dengan paradigma baru. Disamping itu juga, pegawai tertinggi TNI juga telah memberi jaminan bahawa tidak akan mencampuri urusan politik dan hanya akan menumpukan kepada pertahanan negara.

TNI juga telah mengambil langkah positif untuk meningkatkan profesionalismenya selepas kejatuhan rejim Suharto. Antara langkah yang telah diambil oleh TNI untuk meningkatkan profesionalismenya ialah memutuskan hubungan dengan Parti Golkar dan parti politik lain. Selain itu, TNI juga telah memisahkan POLRI dan ABRI mulai 1 April 1999 dan menukarkan sebutannya dari ABRI kepada TNI. Pegawai-pegawai TNI juga telah berjanji dan menyatakan bahawa TNI tidak akan lagi terlibat dan mencampuri urusan politik Indonesia serta bersikap berkecuali dalam pilihan raya. Disamping itu, TNI juga telah mengambil langkah untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran undang-undang serta hak asasi manusia kepada anggota-anggota TNI. Dan seterusnya ialah akan menumpukan dan memberi perhatian kepada pertahanan negara bagi mewujudkan suasana makmur dan aman damai dalam negara.

Keadaan ini berbeza pula dengan tentera Thailand yang mana dilihat tidak menitikberatkan profesionalisme mereka dalam ketenteraan sebaliknya sering merencanakan rampasan kuasa untuk menggulingkan kerajaan sedia ada. Hal ini memperlihatkan dan menyebabkan mereka lebih agresif dalam politik dan mengenepikan terus profesionalisme ketenteraan mereka. Selain itu, pihak tentera Thailand juga sering memberikan tekanan kerajaan yang dianggap gagal untuk memerintah dengan baik dan menjadikan rampasan kuasa serta menggulingkan kerajaan sebagai alasan untuk menstabilkan pergolakan politik Thailand. Tentera Thailand juga dilihat tidak mengambil tindakan atau melakukan reformasi dalaman ketenteraan mereka untuk meningkatkan profesionalisme dan situasi ini berbeza dengan TNI yang telah melakukan reformasi dalaman untuk meningkatkan tahap profesionalisme ketenteraan mereka. Disamping itu juga, keganasan dan pergolakan di Selatan Thailand yang masih belum menemui jelan penyelesaiannya sehingga kini menggambarkan ketidakcekapan dan ketidakprofesionalisme tentera Thailand untuk mengawalnya yang mana telah mengakibatkan jumlah kematian yang besar.

No comments:

Post a Comment