ISLAM DAN POLITIK
Halimunanman.net
PENGENALAN
Persoalan politik Islam sebagai agen
perubahan merupakan satu isu menarik dan sentiasa segar. Justeru itu agenda ini
sering dibincangkan dalam penulisan dan forum-forum kerana jangkauan politik
Islam bukan setakat menyentuh alam zahir, tetapi melangkaui nilai-nilai abstrak
yang sangat mendalam seperti keberkatan, kedamaian, rahmat dan sebagainya. Menurut catatan sejarah Islam pernah
diriwayatkan bahawa pada era Umar Abdul Aziz dilantik menjadi Khalifah, beliau
telah menegakkan keadilan sepenuhnya sehingga dikatakan serigala/anjing tidak
menyerang kambing-kambing yang dipelihara oleh penternak-penternak. Pada masa yang sama turut digambarkan dalam
riwayat tersebut bagaimana serigala dapat hidup berkeliaran bersama biri-biri
dan kambing sehingga wujud suatu suasana yang menghairankan masyarakat.
Berdasarkan fenomena itu maka jelaslah bahawa seorang khalifah yang dilantik
berdasarkan sistem politik Islam mampu melahirkan seorang pemimpin yang adil untuk memacu perkembangan sesebuah
negara berlandaskan syariat Islam. Keadaan
ini berbeza dengan politik sekular yang
nyata memang dilihat hebat dari segi fizikal, namun begitu biasanya ia
menjadi penyebab kepada keruntuhan nilai manusiawi.
PRINSIP-PRINSIP POLITIK ISLAM
Menurut Abdul Hadi (2007) untuk memahami
konsep politik Islam adalah dengan memahami kaedah syarak mengikut
prinsipnya. Konsep pelaksanaanya perlu
dilakukan secara bijaksana mengikut situasi dan realiti yang harus dipraktikkan
dan ketegasan pada tempat yang sewajarnya.
Sehubungan dengan itu menurut Shukeri,
Mohamad Azrien , Syed Abdurahman
(2011) konsep politik dalam tamaddun Islam adalah merujuk kepada sistem
yang digunakan untuk mengendalikan kerajaan dan negara. Justeru ia hendaklah berpaksikan kepada
dasar-dasar yang digariskan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan di antara dasar
atau prinsip utamanya ialah prinsip keadilan, prinsip syura, prinsip ketuanan
syariah dan lain-lain lagi. Individu
yang mula-mula menggarapkan pelaksanaan sistem pemerintahan tersebut ialah Nabi
Muhammad S.A.W. dan konsep itu kemudiannya diteruskan oleh para khalifah
selepas baginda dengan menampilkan dalam berbagai bentuk dan gaya.
Politik dalam Islam menjurus kegiatan ummah kepada
usaha mendukung dan melaksanakan syariat bertujuan untuk menyimpulkan segala
sudut Islam yang syumul melalui satu institusi yang mempunyai sahsiah bagi
menerajui dan melaksanakan undang-undang.
Ia adalah bersesuaian dengan firman Allah s.w.t.:
“Dan katakanlah: “Ya Tuhan-ku, masukkanlah aku secara masuk yang benar
dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku
dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong”. (Al-Isra: 80).
Sehubungan dengan itu pelaksanaan agenda
politik Islam ini mempunyai beberap prinsip yang perlu dipatuhi agar ia tidak
terbabas daripada landasan yang dibenarkan oleh syarak. Abdul Hadi Awang (2007) menjelaskan bahawa Islam
adalah petunjuk Allah dengan ajaran-ajaran yang istimewa dan wajib dipelajari
serta dikaji secara mendalam, termasuklah dalam bidang politik. Justeru, bagi menjamin keluhuran politik yang
menjadi keperluan manusia secara fitrah dan mencapai objektif peranan manusia
yang diletakkan di muka bumi, maka Allah telah menetapkan beberapa prinsip
untuk dipatuhi agar ia menjadi landasan yang wajib ditaati secara
menyeluruh. Antaranya
ialah:
i.
Akidah Islam
Politik Islam adalah
berlandasakan kepada akidah tauhid (Allah yang satu) dan pada masa yang sama
menolak sebarang bentuk perbuatan syirik (menyekutukan Allah). Ini bermakna kepercayaan kepada rukun-rukun
Iman adalah bermula daripada beriman kepada Allah Yang Maha Esa sehinggalah ke
Hari Kiamat (Abdul Hadi: 2007). Pada
masa yang sama, perkara iman ini juga meliputi kepercayaan jitu bahawa seluruh
yang datang daripada Allah dan rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Sehubungan dengan itu, iman akan mengikat roh
dan jasad agar boleh mengendalikan kewajiban berpolitik secara ibadah yang
mewajibkan manusia untuk tunduk dan patuh kepada Allah dan rasul secara mutlak
dan diberi keizinan menggunakan kebijaksanaan dalam menangani perubahan dengan
cara yang betul.
Al-Maududy (1982) pula
menjelaskan bahawa kepercayaan kepada keesaan dan kekuasaan Allah (the unity
and souverenity of God) adalah dasar daripada sistem sosial dan moral yang
telah disampaikan oleh Nabi Muhammad dan ia boleh dianggap sebagai titik tolak
(starting point) kepadan falsafah politik Islam. Beliau turut menekankan hakikat betapa
prinsip dasar Islam adalah bahwa manusia samada secara individu maupun
kolektif, wajib menyerahkan segala-gala perkara hanya kepada ketentuan,
peraturan, dan kekuasaan Tuhan semata-mata. Atas dasar itu maka tidak seorang
pun dibenarkan untuk memberikan perintah atas namanya sendiri agar membuat
undang-undang dengan sewengan-wenangnya untuk dipatuhi oleh manusia yang
lain. Dalam erti kata lain, kedaulatan serta kekuasaan
berada di tangan Tuhan dan manusia hanya akan menjalankan kekuasaan di dunia
atas nama kedaulatan Tuhan.
ii.
Menjunjung Tinggi Syariah Islam
Ketinggian syariah Islam
menjadi perlembagaan dan sumber perundangan yang berkuasa kepada pihak
pemerintah. Selain daripada itu, ia juga merupakan rukun penting kepada dasar
dan objektif politik Islam (Abdul Hadi: 2007).
Kenyataan ini berdasarkan firman Allah dalam surah Yusuf:
“Sebenarnya hukum (undang-undang) hanyalah
bagi Allah. Ia memerintah kamu jamgan
menyembah melainkan Dia. Yang demikian
itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah
Yusuf: 40).
Syariat akan memelihara
rukun penting bagi kehidupan manusia seperti agama, nyawa, maruah, keturunan
dan harta. Ia adalah selaras dengan
fitrah ciptaan Allah bagi manusia itu dengan menyeluruh iaitu merangkumi aspek
jasad, roh, individu, masyarakat dan hubungan manusia dengan makhluk lain.
Sehubungan dengan itu, Allah
menegaskan beberapa hukum yang telah ditetapkan untuk manusia seperti halal dan
haram, serta qisas dan hudud dalam perkara
jinayah adalah bertujuan menjamin hak dan keadilan semua pihak. Ini adalah kerana dalam konteks dunia hari ini,
kebenaran kuasa Allah telah membongkar kelemahan undang-undang ciptaaan
manusia. Ia dapat dibuktikan dengan bertambahnya gejala sosial, maksiat dan
peningkatan kadar jenayah yang semakin parah.
Hakikatnya, syariat Islam yang bersumberkan daripada Al-Quran, Sunnah
Nabi Muhammad s.a.w, ijmak dan qias adalah memenuhi segala keperluan tempat,
semaa, situasi dan realiti sepanjang zaman (Abdul Hadi Awang: 2007).
iii.
Amanah
Prinsip amanah
dalam aspek politik telah dinyatakan secara khusus dalam al-Quran iaitu:
“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu
supaya menunaikan amanah kepada ahlinya.” (An-Nisa’: 58).
Menurut Abdul Hadi Awang (2007), ayat ini
adalah salah satu rantaian yang disenaraikan dalam ayat urusan politik dan
dihuraikan lagi oleh beberapa petikan lain yang mencakupi sifat amanah apabila
memilih pemimpin dan pada masa yang sama pemimpin itu sendiri perlu menunaikan
amanah yang telah dipertanggungjawabkan.
Sehubungan dengan itu, amanah besar yang dimaksudkan adalah dalam
mengurus politik, memimpin umat dan melaksanakan perintah Allah dengan
berpegang teguh kepada ajaran Allah yang dinamakan Islam
Konsep amanah menjadi salah
satu tonggak penting yang menjayakan politik Islam memandangkan semua urusan di
dunia bukan hanya dikawal oleh undang-undang dan peraturan yang lahir, tetapi
pada masa yang sama ia turut dikawal oleh hati yang berperasaan amanah dan
tanggungjawab terhadap Allah (Abdul Hadi Awang: 2005). Jelaslah, Islam meletakkan perkara politik
atau kewajiban memimpin dan mentadbir adalah perkara amanah besar dalam
perhitungan dosa dan pahala serta tanggungjawab yang diperhitungkan sejak di
dunia sehingga ke akhirat. Pertimbangan seperti inilah yang
membezakan agenda politik Islam dengan politik sekular yang hanya bersifat
materialistik.
iv.
Keadilan
Keadilan daripada sudut
pandangan Islam bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ini bukan sekadar dalam konteks perbicaraan
di mahkamah, malah meliputi perkara-perkara lain dalam konteks interaksi sesama
makhluk termasuklah hak rohani, kebendaan, layanan dan bantuan. Islam mewajibkan agar pelaksanaan keadilan
itu dilakukan secara mutlak, tanpa ada unsur-unsur diskriminasi (Abdul Hadi
Awang: 2005). Sehubungan dengan itu, ia
hendaklah dilaksanakan kepada semua termasuk kepada musuh,apatah lagi terhadap
rakyat dalam negara Islam tanpa mengira agama, bangsa, pangkat dan
kedudukan. Dalam ertikata lain, keadilan
Islam itu adalah bersifat mutlak dan menyeluruh.
Istilah mutlak merujuk kepada
konsep tidak berbelah bahagi atau tiada sebarang pengecualian kerana ia juga
wajib diberikan kepada musuh. Sementara
itu, perkataan menyeluruh pula adalah merangkumi segala aspek kehidupan
manusia. Dalil untuk menegakkan keadilan
dinyaatakan dalam al-Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman,jadilah kamu orang-orang yang menegakkan
keadilan kerana Allah lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali
kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku
adil. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada
semua dan semua keadaan), kerana ia lebih hamper kepada takwa. Dan bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya
Allah itu maha mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (Al-Maidah: 8).
v.
Mesyuarat / Musyawarrah
Agenda politik Islam turut menganjurkan amalan
bermusyawarrah dalam setiap tindakan seperti dinyatakan oleh al-Quran:
“Dan orang-orang yang menyahut perintah
Tuhan mereka, lalau mereka mendirikan sembahyang dan urusan mereka dikendalikan
dengan bermesyuarat di kalangan mereka dan mereka membelanjakan dari apa yang
kami rezeki bagi mereka.” (Asy-Syura:
38).
Kewajiban untuk bermesyuarat
dalam setiap perkara adalah bagi menunjukkan hakikat bahawa seseorang pemimpin
itu tidak berkuasa penuh dan konsep tersebut tidak akan mengongkong
kebijaksanaannya. Amalan ini terbukti
berkesan dalam menyelesaikan perkara-perkara penting dan memerlukan pendapat
semua pihak agar keputusan yang diambil dapat memuaskan semua pihak
terlibat.
Sejarah Islam mencatatkan bahawa ketika tentera muslim
kebuntuan menghadapi kepungan kaum Quraisy Mekah semasa Perang Khandak,
Rasulullah s.a.w. telah bermesyuarat dengan para sahabat untuk memikirkan
strategi yang sesuai bagi mengatasi masalah tersebut. Seorang sahabat bernama Salman al- Farisi
tampil dengan idea pembinaan parit di sekeliling kota Mekah lalu baginda menyetujuinya dan
akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Begitu juga apabila berlaku peristiwa
kewafatan Nabi Muhammad, para sahabat telah memanggil mesyuarat tergempar bagi
memilih pengganti Baginda s.a.w. untuk
mengendalikan urusan politik negara.
Berdasarkan kepada hakikat itu jelas membuktikan kepentingan amalan
musyawarrah dalam politik Islam.
PENUTUP
Jelas, konsep politik dalam Islam mempunyai
tafsiran tersendiri dan tentunya berbeza daripada sudut pandangan sekular. Apa yang nyata dalam Islam setiap aktiviti
kehidupan telah ditetapkan berlandaskan peraturan al-Quran dan hadis. Kedua-dua sumber ini jelas relevan kepada
manusia dalam apa jua keadaan zaman dan persekitaran. Justeru, mengenepikan kedua-dua sumber itu
bakal mengundang bala kesan daripada kemurkaan Yang Maha Esa.
RUJUKAN
Abdul Hadi Awang.
2007. Islam dan Demokrasi. Batu Caves ..PTS
Publications Sdn.Bhd.
Abu-al-A’la al-Maududy.1982. “Political Theory in Islam”, Dalam John J.
Donohue
(ed.), Islam in Transition .New York : Oxford University Press.
Shukeri
Mohamad, Mohamad Azrien Mohamed Adnan, Syed Abdurahman Syed
Hussin. 2011. Analisis Pengaruh Politik Islam Di
Negeri Kelantan Terhadap Gaya Hidup
Masyarakat Di Malaysia dlm Tajdid and Islam.Kuala Lumpur. Department of Islamic History and Civilization
Academy of Islam
Studies University Of Malaya
No comments:
Post a Comment