Kehadirannya tidak disedari......













Tuesday, August 13, 2013

Separatism Di Asia Tenggara
Zainal Sanusi
Sarjana Muda Pengajian Sains Politik UKM




   PENGENALAN

          Gerakan Pemisahan atau separatism adalah keinginan untuk membebaskan diri daripada pemerintah yang sedia ada untuk mewujudkan satu imej dan pemerintahan baru.  Selain daripada itu, ia juga merupakan gerakan bagi menuntut wilayah-wilayah tertentu untuk mendapatkan hak pemerintah terhadapnya.  Sehubungan dengan itu, untuk mengembalikan hak yang dirasakan terancam mereka akan menjalankan tuntutan melalui rundingan bagi mengelakkan sebarang pertumpahan darah.  Walau bagaimanapun, apabila rundingan tersebut menemui jalan buntu maka kebanyakan kumpulan yang mengemukan tuntutan itu biasanya akan bertindak lebih keras untuk menarik perhatian pihak-pihak tertentu.  Gerakan pemisah yang bercorak radikal seperti ini sering kali dikaitkan dengan aktiviti keganasan antarabangsa terutamanya selepas peristiwa 11 September 2001. 

Justeru, secara umumnya gerakan pemisahan adalah merujuk kepada pergerakan sekelompok masyarakat yang menuntut untuk mengadakan pemerintahan sendiri samada akibat daripada ekploitasi pemerintah pusat ataupun menuntut hak yang lebih luas dalam aspek-aspek tertentu.  Tindakan pemisahan terutama yang melibatkan etnik bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah politik dunia, malahan ia telah banyak meninggalkan kesan pada hari ini.  Sebagai contoh di dunia Eropah telah berlaku beberapa keruntuhan kerajaan seperti pemerintahan Austria-Hunggari, perpecahan antara Belgium dan Holland, Sepanyol dan Portugis, serta perpecahan antara Norway dan Sweeden.  Selain daripada itu, di Asia pula gerakan pemisahan telah berlaku di Myanmar, pemberontakan Ambon di Indonesia dan yang terkini di Selatan Thailand.

BENTUK GERAKAN PEMISAHAN DI NEGARA MEMBANGUN

Gerakan pemisahan yang berlaku di negara sedang membangun terutamanya di benua Asia mempunyai pola-pola tertentu yang berbeza berdasarkan faktor tempat dan budaya sesuatu etnik negara tersebut.  Perbezaan tersebut akan menimbulkan beberapa polemik antara kes-kes yang terjadi di sesuatu negara berbanding dengan negara yang lain.  Ini adalah kerana pemisahan boleh wujud menerusi pelbagai medium dan bergantung kepada faktor setempat serta kerumitan kes yang menjadi penyebab kepada berlakunya keadaan tersebut.  Namun begitu, apa yang jelas ialah apabila wujud sebarang perbezaan layanan oleh pihak kerajaan terhadap sesebuah masyarakat atau etnik, maka desakan untuk melakukan gerakan pemisah memang tidak dapat dielakkan lagi.  Justeru itu, berdasarkan kes-kes yang biasa berlaku terdapat beberapa corak atau bentuk gerakan pemisahan yang berlaku di negara sedang membangun.

Ini dijelaskan oleh Mehden (1959) bahawa jenis gerakan pemisahan pertama akan berlaku apabila wujud kelompok tertentu yang enggan tunduk kepada pemerintahan kerajaan pusat.  Ini diikuti oleh gerakan pemisahan yang diwujudkan bagi menuntut pemerintahan sendiri atau bertujuan untuk menghalau kuasa asing seperti di Aceh dan Palestin.  Seterusnya, jenis ketiga pula ialah gerakan pemisahan disebabkan perasaan tidak puashati terhadap kedudukan mereka yang sering menjadi mangsa diskriminasi seperti berlaku di Filipina dan Selatan Thailand.  Berdasarkan ketiga-tiga bentuk tersebut adalah jelas bahawa wujud ketidakserasian di antara pemerintah dengan sekelompok masyarakat hingga membawa kepada kemunculan gerakan pemisahan kerana ia dianggap cara terbaik untuk memulangkan hak yang telah dinafikan selama ini. 

  GERAKAN PEMISAHAN DI ASIA TENGGARA

Dalam konteks negara-negara membangun di benua Asia Tenggara, gerakan pemisah biasanya berlaku di kawasan yang mempunyai sejarah tersendiri.  Umumnya ia berkaitan dengan kesan penjajahan ataupun perjanjian tidak adil yang dianggap oleh sesuatu kumpulan sebagai satu bentuk diskriminasi.  Namun begitu, terdapat juga gerakan yang dijalankan atas dasar kepentingan diri sendiri dan bukannya mendukung aspek yang jelas seperti untuk membebaskan wilayah yang ditindas itu.  Menurut Mohd Ainuddin Iskandar Lee Abdullah (2002), gerakan pemisahan di Asia Tengara tercetus rentetan daripada tindakbalas puak minoriti terhadap pemerintah yang dianggap sebagai mencabul hak asasi serta kebebasan mereka.  Justeru, konsep ‘self-determination’ atau keiltizaman dalam hak penentu untuk memerintah sendiri menjadi intipati perjuangan para pejuang gerakan pemisahan kebanyakan negara membangun rantau Asia Tenggara ke arah membebaskan diri daripada belenggu pihak pemerintah yang didakwa masih menjajah hak kebebasan mereka.

     Faktor inilah yang telah dan pernah berlaku terhadap puak minoriti beberapa kawasan 

sekitaran Asia Tenggara seperti di kalangan masyarakat muslim Melayu Pattani, Selatan 
Thailand, orang-orang Islam Moro di Selatan Filipina serta kelompok masyarakat di Timor Timur Indonesia.  Kesemua konflik tersebut telah menimbulkan dilema bukan sekadar daripada pihak pemerintah negara berkenaan, malahan mengundang perhatian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menentukan halatuju perjuangan mereka.  Ternyata cabaran yang dihadapi oleh puak minoriti gerakan pemisahan ini disifatkan begitu kritikal terutama dalam menghadapi sikap ‘double standard’ pihak PBB ketika menyelesaikan masalah konflik dan kedudukan mereka di rantau Asia Tenggara. Contohnya pada tahun 1999, PBB merestui mereka untuk melakukan referendum dan pilihanraya sama ada untuk memilih kepada kemerdekaan ataupun kekal sebagai sebahagian daripada wilayah Kesatuan Indonesia.  Komitmen badan dunia itu kemudiannya telah membawa kepada kemerdekaan wilayah tersebut pada 20 Mei 2002 yang kemudian dikenali sebagai Timor Leste (http://id.wikipedia.org/wiki/Timor_Leste)

Namun,  PBB seperti tidak mampu berbuat apa terhadap isu di Selatan Thailand yang menyebabkan masyarakat Islam Melayu Pattani masih bergelumang dalam kancah ‘self-determination’ tanpa sebarang jalan penyelesaian.  Akibat daripada ketidakadilan itu menyebabkan golongan pemisah melibatkan diri dalam aktiviti militan yang membawa maksud berjuang secara kekerasan.  Golongan ini beranggapan bahawa corak perjuangan seperti itu lebih efektif dan mempercepatkan lagi proses untuk membebaskan wilayah mereka daripada kerajaan pusat yang menguasainya.  Menurut Che Mohd Aziz Yaacob (2011), konflik di Selatan Thailand adalah merupakan rentetan peristiwa konflik antara orang Melayu Islam Pattani dengan kerajaan Thailand yang berlarutan sejak ratusan tahun dahulu.  Sepanjang tempoh itu, pelbagai perubahan dalam pendekatan penyelesaian konflik dilakukan oleh kerajaan Thailand khususnya antara era pemerintahan Raja Chulalongkorn sehinggalah zaman pentadbiran Perdana Menteri Yingluck Shinawatra namun masih terus menemui jalan buntu. 

Bersambung..



SENARAI RUJUKAN


Abu Talib Ahmad. 1991. Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Kuala Lumpur. DBP

Che Mohd Aziz b Yaacob. 2009. Konflik Pemisah Di Selatan Thailand : Isu, Aktor dan Penyelesaian. Tesis Ijazah Sarjana Sains Kemasyarakatan.  Universiti Sains Malaysia

Che Mohd Aziz Yaacob. 2011. Isu dan Penyelesaian : Konflik Pemisah Di Selatan Thailand Dalam Jebat: Malaysian Journal of History, Politics & Strategic Studies Vol. 38. Bangi. UKM

Che Man, W.K. 1990. Muslim Separatism: The Moros of  Southern Philippines and The Malay of Southern Thailand. Singapore. Oxford University Press

Mohd Ainuddin Iskandar Lee Abdullah. 2002. Gerakan  Pemisah Asia Tenggara: Satu Perbandingan Cabaran Di Pattani, Thailand dan Timor Timur, Indonesia Dalam Jurnal Pembangunan Sosial  Jilid 4 & 5 / Jun & Dis 2002. Sintok. Sekolah Pembangunan Sosial, UUM

Nik Anuar Nik Mahmud. 1999. Sejarah Perjuangan Melayu Pattani 1785-1954. Bangi. UKM.

Shamsul Amri Baharuddin. 2008. Modul Hubungan Etnik. Shah Alam. Pusat Penerbitan Universiti  (UPENA) UITM


http://id.wikipedia.org/wiki/Timor_Leste. 





No comments:

Post a Comment