Kehadirannya tidak disedari......













Wednesday, August 14, 2013

SIAPAKAH PEMIMPIN ?

Zainal bin Sanusi




Perkataan kepimpinan berteraskan kata dasar pemimpin dan boleh ditafsirkan sebagai, “…..Individual in social system claims to exercise command over other and gain acceptance of their claims and obedience to their directives.” (Weber 1968: 213) 

 Ibrahim Mamat (2001) pula menjelaskan lagi istilah pemimpin itu sebagai seorang individu dalam sesuatu kelompok masyarakat atau organisasi yang diberikan tanggungjawab mengarah dan menyelaras aktiviti untuk mencapai matlamat organisasi atau kumpulan seperti yang ditetapkan (Ibrahim Mamat: 2001). Selain daripada itu, definisi lain yang diberikan terhadap konsep kepimpinan ialah mengepalai atau mengetuai sesebuah badan atau pertubuhan, pergerakan, mesyuarat atau sesebuah organisasi (Muhyidin Aziz: 1996). Jamie Hamil (2006) pula merujuk pemimpin sebagai orang yang mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi perlakuan orang lain melalui pemikiran, kedudukan, perkataan dan tindakan. Seseorang pemimpin itu mestilah mempunyai pengikut dan kewujudannya adalah penting kerana tanpa mereka, idea dan kebolehan pemimpin itu tidak akan dihargai serta dipuja. Semakin dalam pengaruh yang dapat ditanam oleh pemimpin itu maka semakin ramailah pengikutnya. Justeru, apabila ini berlaku seseorang pemimpin itu akan dilihat oleh pengikutnya sebagai seorang yang sangat istimewa dengan sifat yang adakalanya begitu luar biasa daripada manusia lain. 

Ada juga yang berpendapat bahawa seseorang pemimpin itu adalah manusia agung pada zamannya. Justeru, keagungan tersebut telah menyebabkan zamannya begitu bermakna, penting dan menonjol sekali. Walau bagaimanapun adalakanya keagungan itu hanya akan dikenang dan dianggap sebagai satu yang besar pada zaman terkemudiannya. Sehubungan dengan itu, E.E. Jening (1972) meletakkan manusia agung ini kepada tiga kumpulan iaitu `superman`, `hero` dan `prince`. Superman merujuk kepada seorang pemimpin yang berupaya mengubah nilai lama atau idea lama yang telah sebati dalam masyarakatnya dengan idea dan nilai baru. Seterusnya, nilai baru itu kemudian diterima oleh masyarakat sezaman atau sesudahnya dan menjadi ikutan mereka. Sementara itu, pemimpin yang mempunyai sifat hero pula merujuk kepada seseorang pemimpin yang menumpukan agenda perjuangannya ke arah cita-cita dan matlamat yang luhur. Akhirnya, pemimpin yang disifatkan oleh Jenning sebagai prince merupakan pemimpin yang setiasa berusaha untuk menguasai dan mempengaruhi orang lain dan dianggap sebagai pemburu kuasa atau power seeker (E.E. Jenning: 1972).

Selain daripada itu, adalah tidak lengkap untuk membicara persoalan kepimpinan jika tidak memetik pandangan Max Weber. Beliau yang juga merupakan seorang ahli ekonomi dan sosiologi terkenal telah membahagikan pemimpin kepada tiga golongan iaitu ` Legal Authority `, Traditional Authority` dan Charismatic Authority`. Konsep `Legal Authority` merujuk kepada sebuah kepimpinan yang muncul daripada penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang telah diterima seterusnya dilembagakan oleh kelompok masyarakat tertentu. Seterusnya, Traditional Authority pula memperlihatkan kemunculan dan kekuatan kepimpinan itu berdasarkan kepada unsur-unsur dan kerangka tradisi dalam sesebuah masyarakat. Justeru, ini bermakna kepimpinan itu diterima baik oleh komuniti masyarakatnya berdasarkan kepada status tradisional yang diwarisinya. Sementara itu, Charismatic Authority pula merujuk kepada individu yang berjaya memimpin pengikutnya atas dasar karisma yang wujud dalam dirinya (Max Weber: 1969).

Konsep kepimpinan juga disentuh oleh Hisham Al Talib (1994) yang mendefiniskannya sebagai satu proses untuk menggerakkan sekumpulan manusia menuju ke suatu tujuan yang telah ditetapkan dengan memotivasikan mereka dengan suatu cara yang tidak memaksa. Dalam ertikata yang lain, kepimpinan juga adalah suatu peranan dan juga merupakan proses untuk mempengaruhi orang lain. Pemimpin adalah juga seorang ahli perkumpulan yang diharapkan untuk menggunakan pengaruhnya dalam mewujudkan serta mencapai tujuan kelompok. Justeru, pemimpin yang sebenar adalah seorang yang memimpin dan bukannya seorang yang menggunakan kedudukan untuk memimpin. 

RUJUKAN :-

Wan Mohd Mahyiddin. 1996. Kepimpinan: Sorotan Pelbagai Aspek Bagi 
Meningkatkan Kualiti dan Pencapaian. Shah Alam. Fajar Bakti

Dr. Hisyam Yahya Altalib. 1994. Panduan Latihan Bagi Gerakan Islam. Dewan 
Dakwah Islamiyah Indonesia Dengan Kerjasama The International Institute of 
Islamic Thought, Herndon,Virginia, Amerika Syarikat

Wan Idros Wan Sulaiman. 1999. Teori Kepimpinan Karismatik. Dalam Ghazali 
Mayuddin. Teori Sains Politik : Aplikasi Dalam Kontkes Malaysia. Bangi. 
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments:

Post a Comment