Kehadirannya tidak disedari......
Saturday, December 28, 2013
Wednesday, December 25, 2013
Monday, August 26, 2013
Trans-Pacific Partnership Agreement
TPPA atau Trans-Pacific Partnership Agreement adalah satu bentuk perjanjian perdagangan antarabangsa yang dipelopori Amerika Syarikat bersama 11 negara lain termasuk Malaysia.
Implikasi TPPA terhadap kedaulatan negara dan ekonomi adalah terlalu besar dan memerlukan kajian serta perbincangan teliti dengan semua pihak.
Justeru itu, persetujuan Sidang Kabinet khas berkenaan TPPA yang berlangsung minggu lepas walaupun agak lambat namun dialu-alukan. Resolusi yang dibuat Kabinet telah memenuhi tuntutan yang diketengahkan oleh beberapa NGO dan Pakatan Rakyat sebelum ini.
Sidang Kabinet mengarahkan para perunding bagi Malaysia supaya terus memastikan kedaulatan Malaysia dipertahan sepanjang rundingan TPPA ini berlaku, dan hanya akan mempersetujui TPPA dengan syarat-syarat yang paling memanfaatkan negara.
Kabinet juga telah bersetuju dengan 2 lagi Analisa Kos Faedah (Cost Benefit Analyses, CBA), yang akan memberi tumpuan kepada perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana; dan komuniti usahawan Bumiputra, dan juga analisa komprehensif berkenaan kepentingan Negara melibatkan keseluruhan bab-bab yang dirundingkan.
Sebagai kementerian utama yang merundingkan TPPA bagi rakyat Malaysia, MITI juga memaklumkan Kabinet bahawa perbincangan dua hala bersama kesemua pihak yang berkepentingan akan dipergiatkan dengan cara yang lebih telus.
Menurut pengamatan saya, TPP juga telah mendedahkan tiga cabaran utama yang sedang dihadapi oleh negara kita. Cabaran-cabaran ini memerlukan tindakan segera sebelum TPPA dipersetujui.
Cabaran pertama ialah memastikan penglibatan bermakna yang merangkumi semua pihak berkepentingan terutama dalam perjanjian-perjanjian antarabangsa.
Walaupun sedang dalam kemelut kekalutan TPPA, kita tidak boleh melupakan kedua-dua perjanjian perdagangan utama yang lain yang juga sedang dirundingkan: RCEP – Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (ASEAN + 6 rakan FTA: Australia, China, India, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan) dan FTA Malaysia-Kesatuan Eropah.
Kita mestilah mempunyai proses pengawasan dan pengesahan atau ratifikasi Parlimen bagi perjanjian antarabangsa supaya tidak mengetepikan demokrasi, khususnya dari segi prinsip pemisahan kuasa. Kabinet tidak boleh menjadi satu-satunya penentu kepada keputusan-keputusan yang boleh memberi kesan besar, kadangkalanya kesan buruk, kepada masa depan negara kita.
Kaukus TPPA Parlimen mestilah dinaiktarafkan menjadi Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen yang akan memberikan mekanisme yang lebih bermakna dalam mewakili kepentingan rakyat dalam perjanjian ini. Malah, Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen ini diperlukan bagi ketiga-tiga rundingan antarabangsa (TPPA, RCEP, Malaysia-EU FTA) yang sedang dijalankan pada masa ini.
Berbilang lapisan pengawasan dan pengesahan sangat berguna dalam menentukan keputusan rundingan-rundingan antarabangsa yang gagal sebelum ini supaya berpihak kepada Malaysia, seperti rundingan Air, Tanjung Pagar dan Pulau Batu Putih dengan Singapura, dan juga rundingan wilayah petroleum Blok L dan M bersama Brunei.
Cabaran yang kedua ialah menyediakan Malaysia untuk bersaing dengan lebih cemerlang di peringkat global.
‘Kapasiti Persaingan’ negara kita masih lagi belum dibangunkan dengan sempurna walaupun pelbagai peluang, perlindungan dan berbilion ringgit dibelanjakan, atau lebih tepat lagi, dibazirkan. Kebanyakan daripada kegagalan ini adalah kerana kecuaian dalam pengurusan ekonomi dan dasar pendidikan (dalam pembangunan sumber manusia) negara.
Sebagai contoh, Proton masih lagi belum mampu bersaing di pasaran tempatan, apatah lagi melonjakkan nama mereka sebagai sebuah jenama global seperti Kia atau Hyundai, walaupun telah saban tahun disubsidi oleh rakyat Malaysia sejak penubuhan syarikat pada 1983.
Bagaimana pula tentang Perwaja yang sepatutnya menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar keluli tersohor, dengan industri berkaitan keluli seperti perkapalan dan pembinaan yang rancak? Apa yang telah terjadi dengan MEC (Malaysia Electric Corporation) yang dicitakan sebagai pesaing utama bagi Samsung? Dengan pelaksanaan dan penggubalan polisi yang betul, negara kita sepatutnya boleh menjadi pengeluar utama bagi alatan elektronik, telefon pintar, komputer dan peralatan elektrik.
TPPA tidak sepatutnya menjadi keutamaan kita. Saya percaya, kita perlu mempunyai suatu wawasan untuk Pengembangan Kapasiti Daya-Saing Kebangsaan yang perlu dijalankan sekurang-kurangnya selama 10 tahun dari sekarang. Wawasan ini perlu merangkumi aspek-aspek reformasi politik, penstrukturan semula ekonomi dan revolusi pendidikan. Ia perlu dijalankan dengan lebih meluas dan mantap berbanding dengan Agenda Transformasi Kebangsaan yang merangkumi GTP dan ETP. Kita perlu membenarkan persaingan secara sihat berlaku di dalam negeri dahulu untuk menyediakan Malaysia untuk persaingan antarabangsa.
Cabaran kita yang ketiga ialah untuk melindungi sumber alam kita yang terhad untuk pembangunan negara.
TPPA mendedahkan bagaimana kita perlu melindungi sumber-sumber ‘Kekayaan Negara’ sebelum tertakluk pada sebuah perjanjian antarabangsa yang menuntut kesamarataan bukan sahaja kepada pasaran tempatan bahkan kepada sumber alam kita.
Sumber petroleum kita pada masa ini dilindungi oleh Akta Pembangunan Petroleum melalui pelbagai peraturan dan mekanisma kontrak perkongsian pengeluaran yang membolehkan kita mengekalkan ‘kedaulatan’ dan mendapat faedah dari keuntungan yang dihasilkan. Satu lagi sumber alam muktamad yang amat penting bagi Malaysia ialah biodiversiti kita yang amat kaya.
Saya membayangkan Malaysia boleh menjadi ‘Hab Sains Kehidupan Global’ (Global Life Science Hub) yang seterusnya, yang mana hasil flora dan fauna kita dijadikan sebagai sumber ubat-ubatan yang baru, kejuruteraan bio dan juga industri biokimia.
Pihak Kerajaan pada masa ini tidak memperuntukkan dana dan perhatian yang cukup kepada industri ini.
Walaupun Malaysia diperakui kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna, kajian yang telah dijalankan menunjukkan yang Malaysia cuma membelanjakan 30 peratus daripada apa yang dibelanjakan oleh Negara maju dalam setiap hektar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan yang dilindungi.
Dalam suatu laporan oleh Prosiding Akademi Sains Nasional dari AS, Malaysia merupakan salah satu dari 10 negara yang mempunyai peruntukan penjagaan biodiversiti yang terendah di dunia, menduduki tangga ke tujuh di belakang Iraq, Djibouti dan Angola.
Walaupun telah wujud suatu kerangka polisi melalui Polisi Biodiversiti Kebangsaan yang dibangunkan dalam tahun 1998, institusi-institusi yang mentadbir biodiversiti tiada kesinambungan antara satu sama lain. Di peringkat Persekutuan, telah wujud sekurang-kurangnya tujuh jabatan, tiga kementerian, sembilan agensi dan setiap 13 negeri yang lain mempunyai hak masing-masing berkenaan dengan biodiversiti.
Tambahan pula, terdapat sebuah keperluan untuk pembangunan Harta Intelek kita bagi memastikan pertumbuhan dan inovasi biodiversiti adalah mampan.
Sebagai pemangkin ke arah melindungi sumber alam yang tidak ternilai, serta menggalakkan pertumbuhan yang sihat dalam industri ini, saya akan mengemukakan sebuah rang undang-undang ahli persendirian dalam Parlimen untuk sebuah Akta Pelesenan Paten Kod Biodiversiti Genetik Kebangsaan .
Sidang parlimen yang akan datang sepatutnya memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi kesemua perjanjian perdagangan antarabangsa, serta menukar proses sedia ada untuk melibatkan Pengesahan atau Ratifikasi Parlimen dalam kesemua perjanjian perdagangan di masa hadapan.
Adalah nyata bahawa kekecohan akibat TTPA harus melonjakkan kita untuk menuntut reformasi politik, penstrukturan ekonomi dan revolusi pendidikan, demi menjamin daya-saing Negara untuk masa depan. Kita yang sewajarnya menentukan rentak reformasi dan bukan negara lain.
Kita masih belum terlambat.
Sumber : Laman Web Nurul Izzah Anwar ( Ahli Parlimen Lembah Pantai )
Wednesday, August 14, 2013
SIAPAKAH PEMIMPIN ?
Zainal bin Sanusi
Perkataan kepimpinan berteraskan kata dasar pemimpin dan boleh ditafsirkan sebagai, “…..Individual in social system claims to exercise command over other and gain acceptance of their claims and obedience to their directives.” (Weber 1968: 213)
Ibrahim Mamat (2001) pula menjelaskan lagi istilah pemimpin itu sebagai seorang individu dalam sesuatu kelompok masyarakat atau organisasi yang diberikan tanggungjawab mengarah dan menyelaras aktiviti untuk mencapai matlamat organisasi atau kumpulan seperti yang ditetapkan (Ibrahim Mamat: 2001). Selain daripada itu, definisi lain yang diberikan terhadap konsep kepimpinan ialah mengepalai atau mengetuai sesebuah badan atau pertubuhan, pergerakan, mesyuarat atau sesebuah organisasi (Muhyidin Aziz: 1996). Jamie Hamil (2006) pula merujuk pemimpin sebagai orang yang mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi perlakuan orang lain melalui pemikiran, kedudukan, perkataan dan tindakan. Seseorang pemimpin itu mestilah mempunyai pengikut dan kewujudannya adalah penting kerana tanpa mereka, idea dan kebolehan pemimpin itu tidak akan dihargai serta dipuja. Semakin dalam pengaruh yang dapat ditanam oleh pemimpin itu maka semakin ramailah pengikutnya. Justeru, apabila ini berlaku seseorang pemimpin itu akan dilihat oleh pengikutnya sebagai seorang yang sangat istimewa dengan sifat yang adakalanya begitu luar biasa daripada manusia lain.
Ada juga yang berpendapat bahawa seseorang pemimpin itu adalah manusia agung pada zamannya. Justeru, keagungan tersebut telah menyebabkan zamannya begitu bermakna, penting dan menonjol sekali. Walau bagaimanapun adalakanya keagungan itu hanya akan dikenang dan dianggap sebagai satu yang besar pada zaman terkemudiannya. Sehubungan dengan itu, E.E. Jening (1972) meletakkan manusia agung ini kepada tiga kumpulan iaitu `superman`, `hero` dan `prince`. Superman merujuk kepada seorang pemimpin yang berupaya mengubah nilai lama atau idea lama yang telah sebati dalam masyarakatnya dengan idea dan nilai baru. Seterusnya, nilai baru itu kemudian diterima oleh masyarakat sezaman atau sesudahnya dan menjadi ikutan mereka. Sementara itu, pemimpin yang mempunyai sifat hero pula merujuk kepada seseorang pemimpin yang menumpukan agenda perjuangannya ke arah cita-cita dan matlamat yang luhur. Akhirnya, pemimpin yang disifatkan oleh Jenning sebagai prince merupakan pemimpin yang setiasa berusaha untuk menguasai dan mempengaruhi orang lain dan dianggap sebagai pemburu kuasa atau power seeker (E.E. Jenning: 1972).
Selain daripada itu, adalah tidak lengkap untuk membicara persoalan kepimpinan jika tidak memetik pandangan Max Weber. Beliau yang juga merupakan seorang ahli ekonomi dan sosiologi terkenal telah membahagikan pemimpin kepada tiga golongan iaitu ` Legal Authority `, Traditional Authority` dan Charismatic Authority`. Konsep `Legal Authority` merujuk kepada sebuah kepimpinan yang muncul daripada penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang telah diterima seterusnya dilembagakan oleh kelompok masyarakat tertentu. Seterusnya, Traditional Authority pula memperlihatkan kemunculan dan kekuatan kepimpinan itu berdasarkan kepada unsur-unsur dan kerangka tradisi dalam sesebuah masyarakat. Justeru, ini bermakna kepimpinan itu diterima baik oleh komuniti masyarakatnya berdasarkan kepada status tradisional yang diwarisinya. Sementara itu, Charismatic Authority pula merujuk kepada individu yang berjaya memimpin pengikutnya atas dasar karisma yang wujud dalam dirinya (Max Weber: 1969).
Konsep kepimpinan juga disentuh oleh Hisham Al Talib (1994) yang mendefiniskannya sebagai satu proses untuk menggerakkan sekumpulan manusia menuju ke suatu tujuan yang telah ditetapkan dengan memotivasikan mereka dengan suatu cara yang tidak memaksa. Dalam ertikata yang lain, kepimpinan juga adalah suatu peranan dan juga merupakan proses untuk mempengaruhi orang lain. Pemimpin adalah juga seorang ahli perkumpulan yang diharapkan untuk menggunakan pengaruhnya dalam mewujudkan serta mencapai tujuan kelompok. Justeru, pemimpin yang sebenar adalah seorang yang memimpin dan bukannya seorang yang menggunakan kedudukan untuk memimpin.
RUJUKAN :-
Wan Mohd Mahyiddin. 1996. Kepimpinan: Sorotan Pelbagai Aspek Bagi
Meningkatkan Kualiti dan Pencapaian. Shah Alam. Fajar Bakti
Dr. Hisyam Yahya Altalib. 1994. Panduan Latihan Bagi Gerakan Islam. Dewan
Dakwah Islamiyah Indonesia Dengan Kerjasama The International Institute of
Islamic Thought, Herndon,Virginia, Amerika Syarikat
Wan Idros Wan Sulaiman. 1999. Teori Kepimpinan Karismatik. Dalam Ghazali
Mayuddin. Teori Sains Politik : Aplikasi Dalam Kontkes Malaysia. Bangi.
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Tuesday, August 13, 2013
Separatism Di Asia Tenggara
Zainal Sanusi
Sarjana Muda Pengajian Sains Politik UKM
PENGENALAN
Gerakan Pemisahan atau separatism adalah keinginan untuk
membebaskan diri daripada pemerintah yang sedia ada untuk mewujudkan satu imej
dan pemerintahan baru. Selain daripada
itu, ia juga merupakan gerakan bagi menuntut wilayah-wilayah tertentu untuk
mendapatkan hak pemerintah terhadapnya. Sehubungan
dengan itu, untuk mengembalikan hak yang dirasakan terancam mereka akan
menjalankan tuntutan melalui rundingan bagi mengelakkan sebarang pertumpahan
darah. Walau bagaimanapun, apabila
rundingan tersebut menemui jalan buntu maka kebanyakan kumpulan yang mengemukan
tuntutan itu biasanya akan bertindak lebih keras untuk menarik perhatian
pihak-pihak tertentu. Gerakan pemisah
yang bercorak radikal seperti ini sering kali dikaitkan dengan aktiviti keganasan
antarabangsa terutamanya selepas peristiwa 11 September 2001.
Justeru, secara umumnya gerakan pemisahan adalah merujuk
kepada pergerakan sekelompok masyarakat yang menuntut untuk mengadakan
pemerintahan sendiri samada akibat daripada ekploitasi pemerintah pusat ataupun
menuntut hak yang lebih luas dalam aspek-aspek tertentu. Tindakan pemisahan terutama yang melibatkan
etnik bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah politik dunia, malahan ia telah
banyak meninggalkan kesan pada hari ini.
Sebagai contoh di dunia Eropah telah berlaku beberapa keruntuhan
kerajaan seperti pemerintahan Austria-Hunggari, perpecahan antara Belgium dan
Holland, Sepanyol dan Portugis, serta perpecahan antara Norway dan
Sweeden. Selain daripada itu, di Asia
pula gerakan pemisahan telah berlaku di Myanmar ,
pemberontakan Ambon di Indonesia dan yang terkini di Selatan Thailand .
BENTUK GERAKAN PEMISAHAN DI NEGARA MEMBANGUN
Gerakan pemisahan yang berlaku di negara sedang
membangun terutamanya di benua Asia mempunyai
pola-pola tertentu yang berbeza berdasarkan faktor tempat dan budaya sesuatu
etnik negara tersebut. Perbezaan
tersebut akan menimbulkan beberapa polemik antara kes-kes yang terjadi di
sesuatu negara berbanding dengan negara yang lain. Ini adalah kerana pemisahan boleh wujud
menerusi pelbagai medium dan bergantung kepada faktor setempat serta kerumitan
kes yang menjadi penyebab kepada berlakunya keadaan tersebut. Namun begitu, apa yang jelas ialah apabila
wujud sebarang perbezaan layanan oleh pihak kerajaan terhadap sesebuah
masyarakat atau etnik, maka desakan untuk melakukan gerakan pemisah memang
tidak dapat dielakkan lagi. Justeru itu,
berdasarkan kes-kes yang biasa berlaku terdapat beberapa corak atau bentuk
gerakan pemisahan yang berlaku di negara sedang membangun.
Ini dijelaskan oleh Mehden (1959) bahawa jenis gerakan
pemisahan pertama akan berlaku apabila wujud kelompok tertentu yang enggan
tunduk kepada pemerintahan kerajaan pusat. Ini diikuti oleh gerakan pemisahan yang
diwujudkan bagi menuntut pemerintahan sendiri atau bertujuan untuk menghalau
kuasa asing seperti di Aceh dan Palestin.
Seterusnya, jenis ketiga pula ialah gerakan pemisahan disebabkan
perasaan tidak puashati terhadap kedudukan mereka yang sering menjadi mangsa
diskriminasi seperti berlaku di Filipina dan Selatan Thailand . Berdasarkan ketiga-tiga bentuk tersebut
adalah jelas bahawa wujud ketidakserasian di antara pemerintah dengan
sekelompok masyarakat hingga membawa kepada kemunculan gerakan pemisahan kerana
ia dianggap cara terbaik untuk memulangkan hak yang telah dinafikan selama
ini.
GERAKAN PEMISAHAN DI ASIA TENGGARA
Dalam konteks negara-negara membangun di benua Asia
Tenggara, gerakan pemisah biasanya berlaku di kawasan yang mempunyai sejarah
tersendiri. Umumnya ia berkaitan dengan kesan
penjajahan ataupun perjanjian tidak adil yang dianggap oleh sesuatu kumpulan
sebagai satu bentuk diskriminasi. Namun
begitu, terdapat juga gerakan yang dijalankan atas dasar kepentingan diri
sendiri dan bukannya mendukung aspek yang jelas seperti untuk membebaskan
wilayah yang ditindas itu. Menurut Mohd
Ainuddin Iskandar Lee Abdullah (2002), gerakan pemisahan di Asia Tengara
tercetus rentetan daripada tindakbalas puak minoriti terhadap pemerintah yang
dianggap sebagai mencabul hak asasi serta kebebasan mereka. Justeru, konsep ‘self-determination’ atau keiltizaman dalam hak penentu untuk
memerintah sendiri menjadi intipati perjuangan para pejuang gerakan pemisahan
kebanyakan negara membangun rantau Asia Tenggara ke arah membebaskan diri
daripada belenggu pihak pemerintah yang didakwa masih menjajah hak kebebasan
mereka.
Faktor inilah yang telah dan pernah berlaku
terhadap puak minoriti beberapa kawasan
sekitaran Asia Tenggara seperti di
kalangan masyarakat muslim Melayu Pattani, Selatan
Namun, PBB
seperti tidak mampu berbuat apa terhadap isu di Selatan Thailand yang
menyebabkan masyarakat Islam Melayu Pattani masih bergelumang dalam kancah ‘self-determination’ tanpa sebarang
jalan penyelesaian. Akibat daripada
ketidakadilan itu menyebabkan golongan pemisah melibatkan diri dalam aktiviti militan
yang membawa maksud berjuang secara kekerasan.
Golongan ini beranggapan bahawa corak perjuangan seperti itu lebih
efektif dan mempercepatkan lagi proses untuk membebaskan wilayah mereka
daripada kerajaan pusat yang menguasainya.
Menurut Che Mohd Aziz Yaacob (2011), konflik di Selatan Thailand adalah merupakan rentetan peristiwa
konflik antara orang Melayu Islam Pattani dengan kerajaan Thailand yang
berlarutan sejak ratusan tahun dahulu. Sepanjang
tempoh itu, pelbagai perubahan dalam pendekatan penyelesaian konflik dilakukan
oleh kerajaan Thailand
khususnya antara era pemerintahan Raja Chulalongkorn sehinggalah zaman
pentadbiran Perdana Menteri Yingluck Shinawatra namun masih terus menemui jalan
buntu.
Bersambung..
SENARAI
RUJUKAN
Abu Talib Ahmad. 1991. Sejarah Tanah Besar Asia
Tenggara. Kuala Lumpur. DBP
Che Mohd Aziz b Yaacob.
2009. Konflik Pemisah Di Selatan Thailand : Isu, Aktor dan Penyelesaian. Tesis
Ijazah Sarjana Sains Kemasyarakatan.
Universiti Sains Malaysia
Che Mohd Aziz Yaacob.
2011. Isu dan Penyelesaian : Konflik Pemisah Di Selatan Thailand Dalam Jebat:
Malaysian Journal of History, Politics & Strategic Studies Vol. 38. Bangi.
UKM
Che Man, W.K. 1990.
Muslim Separatism: The Moros of Southern
Philippines and The Malay of Southern Thailand. Singapore. Oxford University
Press
Mohd Ainuddin Iskandar
Lee Abdullah. 2002. Gerakan Pemisah Asia
Tenggara: Satu Perbandingan Cabaran Di Pattani, Thailand dan Timor Timur,
Indonesia Dalam Jurnal Pembangunan Sosial
Jilid 4 & 5 / Jun & Dis 2002. Sintok. Sekolah Pembangunan
Sosial, UUM
Nik Anuar Nik Mahmud.
1999. Sejarah Perjuangan Melayu Pattani 1785-1954. Bangi. UKM.
Shamsul Amri
Baharuddin. 2008. Modul Hubungan Etnik. Shah Alam. Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) UITM
http://id.wikipedia.org/wiki/Timor_Leste.
Friday, June 14, 2013
ISLAM DAN POLITIK
Halimunanman.net
PENGENALAN
Persoalan politik Islam sebagai agen
perubahan merupakan satu isu menarik dan sentiasa segar. Justeru itu agenda ini
sering dibincangkan dalam penulisan dan forum-forum kerana jangkauan politik
Islam bukan setakat menyentuh alam zahir, tetapi melangkaui nilai-nilai abstrak
yang sangat mendalam seperti keberkatan, kedamaian, rahmat dan sebagainya. Menurut catatan sejarah Islam pernah
diriwayatkan bahawa pada era Umar Abdul Aziz dilantik menjadi Khalifah, beliau
telah menegakkan keadilan sepenuhnya sehingga dikatakan serigala/anjing tidak
menyerang kambing-kambing yang dipelihara oleh penternak-penternak. Pada masa yang sama turut digambarkan dalam
riwayat tersebut bagaimana serigala dapat hidup berkeliaran bersama biri-biri
dan kambing sehingga wujud suatu suasana yang menghairankan masyarakat.
Berdasarkan fenomena itu maka jelaslah bahawa seorang khalifah yang dilantik
berdasarkan sistem politik Islam mampu melahirkan seorang pemimpin yang adil untuk memacu perkembangan sesebuah
negara berlandaskan syariat Islam. Keadaan
ini berbeza dengan politik sekular yang
nyata memang dilihat hebat dari segi fizikal, namun begitu biasanya ia
menjadi penyebab kepada keruntuhan nilai manusiawi.
PRINSIP-PRINSIP POLITIK ISLAM
Menurut Abdul Hadi (2007) untuk memahami
konsep politik Islam adalah dengan memahami kaedah syarak mengikut
prinsipnya. Konsep pelaksanaanya perlu
dilakukan secara bijaksana mengikut situasi dan realiti yang harus dipraktikkan
dan ketegasan pada tempat yang sewajarnya.
Sehubungan dengan itu menurut Shukeri,
Mohamad Azrien , Syed Abdurahman
(2011) konsep politik dalam tamaddun Islam adalah merujuk kepada sistem
yang digunakan untuk mengendalikan kerajaan dan negara. Justeru ia hendaklah berpaksikan kepada
dasar-dasar yang digariskan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan di antara dasar
atau prinsip utamanya ialah prinsip keadilan, prinsip syura, prinsip ketuanan
syariah dan lain-lain lagi. Individu
yang mula-mula menggarapkan pelaksanaan sistem pemerintahan tersebut ialah Nabi
Muhammad S.A.W. dan konsep itu kemudiannya diteruskan oleh para khalifah
selepas baginda dengan menampilkan dalam berbagai bentuk dan gaya.
Politik dalam Islam menjurus kegiatan ummah kepada
usaha mendukung dan melaksanakan syariat bertujuan untuk menyimpulkan segala
sudut Islam yang syumul melalui satu institusi yang mempunyai sahsiah bagi
menerajui dan melaksanakan undang-undang.
Ia adalah bersesuaian dengan firman Allah s.w.t.:
“Dan katakanlah: “Ya Tuhan-ku, masukkanlah aku secara masuk yang benar
dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku
dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong”. (Al-Isra: 80).
Sehubungan dengan itu pelaksanaan agenda
politik Islam ini mempunyai beberap prinsip yang perlu dipatuhi agar ia tidak
terbabas daripada landasan yang dibenarkan oleh syarak. Abdul Hadi Awang (2007) menjelaskan bahawa Islam
adalah petunjuk Allah dengan ajaran-ajaran yang istimewa dan wajib dipelajari
serta dikaji secara mendalam, termasuklah dalam bidang politik. Justeru, bagi menjamin keluhuran politik yang
menjadi keperluan manusia secara fitrah dan mencapai objektif peranan manusia
yang diletakkan di muka bumi, maka Allah telah menetapkan beberapa prinsip
untuk dipatuhi agar ia menjadi landasan yang wajib ditaati secara
menyeluruh. Antaranya
ialah:
i.
Akidah Islam
Politik Islam adalah
berlandasakan kepada akidah tauhid (Allah yang satu) dan pada masa yang sama
menolak sebarang bentuk perbuatan syirik (menyekutukan Allah). Ini bermakna kepercayaan kepada rukun-rukun
Iman adalah bermula daripada beriman kepada Allah Yang Maha Esa sehinggalah ke
Hari Kiamat (Abdul Hadi: 2007). Pada
masa yang sama, perkara iman ini juga meliputi kepercayaan jitu bahawa seluruh
yang datang daripada Allah dan rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Sehubungan dengan itu, iman akan mengikat roh
dan jasad agar boleh mengendalikan kewajiban berpolitik secara ibadah yang
mewajibkan manusia untuk tunduk dan patuh kepada Allah dan rasul secara mutlak
dan diberi keizinan menggunakan kebijaksanaan dalam menangani perubahan dengan
cara yang betul.
Al-Maududy (1982) pula
menjelaskan bahawa kepercayaan kepada keesaan dan kekuasaan Allah (the unity
and souverenity of God) adalah dasar daripada sistem sosial dan moral yang
telah disampaikan oleh Nabi Muhammad dan ia boleh dianggap sebagai titik tolak
(starting point) kepadan falsafah politik Islam. Beliau turut menekankan hakikat betapa
prinsip dasar Islam adalah bahwa manusia samada secara individu maupun
kolektif, wajib menyerahkan segala-gala perkara hanya kepada ketentuan,
peraturan, dan kekuasaan Tuhan semata-mata. Atas dasar itu maka tidak seorang
pun dibenarkan untuk memberikan perintah atas namanya sendiri agar membuat
undang-undang dengan sewengan-wenangnya untuk dipatuhi oleh manusia yang
lain. Dalam erti kata lain, kedaulatan serta kekuasaan
berada di tangan Tuhan dan manusia hanya akan menjalankan kekuasaan di dunia
atas nama kedaulatan Tuhan.
ii.
Menjunjung Tinggi Syariah Islam
Ketinggian syariah Islam
menjadi perlembagaan dan sumber perundangan yang berkuasa kepada pihak
pemerintah. Selain daripada itu, ia juga merupakan rukun penting kepada dasar
dan objektif politik Islam (Abdul Hadi: 2007).
Kenyataan ini berdasarkan firman Allah dalam surah Yusuf:
“Sebenarnya hukum (undang-undang) hanyalah
bagi Allah. Ia memerintah kamu jamgan
menyembah melainkan Dia. Yang demikian
itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah
Yusuf: 40).
Syariat akan memelihara
rukun penting bagi kehidupan manusia seperti agama, nyawa, maruah, keturunan
dan harta. Ia adalah selaras dengan
fitrah ciptaan Allah bagi manusia itu dengan menyeluruh iaitu merangkumi aspek
jasad, roh, individu, masyarakat dan hubungan manusia dengan makhluk lain.
Sehubungan dengan itu, Allah
menegaskan beberapa hukum yang telah ditetapkan untuk manusia seperti halal dan
haram, serta qisas dan hudud dalam perkara
jinayah adalah bertujuan menjamin hak dan keadilan semua pihak. Ini adalah kerana dalam konteks dunia hari ini,
kebenaran kuasa Allah telah membongkar kelemahan undang-undang ciptaaan
manusia. Ia dapat dibuktikan dengan bertambahnya gejala sosial, maksiat dan
peningkatan kadar jenayah yang semakin parah.
Hakikatnya, syariat Islam yang bersumberkan daripada Al-Quran, Sunnah
Nabi Muhammad s.a.w, ijmak dan qias adalah memenuhi segala keperluan tempat,
semaa, situasi dan realiti sepanjang zaman (Abdul Hadi Awang: 2007).
iii.
Amanah
Prinsip amanah
dalam aspek politik telah dinyatakan secara khusus dalam al-Quran iaitu:
“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu
supaya menunaikan amanah kepada ahlinya.” (An-Nisa’: 58).
Menurut Abdul Hadi Awang (2007), ayat ini
adalah salah satu rantaian yang disenaraikan dalam ayat urusan politik dan
dihuraikan lagi oleh beberapa petikan lain yang mencakupi sifat amanah apabila
memilih pemimpin dan pada masa yang sama pemimpin itu sendiri perlu menunaikan
amanah yang telah dipertanggungjawabkan.
Sehubungan dengan itu, amanah besar yang dimaksudkan adalah dalam
mengurus politik, memimpin umat dan melaksanakan perintah Allah dengan
berpegang teguh kepada ajaran Allah yang dinamakan Islam
Konsep amanah menjadi salah
satu tonggak penting yang menjayakan politik Islam memandangkan semua urusan di
dunia bukan hanya dikawal oleh undang-undang dan peraturan yang lahir, tetapi
pada masa yang sama ia turut dikawal oleh hati yang berperasaan amanah dan
tanggungjawab terhadap Allah (Abdul Hadi Awang: 2005). Jelaslah, Islam meletakkan perkara politik
atau kewajiban memimpin dan mentadbir adalah perkara amanah besar dalam
perhitungan dosa dan pahala serta tanggungjawab yang diperhitungkan sejak di
dunia sehingga ke akhirat. Pertimbangan seperti inilah yang
membezakan agenda politik Islam dengan politik sekular yang hanya bersifat
materialistik.
iv.
Keadilan
Keadilan daripada sudut
pandangan Islam bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ini bukan sekadar dalam konteks perbicaraan
di mahkamah, malah meliputi perkara-perkara lain dalam konteks interaksi sesama
makhluk termasuklah hak rohani, kebendaan, layanan dan bantuan. Islam mewajibkan agar pelaksanaan keadilan
itu dilakukan secara mutlak, tanpa ada unsur-unsur diskriminasi (Abdul Hadi
Awang: 2005). Sehubungan dengan itu, ia
hendaklah dilaksanakan kepada semua termasuk kepada musuh,apatah lagi terhadap
rakyat dalam negara Islam tanpa mengira agama, bangsa, pangkat dan
kedudukan. Dalam ertikata lain, keadilan
Islam itu adalah bersifat mutlak dan menyeluruh.
Istilah mutlak merujuk kepada
konsep tidak berbelah bahagi atau tiada sebarang pengecualian kerana ia juga
wajib diberikan kepada musuh. Sementara
itu, perkataan menyeluruh pula adalah merangkumi segala aspek kehidupan
manusia. Dalil untuk menegakkan keadilan
dinyaatakan dalam al-Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman,jadilah kamu orang-orang yang menegakkan
keadilan kerana Allah lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali
kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku
adil. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada
semua dan semua keadaan), kerana ia lebih hamper kepada takwa. Dan bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya
Allah itu maha mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (Al-Maidah: 8).
v.
Mesyuarat / Musyawarrah
Agenda politik Islam turut menganjurkan amalan
bermusyawarrah dalam setiap tindakan seperti dinyatakan oleh al-Quran:
“Dan orang-orang yang menyahut perintah
Tuhan mereka, lalau mereka mendirikan sembahyang dan urusan mereka dikendalikan
dengan bermesyuarat di kalangan mereka dan mereka membelanjakan dari apa yang
kami rezeki bagi mereka.” (Asy-Syura:
38).
Kewajiban untuk bermesyuarat
dalam setiap perkara adalah bagi menunjukkan hakikat bahawa seseorang pemimpin
itu tidak berkuasa penuh dan konsep tersebut tidak akan mengongkong
kebijaksanaannya. Amalan ini terbukti
berkesan dalam menyelesaikan perkara-perkara penting dan memerlukan pendapat
semua pihak agar keputusan yang diambil dapat memuaskan semua pihak
terlibat.
Sejarah Islam mencatatkan bahawa ketika tentera muslim
kebuntuan menghadapi kepungan kaum Quraisy Mekah semasa Perang Khandak,
Rasulullah s.a.w. telah bermesyuarat dengan para sahabat untuk memikirkan
strategi yang sesuai bagi mengatasi masalah tersebut. Seorang sahabat bernama Salman al- Farisi
tampil dengan idea pembinaan parit di sekeliling kota Mekah lalu baginda menyetujuinya dan
akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Begitu juga apabila berlaku peristiwa
kewafatan Nabi Muhammad, para sahabat telah memanggil mesyuarat tergempar bagi
memilih pengganti Baginda s.a.w. untuk
mengendalikan urusan politik negara.
Berdasarkan kepada hakikat itu jelas membuktikan kepentingan amalan
musyawarrah dalam politik Islam.
PENUTUP
Jelas, konsep politik dalam Islam mempunyai
tafsiran tersendiri dan tentunya berbeza daripada sudut pandangan sekular. Apa yang nyata dalam Islam setiap aktiviti
kehidupan telah ditetapkan berlandaskan peraturan al-Quran dan hadis. Kedua-dua sumber ini jelas relevan kepada
manusia dalam apa jua keadaan zaman dan persekitaran. Justeru, mengenepikan kedua-dua sumber itu
bakal mengundang bala kesan daripada kemurkaan Yang Maha Esa.
RUJUKAN
Abdul Hadi Awang.
2007. Islam dan Demokrasi. Batu Caves ..PTS
Publications Sdn.Bhd.
Abu-al-A’la al-Maududy.1982. “Political Theory in Islam”, Dalam John J.
Donohue
(ed.), Islam in Transition .New York : Oxford University Press.
Shukeri
Mohamad, Mohamad Azrien Mohamed Adnan, Syed Abdurahman Syed
Hussin. 2011. Analisis Pengaruh Politik Islam Di
Negeri Kelantan Terhadap Gaya Hidup
Masyarakat Di Malaysia dlm Tajdid and Islam.Kuala Lumpur. Department of Islamic History and Civilization
Academy of Islam
Studies University Of Malaya
Wednesday, May 1, 2013
Pilihan raya telus realiti atau dongeng?
Malaysiakini.com
|
Bila bercerita mengenai pilihan raya yang adil di Malaysia, akan ada yang mengeluarkan
ayat ayat berikut:
- Kita memang sudah mempunyai pilihan raya yang adil, apa lagi yang nak dibangkitkan?
- Kalau tidak adil, takkan parti yang sudah lama memerintah boleh kalah di beberapa negeri!
- "Sekadar menuduh, tiada bukti, baik diam sahajalah.
Dan mungkin banyak lagi kenyataan yang menafikan berlaku penyelewengan dalam pilihan raya di Malaysia dan mengiayakan bahawa Malaysia mempunyai pilihan raya yang adil. Di sini saya ingin membincangkan satu sudut, yang tanpanya, satu satu pilihan raya itu amat sukar untuk dikatakan sebagai ADIL.
Deklarasi Kesatuan Antara-Parlimen 1994
Kesatuan Antara-Parlimen (Inter-Parliament Council [I.P.U] ), yang mana Malaysia adalah salah satu daripada anggotanya, pada tahun 1994, merangka satu deklarasi di mana di dalamnya digariskan beberapa kriteria yang mendefinisikan pilihanraya yang telus dan adil.
Pencalonan, parti dan hak berkempen dan tanggungjawab
Semua orang, secara individu, dan berkumpulan mempunyai hak:
- Untuk meluahkan pandangan politik tanpa gangguan;
- Untuk menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan membuat pilihan berdasarkan maklumat yang sewajarnya;
- Untuk bergerak bebas di dalam negara untuk berkempen untuk pilihan raya
- Untuk berkempen dengan hak yang saksama dengan parti-parti politik lain, termasuk parti membentuk kerajaan yang sedia ada.
Tiap-tiap calon untuk pilihan raya dan setiap parti politik hendaklah mempunyai peluang yang sama untuk mendapat akses kepada media, terutama media massa komunikasi, untuk mengemukakan pandangan politik mereka.
Hak dan tanggungjawab negara
Negara-negara hendaklah menghormati dan memastikan hak asasi semua individu dalam wilayah mereka dan tertakluk kepada bidang kuasa mereka. Dalam masa pilihan raya, negara dan jenteranya harus memastikan:
* Bahawa kebebasan pergerakan, berhimpun, berpersatuan dan bersuara dihormati, khususnya dalam konteks perhimpunan politik dan bermesyuarat;
* Parti dan calon-calon bebas untuk menyampaikan pandangan mereka kepada pengundi, dan bahawa mereka menikmati kesaksamaan akses kepada media negara dan perkhidmatan awam;
* Bahawa langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjamin non-partisan liputan media dalam negeri dan perkhidmatan awam.
Dalam memastikan bahawa pilihan raya berjalan dengan adil, negara negara harus mengambil langkah yang perlu untuk memastikan bahawa parti dan calon-calon menikmati peluang yang sesuai untuk membentangkan platform pilihan raya mereka.
Deklarasi ini diterima secara sebulat suara pada tahun 1994 semua negara yang menjadi ahli IPU.
Di sini dapat kita dilihat, antara kriteria yang mesti dipenuhi untuk sesuatu pilihan raya itu dilihat adil adalah dengan wujudnya kebebasan dan juga terjaminnya hak hak seperti yang tertera di atas.
Jadinya persoalan di sini, adakah ciri ciri di atas boleh di lihat di negara kita yang tercinta, Malaysia?
Penambahbaikan proses di M'sia
Dalam proses penambahbaikan sistem pilihan raya di Malaysia, satu jawatankuasa dibentuk dan idea-idea dari pelbagai badan dan entiti diterima untuk dinilai dan diaplikasikan dalam sistem pilihan raya Malaysia. Semasa pembentangan di Parlimen, Dr Maximus Johnity Ongkili, sebagai pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya mengatakan perkara berikut pada 3 April 2012:
"Akses kepada media yang bebas dan saksama. Jawatankuasa mengesyorkan SPR meneliti Fasal 2 Perkara 115 Perlembagaan Persekutuan yang boleh meminta pihak berkuasa awam untuk memberikan apa-apa bantuan yang dapat dilaksanakan kepada suruhanjaya di dalam menunaikan tugas termasuk kementerian dan agensi berkaitan berhubung dengan hal yang melibatkan akses media yang bebas dan saksama kepada semua parti dan calon yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya."
"Seterusnya, perkara keenam - Kerajaan sementara (caretaker government) yang banyak dibangkitkan dalam pendengaran awam. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan diwujudkan kerajaan sementara selain kerajaan yang memerintah selepas Parlimen dibubarkan bertujuan bagi memastikan negara ditadbir sementara kerajaan yang baru dibentuk. Jawatankuasa mengesyorkan SPR dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh laporan ini dibentangkan dapat menyediakan suatu garis panduan dan kod etika tatalaku (code of conduct) terpakai bagi mana-mana yang kena menjalankan fungsi kerajaan sementara sehingga sesuatu kerajaan yang baru dibentuk di peringkat persekutuan dan negeri."
Secara jelas, jawatankuasa tersebut menerima bahawa akses kepada media dan juga garis panduan kepada kerajaan sementara adalah antara langkah langkah yang perlu dilakukan untuk menjadikan pilihanraya di Malaysia lebih telus dan adil.
Susulan cadangan
Umum mengetahui bahawa salah satu komponen atau jentera kerajaan adalah bahagian penyiaran (RTM) yang tertakluk di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia. Agensi berita nasional, BERNAMA, juga merupakan salah satu komponen kerajaan yang digunakan untuk menyebarkan maklumat kepada orang awam. Betapa pentingnya perkara ini, hinggakan semasa proses penambahbaikan SPR dijalankan, salah satu poin yang diutarakan adalah "akses kepada media yang adil dan saksama"
Merujuk kepada kenyataan Dr Maximus Ongkili pertama yang dipaparkan di atas, susulan daripada kenyataan itu, pada 23 Mac 2013, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim membuat kenyataan berikut:
"Semua parti politik yang berganding dan bertanding akan dapat peluang untuk mengumumkan manifesto mereka selama 10 minit dan kami beri peluang ini sekali gus, baik kepada BN ataupun pihak pembangkang. Tinggal lagi sama ada mereka menggunakannya atau tidak, ini terserah kepada mereka, tetapi kami di kementerian telah bersedia untuk melaksanakannya."
Beliau berkata, peluang itu ialah satu penghormatan kepada sistem demokrasi negara, dan berharap 10 minit yang diberikan itu, cukup untuk mereka mengemukakan skop dan pengisian manifesto masing-masing.
Rais berkata, pembentangan manifesto itu perlu dilakukan mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan, dan akan dibuat secara rakaman, tertakluk kepada peraturan RTM di bawah kawalan ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah penyiaran serta anggota panelnya.
Masa yang diberikan hanyalah 10 minit dan secara RAKAMAN kepada mana mana parti politik yang ingin membentangkan manifesto mereka dan akan mendapat slot dalam RTM.
Walaupun pendek masa yang diberikan dan tetapi ia kelihatan sebagai satu langkah kehadapan untuk politik Malaysia. Namun begitu, seperti yang semua maklum, kesemua parti dalam Pakatan Rakyat menolak khidmat yang diberikan, dan ini mendapat kritikan daripada pihak parti kerajaan BN. Mengambil kata kata ketua Pemuda Umno yang juga merupakan ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin melalui Twitter beliau:
"DAP rejects 10 mins manifesto broadcast. In UK maximum length for party manifesto broadcast during election is 4mins 40secs." (DAP menolak 10 minit penyiaran manifesto. Di United Kingdom, had masa untuk penyiaran manifesto parti politik semasa pilihan raya adalah 4 minit 40 saat.)
Ia kemudian disusuli oleh:
"What can you say in 36 secs? RTM's 10mins suddenly seems like an eternity." (Apa yang boleh diucapkan dalam masa 36 saat? Tawaran RTM selama 10 minit sekarang ini dapat dirasakan begitu lama.)
Pada 9 Disember 2011, antara ratusan cadangan yang diterima oleh Jawatankuasa Pilihan Khas adalah cadangan daripada Dr Mohd Faisal dari UNIMAS yang bertajuk "Proposal for a Caretaker Government during the Election Period" dan salah satu poin yang penting dalam cadangan tersebut adalah supaya pihak yang menjadi kerajaan sementara tidak sewenang wenangnya menggunakan sumber kerajaan (jentera) dan kedudukannya untuk membantu dalam proses berkempen.
"Government resources - A caretaker government should not use its resources or position to support the ruling party during the election campaign. During the caretaker period, agency provision of entitlements for Ministers and their staff should be assessed on a case-by-case basis, Agencies should not cover claims relating to the election campaign or a political event, as these costs are to be borne by the respective political party."
Merujuk kepada kenyataan Dr Maximus Ongkili yang kedua, jawatankuasa itu menyedari perlunya satu garis panduan kepada Caretaker government (kerajaan sementara) yang akan menjalankan tugas sebaik sahaja parlimen dibubarkan. Jawatankuasa beliau menyarankan supaya SPR sendiri boleh mengeluarkan gari spanduan tersebut 3 bulan dari tempoh laporan jawatankuasa itu dibentangkan (3 bulan dari 3 April 2012).
Telus, adil dan saksama?
Antara inisiatif yang telah buat oleh beberapa ahli parti politik di Malaysia adalah dengan menandatangani ikrar Transparency International yang menggarisakan perkara berikut:
- Calon perlu memastikan wang, harta, sumber dan jentera kerajaan (harta awam) tidak digunakan untuk berkempen
- Calon mesti mematuhi Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan peraturannya, termasuk, tapi tidak terhad kepada, Had perbelanjaan pilihanraya dan juga pembelian undi.
- Calon dan wakil yang dilantik mesti memastikan bahawa tindakan dan keputusan yang dibuat adalah untuk kebaikan rakyat dan bukan kepentingan diri sendiri. Mereka perlu mengaplikasikan ketelusan dan keterbukaan menerusi penginsytiharan penuh dan akses yang mudah untuk informasi sampai kepada rakyat jelata.
Antara ahli politik yang telah menandatangani ikrar tersebut adalah Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Namun, adakah dengan kesemua yang disebut di atas, pilihan raya di negara kita akan terjamin ketelusan dan keadilannya?
SPR, hanya pada 19 Mac 2013, iaitu hampir satu tahun selepas pembentangan oleh Dr Maximus Ongkili di parlimen dan begitu hampir kepada tarikh pembubaran parlimen secara automatik, mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji dan merangka kod etika kerajaan sementara. Namun, lapan hari kemudiannya, SPR mengeluarkan kenyataan bahawa ia tidak mempunyai kuasa atau peruntukan dari segi undang undang untuk membolehkannya berbuat demikian ditambah pula dengan komen bahawa kalaupun SPR mempunyai peraturan kod etika sedemikian, belum tentu akan dipatuhi oleh mana mana pihak. Pengumuman sebegitu, lebih lebih lagi apabila sudah hampir dengan tarikh pilihanraya, memang amat mengecewakan semua pihak lagi lagi apabila sepatutnya perbincangan mengenai kod etika kerajaan sementara ini dilakukan oleh SPR 8 bulan sebelumnya, seperti yang telah disarankan di dalam parlimen.
Tambah mengecewakan lagi, selepas 5 hari parlimen dibubarkan, terdapat laporan mengatakan bahawa jentera kerajaan di Jabatan Penerangan telah digunakan untuk membantu program parti BN. Tindakan tersebut dipertahankan oleh menterinya, Datuk Seri Rais Yatim, yang beranggapan bahawa disebabkan BN adalah parti yang memegang kuasa kerajaan Pusat, ianya tidak menyalahi undang undang.
Menteri yang sama juga, setelah parlimen dibubarkan, memberikan kebenaran kepada stesen penyiaran negara (RTM) yang merupakan jentera kerajaan untuk menyiarkan secara langsung selama 2 jam pembentangan manifesto parti BN. Tidak cukup dengan RTM, saluran TV swasta juga turut serta dalam membuat penyiaran secara langsung pembentangan manifesto parti BN. Menyedihkan untuk Pakatan Rakyat, tawaran yang sama tetap diberikan, had masa masih kekal 10 minit, dan hanya sekali sahaja, yang mana dikatakan sebanyak 5 muka surat dari kertas bersaiz A4 dapat dibaca.
Dari segi laporan berita media massa, terutamanya oleh agensi berita nasional Bernama, yang digerakkan menggunakan wang pembayar cukai, boleh didapati terdapat ketidak seimbangan dari segi berita yang dilaporkan, sebagai contoh, carian mengenai berita berkaitan ahli parti PAS dan parti Umno, tiada langsung liputan berita mengenai ahli Umno keluar dan menyertai PAS, namun berpuluh puluh berita mengenai ahli dari parti PAS yang menyertai Umno, hinggakan berita mengenai 10 orang ahli PAS (satu angka yang sangat kecil) menyertai Umno pun boleh mendapat liputan Bernama. Bernama juga pernah didedahkan membuat laporan berita yang tidak menyeluruh dengan meninggalkan fakta fakta penting untuk menjadikan berita tersebut kelihatan lebih positif terhadap kerajaan pimpinan BN.
Menjadi tanda tanya apabila terdapat ahli ahli politik yang menandatangani ikrar Transparency International yang ikrar tersebut dengan jelas mengatakan bahawa calon calon perlu memastikan bahawa sumber kerajaan tidak disalahgunakan untuk kepentingan parti, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana jentera kerajaan, tanpa berselindung, disalahgunakan dalam kempen parti politik. Adakah ikrar tersebut membawa sebarang makna ataupun hanyalah lakonan untuk menunjukkan ketelusan dalam pengurusan harta awam?
Pengundi di Malaysia perlu kepada maklumat sebelum mereka boleh untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat, dan itu adalah hak yang dijamin dalam deklarasi oleh IPU. Tanpa akses kepada maklumat yang tepat dan tidak berat sebelah, adalah sukar untuk pengundi menilai sama ada sesuatu calon, parti atau polisi itu baik ataupun buruk untuk mereka. Menafikan hak mereka untuk mendapat maklumat yang tepat dengan memanipulasi media massa ataupun menyekat satu satu pihak daripada mempunyai suara di media massa adalah bertentangan dengan prinsip dalam deklarasi tersebut dan seterusnya menyebabkan pengundi gagal untuk membuat keputusan dengan sebaiknya.
Setelah dinilai perkembangan yang berkaitan dengan pilihan raya di Malaysia, adakah boleh untuk kita mengatakan "satu kerajaan yang SAH melalui pilihan raya yang TELUS dan ADIL sudah berjaya dipilih? Juga bila mana kemenangan satu pihak dalam pilihan raya kali ini, atau pilihan raya yang sudah berlalu, atau yang akan datang, dengan hak hak pihak yang lain dinafikan, juga semasa jentera kerajaan disalahgunakan untuk kepentingan satu satu parti politik, boleh dianggap sebagai kemenangan melalui pilihanraya yang adil? Adakah pilihan raya yang telus dan adil itu merupakan satu realiti di Malaysia? Ataupun ia hanya dongeng semata mata?
Untuk yang suka membaca dan berfikir, anda tahu jawapannya.
Subscribe to:
Posts (Atom)