Kehadirannya tidak disedari......













Sunday, April 28, 2013

KEWUJUDAN PARTI POLITIK




Menurut Edmund Burke (Rodee: 1983), parti politik boleh didefinisikan sebagai sekumpulan manusia yang bersetuju di atas sesuatu prinsip yang membolehkan mereka berkhidmat kepada negara.  Selain daripada itu, ia juga dapat diertikan sebagai satu kumpulan individu yang tersusun dan mempunyai hasrat untuk berkuasa.  Justeru, melalui kuasa tersebut mereka akan memperoleh keuntungan dari aspek kawalan sepenuhnya terhadap kuasa yang dimiliki.  Syed Ahmad (1995) pula ketika memetik definisi-definisi yang terdapat di dalam buku karya Peter B. Harris telah menggariskan beberapa pengertian mengenai parti politik.  Antara pengertian parti politik menurut beliau ialah:-


i)   Parti ialah satu badan orang-orang yang bersatu untuk bersama membina kepentingan    negara melalui prinsip-prinsip tertentu yang mereka setuju bersama;

ii)    Parti ialah kumpulan dengan penyokong-penyokongnya berpegang kepadaprinsip-prinsip yang sama;

iii)     Parti ialah  satu kumpulan yang tersusun dan berusaha untuk menguasai kedudukan individu dan dasar sesuatu kerajaan;

iv)    Parti ialah satu kumpulan kuasa yang statusnya telah dirasmikan, dan ia berfungsi  sebahagian daripada rejim pemerintahan;

v)     Parti ialah organisasi tetap dan berterusan sebilangan orang berminat untuk menguasai kuasa atau terus menyimpannya;

vi)     Parti ialah mana-mana kumpulan, walaupun tidak tersusun rapi tetapi berusaha untuk memilih pemegang-pemegang jawatan kerajaan di bawah sesuatu label tertentu.


Sejarah kemunculan parti-parti politik dikatakan bermula di Eropah dan sangat berkait rapat dengan kemunculan kerajaan perwakilan (representative government) serta perluasan kuasa hak mengundi kepada pelbagai golongan masyarakat (Ghazali Mayudin: 2009).  Senario ini timbul susulan daripada keruntuhan institusi istana dan gereja seperti yang berlaku di England.  Keadaan tersebut telah menyebabkan penubuhan dewan perwakilan dan parti-parti berkembang begitu pesat sehingga mengakibatkan ketidakmampuannya menampung jumlah keahlian yang semakin bertambah.  Justeru itu, maka wujudlah perkumpulan parti-parti politik yang semakin membesar dan mampu menampung jumlah pertambahan ahli yang besar.  Jika di Eropah kemunculan parti-parti politik mempunyai kaitan dengan semakin demokratiknya sistem pemerintahan dan meluasnya hak mengundi, di negara-negara membangun pula perkembangannya dapat dilihat dari perspektif yang berbeza.  Menurut Ghazali Mayudin (2009), rata-rata parti politik yang ditubuhkan di negara-negara tersebut bermotifkan perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan atau membebaskan negara dari penjajahan kuasa barat seperti Perikatan di Tanah Melayu, Parti Kongres di India dan Parti Nasional Indonesia.

Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah parti politik terdapat dalam hampir seluruh negara di dunia, tidak kiralah sistem politik apa yang menjadi amalan sesebuah negara itu sama ada demokrasi atau bukan demokrasi.  Walau bagaimanapun hanya negara yang mengamalkan konsep pemerintahan monarki sahaja yang tidak membenarkan kewujudan parti politik.  Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, kewujudan parti politik memang tidak dapat dielakkan, malah dianggap sebagai satu kemestian.  Keadaan ini dijelaskan oleh M.G. Roskin (1994) yang merumuskan bahawa sesebuah negara itu tidak dianggap sebagai mengamalkan sistem demokrasi  andainya tidak terdapat parti-parti politik yang bersaing sesame mereka untuk mendapatkan kuasa.  Justeru itu, walau apa tujuan penubuhannya, ternyata kewujudan parti adalah penting kerana ia mampu menjalankan fungsi-fungsi tertentu. 

Sehubungan dengan itu, Syed Ahmad (1995) telah menggariskan lapan fungsi parti politik iaitu:-


i)       Parti menyatukan, menyenangkan dan menstabilkan proses parti politik.  Ia membawa berbagai golongan manusia dengan latar belakang yang berbeza ke arah satu struktur yang lebih padu dan bererti.  Jelasnya, parti memainkan peranan sebagai ( a common denominator );

ii)      Parti berusaha mendapatkan kuasa, dan justeru itu akan cuba mendapatkan sokongan seluas-luasnya.  Dalam konteks ini, mereka akan mengumpulkan kepentingan masing-masing dan cuba mengharmonikannya agar setiap jurang perbezaan mampu dikurangkan.  Di samping itu, mereka juga menggalakkan kompromi dan berusaha membentuk satu orde baru yang lebih sistematik;

iii)       Parti bertindak sebagai penghubung di antara kerajaan dengan rakyat.  Ia akan mendidik dan menjelaskan tentang dasar-dasar serta perjalanan sesuatu sistem politik itu.  Ia juga berfungsi untuk mengerah tenaga rakyat dan mengeratkan identifikasi rakyat dengan dasar-dasar awam;

iv)         Selain daripada membesarkan skop aktiviti dan penglibatan politik, parti juga berperanan mengambil dan melatih  para pemimpin politik dan menyediakan barisan-barisan pelapis kepimpinan politik di semua peringkat ;

v)          Parti akan menimbulkan isu, dan memberikan panduan matlamat, nilai ideologi serta falsafah kepada masyarakat;

vi)         Parti berperanan sebagai agen kepada idea-idea dengan memilih isu-isu yang ingin ditumpukan perhatian;

vii)          Parti sebagai agen pembangunan, modenisasi dan perubahan sosial;

viii)   Parti politik berperanan sebagai jentera perkhidmatan kebajikan yang semuanya tidak termasuk sebagai tindakan-tindakan politik.



Rujukan

Ghazali Mayudin, Saliha Hassan, Dr. Junaidi. 2009. Penghantar Sains Politik. Bangi. Pusat Kembangan Pendidikan UKM

A.Rashid.1994. Perjalanan Pilihan raya. Kuala Lumpur. Berita Publishing

http://barusegar.blogspot.com/2009/09/konsep-pilihan-raya.html(16.3.2010)




Monday, April 15, 2013

MENGENALI SISTEM PILIHAN RAYA DI MALAYSIA :
Proses-proses Dalam Pilihan raya
Halimunanman.net




LATAR BELAKANG

Pilihan raya ialah pemilihan umum ke atas seseorang pemimpin yang dibuat menerusi undi sesebuah perkumpulan atau konstituen berperlembagaan. Pilihan raya melibatkan dua pihak iaitu orang yang dipilih dan kumpulan pemilih.  Ini bermakna pilihan raya melibatkan perbuatan memilih sesuatu parti atau seseorang untuk sesuatu jawatan atau kedudukan yang dilakukan secara terbuka oleh sekumpulan orang. Pilihan raya tidak semestinya dikaitkan dengan politik pemilihan yang bercorak politik. Dalam kajian ini, pilihan raya adalah merujuk kepada proses memilih ahli-ahli Dewan Perundangan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negeri yang diadakan lima tahun sekali di Malaysia.  Menurut A. Rashid (1994), proses pilihan raya adalah berkaitan dengan politik untuk memilih orang atau orang-orang yang akan mewakili kepentingan pemilih-pemilih dalam hal yang terletak di bawah bidang kuasa organisasi di mana orang atau orang-orang berkenaan dipilih untuk bertugas. 

Sehubungan dengan itu, di Malaysia terdapat dua jenis pilihan raya yang biasa diamalkan iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).  Walaupun negara pernah mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan sedikit masa dahulu, namun ia tidak lagi dipraktikkan mulai tahun 1965 atas sebab-sebab tertentu.  Apabila Yang Dipertuan Agong mengumumkan pembubaran parlimen menurut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan,  maka suatu pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu dan ia melibatkan beberapa proses seperti berikut :

i)            Pengeluaran Writ

Apabila berlaku pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau disebabkan kekosongan di luar jangkaan (Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan writ berupa surat kuasa untuk menjalankan pilihan raya kepada Pegawai Pengurus yang dilantik.  Seterusnya, satu notis pilihan raya akan diwartakan dan ditampalkan di tempat-tempat tertentu untuk semakan orang ramai.  Notis tersebut mengandungi maklumat-maklumat seperti tarikh penamaan dan tarikh pengundian yang akan dijalankan.

ii)           Penamaan Calon

Hari penamaan calon merujuk kepada hari yang telah ditetapkan oleh SPR bagi calon-calon mengemukakan kertas pencalonan bertanding kepada Pegawai Pengurus pilihan raya.  Kertas-kertas penamaan boleh dikemukakan sama ada oleh calon itu sendiri, pencadang dan penyokong atau salah seorang daripada mereka.  Ia mestilah dikemukakan di antara pukul 9.00 hingga 10.00 pagi pada hari penamaan.  Selain daripada itu, salah seorang daripada mereka juga perlu menyertakan deposit atau wang pertaruhan berjumlah RM 10,000 untuk kerusi Parlimen dan RM 5,000 bagi kerusi Negeri. 

Calon akan hilang wang pertaruhan ini sekiranya gagal memperoleh 1/8 daripada undi yang diperoleh oleh semua calon yang bertanding. Menurut Abdul Aziz Bari (2008), wang pertaruhan ini berguna untuk tujuan menghalang pihak-pihak yang tidak bersungguh-sungguh daripada bertanding atas sebab-sebab yang remeh, tetapi juga boleh mendatangkan kesan yang buruk kerana ia juga boleh menyebabkan pilihan raya menjadi medan eksklusif buat golongan yang kaya atau mewah sahaja masuk bertanding.  Ini jelas menyimpang daripada matlamat asal pilihan raya yang bersumberkan kepada semangat demokrasi dan egalitarianisme atau fahaman bahawa semua orang perlu mendapat hak yang sama rata.

Kertas-kertas penamaan yang diterima akan dipamerkan dari jam 10.00 hingga 11.00 pagi untuk diteliti dan dibuat bantahan oleh mereka yang layak iaitu calon dan pemilih yang berdaftar di kawasan berkenaan.  Setelah selesai urusan tersebut, Pegawai Pengurus akan mengisytiharkan calon-calon yang layak untuk bertanding.  Dalam kes di mana hanya seorang calon sahaja yang dicadangkan, Pegawai Pengurus akan membuat perisyhtiharan bahawa calon itu menang tanpa bertanding. 

iii)          Kempen Pilihan raya

Sebaik sahaja urusan penamaan calon selesai, setiap parti politik yang bertanding boleh memulakan kempen meliputi pemasangan poster, mengedarkan risalah, kempen dari rumah ke rumah dan ceramah untuk menerangkan manifesto masing-masing.  Walau bagaimanapun, setiap kempen yang dianjurkan hendaklah tidak bercanggah dengan peraturan-peraturan khas untuk berkempen seperti yang telah dirangka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan tertera di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan ) 2002.  Antara lain, akta ini menyatakan bahawa sebarang kempen hanya boleh diadakan sejurus selesai proses penamaan calon dan hendaklah dihentikan pada jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi. 

Justeru, untuk memastikan perjalanan pilihan raya berjalan dengan lancar, SPR mempunyai kuasa di bawah Perkara 3 (5) Akta Pilihan Raya 1958 dan perkara 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik Pegawai Penguat Kuasa dan membentuk satu atau lebih Pasukan-pasukan Penguat Kuasa di setiap bahagian pilihan raya Parlimen jika keadaan memerlukan.  Unit ini dianggotai oleh Pegawai Penguat Kuasa yang dilantik oleh SPR, seorang wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah, seorang wakil dari Pihak Berkuasa Tempatan dan seorang wakil tiap-tiap parti atau calon yang bertanding. 

Pegawai Penguat Kuasa akan bertanggungjawab kepada Pegawai Pengurus dan bertugas untuk memantau bahan-bahan kempen, ceramah-ceramah pilihan raya dan perhimpunan umum untuk memastikan semua peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya tidak dilanggar dengan sewenang-wenangnya.  SPR juga akan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa di peringkat Pusat /Negeri/ bahagian-bahagian pilihan raya untuk memberikan penerangan kepada semua parti politik, calon, ejen dan petugas parti mengenai undang-undang serta peraturan pilihan raya.  Semua larangan dan arahan yang dikeluarkan hendaklah sentiasa diambil ingatan serta tindakan oleh semua yang terlibat bagi mengelakkan timbul sebarang masalah kelak. 

iv)          Pengundian

Hari mengundi merujuk kepada hari para pemilih membuang undi masing-masing.  Secara rasmi, ia akan bermula dari jam 1200 tengah  malam dan hanya akan berakhir sejurus selepas keputusan pertama pilihan raya diumumkan.  SPR telah menetapkan bahawa waktu pembuangan undi ialah dari jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang di seluruh Malaysia.  Walau bagaimanapun, SPR boleh menggunakan budi bicara untuk memendekkan waktu pengundian atas alasan keselamatan dan logistik seperti yang berlaku di daerah-daerah tertentu dalam negeri Sabah dan Sarawak. 

v)           Penjumlahan Rasmi Undi.

Sejurus selepas urusan pengundian selesai, Ketua Tempat Mengundi akan membuat pengiraan kertas undi.  Keputusan pengiraan akan dimasukkan ke dalam borang 14 dan ia akan dibawa kepada Pegawai Pengurus untuk proses penjumlahan rasmi undi.  Setelah disemak dan disahkan betul, Pegawai Pengurus akan membuat pengumuman keputusan jumlah undi satu persatu.  Sebaliknya sekiranya timbul keraguan atau bantahan, beliau akan menyemak semula dengan menggunakan Borang 13 (Penyata Kertas Undi).  Apabila semua keputusan Borang -14 (Penyata Pengiraan Selepas Pengiraan Undi) dan Borang – 15  (Penyata Pengundian Kertas Undi Pos) diterima dan diumumkan, beliau akan menjumlahkan keseluruhan keputusan untuk menentukan pemenangnya. 

vi)          Pengumuman Keputusan Pilihan Raya

Apabila selesai menjumlahkan Borang – 14 dan Borang – 15, Pegawai Pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya akan mengisytiharkan calon yang mendapat undi majoriti dan mengesahkannya sebagai wakil rakyat untuk bahagian berkenaan.  Sehubungan dengan itu, keputusan tersebut adalah muktamad dan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan bantahan di Mahkamah Pilihan Raya melalui petisyen pilihan raya.


KESIMPULAN


Dalam sistem kerajaan demokrasi berparlimen seperti yang dipraktikkan oleh Malaysia, mekanisme pilihan raya telah digunakan untuk menentukan corak pemerintahan negara.  Proses pilihan raya akan melibatkan pengundi, parti-parti politik dan juga kerajaan.  Parti-parti politik yang bertanding akan mengisytiharkan calon dan manifesto masing-masing.  Sepanjang tempoh berkempen diadakan, calon-calon yang terpilih akan menjelajah ke seluruh pelosok tanah air dengan membawa ucapan manifesto masing-masing untuk  meraih sokongan dan seterusnya mempengaruhi rakyat agar memilih parti mereka semasa hari pengundian diadakan.  Melalui kempen yang diadakan, rakyat berpeluang menilai personaliti dan juga aspirasi seseorang calon yang bakal mewakili mereka di parlimen kelak.  Walau bagaimanapun, setiap calon yang bertanding perlu memenuhi beberapa syarat seperti hendaklah warganegara Malaysia dan bermastautin di negara ini.  Calon-calon yang didapati melanggar salah satu daripada syarat kelayakan seperti didapati tidak siuman, bankrap atau muflis, memperoleh kewarganegaraan lain dan sebagainya tidak akan dibenarkan bertanding. 

Rujukan

A.Rashid.1994. Perjalanan Pilihan raya. Kuala Lumpur. Berita Publishing

Tun Mohd Salleh Abbas. 1997. Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan Di
 Malaysia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka

Abdul Aziz Bari . 2008 . Perlembagaan Malaysia : Asas-asas dan Masalah. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.




Sunday, April 14, 2013


     MENGENALI  KONSEP PILIHAN RAYA   

Halimunanman.net




   LATAR BELAKANG


Malaysia telah mewarisi sistem Raja Berperlembagaan (constitutional monarchy) sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.  Salah satu ciri utama sistem ini ialah pihak pemerintah harus dibentuk berasaskan pemilihan yang dibuat sendiri oleh rakyat.  Lantaran itu, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dalam proses pemilihan pucuk pimpinan dan pemerintahan, Artikel 114 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan agar diadakan pilihan raya setiap Lima tahun sekali.  Justeru itu, dengan kata-kata lain, rakyat diberi mandat melalui proses pembuangan undi untuk menentukan pimpinan negara.  Sehubungan dengan itu, menurut Ghazali Mayudin ( 2009 ), oleh kerana  demokrasi itu sendiri asalnya bermaksud “ pemerintahan oleh rakyat ”, maka pilihan raya merupakan amalan yang tidak dapat dielakkan  di dalam sebuah negara yang mendakwa mengamalkan sistem demokrasi .  Melalui pilihan raya rakyat berpeluang menyatakan pilihan mereka di kalangan calon atau parti politik yang bertanding.  Selain daripada itu, ia juga memberi peluang kepada rakyat untuk menggantikan pemimpin atau parti lain yang dianggap lebih sesuai. 

Lazimnya, parti-parti politik akan bertanding bagi merebut seberapa banyak yang mungkin kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).  Pemilihan adalah berdasarkan kepada kemenangan melalui kiraan undi terbanyak atau majoriti mudah yang dicapai oleh individu-individu yang telah dicalonkan oleh parti-parti politik untuk bertanding dalam pilihan raya umum dan negeri.  Pemilihan parti politik pemerintah di peringkat Persekutuan adalah ditentukan melalui kemenangan dua per tiga daripada jumlah kerusi Parlimen atau kemenangan dua per tiga daripada jumlah kerusi DUN di peringkat negeri oleh sesebuah parti politik.  Kemenangan dua pertiga daripada kerusi-kerusi yang dipertandingkan akan melayakkan sesebuah parti politik itu membentuk kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri.  Parti politik yang memperoleh majoriti dua pertiga kerusi akan memerintah bagi tempoh selama lima tahun sehinggalah pilihan raya umum berikutnya diadakan. 


                   KONSEP PILIHAN RAYA


Menurut laman web http://m.s..wikipedia.org/wiki/Pilihan_raya, pilihan raya adalah satu proses demokrasi yang menggunakan undi untuk memilih calon yang sesuai sebagai mewakili rakyat di parlimen.  Laman web ini turut menjelaskan bahawa ia merupakan suatu mekanisme demokrasi untuk memilih calon yang sesuai bagi memenuhi jawatan-jawatan penggubal undang-undang, eksekutif, perundangan dan kerajaan tempatan.  Sehubungan dengan itu, untuk memenuhi tuntutan sistem demokrasi, sesebuah kerajaan dipilih melalui pilihan raya.  Melalui pilihan raya ini, rakyat diberi hak untuk memilih kerajaan yang diingini.  Justeru, ini bermakna sesebuah kerajaan yang dipilih akan memerintah mengikut kehendak rakyat yang memilihnya.  Dalam sesuatu pilihan raya, terdapat dua objek yang terlibat iaitu orang yang dipilih dan kumpulan pemilih.  Menurut A. Rashid (1994), ia berkaitan dengan politik untuk memilih orang atau orang-orang yang akan mewakili kepentingan pemilih-pemilih dalam hal yang terletak di bawah bidang kuasa organisasi di mana orang atau orang-orang berkenaan dipilih untuk bertugas. 

Justeru itu, orang atau orang-orang yang akan mendapat jumlah undi terbanyak bakal terpilih mewakili kawasannya menjadi ahli parlimen bagi peringkat persekutuan atau ahli Dewan Undangan Negeri bagi peringkat negeri.  Memandangkan sesebuah kerajaan demokrasi menggunakan pilihan raya untuk menentukan kuasa pemerintah, maka amat wajar dan penting ia diakan secara sistematik dan telus.  Pilihan raya yang tidak telus dan mengandungi perkara-perkara yang tidak diingini serupalah seperti memperolehi pemerintahan dengan cara menipu dan tidak menyenangkan hati rakyat (Mohd Afandi Salleh, Mohamed Mustafa Ishak, Wan Ab Rahman Khudzri Wan Abdullah 2007).  Keadaan ini sudah pasti akan mengundang situasi yang tidak tenteram, timbul perbalahan dan pemberontakan di kalangan rakyat.  Sehubungan dengan itu, Salleh Abas (1997) telah menggariskan beberapa unsur untuk menjadikan pilihan raya itu bersih dan bebas.  Antaranya ialah :-



  •  Pilihan raya itu hendaklah dianjurkan oleh satu badan yang jujur  dan boleh   dipercayai oleh rakyat;
  •  Undang-undang pilihan raya itu mestilah berasaskan keadilan dan mencegah perkara yang tidak elok;
  • Segala pertelingkahan tentang pilihan raya mestilah diselesaikan dengan segera oleh mahkamah khas.




Untuk itu, beberapa undang-undang telah diwujudkan demi memastikan perjalanan sesuatu pilihan raya itu lancar dan para pengundi dapat keluar menjalankan tanggung jawab masing-masing tanpa rasa takut serta gentar.  Antara undang-undang tersebut ialah Akta Polis 1962, Akta Hasutan 1970, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan sebagainya.  Walaupun terdapat kritikan mendakwa undang-undang tersebut telah disalahgunakan oleh parti memerintah untuk mengekalkan kuasa, namun apa yang jelas ia merupakan satu langkah untuk menjadikan pilihan raya yang diadakan itu selaras dengan tuntutan demokrasi. 

Dalam sistem kerajaan demokrasi akan mengamalkan konsep pilihan raya bagi membentuk sesuatu kerajaan yang baru. Jarak masa di antara satu pilihan raya adalah berbeza di antara sebuah negara dengan yang lain. Bagi Malaysia, Britain dan India pilihan raya dewan perundangan hendaklah diadakan setiap Lima tahun sekali, walaupun dewan boleh dibubarkan dan pilihan raya diadakan lebih awal daripada itu.  Mekanisme pilihan raya juga diwujudkan bagi mengekalkan corak pemerintahan demokrasi. Melalui proses ini, kerajaan demokrasi dapat dibentuk. Demokrasi yang merujuk kepada konsep majoriti dan sokongan rakyat dapat membuktikan bahawa Malaysia menggunakan proses pilihan raya sebagai mekanisme yang dapat mengekalkan corak pemerintahan demokrasi berparlimen.

Melalui proses pilihan raya ini, parti-parti politik akan terbentuk bagi bertanding dalam pilihan raya. Parti-parti politik yang membawa ucapan manifesto masing-masing akan cuba mempengaruhi rakyat melalui kempen pilihan raya yang dijalankan bagi mendapat sokongan daripada rakyat untuk mengundinya ketika di hari pengundian. Wakil yang bertanding dalam pilihan raya akan cuba mempengaruhi rakyat untuk mendapat sokongan. Dengan ini, rakyat dapat menilai bakal-bakal wakil yang dipilih untuk mewakili mereka bagi menyampaikan hasrat mereka di dewan Parlimen kelak. Dalam proses pilihan raya, calon akan menggunakan ‘janji-janji manis’ atau lebih dikenali dengan manifesto bagi menpengaruhi rakyat. Rakyat akan terpengaruh dengan manifesto yang disampaikan oleh calon-calon yang bertanding dan ini akan memudahkan calon yang bertanding untuk meraih sokongan daripada rakyat.

Proses pemilihan pilihan raya dikatakan sebagai mekanisme bagi mengekalkan corak pemerintahan demokrasi berparlimen kerana konsep ini dapat mengelakan daripada berlakunya amalan pemilikan kuasa sepenuhnya oleh sesetengah pihak atau lebih dikenali dengan "autoriti". Hal ini kerana apabila proses plihan raya dijalankan, para pengundi dapat menentukan calon yang ingin diundi dan dapat mengelakkan daripada manipulasi kuasa berlaku serta dapat mengekalkan konsep demokrasi itu sendiri. Oleh itu, sekiranya pilihan raya diwujudkan, konsep demokrasi dapat diwujudkan kerana mengikut konsep ini, rakyat akan memilih calon-calon yang bertanding mengikut parti politik bagi membentuk kerajaan. Parti politik yang mendapat sokongan rakyat 2/3 akan membentuk kerajaan dan bertindak sebagai badan kerajaan serta merupakan anggota penyokong manakala parti politik yang tidak berjaya mendapat sokongan rakyat 2/3 akan bertindak sebagai anggota pembangkang. Justeru kewujudan  penyokong dan pembangkang, sebarang pemanipulasian kuasa dapat dielakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Fungsi pembangkang adalah untuk mengelakkan pihak kerajaan menyalahgunakan kuasa dalam bidang pentadbiran dan dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang penyelewengan kewangan negara.


KESIMPULAN


Jelasnya, proses pilihan raya merupakan mekanisme yang diwujudkan bagi mengekalkan corak pemerintahan demokrasi kerana konsep ini memerlukan sokongan daripada rakyat bagi membentuk kerajaan demokrasi. Kerajaan demokrasi pula merujuk kepada konsep tiada badan yang memerintah atau bertindak sebagai satu kuasa penuh dalam pentadbiran atau dapat dijelaskan dengan adanya kewujudan kerajaan yang bertindak sebagai anggota penyokong, dan pembangkang yang berfungsi sebagai anggota pembangkang yang bertindak untuk memastikan kerajaan tidak melakukan penyelewengan dalam pentadbiran.



SENARAI RUJUKAN

  

Ahmad Atory Hussain. 2001. Penghantar Pentadbiran Awam Paradigma Baru. Kuala Lumpur. Utusan Publicatioans.

A.Rashid.1994. Perjalanan Pilihan raya. Kuala Lumpur. Berita Publishing

Prof. Madya Ghazali Mayudi, Prof. Madya Saliha Hassan, Dr. Junaidi. 2009. Penghantar Sains Politik. Bangi. Pusat Kembangan Pendidikan UKM

Mohd Affendi Salleh, Mohamad Mustafa Ishak, Wan Ab Rahman Khudzri Wan Abdullah. 2007. Perlembagaan Malaysia. Sintok. PACE UUM.

Tun Mohd Salleh Abbas. 1997. Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan Di Malaysia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka



Monday, April 8, 2013



 BERPOLITIK DALAM ISLAM
halimunanman.net




PENGENALAN



Persoalan politik Islam sebagai agen perubahan merupakan satu isu menarik dan sentiasa segar. Justeru itu agenda ini sering dibincangkan dalam penulisan dan forum-forum kerana jangkauan politik Islam bukan setakat menyentuh alam zahir, tetapi melangkaui nilai-nilai abstrak yang sangat mendalam seperti keberkatan, kedamaian, rahmat dan sebagainya. Menurut catatan sejarah Islam pernah diriwayatkan bahawa pada era Umar Abdul Aziz dilantik menjadi Khalifah, beliau telah menegakkan keadilan sepenuhnya sehingga dikatakan serigala/anjing tidak menyerang kambing-kambing yang dipelihara oleh penternak-penternak. Pada masa yang sama turut digambarkan dalam riwayat tersebut bagaimana serigala dapat hidup berkeliaran bersama biri-biri dan kambing sehingga wujud suatu suasana yang menghairankan masyarakat. Berdasarkan fenomena itu maka jelaslah bahawa seorang khalifah yang dilantik berdasarkan sistem politik Islam mampu melahirkan seorang pemimpin yang adil untuk memacu perkembangan sesebuah negara berlandaskan syariat Islam. Keadaan ini berbeza dengan politik sekular yang nyata memang dilihat hebat dari segi fizikal, namun begitu biasanya ia menjadi penyebab kepada keruntuhan nilai manusiawi. 



PRINSIP-PRINSIP POLITIK ISLAM


Menurut Abdul Hadi (2007) untuk memahami konsep politik Islam adalah dengan memahami kaedah syarak mengikut prinsipnya. Konsep pelaksanaanya perlu dilakukan secara bijaksana mengikut situasi dan realiti yang harus dipraktikkan dan ketegasan pada tempat yang sewajarnya. Sehubungan dengan itu menurut Shukeri, Mohamad Azrien , Syed Abdurahman (2011) konsep politik dalam tamaddun Islam adalah merujuk kepada sistem yang digunakan untuk mengendalikan kerajaan dan negara. Justeru ia hendaklah berpaksikan kepada dasar-dasar yang digariskan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan di antara dasar atau prinsip utamanya ialah prinsip keadilan, prinsip syura, prinsip ketuanan syariah dan lain-lain lagi. Individu yang mula-mula menggarapkan pelaksanaan sistem pemerintahan tersebut ialah Nabi Muhammad S.A.W. dan konsep itu kemudiannya diteruskan oleh para khalifah selepas baginda dengan menampilkan dalam berbagai bentuk dan gaya. 

Politik dalam Islam menjurus kegiatan ummah kepada usaha mendukung dan melaksanakan syariat bertujuan untuk menyimpulkan segala sudut Islam yang syumul melalui satu institusi yang mempunyai sahsiah bagi menerajui dan melaksanakan undang-undang. Ia adalah bersesuaian dengan firman Allah s.w.t.: “Dan katakanlah: “Ya Tuhan-ku, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong”. (Al-Isra: 80). Sehubungan dengan itu pelaksanaan agenda politik Islam ini mempunyai beberap prinsip yang perlu dipatuhi agar ia tidak terbabas daripada landasan yang dibenarkan oleh syarak. Abdul Hadi  (2007) menjelaskan bahawa Islam adalah petunjuk Allah dengan ajaran-ajaran yang istimewa dan wajib dipelajari serta dikaji secara mendalam, termasuklah dalam bidang politik. Justeru, bagi menjamin keluhuran politik yang menjadi keperluan manusia secara fitrah dan mencapai objektif peranan manusia yang diletakkan di muka bumi, maka Allah telah menetapkan beberapa prinsip untuk dipatuhi agar ia menjadi landasan yang wajib ditaati secara menyeluruh. Antaranya ialah:

i. Akidah Islam

Politik Islam adalah berlandasakan kepada akidah tauhid (Allah yang satu) dan pada masa yang sama menolak sebarang bentuk perbuatan syirik (menyekutukan Allah). Ini bermakna kepercayaan kepada rukun-rukun Iman adalah bermula daripada beriman kepada Allah Yang Maha Esa sehinggalah ke Hari Kiamat (Abdul Hadi: 2007). Pada masa yang sama, perkara iman ini juga meliputi kepercayaan jitu bahawa seluruh yang datang daripada Allah dan rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Sehubungan dengan itu, iman akan mengikat roh dan jasad agar boleh mengendalikan kewajiban berpolitik secara ibadah yang mewajibkan manusia untuk tunduk dan patuh kepada Allah dan rasul secara mutlak dan diberi keizinan menggunakan kebijaksanaan dalam menangani perubahan dengan cara yang betul.

Al-Maududy (1982) pula menjelaskan bahawa kepercayaan kepada keesaan dan kekuasaan Allah (the unity and souverenity of God) adalah dasar daripada sistem sosial dan moral yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad dan ia boleh dianggap sebagai titik tolak (starting point) kepadan falsafah politik Islam. Beliau turut menekankan hakikat betapa prinsip dasar Islam adalah bahwa manusia samada secara individu maupun kolektif, wajib menyerahkan segala-gala perkara hanya kepada ketentuan, peraturan, dan kekuasaan Tuhan semata-mata. Atas dasar itu maka tidak seorang pun dibenarkan untuk memberikan perintah atas namanya sendiri agar membuat undang-undang dengan sewengan-wenangnya untuk dipatuhi oleh manusia yang lain. Dalam erti kata lain, kedaulatan serta kekuasaan berada di tangan Tuhan dan manusia hanya akan menjalankan kekuasaan di dunia atas nama kedaulatan Tuhan.

ii. Menjunjung Tinggi Syariah Islam

Ketinggian syariah Islam menjadi perlembagaan dan sumber perundangan yang berkuasa kepada pihak pemerintah. Selain daripada itu, ia juga merupakan rukun penting kepada dasar dan objektif politik Islam (Abdul Hadi: 2007). Kenyataan ini berdasarkan firman Allah dalam surah Yusuf: 40 iaitu “Sebenarnya hukum (undang-undang) hanyalah bagi Allah. Ia memerintah kamu jamgan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yusuf: 40). Syariat akan memelihara rukun penting bagi kehidupan manusia seperti agama, nyawa, maruah, keturunan dan harta. Ia adalah selaras dengan fitrah ciptaan Allah bagi manusia itu dengan menyeluruh iaitu merangkumi aspek jasad, roh, individu, masyarakat dan hubungan manusia dengan makhluk lain. 

Sehubungan dengan itu, Allah menegaskan beberapa hukum yang telah ditetapkan untuk manusia seperti halal dan haram, serta qisas dan hudud dalam perkara jinayah adalah bertujuan menjamin hak dan keadilan semua pihak. Ini adalah kerana dalam konteks dunia hari ini, kebenaran kuasa Allah telah membongkar kelemahan undang-undang ciptaaan manusia. Ia dapat dibuktikan dengan bertambahnya gejala sosial, maksiat dan peningkatan kadar jenayah yang semakin parah. Hakikatnya, syariat Islam yang bersumberkan daripada Al-Quran, Sunnah Nabi Muhammad s.a.w, ijmak dan qias adalah memenuhi segala keperluan tempat, semaa, situasi dan realiti sepanjang zaman (Abdul Hadi Awang: 2007). 

iii. Amanah

Prinsip amanah dalam aspek politik telah dinyatakan secara khusus dalam al-Quran iaitu: “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada ahlinya.” (An-Nisa’: 58). Menurut Abdul Hadi Awang (2007), ayat ini adalah salah satu rantaian yang disenaraikan dalam ayat urusan politik dan dihuraikan lagi oleh beberapa petikan lain yang mencakupi sifat amanah apabila memilih pemimpin dan pada masa yang sama pemimpin itu sendiri perlu menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Sehubungan dengan itu, amanah besar yang dimaksudkan adalah dalam mengurus politik, memimpin umat dan melaksanakan perintah Allah dengan berpegang teguh kepada ajaran Allah yang dinamakan Islam

Konsep amanah menjadi salah satu tonggak penting yang menjayakan politik Islam memandangkan semua urusan di dunia bukan hanya dikawal oleh undang-undang dan peraturan yang lahir, tetapi pada masa yang sama ia turut dikawal oleh hati yang berperasaan amanah dan tanggungjawab terhadap Allah (Abdul Hadi Awang: 2005). Jelaslah, Islam meletakkan perkara politik atau kewajiban memimpin dan mentadbir adalah perkara amanah besar dalam perhitungan dosa dan pahala serta tanggungjawab yang diperhitungkan sejak di dunia sehingga ke akhirat. Pertimbangan seperti inilah yang membezakan agenda politik Islam dengan politik sekular yang hanya bersifat materialistik. 

iv. Keadilan

Keadilan daripada sudut pandangan Islam bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ini bukan sekadar dalam konteks perbicaraan di mahkamah, malah meliputi perkara-perkara lain dalam konteks interaksi sesama makhluk termasuklah hak rohani, kebendaan, layanan dan bantuan. Islam mewajibkan agar pelaksanaan keadilan itu dilakukan secara mutlak, tanpa ada unsur-unsur diskriminasi (Abdul Hadi : 2005). Sehubungan dengan itu, ia hendaklah dilaksanakan kepada semua termasuk kepada musuh,apatah lagi terhadap rakyat dalam negara Islam tanpa mengira agama, bangsa, pangkat dan kedudukan. Dalam ertikata lain, keadilan Islam itu adalah bersifat mutlak dan menyeluruh. 

Istilah mutlak merujuk kepada konsep tidak berbelah bahagi atau tiada sebarang pengecualian kerana ia juga wajib diberikan kepada musuh. Sementara itu, perkataan menyeluruh pula adalah merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Dalil untuk menegakkan keadilan dinyaatakan dalam al-Quran: 

“Wahai orang-orang yang beriman,jadilah kamu orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada semua dan semua keadaan), kerana ia lebih hamper kepada takwa. Dan bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu maha mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (Al-Maidah: 8). 

v. Mesyuarat / Musyawarrah

Agenda politik Islam turut menganjurkan amalan bermusyawarrah dalam setiap tindakan seperti dinyatakan oleh al-Quran: “Dan orang-orang yang menyahut perintah Tuhan mereka, lalau mereka mendirikan sembahyang dan urusan mereka dikendalikan dengan bermesyuarat di kalangan mereka dan mereka membelanjakan dari apa yang kami rezeki bagi mereka.” (Asy-Syura: 38). Kewajiban untuk bermesyuarat dalam setiap perkara adalah bagi menunjukkan hakikat bahawa seseorang pemimpin itu tidak berkuasa penuh dan konsep tersebut tidak akan mengongkong kebijaksanaannya. Amalan ini terbukti berkesan dalam menyelesaikan perkara-perkara penting dan memerlukan pendapat semua pihak agar keputusan yang diambil dapat memuaskan semua pihak terlibat. 

Sejarah Islam mencatatkan bahawa ketika tentera muslim kebuntuan menghadapi kepungan kaum Quraisy Mekah semasa Perang Khandak, Rasulullah s.a.w. telah bermesyuarat dengan para sahabat untuk memikirkan strategi yang sesuai bagi mengatasi masalah tersebut. Seorang sahabat bernama Salman al- Farisi tampil dengan idea pembinaan parit di sekeliling kota Mekah lalu baginda menyetujuinya dan akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Begitu juga apabila berlaku peristiwa kewafatan Nabi Muhammad, para sahabat telah memanggil mesyuarat tergempar bagi memilih pengganti Baginda s.a.w. untuk mengendalikan urusan politik negara. Berdasarkan kepada hakikat itu jelas membuktikan kepentingan amalan musyawarrah dalam politik Islam. 

PENUTUP

Jelas, konsep politik dalam Islam mempunyai tafsiran tersendiri dan tentunya berbeza daripada sudut pandangan sekular. Apa yang nyata dalam Islam setiap aktiviti kehidupan telah ditetapkan berlandaskan peraturan al-Quran dan hadis. Kedua-dua sumber ini jelas relevan kepada manusia dalam apa jua keadaan zaman dan persekitaran. Justeru, mengenepikan kedua-dua sumber itu bakal mengundang bala kesan daripada kemurkaan Yang Maha Esa.



RUJUKAN


Abdul Hadi Awang. 2007. Islam dan Demokrasi. Batu Caves..PTS Publications Sdn.Bhd.

Abu-al-A’la al-Maududy.1982. “Political Theory in Islam”, Dalam John J. Donohue 
(ed.), Islam in Transition .New York: Oxford University Press. 

Shukeri Mohamad, Mohamad Azrien Mohamed Adnan, Syed Abdurahman Syed 
Hussin. 2011. Analisis Pengaruh Politik Islam Di Negeri Kelantan Terhadap Gaya Hidup Masyarakat Di Malaysia dlm Tajdid and Islam.Kuala Lumpur. Department of Islamic History and Civilization Academy of Islam Studies University Of Malaya