Kehadirannya tidak disedari......













Monday, April 15, 2013

MENGENALI SISTEM PILIHAN RAYA DI MALAYSIA :
Proses-proses Dalam Pilihan raya
Halimunanman.net




LATAR BELAKANG

Pilihan raya ialah pemilihan umum ke atas seseorang pemimpin yang dibuat menerusi undi sesebuah perkumpulan atau konstituen berperlembagaan. Pilihan raya melibatkan dua pihak iaitu orang yang dipilih dan kumpulan pemilih.  Ini bermakna pilihan raya melibatkan perbuatan memilih sesuatu parti atau seseorang untuk sesuatu jawatan atau kedudukan yang dilakukan secara terbuka oleh sekumpulan orang. Pilihan raya tidak semestinya dikaitkan dengan politik pemilihan yang bercorak politik. Dalam kajian ini, pilihan raya adalah merujuk kepada proses memilih ahli-ahli Dewan Perundangan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negeri yang diadakan lima tahun sekali di Malaysia.  Menurut A. Rashid (1994), proses pilihan raya adalah berkaitan dengan politik untuk memilih orang atau orang-orang yang akan mewakili kepentingan pemilih-pemilih dalam hal yang terletak di bawah bidang kuasa organisasi di mana orang atau orang-orang berkenaan dipilih untuk bertugas. 

Sehubungan dengan itu, di Malaysia terdapat dua jenis pilihan raya yang biasa diamalkan iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).  Walaupun negara pernah mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan sedikit masa dahulu, namun ia tidak lagi dipraktikkan mulai tahun 1965 atas sebab-sebab tertentu.  Apabila Yang Dipertuan Agong mengumumkan pembubaran parlimen menurut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan,  maka suatu pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu dan ia melibatkan beberapa proses seperti berikut :

i)            Pengeluaran Writ

Apabila berlaku pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau disebabkan kekosongan di luar jangkaan (Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan writ berupa surat kuasa untuk menjalankan pilihan raya kepada Pegawai Pengurus yang dilantik.  Seterusnya, satu notis pilihan raya akan diwartakan dan ditampalkan di tempat-tempat tertentu untuk semakan orang ramai.  Notis tersebut mengandungi maklumat-maklumat seperti tarikh penamaan dan tarikh pengundian yang akan dijalankan.

ii)           Penamaan Calon

Hari penamaan calon merujuk kepada hari yang telah ditetapkan oleh SPR bagi calon-calon mengemukakan kertas pencalonan bertanding kepada Pegawai Pengurus pilihan raya.  Kertas-kertas penamaan boleh dikemukakan sama ada oleh calon itu sendiri, pencadang dan penyokong atau salah seorang daripada mereka.  Ia mestilah dikemukakan di antara pukul 9.00 hingga 10.00 pagi pada hari penamaan.  Selain daripada itu, salah seorang daripada mereka juga perlu menyertakan deposit atau wang pertaruhan berjumlah RM 10,000 untuk kerusi Parlimen dan RM 5,000 bagi kerusi Negeri. 

Calon akan hilang wang pertaruhan ini sekiranya gagal memperoleh 1/8 daripada undi yang diperoleh oleh semua calon yang bertanding. Menurut Abdul Aziz Bari (2008), wang pertaruhan ini berguna untuk tujuan menghalang pihak-pihak yang tidak bersungguh-sungguh daripada bertanding atas sebab-sebab yang remeh, tetapi juga boleh mendatangkan kesan yang buruk kerana ia juga boleh menyebabkan pilihan raya menjadi medan eksklusif buat golongan yang kaya atau mewah sahaja masuk bertanding.  Ini jelas menyimpang daripada matlamat asal pilihan raya yang bersumberkan kepada semangat demokrasi dan egalitarianisme atau fahaman bahawa semua orang perlu mendapat hak yang sama rata.

Kertas-kertas penamaan yang diterima akan dipamerkan dari jam 10.00 hingga 11.00 pagi untuk diteliti dan dibuat bantahan oleh mereka yang layak iaitu calon dan pemilih yang berdaftar di kawasan berkenaan.  Setelah selesai urusan tersebut, Pegawai Pengurus akan mengisytiharkan calon-calon yang layak untuk bertanding.  Dalam kes di mana hanya seorang calon sahaja yang dicadangkan, Pegawai Pengurus akan membuat perisyhtiharan bahawa calon itu menang tanpa bertanding. 

iii)          Kempen Pilihan raya

Sebaik sahaja urusan penamaan calon selesai, setiap parti politik yang bertanding boleh memulakan kempen meliputi pemasangan poster, mengedarkan risalah, kempen dari rumah ke rumah dan ceramah untuk menerangkan manifesto masing-masing.  Walau bagaimanapun, setiap kempen yang dianjurkan hendaklah tidak bercanggah dengan peraturan-peraturan khas untuk berkempen seperti yang telah dirangka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan tertera di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan ) 2002.  Antara lain, akta ini menyatakan bahawa sebarang kempen hanya boleh diadakan sejurus selesai proses penamaan calon dan hendaklah dihentikan pada jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi. 

Justeru, untuk memastikan perjalanan pilihan raya berjalan dengan lancar, SPR mempunyai kuasa di bawah Perkara 3 (5) Akta Pilihan Raya 1958 dan perkara 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik Pegawai Penguat Kuasa dan membentuk satu atau lebih Pasukan-pasukan Penguat Kuasa di setiap bahagian pilihan raya Parlimen jika keadaan memerlukan.  Unit ini dianggotai oleh Pegawai Penguat Kuasa yang dilantik oleh SPR, seorang wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah, seorang wakil dari Pihak Berkuasa Tempatan dan seorang wakil tiap-tiap parti atau calon yang bertanding. 

Pegawai Penguat Kuasa akan bertanggungjawab kepada Pegawai Pengurus dan bertugas untuk memantau bahan-bahan kempen, ceramah-ceramah pilihan raya dan perhimpunan umum untuk memastikan semua peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya tidak dilanggar dengan sewenang-wenangnya.  SPR juga akan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa di peringkat Pusat /Negeri/ bahagian-bahagian pilihan raya untuk memberikan penerangan kepada semua parti politik, calon, ejen dan petugas parti mengenai undang-undang serta peraturan pilihan raya.  Semua larangan dan arahan yang dikeluarkan hendaklah sentiasa diambil ingatan serta tindakan oleh semua yang terlibat bagi mengelakkan timbul sebarang masalah kelak. 

iv)          Pengundian

Hari mengundi merujuk kepada hari para pemilih membuang undi masing-masing.  Secara rasmi, ia akan bermula dari jam 1200 tengah  malam dan hanya akan berakhir sejurus selepas keputusan pertama pilihan raya diumumkan.  SPR telah menetapkan bahawa waktu pembuangan undi ialah dari jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang di seluruh Malaysia.  Walau bagaimanapun, SPR boleh menggunakan budi bicara untuk memendekkan waktu pengundian atas alasan keselamatan dan logistik seperti yang berlaku di daerah-daerah tertentu dalam negeri Sabah dan Sarawak. 

v)           Penjumlahan Rasmi Undi.

Sejurus selepas urusan pengundian selesai, Ketua Tempat Mengundi akan membuat pengiraan kertas undi.  Keputusan pengiraan akan dimasukkan ke dalam borang 14 dan ia akan dibawa kepada Pegawai Pengurus untuk proses penjumlahan rasmi undi.  Setelah disemak dan disahkan betul, Pegawai Pengurus akan membuat pengumuman keputusan jumlah undi satu persatu.  Sebaliknya sekiranya timbul keraguan atau bantahan, beliau akan menyemak semula dengan menggunakan Borang 13 (Penyata Kertas Undi).  Apabila semua keputusan Borang -14 (Penyata Pengiraan Selepas Pengiraan Undi) dan Borang – 15  (Penyata Pengundian Kertas Undi Pos) diterima dan diumumkan, beliau akan menjumlahkan keseluruhan keputusan untuk menentukan pemenangnya. 

vi)          Pengumuman Keputusan Pilihan Raya

Apabila selesai menjumlahkan Borang – 14 dan Borang – 15, Pegawai Pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya akan mengisytiharkan calon yang mendapat undi majoriti dan mengesahkannya sebagai wakil rakyat untuk bahagian berkenaan.  Sehubungan dengan itu, keputusan tersebut adalah muktamad dan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan bantahan di Mahkamah Pilihan Raya melalui petisyen pilihan raya.


KESIMPULAN


Dalam sistem kerajaan demokrasi berparlimen seperti yang dipraktikkan oleh Malaysia, mekanisme pilihan raya telah digunakan untuk menentukan corak pemerintahan negara.  Proses pilihan raya akan melibatkan pengundi, parti-parti politik dan juga kerajaan.  Parti-parti politik yang bertanding akan mengisytiharkan calon dan manifesto masing-masing.  Sepanjang tempoh berkempen diadakan, calon-calon yang terpilih akan menjelajah ke seluruh pelosok tanah air dengan membawa ucapan manifesto masing-masing untuk  meraih sokongan dan seterusnya mempengaruhi rakyat agar memilih parti mereka semasa hari pengundian diadakan.  Melalui kempen yang diadakan, rakyat berpeluang menilai personaliti dan juga aspirasi seseorang calon yang bakal mewakili mereka di parlimen kelak.  Walau bagaimanapun, setiap calon yang bertanding perlu memenuhi beberapa syarat seperti hendaklah warganegara Malaysia dan bermastautin di negara ini.  Calon-calon yang didapati melanggar salah satu daripada syarat kelayakan seperti didapati tidak siuman, bankrap atau muflis, memperoleh kewarganegaraan lain dan sebagainya tidak akan dibenarkan bertanding. 

Rujukan

A.Rashid.1994. Perjalanan Pilihan raya. Kuala Lumpur. Berita Publishing

Tun Mohd Salleh Abbas. 1997. Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan Di
 Malaysia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka

Abdul Aziz Bari . 2008 . Perlembagaan Malaysia : Asas-asas dan Masalah. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.




No comments:

Post a Comment